fbpx

20 Keluarga Asnaf Terima Bantuan Ramadan

20 Keluarga Asnaf Terima Bantuan Ramadan

20 Keluarga Asnaf Terima Bantuan Ramadan

SHAH ALAM,12 Mei 2019 – Di atas keperhatinan ahli HALUAN Selangor, Biro Kebajikan HALUAN Cawangan Selangor telah mengadakan program Ziarah Asnaf Ramadan bagi merancakkan lagi misi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Program ini bertujuan menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di sekitar Kampung Jalan Kebun.

Sebanyak 20 buah rumah telah diziarahi dan bantuan keperluan makanan asas telah disalurkan kepada penghuni rumah terbabit. Sepanjang proses penyerahan itu, wakil-wakil HALUAN telah beramah mesra dan bertanya khabar kepada golongan asnaf yang terlibat perihal keadaan mereka dan memberikan sokongan moral kehidupan. Ternyata, sentuhan sebegini memberi kesan bukan sahaja kepada pihak yang disantuni tetapi ahli HALUAN turut menyelami perasaan mereka serta kesusahan masyarakat setempat sekaligus dapat berkongsi rezeki bersama mereka di bulan Ramadan yang mulia ini.

Menurut Ketua Biro Kebajikan HALUAN Cawangan Selangor, En Yusoff Mustafa edaran sumbangan dan sesi ziarah menyantuni para asnaf terpilih ini bermula sekitar jam 10 pagi dan tamat sebelum masuknya waktu Asar pada jam 4 petang. Sukarelawan penggerak ziarah pada kali ini, dibantu oleh tujuh orang ahli HALUAN Cawangan Selangor.

“Program sebegini dapat mendidik budaya berkongsi rezeki terutamanya di Bulan Ramadan yang mulia di samping dapat memperkenalkan HALUAN pada masyarakat. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi dan diperluaskan ke daerah-daerah lain,” ujarnya lagi.

Pihak HALUAN akan mempergiatkan lagi usaha-usaha sebegini di pelbagai tempat dan negeri. Besar harapan kami agar inisiatif sebegini dapat membantu golongan yang memerlukan dan jutaan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan kewangan dan barang keperluan asas untuk menjayakan program ini.

_
Laporan oleh Amirul Anuar Azman, Setiausaha Kerja HALUAN Selangor