fbpx

150 hadiri SKEMA XV Putrajaya

150 hadiri SKEMA XV Putrajaya

150 hadiri SKEMA XV Putrajaya

BANGI, 4 April 2015 – Lebih 150 orang mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar Wilayah Tengah telah menyertai Seminar Kesejahteraan Mahasiswa ke-15 (SKEMA XV) anjuran Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Putrajaya di Dewan Kuliah, Kompleks Tun Abdullah Salleh di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Selesai ucapan pembuka tirai oleh pengarah program, Encik Ehsan Amir, majlis diteruskan dengan slot 1 yang dikendalikan oleh Encik Zamree Tukiran yang telah mengupas tajuk “Unggulkah Kita?”. Antara isi penting yang beliau nyatakan ialah kepentingan membersihkan hati, penetapan visi dan misi, kuasa tindakan dan bertahan untuk berjaya. Dengan mempunyai ciri-ciri ini, barulah keunggulan itu memberi erti.

Sesi seterusnya diteruskan oleh Ketua SiswaHALUAN, Encik Saiful Islam Azra’ai. Beliau mengupas tajuk “Memperkasa Keunggulan Mahasiswa”. Katanya, antara sifat yang dapat memperkasakan keunggulan mahasiswa ialah dengan meningkatkan kualiti akhlak, menyusun aturan kerja dan mendidik hawa nafsu.

Sementara itu, sesi forum mahasiswa diadakan pada sebelah petang membicarakan tentang “Keseimbangan Mahasiswa, Pemangkin Keunggulan”. Gandingan moderator yang diwakili oleh Cik Nurul Afifah Adila Mohd Salleh serta barisan panel iaitu Cik Tasnim Ismail, Encik Huzaifah Riduan dan Encik Wan Mohd Nazwandy Ahmad berjaya mengupas dengan baik setiap persoalan yang dilontarkan.

Intipati forum membicarakan tentang keseimbangan mahasiswa akan mampu menghasilkan peribadi yang unggul. Keunggulan yang terbina daripada proses yang baik mampu memberi impak pada diri sendiri dan masyarakat.

Mengulas mengenai SKEMA XV, Nor Alia Ahmad Siraj, mahasiswa Tahun 1 dari Universiti Putra berpendapat tips yang diberikan oleh para pembentang sangatlah berkaitan dengan dirinya sendiri sebagai seorang mahasiswa. Beliau juga berharap agar SKEMA ini dapat diadakan lagi dan berhasrat agar dapat menyertainya lagi pada masa akan datang.

Laporan oleh Shairazi Sharizan, Urusetia SKEMA XV
Jurufoto: Mahmood Ikhwan