fbpx

150 Hadiri Ceramah Kesedaran Palestin di Hospital Sultanah Bahiyah

150 Hadiri Ceramah Kesedaran Palestin di Hospital Sultanah Bahiyah

ALOR SETAR, 11 Jun 2009 — Permasalahan Palestin terus menjadi agenda perjuangan yang dipelopori oleh HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin. Pengerusi biro, Tn Hj Noorazman Shamsudin telah menyampaikan ceramah Kesedaran Palestin di Hospital Sultanah Bahiyah pada 11 Jun yang lalu. Program anjuran HALUAN Kedah bersama Badan Kebajikan Pekerja Islam Hospital Sultanah Bahiyah (BALKIS) itu telah dihadiri hampir 150 orang daripada kalangan para doktor, jururawat dan staf hospital.


Tn Hj Noroazman yang baru sahaja pulang dari menziarahi kem pelarian Palestin di Syiria telah menjelaskan lagi senario dan situasi sebenar permasalahan Palestin. Tn Hj Noorazman menyifatkan tindakan ganas Israel Yahudi ke atas penduduk Palestin sebagai ‘hukuman mati’ dan satu usaha pembunuhan beramai-ramai secara perlahan-lahan ke atas rakyat Palestin, khasnya di Gaza. Permasalahan Palestin merupakan permasalahan akidah umat Islam. Sebagai orang yang beriman kita tidak boleh rela dan membiarkan Yahudi Israel merampas dan menguasai bumi para anbiya ini kerana mereka adalah golongan perosak dan Allah amat murka kiranya kita redha dan biarkan apa yang mereka lalukan. Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran;

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman-teman rapat(mu); sebahagian mereka adalah pelindung bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pelindung (teman rapat), Maka Sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Maidah: 51)

Kata Tn Hj Noorazman lagi, keterikatan kita dalam tubuh umat Islam ini mestilah dibina dengan dua kalimah syahadah. Inilah keterikatan antara kita dan saudara-saudara kita di Palestin. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w: “Jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim (yang lain). Janganlah dia menzaliminya, dan janganlah mengabaikan dia apabila dia memerlukan pertolongan, dan janganlah memperkecilkannya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Turut hadir dalam program tersebut ialah YDP HALUAN Kedah, Cikgu Mansor Daud, Ketua HALUANITA Kedah, Puan Azian Baharom dan Pegawai Agama Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah, Ustaz Ismail.