fbpx

1,000 Meriahkan Sambutan Aidilfitri HALUAN 1440H

1,000 Meriahkan Sambutan Aidilfitri HALUAN 1440H

1,000 Meriahkan Sambutan Aidilfitri HALUAN 1440H

BANDAR BARU BANGI, 16 Jun 2019 — Terasa bahang kemeriahan dan mahabbah bila lebih 1,000 para pendokong dan penginfaq serta sukarelawan HALUAN berkunjung ke Majlis Sambutan Aidilfitri HALUAN 1440H yang berlangsung di Dewan Sri Warisan, Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi pagi semalam.

Semangat meraikan kemenangan Aidilfitri ini merupakan mercu kejayaan NGO HALUAN meraikan mereka yang telah bersama membantu dalam menyantuni golongan masyarakat yang terpinggir dan memerlukan bantuan di dalam mahupun di luar negara. Misi-misi kemanusiaan dan kebajikan yang sudah berdekad lamanya dipelopori oleh NGO ini hanya menemui hasilnya bila ada para penderma yang meletakkan kepercayaan penuh kepada HALUAN untuk menyalurkan bantuan seperti kepada ibu-ibu tunggal, para janda, golongan miskin dan sakit, serta mangsa peperangan dan penindasan seperti di Syria, Lubnan, Palestin, Myanmar termasuklah mangsa bencana alam di serata dunia.

Trademark gigih membantu kemanusiaan yang memerlukan pembelaan ini menjadi batu penanda akrabnya HALUAN dengan masyarakat umum di Malaysia dan di mana saja. Maka Aidilfitri 2019 ini merupakan pertemuan yang sengaja diatur untuk menambatkan lagi silaturahim yang berkekalan dengan semua mereka.

Antara yang memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sg Ramal; YB Encik Mazwan Johar dan Ketua Protokol Kementerian Perhubungan Luar, Encik Abdullah Zawawi.

Selain itu, wakil-wakil NGO, pengerusi masjid dan surau sekitar Bandar Baru Bangi, dan ahli-ahli HALUAN Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut hadir memeriahkan majlis tersebut dengan objektif untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara seluruh ahli HALUAN, syarikat-syarikat, NGO-NGO, agensi kerajaan dan sukarelawan yang telah memberi kepercayaan kepada HALUAN sepanjang tahun ini. Para tetamu telah menikmati pelbagai rampaian juadah yang disediakan sambil beramah mesra antara satu sama lain.

Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir. Dalam ucapan aluan beliau, Dr Abdullah Sudin turut berkata “Semoga di bulan yang berkat ini tidak menjadikan kita lupa kepada tugas asasi kita kepada Allah SWT. Seterusnya hubungan yang kita jalinkan pada hari ini akan terus bertambah erat memudahkan lagi tugas dan tanggujawab yang boleh dilaksanakan pada masa-masa mendatang insyallah.”

Para pengunjung yang hadir juga disajikan persembahan daripada institusi-institusi kelolaan HALUAN seperti oleh anak-anak yatim dan miskin Asrama HALUAN Penyayang, anak-anak Rohingya Community Educare Center (RCEC) dan kumpulan Al-Faizin dari Sekolah Rendah Ibnu Khaldun. Turut disajikan adalah sebuah persembahan sajak yang  menyentuh hati “Syria Ku” daripada adik Ru’a Mohannad Abbas Alhamad, seorang mangsa kebobrokan Rejim Bashar Asad.

___
Laporan media HALUAN