1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Ahli HALUAN Bantu Urus Dapur Kem Pelarian Calais

CALAIS, PERANCIS, 6 Mac 2016 -- Dua orang ahli HALUAN telah menjadi sukarelawan di Kem Pelarian Calais (Jungle) di sini untuk menguruskan dapur kebajikan, Kitchen In Calais, yang menyediakan makanan panas untuk para pelarian Syria dan Palestin.

Mereka adalah Encik Muhammad Izzat Ibrahim Shamjuddin dan Encik Ahmad Hussein Abdullah Azzam. Encik Hussein berkhidmat dari 9 Januari sehingga 24 Januari lepas manakala Encik Izzat Ibrahim dari 9 Januari sehingga 5 Mac ini.

Kitchen In Calais merupakan usaha murni pasangan suami isteri dari Malaysia yang menetap di England, Puan Sofinee Harun dan Encik Jamalulail Ismail.

Sukarelawan di dapur tersebut datang dari pelbagai negara dan latar belakang. Ada yang dari England, Denmark, Scotland, Perancis, Brazil dan juga Malaysia. Relawan Malaysia yang berkhidmat di sini pula datangnya dari pelbagai negara yang berlainan. Encik Izzat dari Kaherah, Mesir, Encik Hussein dari Sheffield, England, dan ada juga seorang pelajar perubatan Malaysia yang datang ke sini dari India. Mereka turut dibantu oleh beberapa orang pelarian dalam kerja-kerja penyediaan makanan dan pembersihan di dalam dapur.

Aktiviti harian di dapur tersebut adalah mengemas dapur, memasak makanan, mengagihkan makanan kepada pelarian, mencuci periuk dan alatan-alatan memasak, membersihkan kawasan sekitar serta menguruskan barang-barang sumbangan daripada pelbagai pihak. Skop tugasan yang turut dilalui oleh dua orang sukarelawan HALUAN itu termasuklah memberikan bantuan kepada para pelarian di luar yang sedang sakit, membantu membaiki kerosakan pada khemah, melayani pelawat serta penderma dan sebagainya.

Muhammad (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang pelarian yang berkhidmat sebagai sukarelawan di dapur tersebut. Katanya, "Saya mengucapkan terima kasih kepada Puan Sofinee, Encik Jamal, Izzat serta semua sukarelawan Malaysia yang sudi berkhidmat di sini untuk memberi makan kepada kami. Kalian bukan sahaja beri makan, tetapi memberikan kami semangat untuk terus berharap kepada Allah agar akhirnya kami kecapi kejayaan."

Muhammad juga bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Encik Jamalulail atas usahanya berhempas pulas mencari dana dan bantuan untuk membina sebuah masjid. Masjid tersebut dilengkapi dengan karpet, mimbar khutbah, dinding kayu, alat pembesar suara, lampu, alat pemanas dan juga mampu menampung 160 orang jemaah.

Puan Sofinee pula pernah menyebut berkenaan perbezaan bekerja dengan orang Islam dan bukan Islam. "Memang berbeza apabila bekerja dengan orang Islam dan orang bukan Islam. Orang bukan Islam yang datang berkhidmat di sini terpaksa tunjuk yang dia bekerja supaya orang yang menyumbang padanya percaya bahawa dia menjalankan tugas. Tiada persoalan ikhlas yang wujud pada diri mereka seperti orang Islam. Jadi bila bekerja dengan orang Islam, kadang-kadang tidak sebut pun sudah saling memahami."

Encik Hussein turut berkongsi buah fikiran beliau. "Saya berharap kepada semua rakyat Malaysia secara umum dan ahli HALUAN khususnya, agar terus mempersiapkan diri untuk mendidik dan menabur bakti kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan dalam apa jua bentuk pengorbanan. Sesungguhnya medan sukarelawan itu sangat luas dan pelbagai."

---
Laporan Encik Muhammad Izzat Ibrahim Shamjuddin

Perkongsian pengalaman oleh Pakcik Jamal dan Puan Sofinee. Bersama sukarelawan dari Pelajar Malaysia di Perancis.

Kerja harian memasak untuk 1000 orang

Sukarelawan Brazil

Bersama sukarelawan lain di dapur

Dari tingkap ini kami mengagihkan makanan

Hussein dan penulis bersama Puan Sofinee dan Encik Jamal (Founder Kitchen In Calais)