1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Pengharapan Sinar Kehidupan Baru Untuk Rohingya

Pengalaman setiap kali meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh sangat mengharukan.

Abd Bashir Abd Ghani, aktivis kemanusiaan yang juga ketua unit Rohingya NGO HALUAN yang baru pulang dari Bangladesh setelah berkhidmat di sana dari 14 hingga 19 Oktober dalam misi bantuan kemanusiaan projek Sinar4Rohingya membawa pulang pengalaman berharga untuk dikongsikan.

Ini adalah pengalaman kali ketiga beliau berkhidmat di sana dan dapat merasakan rentetan kisah kesedihan dan penderitaan mangsa penghapusan etnik di Myanmar. Keadaan dan nasib pelarian kali ini sangat menyedihkan kerana masih ramai daripada kalangan mereka yang tidak mempunyai tempat berteduh, kelaparan,diri tidak terurus serta merempat di mana-mana.

Melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar dan akhirnya berjaya melepasi penghijrahan separuh maut yang sangat mencabar dan meletihkan. Mereka terpaksa berjalan kaki tanpa alas berkilometer jauhnya dan memakan masa berminggu memanjat bukit, menuruni lurah, mengharungi paya dan menyeberangi Sungai Naf untuk sampai ke destinasi tujuan yang asing bagi mereka iaitu kem pelarian yang penuh sesak dan merimaskan.

Mereka dianggap golongan muhajirin yang bertuah berjaya melepasi halangan ini kerana ramai juga di kalangan mereka yang terkorban kerana ditembak tentera Myanmar, mati lemas, keletihan melampau, kelaparan dan sakit tiada rawatan.

Kini mereka berhadapan cabaran yang lebih besar iaitu mencari tempat perlindungan yang sesuai dan termampu untuk diri dan keluarga, mencari sumber makanan dan kelengkapan diri demi kelangsungan hidup di negara orang.

Berhari juga mereka terpaksa merempat di tepi-tepi jalan dan tidur berbumbungkan langit bersama kaum keluarga tanpa pilihan lagi. Suasana tepi jalan utama Cox's Bazar ke Teknaf sangat sesak dengan pelarian yang tidak tahu ke mana hendak tuju dan menetap. Ramai yang telah menerokai tanah-tanah lapang dan kosong yang ada untuk mendirikan khemah sementara untuk melindungi keluarga daripada panas terik dan hujan.

Situasi kini sudah berubah bilamana pihak Kerajaan Bangladesh dengan kerjasama pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengenai pelarian IOM dan UNHCR telah mula membantu menyediakan tapak untuk penempatan baru mereka dengan lebih terurus. Bantuan makanan mula diagihkan secara berkala dengan kawalan pihak tentera serta khidmat rawatan kesihatan.

Khemah-khemah sementara yang dibina di tepi jalan semuanya telah dirobohkan oleh pihak tentera Bangladesh yang mengarahkan mereka berpindah ke dalam kem yang disediakan yang berjarak hingga 2 hingga 3 kilometer dari jalan utama di kawasan yang gersang dan berbukit-bukau.

Abd Bashir dan pasukan HALUAN telah diberi amanah untuk menyampaikan derma rakyat Malaysia berupa agihan 'hygiene kit' kepada pelarian dengan peruntukan sebanyak RM40,000 daripada tabungan Sinar4Rohingya. Sebanyak 570 bekas kit kebersihan peribadi tersebut berjaya diserahkan kepada pelarian melalui dua fasa pengagihan di beberapa lokasi penempatan pelarian baru di kem Nayapara, Teknaf. Antara barangan yang diagihkan termasuklah alatan mandian, kebersihan diri, tuala wanita, kain tuala, kendi air, periuk memasak dan lain-lain.

"Sepanjang kami berada di sana, antara suasana pilu yang kami rasakan ialah betapa ramainya yang mendatangi kami menghulur tangan meminta sedekah dan simpati termasuk meminta wang, makanan dan lain-lain. Sangat pilu kerana ada wanita dan ibu yang menitiskan air mata depan kami dan ada yang menggendong anak sambil anak menangis kerana kelaparan dan tidak kurang juga kanak-kanak yang menyerbu meminta sesuatu dan mengekori kami selagi tidak memberikan sesuatu kepada mereka. Ke mana sahaja kami berada pasti akan mereka kerumuni. Terasa amat bersalah bagi kami kerana tidak mampu memenuhi permintaan mereka kerana faktor keselamatan," beliau berkata.

Daripada beberapa pertemuan dan temubual mereka dengan pelarian, mereka mempunyai cerita pengalaman yang berbeza dan tragis. Ada yang kematian semua sanak-saudara, wanita yang dirogol, wanita yang suami mati dibunuh, anak yatim piatu kematian ibubapa, ada yang bapa mereka rentong dalam rumah yang dibakar, ada yang disiksa, dipukul dan ramai yang trauma kebingungan dan ketakutan.

Ramai juga wanita yang sarat mengandung melahirkan bayi semasa melarikan diri, beranak di tepi paya, hutan dan bukit. Lebih sadis wanita yang kematian suami akibat dibunuh tentera Myanmar terpaksa mengharungi kehidupan tanpa siapa yang boleh membantu. Ada ibu yang melahirkan anak lebih dua bulan tetapi masih belum mempunyai nama untuk bayinya. Mungkin mereka masih berada dalam trauma kerana kelahiran anak di luar kebiasaan.

Cerita dan pengalaman sadis ini tetap menjadi igauan dan mimpi buruk buat mereka tetapi kehidupan mereka perlu diteruskan walaupun dalam keadaan sukar. Jika ada pihak yang menghulurkan bantuan makanan maka itu adalah rezeki, jika tidak berlaparlah mereka. Khemah tempat tinggal mereka sangat dhaif dan duduk di dalamnya seperti berada dalam sauna haba panas. Lantai masih beralaskan tanah dan bila hujan turun pasti basah akibat bocor atap dan kesejukan.

Minuman mereka dari sumber air dari telaga tiub yang dibina atas ehsan penderma. Air yang bersih tetapi payau masih boleh diminum dan memasak serta membersih diri dan pakaian. Kanak-kanak ramai yang tidak memakai baju dan berbogel kerana ketiadaan pakaian. Berkejar hambat bermain bagi menghilangkan kelaparan. Ramai yang derita sakit tanpa rawatan menunggu masa ajal menjemput khususnya golongan tua. Entah sampai bila mereka boleh bertahan dengan kedhaifan ini dan hanya berharap pemberian ehsan pihak NGO atau penyumbang.

Program kebajikan Sinar4Rohingya telah memberi sedikit kelegaan kepada pelarian ini walaupun jumlah yang menerimanya hanyalah segelintir berbanding ratusan ribu lagi pelarian yang memerlukan. Keprihatinan pihak Karangkraf dan akhbar Sinar Harian menghimpunkan NGO bagi bermuafakat membantu Rohingya adalah suatu usaha yang sangat terpuji. Derma orangramai untuk Rohingya disalurkan kepada NGO yang berpengalaman untuk diagihkan secara telus dan amanah kepada pelarian dalam bentuk bantuan kecemasan membina khemah, penggalian telaga tiub, pembinaan tandas, agihan makanan asasi dan set hygiene kit.

Gabungan NGO di bawah Sekretariat Sinar4Rohingya telah mewujudkan sebuah perkampungan Asean di dalam kem Balukhali seluas empat ekar di mana sumbangan daripada penderma melalui tabung Sinar4Rohingya dan NGO dari Malaysia dan negara Asean iaitu Thailand dan Indonesia sebolehnya akan dipusatkan di sini supaya dapat dibina penempatan yang lebih selesa dengan kemudahan asas yang lebih teratur agar memudahkan pemulihan dan pemantauan berterusan di masa depan.

Pelarian Rohingya ini perlu juga berusaha membebaskan diri daripada belenggu mengharapkan ehsan orang lain sepanjang masa. Mereka perlu dibantu mengujudkan projek ekonomi dan pendidikan jangka panjang untuk membolehkan mereka berdikari dan mengamalkan cara hidup beragama dalam diri dan keluarga mereka.

Penglibatan NGO dari Malaysia dengan kerjasama NGO tempatan membawa amanah derma rakyat Malaysia adalah usaha yang harus disokong oleh semua pihak. Projek kebajikan dan kemanusiaan di bawah Sinar4Rohingya wajar dibuat penambahbaikan bagi memberi peluang lebih ramai rakyat Malaysia menyumbang dan membuka medan amal kepada NGO gabungan yang lain berkhidmat di lapangan. Pihak HALUAN sentiasa komited untuk membantu mereka dengan mengadakan roadshow perkongsian isu Rohingya terkini serta mengadakan kutipan dana dari semasa ke semasa.

Semoga projek Sinar4Rohingya ini dapat memberi sinar kehidupan yang lebih baik kepada saudara Rohingya kita dan berjaya memimpin dan memandu mereka ke arah cara hidup Islam yang sejahtera sehingga mampu meraih pertolongan dan keredhaan daripada Allah jua.

--
Laporan oleh Abd Bashir Abd Ghani, Pengurus Projek Rohingya HALUAN