1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Tragis: Kisah Derita Pelarian Rohingya

PAPARAN suasana keperitan hidup di kem-kem pelarian sekitar Teknaf di tenggara Bangladesh hanyalah secebis daripada rentetan kisah ngeri sebenar yang dilalui oleh masyarakat Rohingya yang terpaksa lari dari tanah air mereka di Arakan. Ikuti laporan wartawan HALUAN Ahmad Fatihin Fuzi, yang menyertai pasukan Sinar4Rohingya.

MUNGKIN tiada nilai berita jika sengsara Rohingya dijadikan dedak media seluruh dunia. Jauh lagi nilai komersil bagi stesen-stesen TV gergasi dunia. Apalah sangat derita ribuan pelarian perang saudara ini yang saban dekad menjerit merayu keadilan dan pembelaan terhadap keturunan mereka yang disembelih sula oleh rejim junta sosialis Burma dan ekstrimis agama Buddha.

Saya mengatur langkah dengan penuh berhati-hati di wilayah Cox's Bazaar di dalam Bangladesh, bandar limpahan pelarian yang mencari suaka segala daripada tamadun manusia sejagat yang pekak tuli.

Sebagai wartawan, jurugambar sekaligus sukarelawan am yang membawa bantuan dalam misi kemanusiaan untuk pelarian Rohingya ini, kehadiran saya membuka tirai sutradara seluasnya kepada jiwa muda saya untuk menelusuri ruang dan peluang memahami penderitaan yang sekian lama saya dengar dan baca. Di depan mata saya, saya nampak tubuh-tubuh lemah longlai yang baharu tiba di sempadan Bangladesh-Myanmar ini, sekaligus terdetik kesedaran betapa gambaran oleh media arus perdana dunia mahupun tanahair tidak mampu menterjemahkan keperitan sebenar mereka ini.

Mereka mengharungi perjalanan sukar demi menyelamatkan diri, keluarga dan akidah. Kekejaman Myanmar terhadap rakyat sendiri yang sengaja dilucutkan hak kerakyatan, kemudian dihina, ditindas, diganggu, dihalau, ditangkap, dipenjara, disiksa, diperkosa kemudian dibunuh bagaikan cincangan daging untuk singa sarkas, bukan lagi tohmahan malah menjadi barang kes -- kini berlegar di depan mata saya sendiri. Inilah bukti kekejaman kemanusiaan di alaf ini.

Ketibaan para pelarian mangsa dalam keadaan sehelai sepinggang, lemah dan sakit, sudah cukup membuatkan saya terasa sebak dan menitiskan air mata. Apatah lagi setelah mendengar kisah-kisah ngeri bagaimana rumah dan perkampungan mereka dibakar, anak-anak dan bayi dibunuh serta dibakar, wanita dirogol kemudian disiat-siat tubuh mereka hidup-hidup, serta tindakan nekad mereka menaiki bot-bot usang demi menyelamatkan diri dari ancaman rakus tentera Myanmar dan para sami Buddha yang kononnya membela kemanusiaan dan benteng penganiayaan. Tiada lagi tempat selamat untuk bertahan di bumi kelahiran mereka itu. Mereka terpaksa lari.

Saya berada di kem pelarian sekitar Teknaf selama tiga hari, melihat sendiri dan mendengar rintihan para pelarian di wilayah sempadan Bangladesh itu. Sungguhpun kesempatan ini terlalu singkat, ia sudah cukup untuk membawa mesej bahawa pelarian Rohingya sangat mendambakan bantuan masyarakat antarabangsa.

Saya bersama ketua misi yang juga merupakan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Baharudin Suri, selamat tiba di Lapangan Terbang Hazrat ShahJalal Dhaka setelah melalui penerbangan selama lebih tiga jam dari KLIA. Kami dijadualkan bergabung dengan pasukan relawan-relawan lain dari beberapa buah NGO Malaysia yang bergabung di bawah kempen Sinar4Rohingya.

Tengahari keesokannya, kami berdua meneruskan perjalanan menaiki penerbangan domestik menuju ke Cox's Bazaar, Bangladesh. Bandar perikanan yang terletak di Teluk Bengal itu merupakan salah satu kawasan tumpuan pelancong di Bangladesh. Sungguhpun begitu, ia dikelilingi oleh rumah-rumah beratap zing dan berdinding buluh, menggambarkan bahawa penduduk di sini rata-ratanya adalah golongan miskin.

Di sinilah kami bergabung dengan beberapa relawan dari Yayasan Amal Malaysia dan MAPIM, mengatur strategi dan tugasan membantu para pelarian. Kami memperhalusi tentang syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Bangladesh, di samping mengambil kira risiko keselamatan dan cabaran yang bakal dihadapi.

Selang-seli perbincangan, pasukan Sinar4Rohingya menonton rakaman video dua remaja perempuan pelarian Rohingya bernama Safa, 17, dan Marwa, 18, sedang membaca al-Quran. Mereka merupakan mangsa pemerkosaan tentera Myanmar sebelum berjaya melarikan diri menyeberangi sempadan ke Bangladesh. Tentera perkosa wanita. Hairan. Adab dan akhlak apakah bangsa itu?

Saya tidak dapat menahan perasaan sebak bercampur remuk hati atas kekejaman yang tergamak dilakukan oleh tentera Myanmar ke atas golongan yang lemah dan tidak bersalah itu.

Selepas perbincangan dan persiapan kira-kira satu jam sebelum tengahari, kamipun bertolak ke pejabat Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Cox's Bazaar dalam satu kumpulan. Setelah mendapat kelulusan, barulah kami meneruskan perjalanan selama satu jam menuju ke kem Balukhali.

Di sepanjang perjalanan, ramai pelarian Rohingya duduk di tepian jalan menantikan bantuan dari kenderaan-kenderaan yang merentasi laluan tersebut. Terdetik soalan di hati saya, mengapakah mereka menunggu di tepian jalan? Rupa-rupanya mereka adalah pelarian yang baharu tiba dan masih tidak mempunyai tempat untuk berteduh.

Setiba di kem Balukhali, ramai kanak-kanak yang keletihan meluru ke arah kami, merayu meminta makanan dan air. Kebanyakan mereka berkaki ayam, bersalut lumpur dan pasir, compang-camping. Saya tersentak sedih. Membanding betapa selesanya anak-anak kita di tanahair.

Kesempatan ini saya ambil untuk menjenguk ke dalam beberapa buah khemah yang berhampiran. Keadaannya amat daif tanpa makanan atau barang kelengkapan untuk meneruskan hidup seharian mereka. Mereka duduk dan tidur hanya dengan berlantaikan tikar usang dan plastik sahaja. Bahkan ramai kanak-kanak yang tidak berpakaian.

Di lokasi agihan bantuan, pelarian berebut mengambil bantuan yang dibawa oleh tentera Bangladesh. Mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu selama berjam-jam untuk mendapatkannya. Lebih menyedihkan, saya melihat ramai golongan tua dan kanak-kanak terpaksa berdiri begitu lama di kawasan dipenuhi lumpur dan tanah basah itu, demi menunggu bekalan makanan.

Keesokannya pada 28 September saya bersama Dr. Baharudin menuju ke Teknaf yang terletak di sempadan, hampir tiga jam perjalanan dari Cox's Bazar. Di sini, kami mula mengagih pek alat-alat kelengkapan kesihatan yang diamanahkan oleh masyarakat Malaysia. Antara lain, pek-pek tersebut mengandungi sabun mandi, berus dan ubat gigi, buyung air, periuk dan tuala wanita.

Sebanyak 150 keluarga pelarian yang baharu tiba di kem Nayapara 1 telah menerima bantuan tersebut. Keseluruhannya sebanyak 450 keluarga pelarian menumpang hidup di situ. Di kem ini, pelarian berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bantuan khemah dan air minum.

Semasa kami mula beredar pulang sekitar jam 6.00 petang melalui laluan pantai, masih ramai pelarian yang berlegar-legar mengharapkan bantuan daripada sesiapa jua. Bagaikan tidak percaya situasi sebegini boleh terjadi di alaf moden ini.

Dalam perjalanan, saya terkejut mendengar berita penemuan beberapa mayat di tepi jalan. Kamipun berhenti dan turun melihat sendiri mayat enam orang dewasa bersama empat bayi yang telah disusun oleh penduduk kampung. Menurut keterangan penduduk, itu mayat pelarian mangsa lemas setelah bot mereka dipukul ombak besar sebelum sempat berlabuh di pantai.

Saya juga tertanya-tanya kehairanan, mengapa mereka sanggup melalui jalan laut yang merbahaya dan tidak melalui jalan darat yang mungkin lebih selamat. Setelah mendengar keterangan orang-ramai, fahamlah saya bahawa mereka terpaksa melalui laluan laut untuk mengelak daripada ditahan dan dibunuh oleh pihak tentera. Ramai pelarian yang dipukul seperti haiwan oleh pihak tentera. Saya memandang ke arah laut. Apa jenis manusiakah kerajaan Myanmar ini? Apakah kezaliman ini diizinkan oleh agama Buddha mereka hinggakan para sami kuil turut serta dalam pembunuhan bangsa Rohingya?

Pengalaman saya di sini terasa begitu singkat sekali.

Jam 4.30 petang 29 September, kami berdua dan relawan-relawan lain bertolak ke Dhaka sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur setelah kami menunaikan amanat rakyat Malaysia yang telah menderma kepada pelarian Rohingya tersebut melalui tabung Misi Kemanusiaan HALUAN.

Namun di sebalik pengalaman yang singkat itu, saya telah dapat menyelami bagaimana pelarian Rohingya yang dizalimi di tanah air mereka sendiri itu menempuh ujian getir untuk menyelamatkan diri dan keluarga di bumi asing. Ada yang menjadi mangsa sindiket pelacuran setelah tiba di Bangladesh. Ramai juga yang terpaksa bekerja dengan bayaran gaji yang sangat rendah. Bangladesh sendiri negara miskin. Mereka bergantung kepada bantuan kerajaan luar termasuk NGO untuk menyantuni arus kedatangan pelarian Rohingya yang semakin ramai.

HALUAN menyokong usul PBB dan OIC untuk membawa junta tentera Myanmar ke muka pengadilan atas pemerkosaan bangsa Rohingya di wilayah Arakan itu. Harapan kami agar usul itu tidak tinggal usul semata-mata. Malahan biarlah mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan mahkamah antarabangsa kerana jenayah perang dan cubaan penghapusan etnik secara terancang.

Tidak ada lagikah jiwa-jiwa berperikemanusiaan yang sudi melihat pelarian Rohingya ini dengan rasa insaf dan simpati selain segelintir ini? Bantulah mereka sebelum terlambat. Berikan tekanan terhadap kerajaan Myanmar dan ketua agama mereka supaya jenayah memalukan ini diberhenti serta-merta.

Bagi kita di tanahair yang tidak mampu mengharungi perjalanan ke sana, memadailah dengan menderma.

Anda boleh salurkan sumbangan melalui akaun

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Sila emel resit bayaran ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dengan tajuk "Sinar4Rohingya".

--
Laporan Ahmad Fatihin Fuzi
MediaHALUAN
COX'S BAZAAR, 25 September 2017

Dari kiri penulis dan Dr Baharudin

Sempat melihat sendiri mayat enam orang dewasa bersama empat bayi

Kebanyakan mereka berkaki ayam, bersalut lumpur dan pasir, compang-camping

Keadaan kem pelarian di sana

Penulis sempat menyantuni anak-anak Rohingya di gerai makanan