1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Negara Haram Yahudi

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah”. Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka. Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah. Antaranya peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui setiausaha negara hal-ehwal luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanahair di Palestin. Pengisytiharan itu telah digelar 'Ominous Declaration' (Pengisytiharan Celaka). Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah Jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin. Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi. Penderitaan yang dialami oleh penduduk palestin hingga kini masih belum berakhir walau mereka telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Antaranya, dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan. Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad. Dalam usaha membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas. Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas yang sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa lagi. Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin bukanlah sebagai pemilik tetapi sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi. Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin, malahan pemerintahan mereka hanya berlangsung selama empat kurun, sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636 M – 1917 M). Ramai daripada Yahudi juga suatu ketika dahulu telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengan tanah itu terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M hingga 20M). Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4,500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948. Namun mereka tidak pernah menyerah kalah, malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin. Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis - ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan wafat di sana. Ia juga medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah. Rasulullah bersabda, “diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan). Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat bertukar ke arah Kaabah di Mekah. Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj. Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1) Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin. Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi umat Islam akan datang. Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya. Kini, Baitul Maqdis kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam? Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum muslimin dari timur sampai ke barat. Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita bersama.

Sejarah Agama Yahudi (Siri 1)

MAKNA KALIMAH  YAHUDI, IBRANI DAN ISRAEL 1. YAHUDI Kalimah Yahudi dinisbahkan kepada anak yang ke-4 bagi Nabi Yaacob a.s yang bernama Yahouza dan ia juga merupakan salah satu daripada puak-puak Bani Israel. Gelaran ini mula terkenal selepas daripada keutuhan kerajaan Yahouza pada tahun 586 sebelum masehi. Kemudian kalimah Yahudi diitlakkan kepada mereka yang menganut agama Yahudi atau agama Musa. Menurut pengarang dalam kitab yang menjelaskan makna Yahudi ialah "Yahudi adalah agama yang dianuti oleh kaum Bani Israel semenjak dari zaman Nabi Musa a.s. Ini diambil dari kata-kata Nabi Musa "Sesungguhya kami kembali kepada-Mu wahai Tuhan". Mereka adalah umat Nabi Musa dan kitab suci mereka bernama Taurat. 2. IBRAN Adapun makna kalimah Ibrani ialah nama bagi kabilah yang sampai nasabnya kepada Saam Bin Nuh. Daripadanyalah terbentuk sebuah ummah yang besar dinamakan keturunan Saam. Terdapat lapan jenis bangsa yang lahir daripada keturunan Saam iaitu Ashour, Babil, Finique, Aram, Kan'an, Kaldan, Ibrani dan Masri. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli sejarah mengenai asal usul nama kabilah ini. Ada yang mengatakan ianya diambil sempena dengan nama moyang Nabi Ibrahim iaitu Aabir. Pendapat kedua pula mengatakan ianya adalah satu gelaran yang diberikan kepada Nabi Ibrahim kerana dia adalah orang pertama menyeberangi Sungai Furat. Manakala pendapat yang ketiga sepertimana yang disebut oleh Dr Ahmad Syalabi bahawa gelaran Ibrani yang diberikan kepada Nabi Ibrahim serta pengikutnya kerana mereka hidup berpindah-randah dan sentiasa merentasi padang pasir dan gurun untuk mencari rumput bagi ternakan laut. 3. ISRAEL Israel ialah kalimah Ibrani yang membawa maksud "kamu mengalahkan Tuhan". Ia adalah gelaran yang diberikan oleh Tuhan-tuhan orang-orang Yahudi yang bernama Yahwu  kepada Nabi Yaacub selepas Nabi Yaacub dapat mengalahkan Tuhan di dalam pergaduhan di antara mereka berdua. Yahwu berkata  : "selepas ini, jangan lagi kamu dipanggil dengan nama Yaacub malah panggillah Israel kerana kamu bersungguh-sungguh dan telah mengalahkan aku".  Safar pembentukan alam 32/28. SEJARAH KELAHIRAN YAHUDI Agama Yahudi walaupun ianya salah satu daripada agama langit namun ianya amat berbeza daripada dua saudaranya Nasrani dan Islam. Ini dapat dilihat daripada hubungan di antara sejarah dan ajaran agama Yahudi.
  1. Agama Yahudi diperingkat awalnya lahir dibumi Palestin dan persekitarannya yang merangkumi Iraq, Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan. Kawasan ini juga dikenali dengan nama Antara dua Sungai, Furat dan Dajlah. Kawasan ini berada di suatu kedudukan yang paling strategik di mana ia menghubungkan antara tiga benua; Asia, Eropah dan Afrika.
  2. Penduduk asal kawasan ini terdiri daripada beberapa kabilah yang datang dari Semenanjung Arab dan pulau-pulau di persisiran laut Mediterranian.
  3. Pada tahun 3000 sebelum masehi, satu kabilah yang bernama Finique telah berhijrah dari Semenanjung Arab menuju ke Utara kawasan di antara dua sungai dan menetap di sana.  Ia terkenal dengan nama Lubnan. Pekerjaan yang dilakukan oleh orang-orang Finique ialah nelayan, perniagaan melalui laut dan membina kota-kota besar.
  4. Pada tahun 2500 sebelum masehi, sebuah kabilah yang bernama Kan'an juga telah meningalkan Semenanjung Arab kerana kemarau yang panjang dan menuju ke barat sungai Jordan  serta menetap di persisiran sungai tersebut. Kawasan yang didiami oleh orang-orang  Kan'an dikenali dengan nama Bumi Kan'an .
  5. Sebuah kabilah yang datang daripada kepulauan Creat di lautan Mediterranian yang bergelar Palestin telah berhijrah ke bumi Kan'an dan menetap di satu kawasan yang bernama Yafa dan Ghaza. Ini berlaku  pada tahun 1200 sebelum masehi. Telah berlaku perkahwinan campur di antara kabilah Palestin dengan orang-orang Kan'an yang berketurunan Arab dan akhirnya mereka dikenali dengan orang Palestin dan Tempat tinggal mereka dikenali sebagai Tanah Palestin.
  6. Adapun orang-orang Aram yang asalnya menetap di bumi Iraq telah meninggalkan tanahair untuk mencari satu penempatan baru. Akhirnya mereka telah menetap di tanah Syria dan menjadikan Damsyik sebagai ibu negara mereka dan bekerja sebagai petani dan peniaga. Di dalam kitab suci Yahudi, orang-orang Aram dikenali sebagai orang Syiria.
  7. Di utara Semenanjung Arab, terdapat sebuah negara yang bernama Madyan. Ia adalah penghubung antara Mesir, bumi Kan'an dan Semenanjung Arab. Pada ketika itu, Madyan adalah medan peperangan di antara Mesir dan Babylon kerana ia merupakan gurun Sahra' yang menjadi pintu masuk kepada tanah Palestin dan tanah sekitarnya.
  8. Sebuah Kabilah yang bernama Haxsos berketurunan Arab telah menuju ke negara Mesir disebabkan oleh kemarau yang panjang menimpa mereka dan telah menawan kerajaan Mesir pada ketika itu disebabkan oleh lemahnya tampuk pemerintahan mereka . Mereka telah memerintah 2098 sebelum masehi hinggalah ke tahun 1587. Di sepanjang pemerintahan mereka, berlaku beberapa peperangan untuk merampas kembali pemerintahan negara mereka daripada tangan orang-orang Haxsos. Peperangan tersebut berlaku pada akhir pemerintahan kerajaan Mesir yang berpusat di Luxor.
  9. Di akhir pemerintahan Haxsos, seorang panglima yang bernama Ahmash telah berjaya menghalau orang-orang Haxsos daripada bumi Mesir dan mengasaskan keluarga yang ke-18 kembali memerintah Mesir.
  10. Sepanjang tempoh pemerintahan orang-orang Haxsos ke atas negara Mesir, ketika itulah Bani Israel hidup dengan mendapat keistimewaan daripada kerajaan Haxsos dan mereka telah ditempatkan di suatu tempat yang terletak di sebelah timur Sungai Nil. Apabila kerajaan Mesir memerintah kembali negaranya, Bani Israel tidak lagi mengecapi keistimewaan yang pernah dikecapi suatu masa dahulu dan akhirnya mereka keluar dari negara Mesir dengan diketuai oleh Nabi Musa a.s.
  11. Di antara kabilah yang datang ke kawasan ini (antara dua sungai) ialah kabilah Ibrani (kalimah Ibrani bermaksud Nabi Ibrahim dan anak-anaknya selain daripada Nabi Ismail a.s dan keturunannya).
  12. Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di Iraq. Bapanya bernama Azar bekerja sebagai pembuat patung dan menjual kepada penyembah berhala. Melalui hidayat Allah SWT Nabi Ibrahim telah dipilih untuk membawa risalah Tauhid kepada kaumnya. Malangnya risalah yang dibawa telah mendapat tentangan yang hebat dari kaumnya sendiri sehinggalah Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup. Akhirnya Nabi Ibrahim terpaksa berhijrah bersama isterinya Sarah, dua anak saudaranya Luth dan beberapa teman serta pengikutnya meniggalkan negara Iraq.
  13. Dalam perjalanan mencari tempat untuk menyambung kehidupan, mereka telah menuju ke bumi Syria kemudian meneruskan perjalanan mereka ke bumi Kan'an dan selepas itu ke bumi Palestin. Di sepanjang perjalanan mereka hanya menternak dan mengembala binatang.
  14. Selepas beberapa ketika, Nabi Ibrahim a.s bersama isterinya Sarah telah berhijrah ke Mesir yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Haxsos. Mengikut beberapa riwayat, Maharaja Mesir tertarik dengan kecantikan Sarah apabila dia ingin menghampiri Sarah tiba-tiba dia menggigil, maka dia merasa bersalah dan mengembalikan semula Sarah kepada Nabi Ibrahim lalu menghadiahkan pula seorang permaisuri Mesir yang bernama Hajar.
  15. Sarah ialah seorang isteri yang mandul maka dia mencadangkan kepada Nabi Ibrahim supaya mengahwini Hajar. Setelah beberapa lama perkahwinan Ibrahim dan Hajar, mereka dikurniakan seorang putera yang diberi  nama Ismail. Kelahiran Ismail telah menimbulkan rasa cemburu di hati Sarah lantas dia meminta daripada suaminya agar memisahkan Hajar dan anaknya daripada mereka berdua.
  16. Nabi Ibrahim a.s telah membawa puteranya yang pertama bersama isterinya Hajar menuju ke suatu tempat yang tidak mempunyai tanaman dan air. Akhirnya tempat tersebut dikenali sebagai Baitullah.
  17. Selepas 14 tahun kelahiran Ismail, isteri  Nabi Ibrahim yang pertama iaitu Sarah telah melahirkan seorang putera yang bernama Ishak. Ishak mempunyai dua orang putera yang bernama Iesu dan Yaacob.
  18. Yaacob digelar sebagai Israel dan mempunyai  12 orang anak. Daripada merekalah datangnya 12 keturunan Bani Israel. Yaacob juga mempunyai empat orang isteri iaitu ;-
i- Laiah; anak sulung kepada bapa saudaranya. Mempunyai  enam orang anak iaitu Raubin, Syam'un, Lawai, Yahouza, Yashaki dan  Zabuloun. ii- Adik kepada Laiah bernama Rahil (isteri yang paling disayangi oleh  Yaacob). Mempunyai dua orang anak  iaitu Yusuf dan Bunyamin. iii- Zalfah; hamba kepada Laiah. Mempunyai dua orang anak iaitu Jadd  dan Ashir. iv- Balhah; hamba kepada Rahil. Mempunyai dua orang anak iaitu Dann dan Naftaley.

Sikap Zionis Terhadap Islam dan Palestin

Kerajaan Zionis Israel mempunyai pelbagai cara di dalam usaha menjustifikasikan penjajahan mereka ke atas bumi Palestin. Samada ianya dilakukan di peringkat antarabangsa melalui agensi-agensi mereka di seluruh dunia. Di peringkat dalaman pula, media dan juga sistem pendidikan mereka menjadi satu jentera propaganda yang paling utuh dan utama di dalam mendoktrin rakyatnya sendiri. Majalah al-Ma’rifah keluaran Arab Saudi pada tahun 1997 misalnya telah mengemukakan kajian terhadap silibus pembelajaran Bahasa Ibrani di seluruh sekolah-sekolah Israel yang berunsur perkauman. Ribuan kajian lain juga telah dilakukan, samada oleh ahli akademik dari luar mahupun dari dalam tanah jajahan kerajaan Zionis Israel sendiri telah membongkarkan perkara yang sama. Malangnya, oleh kerana rejim Zionis mempunyai tempat yang terlalu istimewa di dalam hegemoni AS ke atas penduduk dunia, perkara sedemikian tidak menjadi satu kesalahan. Hal yang berlainan jika ianya dilakukan oleh negara-negara Islam. Sebagai contohnya, selepas peristiwa 911 kerajaan di negara-negara Arab telah digesa oleh AS untuk merombak kembali sistem pendidikan mereka. Segala teks samada ianya dari al-Quran mahupun dari al-Sunnah yang disifatkan perkauman ataupun mempunyai unsur-unsur sentimen ianya wajib dibuang dari silibus pendidikan mereka. Maka, negara-negara Arab yang diperintah oleh diktator yang takutkan AS dengan taat dan patuh segera merombak silibus pendidikan mereka. Malang sekali, silibus yang lebih ekstrim dan bersifat perkauman melampau di dalam sistem pendidikan Zionis tidak pula mendapat perhatian AS.  Mentaliti seperti ini amat tidak pula berlaku di bumi Palestin yang dijajah. Di dalam 20 stesen televisyen yang beroperasi di tanah Gaza dan Tebing Barat, terdapat sebuah stesen yang dikuasai oleh para aktivis pro-HAMAS. Stesen televisyen al-Aqsa telah dikendalikan sepenuhnya oleh para aktivis pro-HAMAS telah menjadi sebuah stesen televisyen Islam yang mementingkan unsur pendidikan dan kerohanian rakyat Palestin. Stesyen al-Aqsa itu juga menjadi agen untuk menyedarkan rakyat Palestin mengenai tanggung jawab mereka untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa yang dijajah. Stesyen yang menjadi keminatan ramai rakyat Palestin dan juga warga Arab di luar Palestin ini juga telah berjaya mendapatkan ramai penonton setia dari semua lapisan masyarakat. Hatta golongan kanak-kanak pun turut meminati stesyen televisyen tersebut. Antara rancangan yang paling diminati oleh kanak-kanak Palestin di dalam siaran stesyen televisyen tersebut ialah rancangan “Ruwaad al-Ghad” (Peneraju hari esok). Rancangan yang dikendalikan oleh Hazim al-Sha’rawi (pembantu pengarah stesyen televisyen al-Aqsa) itu telah menonjolkan watak ala Mickey Mouse bernama “Farfur”. Farfur sentiasa membawa mesej yang positif kepada anak-anak Palestin seperti menyuruh mereka solat, menghafal al-Quran, belajar bersungguh-sungguh, menghormati ibu bapa dan lain-lain lagi. Farfur juga menggambarkan kehidupan dan mentaliti sebenar majoriti rakyat Palestin. Farfur misalnya membicarakan bagaimana rumahnya telah dirobohkan, beg dan buku sekolahnya tidak dapat diselamatkan. Farfur juga mengisahkan tentang rumah, tanah dan juga negaranya yang dirampas oleh penjajah Zionis Israel. Di samping itu, Farfur juga sentiasa membawa mesej perjuangan kepada kanak-kanak Palestin dengan mengingatkan mereka terhadap hak mereka, perjuangan memerdekakan tanah air mereka yang dijajah dan juga tentang kezaliman pihak penjajah. Malangnya siaran ini telah mendapat kritikan hebat di peringkat antarabangsa. MEMRI (Middle East Media Research Institute) telah menjadi peneraju kempen mengkritik siaran kanak-kanak tersebut. Mereka telah memutar belitkan fakta dengan mengubah terjemahan kata-kata Farfur menjadi kata-kata kesat demi menunjukkan bahawa rancangan tersebut berunsur keganasan dan perkauman. Laporan-laporan mereka juga amat prejudis dan memanipulasikan fakta. Hal sedemikian bukanlah sesuatu yang asing bagi MEMRI yang memang terkenal dengan sikap mereka yang bias dan pro-Zionis. MEMRI telah ditubuhkan oleh aktivis pro-Zionis Yigal Carmon dan Dr Meyrav Wumser pada tahun 1998 dan berpusat di Washington D.C. Wartawan Guardian, Brian Whitaker telah mendedahkan bahawa MEMRI merupakan agen propaganda Zionis dan pro-rejim penjajah Israel. Mereka berperanan untuk memaparkan wajah buruk Islam, para pejuang Palestin, rakyat Palestin dan segala aktiviti berkaitan Palestin. Hal ini diakui oleh Ken Livingstone, Datuk Bandar London dan juga William Rugh, mantan duta AS ke Yaman dan UAE. MEMRI juga merupakan sebuah NGO yang dikecualikan dari cukai oleh kerajaan AS. Malang lagi apabila maklumat yang mengelirukan oleh MEMRI ini disambut oleh kebanyakan media barat dan juga media-media pro-Zionis. Berbekalkan kenyataan-kenyataan dari pihak berkuasa rejim Zionis, mereka terus menerima bulat-bulat segala fitnah yang dilemparkan kepada rancangan tersebut dan turut melabelkannya sebagai rancangan yang berunsurkan indoktrinisasi keganasan. Lebih menyedihkan apabila Palestinian Broadcasting Corporation yang dikuasai sepenuhnya oleh gerakan Fatah turut serta menghentam rancangan tersebut. Mereka seakan-akan berpihak kepada pihak Zionis di atas sebab-sebab tertentu. Mantan menteri penerangan di bawah kerajaan bersekutu Palestin, Mustafa Barghouti juga turut terpengaruh dengan tekanan yang dikenakan oleh kerajaan Zionis dan agen-agen mereka turut menggesa agar pihak pengurusan stesyen televisyen al-Aqsa mengkaji semula rancangan tersebut. Watak Farfur walau bagaimanapun hanya dapat bertahan selama kurang dari tiga bulan sahaja semenjak tarikh 13 April 2007 ketika ia mula muncul. Pada 29 Jun 2007, watak Farfur telah dibunuh oleh seorang pengganas Israel yang telah memaksa beliau untuk menjual tanahnya. Pada 13 Julai 2007, watak Farfur telah digantikan oleh sepupunya, Nahoul, seekor lebah. Nahoul pada awal kemunculannya telah berjanji untuk menyambung kembali perjuangan sepupunya, Farfur. Amat pelik melihat sikap MEMRI dan media barat yang membesarkan isu Farfur tetapi mengenepikan isu keganasan yang lebih besar dilakukan oleh rejim Zionis. Keganasan rejim tersebut ke atas kanak-kanak Palestin bukan lagi rahsia. Menurut Mustafa Barghouti, seperti yang telah dilaporkan oleh AFP pada 10 Mei 2007, sebanyak 120 kanak-kanak Palestin telah menjadi korban keganasan tentera Zionis semenjak bulan April tahun 2006 sehingga Mei 2007. Jumlah tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak Palestin tidak berdosa yang telah dibunuh oleh tentera Zionis kepada 853 orang semenjak tahun 2000. Jumlah ini tidak termasuk bilangan janin-janin dan bayi-bayi yang terkorban di dalam kandungan akibat keganasan tentera Zionis. Jumlah ini juga tidak termasuk bilangan kanak-kanak Palestin yang masih lagi berada di dalam penjara-penjara Zionis. Mengapakah fakta ini tidak didedahkan? Apakah pembunuhan ratusan nyawa kanak-kanak tidak berdosa ini lebih ringan daripada siaran Farfur? Amat malang bagi masyarakat dunia jika mereka dapat menerima logik Zionis dan AS ini

Sejarah Al-Aqsa

Baitul-Muqaddis-bumi para anbiya'. Bumi ini telah menjadi saksi ketekunan dan keteguhan para mursalin dalam mendidik manusia mengenal hakikat Tauhid dan ajaran Islam. Bermula dengan penguasaan zuriat Nabi Ishak yakni Bani Israel, kemudiannya Raja Nebuchadnezzar dari Babylon, disusuli pula oleh pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, bumi anbiya' ini telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu. aqsa-1900Akhirnya, pada tahun 638 Masihi, kekejaman dan ketidakadilan pemerintahan asing di bumi Baitul-Muqaddis ini telah ditamatkan oleh Khalifah Islam yang kedua, Umar Al-Khattab. Beliau bersama bala tentera kaum mukminin telah disambut oleh penduduk Baitul-Muqaddis sebagai pembela keadilan dan tentera pembebasan. Prasyarat penerimaan pemerintahan Islam secara rasmi daripada penduduk Baitul-Muqaddis hanyalah ia perlu dirunding secara langsung dengan Khalifah Umar sendiri. Diceritakan bahawa kisah di sebalik prasyarat yang mudah ini ialah kerana pemimpin Nasrani Baitul-Muqaddis, Sophronius mendapati ciri-ciri pemimpin yang akan membuka dan membebaskan Baitul-Muqaddis daripada penguasaan empayar zalim, yang disebut di dalam kitab suci mereka (Zachariah 9, ayat 9-10) menepati sifat Khalifah Umar. Sebagai seorang Khalifah yang amat rendah diri dan sederhana, Khalifah Umar bersetuju dan memasuki kota suci ini secara berjalan kaki sahaja tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Suatu simbol Islam sebuah agama yang mencintai kedamaian dan keselamatan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama. Pembebasan Baitul-Muqaddis ini membuka satu era baru dalam lipatan sejarah Islam. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam. Setelah memeterai perjanjian damai dengan penduduk Baitul-Muqaddis, Khalifah Umar terus bergerak menuju Haram Asy-Syarif, suatu kawasan seluas 35 ekar dan mendapatinya dipenuhi sampah-sarap. Beliau lantas menggunakan jubahnya untuk mengutip sampah-sarap tersebut dan perbuatan Umar ini diikuti oleh semua kaum muslimin sehinggalah seluruh kawasan Haram Asy-Syarif dibersihkan selayaknya sebagai tempat suci umat Islam. Di tengah-tengah kawasan ini, tersergam batu di mana berpijaknya Nabi Junjungan sebelum ke langit dalam perjalanan Isra' dan Mi'raj baginda. Di sudut paling selatan kawasan Haram Asy-Syarif ini, maka dibinalah sebuah masjid yang dinamakan Masjid Al-Aqsa. Ia merupakan sebuah masjid kayu yang mampu memuatkan 3,000 pengunjung. (Perlu diingatkan di sini bahawa Masjid Al-Aqsa yang dibina oleh Khalifah Umar ini bukanlah masjid yang disebut semasa peristiwa Isra' dan Mi'raj. Sebenarnya, keseluruhan kawasan Haram Asy-Syarif adalah Masjid Al-Aqsa) Namun demikian, suasana kegemilangan Islam di Baitul-Muqaddis berakhir pada kurun ke-11 apabila Pope Urban II mengisytiharkan Perang Salib yang pertama. Tindakan ini adalah sebagai reaksi terhadap polisi menghalang penziarah-penziarah Kristian memasuki Baitul-Muqaddis oleh pemerintah Islam Seljuk pada masa itu. Gerombolan Kristian Eropah ini bermusafir selama 3 tahun menuju Kota Suci Baitul-Muqaddis dan akhirnya mereka tiba di pintu gerbang kota suci ini pada tanggal 7 Jun 1099. Setelah 5 minggu mengepung Baitul-Muqaddis, tentera Salib akhirnya berjaya menawan Baitul-Muqaddis dan tanpa belas kasihan membunuh seramai 40,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak kota suci ini. aqsaPemerintahan tentera Salib tidak membawa kedamaian kepada penduduk kota suci ini. Kekejaman dan ketidakadilan menjadi lumrah di Baitul-Muqaddis sepanjang pemerintahan mereka baik kepada umat Islam mahupun penduduk bukan Islam. Setelah 88 tahun dijajah tentera Salib, pada tahun 1187 Masihi, Panglima Sallahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk semula kota suci Islam ini dan sekali lagi Islam membuktikan ia bukan agama keganasan. Pembukaan kedua kota Baitul-Muqaddis ini tidak dicemari oleh sebarang pembunuhan rakyat biasa dan pilihan diberikan kepada penduduk kota ini, khususnya yang bukan Islam, samada ingin berhijrah ataupun terus menetap di Baitul-Muqaddis di bawah pemerintahan Islam dengan jaminan pemeliharaan nyawa, harta dan tempat ibadat mereka. Pada tahun 1948, degan bantuan kuasa-kuasa Barat, umat Yahudi telah berjaya menubuhkan negara haram Israel dan sejak itu bumi anbiya' ini tidak pernah kenal erti keamanan. Pada tahun 1967, tentera Yahudi laknatullah telah berjaya mencerobohi Baitul Muqaddis Timur dan telah meratakan Maghribi Quarter. 2 masjid dan 135 rumah rakyat Palestin telah diruntuhkan meninggalkan 650 orang rakyat Palestin tanpa rumah kediaman. Namun, Masjid Al-Aqsa berjaya ditawan semula oleh umat Islam hasil perjuangan penuh komitmen umat Islam Palestin yang mempertahankannya. Dalam  serangan ini, Gaza dan Tebing Barat juga berjaya ditawan oleh tentera Yahudi. Dengan penguasaan Baitul Muqaddis Timur ini cita-cita Yahudi untuk membina semula Haikal Yahudi Kedua (The Second Temple) semakin menjadi kenyataan kononnya, hasil doa tak putus-putus seluruh umat Yahudi, 'Semoga Haikal Kedua dibina ketika zaman kami.,' selama hampir 1,900 tahun. Obsesi sesetengah umat Yahudi Ortodoks dengan cita-cita ini menyebabkan mereka dengan bongkak mula mengadakan upacara sembahyang Yahudi di dalam kawasan Haram Asy-Syarif Al-Quds, walaupun ditegah oleh Ketua Majlis Rabbi Yahudi sendiri. Atas premis tidak mahu mengundang masalah lebih buruk dengan umat Islam yang amat marah dengan tindakan provokatif ini, Peguam Negara Israel pada masa tersebut telah mengharamkan perbuatan itu pada tahun 1969. Hanya empat bulan selepas itu, seluruh kawasan selatan Masjid Al-Aqsa pula mengalami kebakaran yang serius. Kebakaran itu dimulakan oleh seorang pelawat Yahudi Australia dan kejadian ini turut memusnahkan mihrab yang dibina oleh Sallahuddin Al-Ayyubi apabila tentera Salib dihalau keluar daripada kota suci ini lebih 700 tahun yang lalu. Suatu ironi yang perlu menjadi renungan umat Islam sedunia. Pada tahun 1981 pula, keangkuhan rejim Yahudi semakin menjadi-jadi apabila helikopter rejim itu telah sengaja diterbangkan pada altitud rendah sekitar kawasan Haram Asy-Syarif Al-Quds untuk menghalang dan mengganggu umat Islam beribadat di situ. Kemudian, umat Islam dikejutkan pula dengan pendedahan Kementerian Hal-Ehwal Agama Palestin tentang wujudnya terowong rahsia yang dibina oleh kaum Yahudi. Terowong ini dikatakan adalah ekskavasi arkeologi pengkaji-pengkaji Yahudi yang cuba membuktikan secara saintifik sememangnya Masjid Al-Aqsa dibina di atas tapak Haikal Yahudi Kedua mereka itu. Ekskavasi haram ini mendapat kritikan ramai kerana tindakan tersebut dibimbangi boleh merosakkan struktur Masjid Al-Aqsa. Walaupun resolusi PBB dikeluarkan mengecam tindakan rejim Yahudi ini, ekskavasi tetap diteruskan tanpa sekatan. Pada Januari 1983, pengawal keselamatan di Haram Asy-Syarif Al-Quds telah menemui bahan peledak di pintu masuk Haram Asy-Syarif. Pada bulan yang sama, sekumpulan ekstrimis Yahudi bersenjatakan Uzi dan M16 sambil membawa bahan peledak telah ditahan ketika cuba memasuki kawasan Haram Asy-Syarif. Pada tahun 1984 pula, rejim Israel telah mengarahkan tenteranya untuk mengawal di kawasan Haram Asy-Syarif kononnya untuk menghalang sebarang 'acts of terrorism' di tempat suci itu. Majlis Tertinggi Islam Palestin telah menghantar petisyen kepada Perdana Menteri Israel untuk menghentikan tindakan itu yang menghina kesucian Haram Asy-Syarif dan sepertimana yang dijangka, keangkuhan rejim Yahudi itu mengatasi segalanya. Petisyen tersebut ditolak mentah-mentah. Pada tahun 2000 pula, Perdana Menteri Ariel Sharon dengan bongkak memasuki kawasan Al-Quds. Tindakan Perdana Menteri Israel yang mempunyai rekod buruk membunuh beramai-ramai wanita dan kanak-kanak Palestin di Shabra dan Shatilla telah membakar api kemarahan umat Islam dan seterusnya Intifadhah Kedua dilancarkan, namun tanpa kemenangan abadi buat Islam di bumi Palestin. Sekiranya ditelusuri dengan mendalam pergolakan di Palestin dan Baitul-Muqaddis ini sejak zaman kekuasaan nabi-nabi terdahulu, terlalu banyak pengajaran yang boleh dijadikan panduan buat Islam seluruhnya. Kita dapat melihat setiap kali Islam yang menguasai bumi anbiya' ini dipimpin oleh mereka yang teguh keimanannya kepada Allah, keamanan dan kedamaian pasti dikecapi oleh semua dan apabila kota suci ini dikuasai oleh pencurang-pencurang agama, ketidakadilan dan kekejaman bermaharajalela. Umat Islam harus bangkit mempertahankan kesucian Al-Aqsa dan maruah saudara-saudara seagama mereka dalam apa jua cara yang terdaya. Jangan dibiarkan maruah Islam dihina dan direndahkan!

Kronologi Tindakan Israel Zionis Di Palestin 2006 - 2008

Kekalahan Fatah pimpinan Mahmood Abbas dalam pilihanraya pertama di Palestin pada Januari 2006 sebenarnya memberi tamparan hebat kepada rejim Zionis dan AS.
Dengan segala bantuan yang diberi termasuklah sumber kewangan, ketenteraan dan kebendaan, mereka mengharapkan Mahmud Abbas dan Fatah boleh menang dalam pilihanraya ini. Seterusnya mereka juga mengharapkan Mahmud Abbas dapat mendirikan sebuah negara sekular Palestin, bukan sekadar berjiran dengan Israel malah sanggup menurut segala kemahuan rejim Zionis dan AS. Kemenangan Hamas pula merupakan kemenangan perjuangan Islam di bumi Palestin. Walaupun Hamas telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan pakatan dengan Fatah, rejim Zionis dan AS masih tidak berpuashati. Ini disebabkan mereka masih melihat kerajaan baru ini dikuasai oleh Hamas kerana majoriti kerusi di Parlimen dikuasai oleh Hamas. Hakikatnya mereka tidak akan menerima sebuah negara yang diperintah oleh Hamas yang ingin menegakkan syariat Islam. Oleh itu apa yang berlaku sepanjang tiga tahun ini (2006 hingga 2008) dibumi Palestin khususnya di jalur Gaza sehinggalah tamatnya tempoh "truce" pada 19 Disember baru-baru ini ialah rejim Zionis dan AS telah merancang dan melakukan berbagai usaha untuk melumpuhkan kerajaan pimpinan Hamas (yang dianggap pengganas oleh rejim Zionis dan AS) dan seterusnya cuba memadamkan api perjuangan umat Islam dibumi Palestin. Walaupun sepanjang tempoh ini terdapat berbagai perjanjian damai yang diusahakan terutama sekali oleh AS, tetapi bertujuan lebih untuk mengembalikan pimpinan Mahmud Abbas dan ingin mendapatkan sokongan antarabangsa terutama sekali negara Arab dan Islam dengan memberi harapan palsu tentang kedamaian. Tentu sekali semua perjanjian damai ini bukan bertujuan untuk mencari kedamaian dalam ertikata yang sebenarnya. Bermula seawal bulan Januari 2006 (selepas piliharaya di Palestin), segala usaha untuk memberi tekanan kepada Hamas dan pengikutnya telah bermula. Dengan adanya tembok batu pemisah-yang pembinaannya di haramkan oleh PBB- yang dibina oleh Ariel Sharon ( yang kini dalam keadaan azab nazak yang panjang) memudahkan segala usaha jahat ini. Segala pergerakan keluar-masuk penduduk dan kegiatan ekonomi rakyat Palestin melalui tembok batu pemisah ini menjadi semakin sukar. Ini secara langsung memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat Palestin yang sebelum ini memang telah lama menderita. Keadaan ini sepertimana yang di sebut oleh Jimmy Carter (bekas President AS) bahawa rakyat Palestin telah menjadi pelarian dan banduan di negara mereka sendiri akibat tembok batu pemisah ini dan dasar apartheid rejim Zionis. Bila Gilad Shalit, seorang tentera IDF ( Israeli Defend Force), di tawan - tetapi rejim Zionis mengatakan beliau diculik- oleh pejuang Islam (Popular Resistance Committee) pada bulan Jun 2006, gelombang kezaliman rejim Zionis kembali melanda penduduk Palestin. Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dengan pertukaran tawanan perang sahaja sepertimana yang dituntut oleh pejuang Islam ini, sebaliknya rejim Zionis mengambil peluang ini untuk melakukan kemusnahan yang maksima terhadap penduduk Palestin iaitu satu kaedah yang disebut sebagai "disproportionate force". Antara tindakan yang diambil rejim Zionis ialah membunuh beratus-ratus orang awam Palestin dan memusnahkan rumah, bangunan dan hartabenda penduduk Palestin demi membebas hanya seorang rakyat Israel . Bukan setakat itu saja rejim Zionis juga telah menahan hampir seribu penduduk Palestin termasuklah berpuluh-puluh orang ahli Parliamen Hamas. Tindakan ini sekali lagi dillihat sebagai usaha untuk melemahkan lagi kerjaan pimpinan Hamas ini. Kerajaan pakatan Hamas/Fatah tidak mampu bertahan lama apabila Mahmud Abbas keluar dari kerajaan pakatan ini pada bulan Jun 2007. Hamas pula dituduh "merampas kuasa" tetapi sebenarnya tiada rampasan kuasa kerana Hamas memang pemerintah yang sah dan berkuasa. Akibatnya, pemerintahan kerajaan baru Palestin berpecah dua. Mahmud Abbas, yang masih mengaku President PA berkuasa di Tebing Batar dan tentu saja mendapat sokongan dari rejim Zionis dan AS. Manakala Hamas terus berkuasa di jalur Gaza dengan mandat diberi oleh penduduk Palestin. Kini kezaliman rejim Zionis lebih tertumpu di jalur Gaza di mana Hamas berkuasa. Tindakan ini jelas bertujuan untuk mengulingkan Hamas. Malah melalui kaedah "collective punishment" -yang diharamkan oleh pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa- dimana seluruh penduduk dijalur Gaza juga turut di hukum kerana terus memberi sokongan kepada Hamas. Antara tindakan-tindakan kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis ialah melancarkan pencerobohan di jalur Gaza , membunuh beratus-ratus penduduk awam dan merosak harta-benda penduduk di jalur Gaza . Malah yang lebih kejam lagi ialah Rejim Zionis juga mengenakan sekatan dan kepungan di jalur Gaza yang disebut sebagai "Gaza Siege". Melalui tindakan kejam ini semua pintu masuk ke jalur Gaza ditutup, menyekat semua bahan-bahan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain untuk kegiatan ekonomi. Akibatnya, jalur Gaza mengalami krisis kemanusiaan yang teruk. Dalam tahun yang sama juga iaitu pada bulan November 2007, Mahmud Abbas telah menandatangi satu perjanjian damai diantara Ehud Olmert dan George W. Bush. Perjanjian damai ini yang dipanggil sebagai Sidang Damai Annapolis, menjanjikan sebuah Negara Palestin yang berjiran negara Israel (two state solution). Perjanjian ini dibuat semasa penduduk dijalur Gaza sedang menderita akibat sekatan dan kepungan rejim Zionis. "Gaza Siege" yang zalim ini berlangsung sehingga tahun 2008. Hujung bulan Januari 2008 dunia telah dikejutkan dengan peristiwa Hamas meletupkan tembok batu pemisah berdekatan dengan Rafah. Tindakan ini dilakukan demi untuk menyelamatkan 1.5 juta penduduk di jalur Gaza yang sedang mengalami krisis kemanusiaan yang meruncing. Hasilnya, Hamas dan krisis kemanusiaan penduduk di jalur Gaza menjadi perhatian dunia. Walaupun begitu sikap angkuh rejim Zionis yang tidak kenal erti kemanusiaan telah mengenakan satu lagi tindakan yang zalim iaitu memberhentikan bekalan bahanapi untuk menjalankan operasi janakuasa elektrik di jalur Gaza . Jalur Gaza bergelap, hospital berhenti beroperasi dan semua kegiatan ekonomi lumpuh sama sekali. Hasil dari tindakan zalim dan kejam rejim Zionis iaitu melalui sekatan, kepungan dan pencerobohan selama hampir 3 tahun terutama sekali di jalur Gaza hampir 1000 rakyat Palestin yang telah dibunuh termasuk bayi yang baru berumur 4 bulan hinggalah orang tua yang berumur 65 tahun, hampir 5000 rakyat Palestin yang ditahan dan kemusnahan tempat tinggal dan harta-benda rakyat Palestin makin meningkat. Malah yang menyedihkan lagi lebih dari 261 orang pesakit di jalur Gaza mati akibat kekurangan ubat-ubatan ataupun tidak dapat permit dari rejim Zionis untuk keluar dari jalur Gaza bagi mendapat rawatan lanjut. Antara yang mati termasuklah kanak-kanak yang baru lahir hinggalah kepada orang tua. Beberapa statistiks telah dikeluarkan oleh beberapa pertubuhan hak manusia seperti URWA, bagi menggambarkan betapa terusknya krisis kemanusiaan di jalur Gaza seperti berikut : 77 % penduduk sangat memerlukan dengan segara bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan lain-lain lagi; kadar 'malnutrition' adalah paling tinggi di dunia; simpanan makanan (food insecurity) berada pada tahap paling bahaya iaitu 56%. Dan 42% dari penduduk disini tidak mempunyai pekerjaan. Namun dengan segala penderitaan dan kesusahan yang ditanggung Hamas dan penduduk Islam di jalur Gaza , mereka masih mampu bertahan hingga saat ini. Malah sepanjang sekatan dan kepungan ini Hamas dan pejuang Islam masih mampu memberi serangan-balas terhadap rejim Zionis. Perkara ini merupakan mimpi ngeri untuk orang Yahudi. Tindakan balas ini memberi kesan buruk kepada pemimpin politik rejim Zionis. Mereka di lihat tidak mampu mengalahkan Hamas dan seterusnya memberhentikan serangan roket terutama sekali di selatan Israel . Bukan setakat itu sahaja, tindakan Hamas ini juga memberi kesan kepada Sidang Damai Annapolis. Faktor politik dalaman Israel, isu pembebasan Gilad Shalit, tekanan antarabangsa dan pengaruh Hamas dikalangan penduduk Palestin memaksa rejim Zionis menerima Hamas sebagai rakan-runding dalam sebuah perjanjian sementara yang disebut sebagai "truce" ("calm" ataupun "lull") dengan Mesir menjadi orang tengah (broker). Dalam "Truce Agreement" ini kedua-dua pihak (rejim Zionis dan Hamas) diminta memberhentikan semua serangan supaya proses perdamaian yang utama dapat diteruskan. Hamas bersetuju dengan "truce' ini tetapi dengan syarat rejim Zionis menamatkan semua sekatan dan kepungan, membuka semua pintu masuk ke jalur, menghentikan sekatan ekonomi dan semua pencerobohan. Hamas dan beberapa pejuang bersenjata Islam yang lain mula mematuhi 'truce' ini pada 19 Jun 2008. Dari tarikh ini Hamas berjanji memberhentikan semua serangan roket ke wilayah Israel kecuali rejim Zionis memulakan serangan ataupun pencerobohan terlebih dahulu. Hamas memberi tempoh selama 6 bulan kepada rejim Zionis untuk mematuhi segala persetujuan yang terdapat dalam truce ini terutama sekali menghentikan semua sekatan dan kepungan, membenarkan semua bantuan kemanusiaan masuk ke jalur Gaza dan menghentikan semua sekatan ekonomi. Pada 19 Disember yang lalu Hamas mengistiharkan bahawa tempoh 6 bulan telah berakhir dan tidak akan menyambungkan tempoh ini. Rejim Zionis menuduh bahawa Hamas tidak berminat untuk melakukan perdamaian dan memilih peperangan. Tetapi Hamas pula mengatakan "truce" ini gagal mencapai matlamatnya. Rejim Zionis masih lagi meneruskan sekatan dan kepungan di jalur Gaza . Tindakan ganas dan pencerobohan oleh Israel masih dilakukan oleh rejim Zionis sepanjang tempoh "truce'.Buktinya apa yang telah dilaporkan oleh Palestinian Information Center pada 19 Disember : Sepanjang tempoh 6 bulan ini seramai 49 rakyat Palestin dibunuh termasuk 7 orang kanak-kanak. Bulan November juga menyaksikan kadar kematian yang tertinggi di jalur Gaza dalam satu bulan iaitu seramai 17 orang. Menurut Brigade Qassam pula sepanjang tempoh 6 bulan "truce" ini IOF (Israel Occupation Force) telah melakukan serangan sebanyak 185 kali, manakala Qassam Brigades melakukan serangan balas sebanyak 170 kali yang mengakibat 38 rakyat Yahudi tercedera (tiada kematian dilaporkan). Oleh itu, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan situasi di Palestin semakin runcing?

Fakta: Kenali Palestin

Penulis asal adalah Prof. Madya Dr. Mohsen Mohammad Saleh dan telah diterjemahkan oleh Dr. Hanafi Hj Dollah. Satu bahan yang mesti baca! 1. Di manakah Palestin?

Palestin merupakan suatu nama yang digunakan untuk wilayah barat-daya negara Syam. Ia bersempadan dengan laut Mediteranian dan terletak di barat benua Asia. Palestin dianggap titik pertemuan Asia dan Afrika dan berdekatan dengan benua Eropah. Bahagian utara Palestin bersempadan dengan Lubnan, manakala Syria di timur laut, Jordan di timur dan Mesir di selatan. Ia berada di kawasan yang beriklim mediteranian dan keluasan Palestin di waktu kini dianggarkan seluas 27,009 km persegi.

Bumi Palestin juga dianggap salah satu penempatan tertua di dunia. Malahan penemuan ahli-ahli arkeologi telah membuktikan bahawa tempat ini merupakan penempatan pertama yang mengalami perubahan daripada kehidupan nomad kepada kehidupan tetap dan bercucuk tanam sejak 9000 tahun sebelum Masihi. Bahkan bandar tertua di dunia, Jericho telah dibina di Palestin sejak 8000 tahun sebelum Masihi dan sehingga kini masih dianggap sebagai bandar yang di datangi dan dipenuhi dengan pelbagai tamadun manusia yang gemilang.

2. Apakah istimewanya Palestin kepada umat Islam?

Bumi Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam hati setiap orang Islam. Jika dirujuk kepada al-Quran dan sunnah :

  • Bumi ini dianggap suci dan diberkati kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, sebuah masjid yang menjadi qiblat pertama untuk orang Islam dan merupakan masjid yang ke 3 paling suci bagi orang Islam. Barangsiapa yang bersolat di masjid ini akan mendapat 500 kali ganda pahala.
  • Di bumi ini jugalah kejadian Isra’ (Perjalanan Malam) berlaku, di mana Nabi Muhammad melakukan pengembaraan malam yang penuh keajaiban ke langit.
  • Bahkan ramai para anbiya? yang disebut di dalam al-Quran, telah dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan di bumi ini (lebih 50 orang kesemuanya). Semoga Allah memberkati mereka semua.
  • Berdasarkan perspektif Islam, tempat ini merupakan padang Mahsyar selepas Kiamat dan merupakan pusat keamanan sejagat.
  • Orang yang tinggal di sana kerana Allah diibaratkan seperti orang yang berjihad di jalan Allah.
  • Bumi Palestin juga dianggap sebagai pusat untuk kumpulan-kumpulan yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga ke hari kiamat.
3. Apakah keistimewaannya kepada agama lain ?

Bumi Palestin juga merupakan bumi yang suci kepada bangsa Yahudi dan Nasrani. Yahudi menganggapnya sebagai bumi yang dijanjikan oleh tuhan (Yehovah) kepada bangsa Yahudi.Menurut iktikad mereka, di situlah tempat berlakunya peristiwa-peristiwa bersejarah mereka dan tempat pengebumian nabi-nabi mereka. Kota suci mereka berpusat di bandar al-Quds yang dipercayai nabi Sulaiman pernah membina Haikalnya dan al-Khalil (Hebron) di mana terdapat makam nabi Ibrahim.

Manakala, bagi penganut agama kristian pula, mereka menganggapnya sebagai tempat bermulanya agama mereka. Di situlah Nabi Isa dilahirkan dan berdakwah. Markaz-markaz keagamaan mereka yang berada di Palestin seperti al-Quds (Jerusalem), Baitul-Laham dan Nazareth. Di sana jugalah terdapat Gereja Kiamah (Church of Nativity) yang dipercayai sebagai tempat kelahiran nabi Isa A.S.

4. Siapakah penduduk Palestin ?

Bangsa berketurunan al-Kan?aniyyah merupakan bangsa terawal yang pernah menduduki bumi Palestin. Mereka datang daripada Semenanjung Tanah Arab sejak 4500 tahun tahun dahulu. Sejak itu, tempat ini dikenali sebagai Bumi Kan’an. Rakyat Palestin sekarang ini berasal dari keturunan Kan’an, iaitu bangsa dari masyarakat timur laut Mediteranian yang dikenali sebagai Filistin dan dari bangsa Arab yang berkahwin campur dengan Filistin.

Walaupun Palestin sentiasa diperintah oleh pelbagai bangsa dan kumpulan dalam beberapa tempoh, namun rakyatnya yang asal terus duduk di situ dengan aman. Apabila Islam muncul, majoriti daripada orang Palestin ini telah memeluk agama tersebut, dan perlahan-lahan mengadaptasi bahasa Arab sebagai bahasa utama mereka, selaras dengan kepesatan perkembangan agama Islam di sana.

Bahkan, identiti Islam di bumi Palestin tetap berdiri kukuh dan berpanjangan sepanjang sejarah Islam, bermula dengan penaklukan kuasa Islam pada tahun 15 hijrah (636 M) sehingga sekarang, dan kebenaran fakta ini tetap tidak boleh dinafikan walaupun sebahagian besar penduduk Muslim Palestin (yang dianggarkan seramai 6 juta) telah dihalau oleh pihak Zionis semenjak 1948 dan menjadi pelarian di dalam dan di luar Negara mereka.