1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Zionis Punca Bumi Palestin Bergolak

PENDERITAAN rakyat Palestin bermula sejak Zionis menyerang Palestin pada 1948. Sebelum kehadiran Zionis di Jerusalem, penduduk Muslim, Kristian dan Yahudi hidup dengan aman. Sejarah menunjukkan bahawa sikap beberapa pemimpin Arab yang terlalu berkiblatkan barat memberi peluang yang besar kepada Zionis untuk menunjukkan taring mereka. Tambahan pula penubuhan negara Israel pada 1948 adalah hasil kerjasama negara barat dan Zionis. Masyarakat Zionis dibela oleh kuasa barat sejak selepas Perang Dunia Kedua terutama Amerika Syarikat (AS). Penghijrahan berpuluh ribu orang Yahudi dari negara barat dan pelosok Arab ke Jerusalem begitu pantas setelah Zionis bertapak di Palestin. Orang Yahudi dari Rusia adalah jumlah yang paling ramai berhijrah ke Palestin. Sejak itu, penduduk Palestin terpaksa menghadapi pelbagai kerenah dan kekejaman Israel yang dibantu oleh negara-negara barat sejak berpuluh tahun lamanya. Zionis terlalu angkuh membunuh umat Islam di Palestin kerana kewujudan negara tersebut mendapat restu dan perlindungan dari negara-negara barat. Peristiwa penyembelihan orang awam lebih daripada 300 orang oleh tentera Israel di kem pelarian di Shubra dan Shatila pada September 1982 sudah cukup memperlihatkan betapa kejamnya Zionis terhadap umat Islam. Mereka menjadi lebih angkuh dan kejam kerana para pemimpin negara Arab kaku apabila membahaskan hak dan kedudukan penduduk Palestin kerana kaki dan tangan mereka diikat dan mata mereka ditutup akibat amaran daripada kuasa besar yang sering dilontarkan kepada mereka. Bagi memperkukuhkan kedudukan Israel, AS menekan negara-negara Arab dengan pelbagai amaran. Tekanan terhadap negara Arab yang ditunjukkan oleh AS pada peringkat awal selepas Perang Dunia Kedua adalah menentang setiap aspek berkaitan dengan perseteruan terhadap Israel termasuk ketenteraan, perluasan ketenteraan, pembelian senjata, memboikot ekonomi, mengambil penasihat ketenteraan Rusia yang cuba mengecualikan Israel daripada forum antarabangsa, menyediakan perlindungan kepada pejuang Islam menentang Israel, menolak rundingan serta menolak sebarang sikap dan tindak tanduk yang dianggap sebagai tidak bersahabat dengan Israel. Pembunuhan rakyat Palestin merupakan satu gertakan sinis rejim Zionis terhadap pemimpin Arab yang sentiasa sujud di kaki kuasa besar yang merupakan penaung kepada kedaulatan mereka. Masyarakat Palestin tidak akan terbela jika umat Islam tidak bekerjasama dengan masyarakat dunia menentang kekejaman Israel. Pertumpahan darah di tanah Palestin bukan merupakan simbol peperangan agama tetapi berhubung kait dengan penghapusan kaum dan perluasan wilayah Israel. Negara-negara Arab seperti Mesir tidak boleh diharapkan untuk membela rakyat Palestin kerana negara itu juga menghadapi pelbagai masalah dalaman dan luaran. Para pemimpin negara Arab lebih menumpukan perhatian kepada pergolakan politik dalaman di mana rakyat bangun memberontak apabila mereka melaksanakan dasar negara berteraskan kepada pemahaman ideologi yang bertentangan dengan akidah Islam terutamanya ideologi sosialis seperti Iraq (ketika Saddam Hussin), Syria (semasa Hafiz al-Asad), dan Mesir (ketika pemerintahan Jamal Abdel Nasir). Pergolakan politik dan kemiskinan merupakan permasalahan negara-negara Arab yang merupakan jiran Palestin. Berlandaskan kepada suasana begini, rakyat Palestin semakin terhimpit apabila Zionis menunjukkan taring mereka. Ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial menyebabkan para pemimpin Arab tunduk kepada kuasa barat. Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Anwar Sadat dalam bukunya, In Search of Identity: An Autobiograph, New York: Harper and Row Publisher, 1977. Beliau menyatakan, "Legasi ekonomi yang ditinggalkan oleh Presiden Jamal Abdel Nasir kepada saya adalah dalam bentuk yang terlalu miskin daripada keadaan politik. Negara-negara yang bebas dan merdeka lebih menumpukan perhatian kepada ekonomi daripada slogan politik. Kami telah melakukan satu kebodohan meniru bentuk ideologi sosialis Rusia walaupun kami kekurangan kebolehan teknikal dan modal. Pada tahun 1970, kami hanya bergantung kepada sumber yang kami ada, tidak ada sebarang bantuan asing sama ada Rusia, AS, Eropah Barat atau Arab. Kesemua bantuan yang kami dapat dari dunia luar kami salah gunakan. Ekonomi kami telah hancur akibat daripada Peperangan Yaman, pelaksanaan sosialis Marxist dan kekalahan dalam peperangan dengan Israel pada 1967. Apabila saya memegang kuasa dalam masa dua tahun dari 1970, ekonomi Mesir mungkin menjunam kepada kosong. Saya bertanya Dr.Hasan Abbas Zaki mengenai keadaan ekonomi. Beliau berkata bahawa perbendaharaan adalah kosong dan kita hampir bankrap". Berdasarkan kedudukan ekonomi begini maka Mesir terpaksa tunduk kepada AS untuk mendapat bantuan dalam pelbagai bentuk subsidi sehingga akur dengan setiap perjanjian yang dimeterai oleh kuasa besar tersebut. Anwar Sadat menyatakan bahawa lima hari sebelum Peperangan Oktober 1973 (Peperangan dengan Israel untuk membebaskan Sinai dari Israel), beliau meminta Majlis Keselamatan Negara menghadapi realiti bahawa ekonomi Mesir telah jatuh kepada ke tahap bawah daripada kosong. Bagi menjamin kedudukan ekonomi, Anwar Sadat terpaksa mendapat bantuan dari negara barat. Mesir bergantung sepenuhnya kepada bantuan AS dan Britian dari sudut ekonomi dan keselamatan negara. AS menyediakan bantuan purata tahunan melebihi AS$2 bilion dalam ekonomi dan ketenteraan sejak 1979. Pada tahun 2008 Bantuan Kewangan Ekonomi dikurangkan kepada AS$400 juta setahun. Tindakan pengurangan itu juga dilakukan kepada Israel. Mesir merupakan negara yang mendapat bantuan kewangan terbesar dari AS. Berdasarkan hubungan ekonomi dan keselamatan maka Mesir terpaksa mengikut telunjuk AS. Hasil daripada kerjasama Mesir dan AS pada 1974-1975, Anwar Sadat telah mengadakan perjanjian secara tidak rasmi dengan AS dan mengadakan lawatan ke Juresalem pada 1977, menandatangani Perjanjian Camp David secara rahsia, dan seterusnya menandatangani Perjanjian Keamanan Mesir-Israel yang mana memberi keuntungan yang besar kepada Israel walaupun mendapat tentangan hebat dari dunia Islam. Mesir tidak akan membuka sempadannya bagi bantuan kemanusiaan jika AS tidak membenarkan mereka melakukannya. Oleh itu, umat Islam perlu bekerjasama dengan masyarakat dunia mempertahankan konsep kemanusiaan secara global. Dalam era globalisasi, pergerakan dan tindakan manusia tidak dibatasi oleh bangsa, agama dan budaya. Jika Zionis ingin menunjukkan taringnya dengan membunuh rakyat Palestin dan aktivis bantuan kemanusiaan, maka mereka akan disisihkan masyarakat dunia. Justeru, umat Islam perlu mempertahankan konsep universaliti dalam setiap aspek kehidupan supaya perjuangan rakyat Palestin dibela atas dasar kemanusiaan sejagat. Ini adalah satu cara terbaik  untuk menghentikan pengaliran darah dan kemusnahan rumah suci penganut agama samawi yang dilakukan oleh Zionis. Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Penulis ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sumber: Utusanonline

Majlis Keselamatan PBB Mengutuk Tindakan Israel, Seru Bebaskan Aktivis

1 Jun - Majlis Keselamatan PBB mengutuk tindakan yang menyebabkan kematian orang awam dalam serangan Israel pada awal pagi Isnin (31/5) terhadap konvoi bantuan kemanusiaan yang menuju ke Gaza. Dalam kenyataan rasmi yang telah dipertimbangkan setelah lebih dari 12 jam perundingan tertutup diadakan, dewan meminta agar dibebaskan kapal dan warga awam yang ditahan Israel dan meminta siasatan dilakukan tanpa memihak. Sebelum sidang tergempar diadakan, hampir semua 15 ahli dewan merasa kesal atas serangan yang dilakukan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 aktivis yang berada di dalam kapal dan puluhan lagi cedera. “Perkara ini sangat jelas sebelumnya bahawa sekatan Israel pada akses ke Gaza harus dihentikan sejajar dengan Resolusi Majlis Keselamatan 1860," Mark Lyall Grant, Duta Besar Britain, memberikan kenyataannya pada hari ini (1 Jun). "Sekatan saat ini tidak boleh diterima dan terkebelakang", kata Grant. Perancis, Rusia dan China juga menyeru kepungan terhadap Gaza dihentikan. Amerika Syarikat, sekutu tradisional Israel, tidak meminta secara khusus bahawa Israel harus menamatkan kepungan di Semenanjung Gaza. Walaubagaimanapun mengisyaratkan bahawa jangkawaktu pengepungan tersebut wajar diperhalusi. Alejandro Wolff, wakil tetap AS, mengatakan bahawa Washington "sangat terganggu oleh kekejaman yang terjadi dan menyesali atas tragis yang menyebabkan kehilangan  nyawa dan kecederaan". (aljz/wb/ hp)

Senarai Nama 10 Aktivis dan 2 wakil Media Yang Menyertai LL4G

Berikut senarai nama nama-nama aktivis dan wakil media dari Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G)yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam. Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifeline4Gaza.
  • Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin (Ketua Misi)
  • Dr Mohd Arbai'e Syawal, HaluanPalestin
  • Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
  • Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
  • Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
  • Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  • Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
  • Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  • Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
  • Mustafa Mansur, Mapim
  • Ashwad Ismail, wartawan Astro
  • Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro

ORDE BARU DUNIA Siri 3

Dalam siri kali ini saya ingin menyambung perbicaraan mengenai order baru dunia. Ianya amat berkait rapat dengan peristiwa yang menimpa umat Islam kita di Gaza sekaran ini.
Kerjasama menghadapi Islam Kedua-dua buah kuasa besar sedang cuba memikirkan mengenai hubungan antara mereka serta bagaimana hendak menangani gerakan Islam. Nixon, bekas Presiden Amerika Syarikat pemah berkata: "Soviet Union dan Amerika Syarikat seharusnya bekerjasama dalam menangani permasalahan gerakan Islam ini, di kawasan pengaruh masing-masing." Ini salah satu perkara utama yang mempercepatkan kepada perpecahan negara Blok Timur. Amerika sebagai kuasa tunggal Amerika Syarikat sentiasa menekankan kepada sistem unipolar ini, di mana Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa besar, ingin menguasai seluruh dunia sendiri termasuklah apa yang dikenali sebagai "second level countries" atau negara tahap kedua. Negara tahap kedua ialah negara yang kuat tetapi tidaklah sekuat negara yang di atas. Kumpulan ini dikatakan sebagai rakan negara pertama. Negara tahap ketiga ialah negara dunia ketiga, iaitu negara-negara untuk dipergunakan dan dikuasai oleh kedua-dua tahap sistem di atas. Inilah yang dikatakan The New World Order atau orde baru dunia. Bentuk perjuangan kini dan mendatang Apakah sifat-sifat bentuk perjuangan yang terbaru kini? Bagaimanakah perjuangan di antara negara-negara ini dijalankan? Terdapat dua kualiti yang perlu kita perhatikan Pertama, perjuangan di tahun-tahun yang mendatang ini adalah berasaskan kepada agama. Agama akan memainkan peranan penting di dalam dunia. Pembahagian kini bukanlah antara Timur dan Barat tetapi antara agama dan tidak beragama, antara Islam dan Yahudi serta Kristian. Yahudi dan Kristian melawan seluruh dunia khususnya negara-negara Islam. Seseorang mungkin akan menyatakan bahawa negara-negara Barat adalah negara sekular. Kenapa agama pula yang memainkan peranan penting? Agama sebagai faktor asas perjuangan Sebenarnya, agamalah yang memainkan peranan penting, walaupun negara-negara Barat adalah sekular. Mereka sekular kerana mereka tidak religious atau tidak kuat pegangan terhadap agama mereka. Tetapi perlulah diketahui perbezaan antara sekular dengan tidak religious. Sekular bermaksud, pihak gereja tidak menguasai proses poiitik. Itulah maksud sekular dan oleh sebab itu seorang muslim mestilah berhati-hati, sebab ramai menyangka yang Barat tidak religious atau tiada urusan dan kaitan dengan agama. Sebenarnya mereka berurusan dalam hal agama. Malah, salah seorang dari rakan Barat telah mengatakan bahawa sebenarnya, World Council of Churches atau Majlis Gereja-Gereja Dunia telah ditubuhkan dengan tujuan untuk memainkan peranan penting di dalam menguasai proses politik negara-negara dunia ketiga. Orang yang mengatakannya ini ialah seorang kristian dari Mesir. Haikal, bekas penasihat dan teman rapat Nasser, pernah berkata bahawa Majlis Gereja-Gereja Dunia yang ditubuhkan pada tahun 1948 semasa Perang Dingin ini, adalah sebagai satu gambaran hasrat beberapa kumpulan tertentu di Washington DC untuk mempengaruhi politik dunia. Beberapa penyiasatan yang telah dibuat oleh pihak Kongres telah menunjukkan bahawa Majlis tersebut ada menerima wang dari pihak CIA. Kata-kata yang disebut oleh Presiden Nixon sebelumnya tadi juga dengan sendirinya memperlihatkan kebencian serta perasaan anti-Islam yang mereka rasai. Bernard Lewis pernah menulis dalam sebuah artikel bernama Roots of Rage (Asal Usul Keganasan) di dafam majalah Atlantic. Katanya: "Islam, seperti juga agama-agama lain melalui putaran masa, mereka menanamkan perasaan ganas dan benci di dalam diri pengikut-pengikutnya. Adalah malang sekali diri kita kerana kita kini hidup di dalam waktu tersebut." Contohnya, di dalam mesejnya kepada dunia, beberapa ketika selepas peristiwa di Teluk berlaku, Pope memberikan jawapan penyelesaiannya, "Untuk mengatasi permasalahan yang wujud ini, aktiviti-aktiviti missionari (mubaligh) di negara-negara Islam hendaklah ditingkatkan. Dengan ini, Islam dapat disingkirkan dari dunia, dan dunia boleh hidup dengan aman." Sekali lagi, hendaklah kita tidak berasa terkejut mengenainya kerana Allah subhanahu wa ta'ala pernah menyatakan hal ini di dalam Al Quran berkenaan asas perjuangan yang sebenar. Agamalah asas kepada perjuangan.
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka." (Al Baqarah: 120) Perjuangan akan terus berlaku di antara Muslim dan bukan Muslim.
Ekonomi sebagai faktor asas perjuangan Asas kedua di dalam perjuangan kini ialah ekonomi. Ekonomi kini memainkan peranan yang penting, khususnya bila kita melihat kepada penduduk dunia dan semakin berkurangnya sumber-sumber dunia. Akibatnya, wujudlah apa yang dikatakan perjuangan untuk menguasai sumber yang terhad. Ini memang diakui sejak bertahun lagi, bahawa ia adalah salah satu akar kepada konflik yang wujud. Pada tahun 1948, George Kinnen, Pengarah perancangan politik di State Department, Washington D.C menulis: "Kita membolot 50% dari sumber dunia sedangkan dari segi bilangan, kita tidak pun sampai 6% dari seluruh penduduk dunia." Di sini, 6% dunia mengguna dan menguasai 50% dari sumber dunia. "Akibatnya, kita berada di dalam kedudukan yang dicemburui dan dibenci oleh orang lain. Matlamat utama kita untuk tahun-tahun yang akan datang ialah untuk membentuk satu sistem hubungan yang akan membolehkan kita untuk terus berada di dalam kedudukan ini, iaitu kedudukan menguasai sumber dunia. Kita tidak seharusnya lagi bercakap mengenai hendak meningkatkan taraf hidup orang lain serta memperkatakan mengenai demokrasi. Harinya akan sampai di mana kita akan menggunakan kekerasan dalam usaha mengekalkan keadaan ini." Contoh lain ialah Presiden Lyndon Johnson. Beliau pernah berkata kepada tentera-tenteranya yang berada di Vietnam, "Terdapat 2 juta dari kita dan 3 billion dari mereka. Mereka mahu apa yang kita ada dan kita sama sekali tidak akan berikan pada mereka." Justeru itulah Presiden Bush menghantar tenteranya ke Teluk Arab untuk melindungi cara hidup Amerika. Katanya: "Taraf hidup kita di dalam bahaya, kerana sebarang penguasaan terhadap sumber-sumber dunia ini akan membahayakan kita. Ketidakseimbangan akan berlaku." Ingatlah bahawa memang wujud pertalian antara kekuatan agama dan ekonomi. Contohnya, Bishop Tutu, seorang kristian berkulit hitam dari Afrika Selatan pernah memperlihatkan pertalian ini dengan gambaran yang sunggun menarik. Katanya: "Semasa pihak missionari (dari kalangan kulit putih) datang ke tanah kita, kita mempunyai tanah di tangan kita, manakala pihak missionari mempunyai kitab injil di tangan mereka. Lalu, mereka berkata kepada kita, tutuplah mata kalian dan mari kita melakukan doa dan sembahyang. Kita tutup mata kita dan melakukan doa dan sembahyang. Dan bila kita buka mata kita, kitab injil berada di tangan kita manakala tanah kita berada di tangan mereka." Chris Hammer, pemimpin kerja-kerja missionari di dunia Islam pernah berkata kepada missionari-missonarinya, "Kamulah arus pertama di dalam penjajahan." Di dalam satu persidangan penjajah di Jerman awal abad ini, Pengerusi Hamburg Business School berkata: "Perkembangan penjajahan bergantung kepada aktiviti-aktiviti orang-orang kita yang pergi kepada koloni-koloni yang ada, dan yang paling penting dalam memenuhi matlamat kita di koloni-koloni tersebut ialah dengan menukarkan penduduk-penduduk di situ kepada kristian. Menukarkan mereka kepada kristian akan membolehkan kita mempergunakan mereka." Inilah dua faktor penting dalam perjuangan peperangan. Apakah yang akan berlaku? Garis telah dilukiskan. Perjuangan telah jelas iaitu kita, Muslim dengan mereka. Masyarakat muslim hendaklah dibawa kepada pihak kita untuk berdepan dengan Yahudi dan Kristian. Hasrat musuh Islam Apa yang mereka mahu dan cuba lakukan ialah terus menjadikan pihak muslim tunduk kepada mereka serta tidak memberikan kita peluang dengan apa cara pun untuk mendapatkan kekuasaan. Kerana itulah kita lihat Amerika Syarikat sedang cuba menghalang Pakistan dari membina kekuatan nuklear. Kerana itulah juga Iraq dimusnahkan. Kerana itulah juga mereka kini sedang memperkatakan tentang Algeria. Kerana itulah juga mereka terus bersuara mengenai keperluan Soviet untuk menguasai arsenal nuklearnya dan tidak meletakkan stesyen nuklear di dalam republik muslim. Jika kemungkinan republik tersebut merdeka, mereka tidak mahu republik tersebut menjadi kuasa atomik dan nuklear. Disebabkan di atas, maka mereka wujudkan apa yang dikatakan sebagai Strategic Treaty (Perjanjian Strategik) atau START. Tujuan utamanya ialah untuk menghadkan arsenal nuklear supaya sentiasa berada di dalam kawalan. Sebabnya, sekarang ini, arsenal nuklear adalah sangat besar dan sangat sukar untuk dikawal. Untuk itu mereka cuba menghadkannya supaya boleh dikawal oleh Rusia. Isu Palestin Inilah juga yang membawa kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan isu Palestin kerana isu tersebut adalah berasas kepada agama dan ia tidak sepatutnya menjadi satu kes yang parah. Mereka bersegera menganjurkan persidangan damai Timur Tengah kerana semuanya mahukan supaya isu Palestin ini mati kerana ia mengingatkan kepada konfrontasi muslim dengan bukan muslim. Apa yang mereka mahu ialah membuang dan menghilangkan halangan psikologi yang wujud antara seteru muslim dengan Israel. Cara ini dilakukan dengan meyakinkan orang Arab bahawa musuh mereka bukan Israel tetapi orang lain. Musuh mereka ialah Saddam. Iraqlah musuh mereka. Putera Mahkota Jordan iaitu putera Hasan menulis di dalam artikel New York Times yang diterbitkan pada Jun 1990. Di dalamnya, beliau berkata: "Kerajaan Arab dan Israel mempunyai musuh yang sama iaitu arus Fundamental's Keagamaan melainkan mereka bekerjasama dalam mengatasi masalah ini, peperangan akan meletus yang tidak sahaja terhad kepada bahagian yang kecil tetapi akan bermula dari Pakistan sehinggalah ke sempadan Maghribi." Itulah yang mereka mahu. Mereka mahu kerajaan Arab dan Israel menyelesaikan hal-ehwal mereka, supaya dengan ini mereka boleh bekerjasama di antara mereka dalam menghadapi gerakan Islam dan perkembangan Islam di dalam gerakan Islam. Kerana itulah mereka mahu selesaikan isu Afghanistan kerana ia satu lagi peringatan kepada perjuangan lain, perjuangan jihad. Sebab itulah, setelah selesai persidangan damai di Madrid, perhatian alam diberikan kepada Afghanistan.

ORDE BARU DUNIA siri 2

Peperangan dunia kedua dan akibatnya Bila perang dunia kedua bermula dan sekali lagi, Jerman, Itali dan Jepun tewas, Jerman telah dipecah-pecahkan. Orde baru dunia kemudiannya wujud dalam bentuk Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (Security Council). Sekali lagi, negara-negara yang menang, iaitu negara-negara kuat, khususnya Amerika Syarikat dan Soviet Union menghasilkan orde dunia yang mana ianya berasaskan kepada dua sistem, Timur dan Barat. Mereka menguasai hal-ehwal dunia ini melalui perhubungan dan perjuangan antara Timur-Barat. Melalui perjuangan Timur-Barat ini, lahirlah apa yang kononnya dikatakan Perang Dingin (Cold War). Disebabkan oleh kepentingan kedua buah kuasa besar ini untuk berkuasa, terdapat perjuangan di dalam bentuk membesarkan kekuatan ketenteraan, khususnya selepas kejayaan yang dicapai di dalam persenjataan nuklear. Mereka berterusan dalam hal ini sehinggalah Kissinger datang. Beliau dan Nixon membuat polisi kerjasama di kalangan atasan yang kemudiannya membawa kepada Perang Dingin. Kesannya tidak besar sehinggalah pada dua tahun yang terakhir ini, kuasa lama yang tewas seperti Jepun, Jerman dan Dunia Islam menunjukkan peningkatan dan kuasa yang menang di dalam peperangan dahulu semakin lama semakin lemah. Contohnya, Soviet Union dan Negara Blok Timur khususnya adalah tersangat lemah di dalam ekonomi, manakala Jerman dan Jepun adalah tersangat kuat di dalam ekonomi. Dan disebabkan oleh kekuatan ekonominya ini, Jerman berjaya menguasai Eropah Barat tanpa perlu kepada kekuatan ketenteraan. Peranan ekonomi terhadap dunia Di dalam perjuangan menguasai hal-ehwal dunia, ekonomi telah mula memainkan peranan yang penting, tidak seperti waktu-waktu sebelumnya. Seluruh perkiraan telah berubah. Gerakan Islam di pelbagai negara Muslim juga telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan khususnya di Afghanistan, Palestin, Jordan, Mesir, Algeria, Pakistan dan beberapa tempat lain di dalam dunia. Keseluruhan sistem yang sedang menguasai dunia, digegarkan oleh peristiwa-peristiwa ini. Amerika Syarikat yang kononnya kuasa besar dunia, sedang mengalami keadaan ekonomi yang semakin lemah kerana di masa pentadbiran Reagan, Amerika Syarikat telah berubah dari pemberi pinjaman nombor satu di dunia kepada penghutang nombor satu di dunia. Keseluruhan hal-ehwal orde dunia ini bergegar. Terdapat persoalan mengenai apakah yang akan berlaku khususnya selepas kejatuhan dan perpecahan Eropah Timur serta perpecahan Soviet Union. Tidak ada lagi dualism atau dua kuasa besar yang berpengaruh. Apakah pula bentuk sistem yang baru nanti? Amerika Syarikat mahukan sistem berbentuk unipolar dan bukannya sistem bipolar lagi. Sistem unipolar dikuasai oleh satu kuasa besar sahaja. Faktor kejatuhan negara Blok Timur Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada kejatuhan negara Blok Timur. Salah satu sebabnya ialah darjah kelemahan sistem ekonomi di negara Blok Timur. Satu lagi ialah berkenaan bakal wujudnya penyatuan negara-negara Eropah, yang mana ia meletakkan satu tekanan yang sungguh hebat kepada negara Blok Timur. Sebabnya, mereka merasakan bahawa jika mereka tidak menyertai Eropah sekarang, mereka tidak akan langsung dapat menyertai mereka di masa hadapan. Mereka akan menjadi negara dunia ketiga, jika tidak mereka lakukannya sekarang. Ini mempercepatkan perpecahan mereka. Faktor lain yang mempercepatkan peristiwa ini ialah oleh situasi yang berlaku dan yang sedang wujud di negara-negara Muslim khususnya kekuatan gerakan Islam.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam: Murabbi Sufi Agung Yang Syahid

photo-izzuddinqNama Izzudin Al-Qassam sering kita dengari dari corong-corong radio atau kaca televisyen tambahan kebelakangan ini apabila Gaza diserang. Apa yang kita tahu ia adalah nama bagi sebuah briged, sayap kanan kepada HAMAS dan juga nama yang diberikan kepada roket buatan sendiri oleh HAMAS yang gunakan bagi menyerang Israel. Tahukah anda ia merupakan nama seorang ulama' yang  dikurniakan oleh Allah dengan syahid. Siapakah Izzudin Al-Qassam ini ? Apakah kehebatannya hingga menjadi kebanggaan kepada para pejuang Palestin ? Nama beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria. Keluarganya amat berpegang kuat dengan ajaran Islam. Bapanya seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran. Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906. Sewaktu menuntut beliau sempat belajar daripada tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh r.anhu dan bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Redho. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam adalah seorang imam, guru dan juga syeikh bagi Tariqat As-Syazuliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat. Beliau juga berjaya mempamerkan kepada masyarakat makna tariqat dan tasawuf sebenarnya bahkan wirid dan ajaran tasawufnya telah berjaya menguatkan rohaninya menentang kemungkaran. Beliau juga telah menolak salah tanggap masyarakat Islam kepada tasawuf dan tariqat yang menganggap golongan tariqat dan tasawuf ini hanya duduk di masjid atau atas sejadah sambil membaca ratib tanpa mengambil tahu keadaan umat Islam.

Ketika Perancis menjajah negara Syria, beliau juga turut ikut serta dalam memerangi penjajah. Antara usahanya ialah dengan menjual rumahnya lalu membeli 34 pucuk senjata sebagai persediaan bagi menentang penjajah. Namun, perjuangan suci Syeikh Izzuddin dikhianati oleh revolusi pimpinan Ibrahim Hanano yang menyerahkan Syria kepada penjajah dan menangkap para pejuang. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920. Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah ramai di bumi Palestin.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Swizland pada 29 hingga 30 Ogos tahun 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara kebangsaan untuk masyarakat Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya.

Di Haifa beliau tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An-Nasr. Kemudiannya berpindah tugas di Masjid Al-Istiqlal iaitu masjid terbesar ketika itu. Pada tahun 1927 beliau mendirikan pejabat cawangan Jam'iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) di Kota Haifa dan bertindak sebagai pemimpinnya.

Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun sebahagian mereka mempunyai pendapat yang ganjil. Ini kerana ada antara mereka yang berpandangan bahawa cukup untuk menghadapi Yahudi dengan demonstrasi atau dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian. Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali mereka, membina serta melatih organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan. Dalam tempoh tujuh tahun itu juga beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan baik beliau dengan segenap lapisan masyarakat juga telah mengizinkan beliau memiliki dana kewangan yang kukuh.

Operasi pertamanya adalah menyerang perkampungan Yahudi Nahlal di kawasan Marj Amir. Hasilnya, ketua penjara Haifa terbunuh. Tentera Inggeris mengumumkan akan memberi hadiah 500 poundsterling bagi sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkap atau terbunuhnya Syeikh Izzuddin. Beliau bijak melepasi buruan pasukan Inggeris. Hingga anak perempuannya yang bernama Maimunah sempat memintanya untuk ‘membuat gencatan senjata' dan seterusnya diganti dengan cara perdamaian saja. Syeikh Izzuddin lantas marah sambil berkata, "Diamlah wahai Maimunah! Tidaklah kemuliaan tercapai dan tercabut dari segala penderitaan kecuali melalui titisan darah."

Sementara itu, di kawasan Nashirah, Syeikh Izzuddin dan pasukannya berjaya membunuh 11 orang Yahudi. Kemarahan Inggeris terhadapnya semakin meningkat dan pelbagai operasi telah dilancarkan untuk menghentikan jihadnya tapi tetap menemui kegagalan.

Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam penyerangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah terbunuh. Pasukan Syeikh Izzuddin Al-Qassam meneruskan penyerangannya dan menyebarkannya ke seluruh wilayah pergunungan. Setelah pasukan Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis bertindak menyempitkan ruang geraknya di Haifa, maka Syeikh Izzuddin bersama enam orang sahabat karibnya berpindah ke daerah pergunungan pada tahun 1935. Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah tersebut beliau membahagikannya kepada beberapa kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang dan salah seorang daripada mereka akan diangkat sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh yang agak singkat, pasukannya bertambah bilangannya dan mencapai keanggotaan seramai 800 orang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima orang membesar menjadi sembilan orang.

Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di tahun 1935, Syeikh Izzuddin dalam usianya yang telah mencapai 60 tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Beliau mengumpulkan anggota keluarganya lantas memberitahu niatnya dan menjanjikan untuk berjumpa di syurga.

Pada pagi Rabu tanggal 20 November 1935 bertempat di Kota Ashrasy Ya'bad, Kota Jenin, Palestin terjadilah pertempuran atau peperangan yang tidak seimbang antara ratusan pasukan Inggeris yang bersenjatakan lengkap dengan bantuan helikopter serta pesawat menggempur sepuluh orang mujahidin pimpinan Syeikh Izzuddin dengan sebarang kekurangan dari segi persenjataan. Dalam tragedi yang penuh menyayat hati itu, Syeikh Izzuddin Al-Qassam memerintahkan pasukannya untuk memilih mati syahid daripada berundur, ketika mana para mujahidin telah dikepung oleh pasukan Inggeris itu. Akhirnya Syeikh Izzuddin Al-Qassam bersama sembilan orang pasukannya meraih kematian yang dimuliakan dan menjadi cita-cita seorang mujahid iaitu syahid yang menjemputnya menemui Tuhannya. Dalam poket baju Syeikh Izzuddin terselit mashaf Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi seorang muslim.

Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah As-Syahid Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan pencintanya ke perkuburan di kampungnya. Gugurnya beliau telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan bantahan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin.

Puluhan tahun telah berlalu hingga waktu ini. Persoalan yang perlu kita tanya, di mana musuh-musuh yang memusuhi perjuangan Syeikh Izzuddin? Di mana mereka yang membunuh Syeikh Izzuddin dan teman-temannya? Mereka hanya mampu membunuh jasad Syeikh Izzuddin tapi gagal mematikan roh perjuangan beliau dan teman-teman yang lain. Di manakah pula Syeikh Izzuddin dan teman-temannya berada sekarang? Tanpa syak dan ragu-ragu, dengan penuh keimanan kepada Allah dan ayat suci-Nya dalam kitab Al-Quran yang kita imani bahawa orang-rorang yang mati syahid tidak mati bahkan mereka hidup di sisi Allah s.w.t malahan diberikan rezeki. Alangkah bertuahnya Syeikh Izzuddin dan teman-temannya kini dalam rahmat Allah, sementara merana dan sengsara pula musuh-musuh mereka diazab oleh Allah.

Jasa Syeikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenang oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin. Nama beliau diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta pada senjata dan bendera mereka. Mari sama-sama kita sedehkan al-Fatihah kepada beliau serta teman-teman beliau yang lain. Semoga kita semua akan dihimpunkan di akhirat kelak bersama-sama beliau serta syuhada' yang lain. Amin.

Sumber: www.pmram.org