1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Umat Islam Menanti Saat Keruntuhan Masjid Al Aqsa?

al aqsa under attackMengikut sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud 'Masjid Paling Jauh', terletak di Baitulmaqdis atau 'Jerusalem' bagi orang Yahudi. Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis. Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj. ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis. Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran. Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya. Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun. Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M. Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula yang kekal sehingga hari ini. Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur dalaman. Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa Palestin. Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan baratnya. Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat masjid pada 1984. Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis). Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi. Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu. Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama. Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid. Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel. Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah Masjid al-Aqsa. Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis. Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa. Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut. Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam. Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel. Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa. Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi. Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif. Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967. Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi. Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat. Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad. Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid. Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat. Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam. Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di bawahnya. Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid. “Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan. Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah. Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat. Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel. Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu. Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera. JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein. Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan terbabit. Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”
Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman? Itulah antara persoalannya. Angkara Yahudi - BERITA HARIAN 28/01/2010 Oleh Nurul Hazren Masitom

Mivtza Oferet Yetzuka

Perkataan di atas adalah sangat asing bagi kita semua. Namun ianya sangat popular di kalangan rejim pengganas Zionist Israel yang sentiasa dahagakan darah pejuang-pejuang kebebasan Palestin dan Al Quds dan realiti beberapa tahun yang lalu menunjukkan mereka sangat dahagakan darah setiap penduduk Palestin terutamanya di Gaza tanpa mengira usia. Apakah sebenarnya Mivtza Oferet Yetzuka? Ianya adalah perkataan di dalam bahasa Hebrew yang bermaksud “Operasi Ketenteraan ke atas Wilayah Selatan”. Di dalam bahasa Inggeris adalah “Operation Cast Lead”. Bagi rejim pengganas Israel, Wilayah Selatan adalah Semenanjung Gaza. Dari istilah ini, kita telah mengetahui akan maksud mereka iaitu mereka masih menggangap Gaza adalah milik mereka sepenuhnya. Tujuan Operasi ini adalah untuk memerangi Hamas namun realitinya adalah untuk memusnahkan dan membunuh kebanyakan dari penduduk gaza. Operasi Ketenteraan ini lebih dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Peperangan ke atas Gaza. Ianya dilancarkan pada 27 Disember 2008 berikutan tamat tempoh gencatan senjata di antara Hamas dan pengganas Israel. Genjatan senjata di antara pihak berkuasa Palestin (Hamas) dan pengganas Israel bermula dari 19 jun 2008 hingga 19 Disember 2008. Genjatan ini telah menunjukkan komitmen Hamas dalam meletakkan kepentingan rakyat Palestin yang mereka dipertanggungjawabkan. Hamas telah rela meletakkan senjata mereka pada tempuh berikut dengan syarat Israel menghentikan segala sekatan ke atas rakyat Palestin dan membenarkan segala bentuk bantuan kemanusiaan dan keperluan hidup disalurkan kepada rakyat Palestin. Namun dari dahulu sampailah ke saat ini telah terbukti bahawa pengganas Israel adalah pihak yang telah dan sentiasa mencabuli segala macam bentuk perjanjian yang mereka tandatangani. Hanya beberapa jam selepas genjatan tersebut bermula pada 19 Jun 2008, IDF (Israel Defence Force) iaitu pihak tentera pengganas Israel telah menembak beberapa nelayan dan pekebun Palestin. Sumber maklumat ini telah direkodkan oleh Palestinian Center for Human Rights. Serangan berikutnya adalah pada 23 Jun 2008 di mana tentera pengganas Israel telah menembak kanak-kanak dan orang awam di utara Semenanjung Gaza. Berikutan dengan kebiadapan dan penipuan pihak pengganas Israel, maka Hamas telah menyerang balas dengan mempergiatkan serangan roket ke atas wilayah Israel haram. Dunia rata-rata masih lagi tertipu dengan dakyah-dakyah media Amerika Syarikat yang telah memetik kata-kata mantan presiden mereka, Jimmy Carter yang telah membuat kesimpulan bahawa Hamas tidak langsung menunjukkan sebarang komitmen dalam mematuhi syarat-syarat genjatan senjata. Analisa demi analisa telah dibuat dan telah terbukti di setiap kali perjanjian pihak pengganas zionis Israel yang harus sentiasa dan selamanya dipersalahkan dalam isu-isu ini. Begitulah juga dengan perjanjian Oslo yang mana Fatah telah ditipu dalam isu pembahagian sempadan tebing barat. -------------------------- Tulisan Dr Kursiah Mohd Razali. InsyaAllah bersambung di episod lain.

Ahli Parlimen Kuwait Tiba Di Gaza Dalam Misi Amal

2 Mei, Seramai 5 orang delegasi kalangan ahli parlimen dari Kuwait telah tiba di Gaza pada hari Ahad, 2 Mei yang lalu. Kunjungan mereka adalah dalam rangka mengadakan perbincangan bagi menjayakan  projek-projek amal yang dibiayai Kuwait. Kumpulan delegasi tersebut diketuai oleh MP Abdul Muhsen Al-Qattan. Beliau mengatakan bahawa para delegasi tersebut akan melawat pusat Qatan di bandar Gaza dan akan mendapatkan maklumat secara terus tentang penderitaan rakyat Gaza akibat dari pengepungan Israel sejak empat tahun yang lalu. (PIC).

Kenyataan Media Pengurusan Krisis LL4G Malaysia Seru Kerajaan Mengutuk Serangan Israel Ke Atas Flotilla

KENYATAAN MEDIA Isnin 31hb Mei 2010 GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza; 1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah. 2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan. 3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan, b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan, c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma. Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia. 4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam. 5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan. 6.  Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama. 7.  Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan. 8.  Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini. 9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan. 10.   Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan. Zulkifli Mohd Nani Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia Sumber: http://www.lifeline4gaza.org/2010/05/31/kenyataan-media-cmt-ll4g-1/

Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaza (CMT-LL4G) Malaysia akan Adakan Sidang Media 3.00 Petang Ini

Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.

Al Quran dan Solat Memberi kekuatan Kepada Kami: Aktivis Konvoi Armada

29 Mei - Aktivis Muslim yang menyertai rombongan armada bantuan kemanusiaan ke Gaza atau Freedom Flotilla tetap tegar dan bersemangat meneruskan misi walau apapun terjadi. Sdr Noorazman Shamsudin yang juga merupakan Ketua Delegasi Bagi Malaysia dan Indonesia menyatakan bahawa para aktivis sudah bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku, khususnya ancaman dari tentera udara dan laut Israel. ” Alhamdulillah setakat ini majoriti aktivis amat komited dengan solat berjamaah, mereka berterusan mengikat diri mereka dengan al Quran. Ramai juga yang bersendirian di merata tempat dalam kapal ini sujud bermunajat kepada Allah swt. Ramai yang berada dalam kapal tidak tidur dan bermunajat kpd Allah.”, demikian situasi yang  digambarkan oleh wakil Media HALUANPalestin yang turut menyertai misi tersebut, sdr Mohd Nizam Awang. Beliau dan rombongan menaiki kapal yang terbesar dalam armada tersebut iaitu kapal Mavi Marmara. Menurut Sdr Noorazman Shamsudin, antara ancaman yang paling besar tatkala armada sudah mula menghampiri perairan Gaza saat ini ialah usaha jahat Israel untuk merampas, menahan dan menangkap para aktivis. ”Kami memohon kepada seluruh muslimin dan  muslimat mendoakan kejayaan armada bantuan kemanusiaan ini dan semoga pertolongan Allah bersama-sama dalam perjalanan kami. Walau apapun terjadi kami akan pertahankan kapal ini dan kami akan berusaha untuk sampai di pelabuhan Gaza”, demikian harapan Noorazman saat ditemuramah oleh wartawan berita dari astro Awani yang turut menyertai armada tersebut. *Bersamalah kita memohon pertolongan Allah dengan sabar dan solat, sebagaimana yang ditunjukan oleh aktivis Islam yang benar-benar mengamalkan tuntunan Allah ini selama di kapal