1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Sumber Air Bersih Gaza Semakin Kritikal

waterJabatan Pengurusan Air Palestin pada hari Sabtu yang lepas (31/10) membentangkan hasil kajian mereka yang sangat memprihatinkan. Hasil kajian itu menyebutkan bahawa 90-95% air yang mengalir di Gaza tidak sesuai untuk diminum apabila dibandingkan dengan standard kesihatan air minuman yang dikeluarkan oleh WHO. Dalam kajian itu juga melaporkan bahawa Gaza kini menghadapi krisis air minuman bersih yang sangat kritikal. Gaza yang dihuni lebih dari 1.5 juta penduduk itu kini hanya tertumpu dari satu-satunya sumber air tanah, yang disediakan dan di airi pemerintah untuk keperluan air minum masyarakat. Sementara saluran air dari wilayah di luar Gaza jelas sangat minimum akibat sekatan yang dilakukan Israel. Sumber air dari bawah tanah Gaza sendiri mengalami masalah kerana bercampur dengan air laut. Selain daripada itu, air yang diambil juga mengandungi kadar nitrat akibat bercampurnya air dengan kotoran, di samping kerosakan di banyak tempat akibat serangan Israel beberapa bulan lalu. terdapat 30% wilayah di Gaza yang tidak dapat diairi air oleh pemerintah. Yang lebih memprihatinkan lagi, kandungan air yang boleh dijadikan sumber minimun ternyata tidak mencukupi. Menurut kajian, air minum bawah tanah di Gaza yang sedang digunakan dan dialirkan ini semakin berkurangan. Jika tidak segera diperbaharui keadaannya, hanya bertahan paling lama sehingga tahun 2010 sahaja. (mln/qds)

Qaradhawi: Lindungi Segera Masjid Al Aqsa

26 Okt - Dr. Yusuf Al Qaradhawi, Ketua Persatuan Ulama Islam Antarabangsa, menyerukan umat Islam dunia agar bertindak atas kejahatan serangan Israel yang terjadi hari Ahad (25/10) terhadap Masjid Al Aqsa. Beliau menegaskan, berulangkali Yahudi Israel melakukan serangan keji terhadap Masjid Al Aqsa yang kurang mendapat tindakan serius dari kaum Muslimin dunia. ”Peristiwa yang baru saja terjadi harus membangkitkan seluruh umat Islam untuk bertindak, dan menyatakan bahawa Yahudi benar-benar telah menginjakkan kakinya di Masjid Al Aqsa,” ujar Syeikh Al Qaradhawi. Beliau juga menyerukan umat Islam dunia untuk melakukan aksi demonstrasi atas penodaan masjid Al Aqsa yang dilakukan Zionis Israel itu di hadapan pejabat PBB, pada hari Isnin (26/10). Qaradhawi menyatakan hal ini dalam salah satu ucapan siaran langsungnya yang ditayangkan oleh televisyen satelit Aljazeera setelah kejadian serangan polis Israel terhadap puluhan orang jamaah masjid Al Aqsa sekaligus penangkapan atas mereka dan menginjak-injak Masjid Al Aqsa pada pagi Ahad, 25 Okt lalu. ”Apa yang terjadi di Al Quds, berupa serangan yang dilakukan berulangkali ke atas Masjid Al Aqsa, itu seharusnya mampu menyedarkan seluruh umat Islam bahawa serangan serangan itu meningkat hari demi hari untuk tujuan  Yahudi yang mahu menguasai masjid Al Aqsa,” ujar Al Qaradhawi. Beliau lalu mengatakan, ”Saya menyerukan Liga Arab dan Sekjen OKI serta seluruh pimpinan dan tokoh Islam di seluruh dunia untuk melindungi Masjid Al Aqsa. Kita tidak boleh mendiamkan diri terhadap kejadian ini." (mln/iol)

Palestin, Yahudi dan Peranan Umat Islam

Sering kali kita dimomok-momokkan bahawa masalah Palestin mesti diselesaikan oleh negara Arab kerana Palestin adalah natijah dari kegagalan dan kemandulan negara Arab menyelesaikan masalah dengan negara haram Yahudi. Palestin diduduki oleh bangsa Arab dan Palestin berperang dengan Yahudi, jadi ia adalah konflik di antara Arab dan Yahudi. Selain itu, perjuangan membebaskan bumi Palestin dilihat sebagai perjuangan bangsa Arab mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan rejim Yahudi.

Premis dan argumen yang mudah tersebut mampu menjadi barah yang cukup berbisa kepada umat Islam. Konsepnya, otak manusia bagaikan komputer, hanya dapat berfungsi dan menganalisis dengan maklumat yang disuapkan kepadanya sahaja. Bayangkan setelah sekian lama umat Islam disuapkan dengan maklumat yang salah, mereka akan mempamerkan tingkah laku yang juga salah. Mereka menjadi umat yang lesu, tidak peduli dan memandang kecil isu perjuangan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Yahudi. Ini realiti yang berlaku. Namun yang sebetulnya tanggapan bahawa perjuangan membebaskan Palestin adalah tanggung jawab penduduk Palestin sendiri atau negara Arab adalah satu kesilapan dan kekeliruan yang besar. Ia sebenarnya tanggungjawab kita, semua umat Islam. Kenapa begitu?

1. Kesucian Palestin dan hubungan jiwa yang terjalin antara umat dengan tanah suci itu.

2. Kebencian yang berakar umbi, sejarah hitam dan ideologi kebencian Yahudi Zionis terhadap Islam dan masyarakat Muslim.

3. Perluasan empayar Barat-Yahudi yang menekan umat Islam demi menjadikan umat Islam lemah dan berpecah-belah serta menjadi satu entiti terasing di bawah telunjuk kuas besar.

Selain itu, penting sangatkah tanah Palestin kepada umat Islam? Bukan setakat penting, bahkan harta dan nyawa kita dituntut untuk mempertahankannya. Merujuk kembali kepada sejarah manusia dalam abad ke 20, cubaan untuk mengambil bumi Palestin telah diaturkan dengan teliti oleh Yahudi iaitu Theodore Herzl yang merupakan seorang pemimpin tertinggi gerakan Zionis. Zionis telah ditubuhkan pada 1884 dan diasaskan oleh Simha Binker dari Russia.

Theodore Herzl telah membuat beberapa tawaran kepada Khalifah Uthmaniah pada ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid II bagi membenarkan penubuhan sebuah syarikat Yahudi yang bertujuan untuk membeli tanah-tanah yang terbiar di sekitar Palestin bagi menjadikan kawasan pertanian dan penempatan bangsa Yahudi. Berikut merupakan tawaran yang dibuat oleh gerakan Zionisme antarabangsa:

1. Menjelaskan semua hutang piutang kerajaan Uthmaniah.

2. Membangunkan kerajaan Uthmaniah dengan menggiatkan aktiviti perdagangan dan perindustrian. Sumber kewangan untuk tujuan tersebut akan disalurkan melalui bank Eropah yang dikuasai Yahudi.

3. Menyediakan pelbagai kemudahan pengangkutan melalui pembinaan jalan kereta api dan kapal laut.

4. Membina sebuah universiti yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.

5. Mengekploitasikan 100% akhbar untuk mempertahankan sultan terutamanya bagi berhadapan dengan kuasa-kuasa barat.

6. Menghadiahkan wang kepada sultan bernilai 100 juta nilai emas.

Namun, Theodore Herzl mendapat respons yang tegas lagi keras dari Sultan Abdul Hamid II melalui jawapannya:

“Palestin bukan milikku, bukan milik bangsa Turki, tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sekali-kali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta itu, kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku di cincang daripada melihat bumi Palestin dikeluarkan dari Daulah Islamiah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (wilayah-wilayah Kerajaan Khilafah Uthmaniah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!”

Lihatlah bagaimana orang yang benar-benar memahami isu Palestin bermati-matian mempertahankan bumi Palestin. Apa yang difahaminya? Terdapat sembilan sebab kenapa bumi Palestin mesti dibebaskan dan dipertahankan:

1.  Tanah para ambia. Di antara para anbia yang pernah dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan dibumi Palestin ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan lain-lain lagi.

2. Terdapatnya Masjidil Aqsa. Sabda RasululLAH SAW:

“Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini?” Baginda menjawab “Masjid al-Haram.” Selepas itu masjid apa pula? Baginda menjawab “Masjid Al-Aqsa”. [HR Bukhari dan Muslim].

3. Kiblat pertama orang Islam.

4. Masjid ketiga suci umat Islam. RasululLLAH SAW bersabda: “Janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali untuk menuju ketiga buah masjid, Masjid al-Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.”

5. Merupakan padang Mahsyar selepas kiamat dan merupakan pusat keamanan sejagat. Sabda RasuluLAH SAW:

“Ia adalah bumi Mahsyar dan kebangkitan.” [HR Imam Ahmad dan Ibn Majah].

6. Orang tinggal di sana kerana ALLAH diibaratkan seperti orang yang berjihad di jalan ALLAH dan dikenali sebagai bumi pertahanan jihad. RasululLAH SAW bersabda:

“Ahli Syam akan berterusan dalam jihad dan ribath di jalan ALLAH.” [HR at-Tabrani dan Al-Haitami].

7. Pusat untuk kumpulan-kumpulan yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga hari kiamat. Sabda RasululLAH SAW:

“Sekelompok dari umatKu akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila ditimpa kesusahan dan sehingga datang pertolongan dari ALLAH dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.” Para sahabat bertanya, “Di manakah tempat mereka itu ya RasululLAH?” Baginda menjawab “Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.” [HR At Tabrani].

8. Tanah yang diberkati ALLAH. Firman ALLAH SWT:

“Maha suci ALLAH yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [Al-Israk: 1].

9. Bumi yang akan didirikan ibu negara umat Islam di akhir zaman dan kemajuannya akan membawa kepada tanda-tanda akhir zaman. RasuluLLAH SAW bersabda:

“Pembangunan Baitul Maqdis membawa kepada kehancuran Madinah (kerana diserang wabak).”

Berapa banyak sekalipun hujah dan bukti yang menunjukkan bahawa di atas pundak kitalah tanggungjawab membebaskan dan mempertahankan bumi Palestin, kerana bumi Palestin mempunyai ikatan yang mulia dengan kita sebagai Muslim. Sekiranya hujah-hujah tersebut belum dapat mengikis kesemua doktrin Yahudi yang telah ditanam kuat dalam diri kita, janganlah disalahkan para pemimpin Arab yang lesu dalam mempertahankan kedaulatan bumi Palestin. Kerana mereka di indoktrinasikan dengan pelbagai doktrin yang lebih hebat lagi.

Ya ALLAH, jauhkanlah kami dari tipu daya musuh kami. Amin.

Rujukan

Hanif Ismail (2006). Baitul Maqdis Kesucian yang Dipertahankan. Petaling Jaya: Hijjaz Records Sdn Bhd.

Maszlee Malik (2006). Al-Aqsa dalam Bahaya. Kuala Lumpur: Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia.

Mohsen Saleh & Riyard Mahmoud. Kenangi Palestin Selami Isunya. Bandar Baru Bangi: Aman Palestin Bhd. Mohd.

N. Azran M. & M. Mahadi Isa (2005). Gerakan Freemasonary, Musuh dalam menghancurkan ISLAM. Selangor: La Khauf Resources.

Hamas Komited Dengan Kertas Cadangan Perdamaian Anjuran Mesir

19 Oktb – Jurubicara Hamas, Sami Abu Zuhri, hari Ahad lepas mengatakan bahawa para pemimpin Hamas akan mengirim rombongan ke Kaherah untuk bertemu dengan para pentadbir Mesir bagi menyatakan sikap mereka terhadap kertas cadangan perdamaian yang dirangka oleh Mesir. Abu Zuhri menekankan bahawa perhubungan sedang berlangsung untuk menentukan tarikh kedatangan para pemimpin Hamas itu ke Mesir. Dalam sebuah kenyataan kepada PIC, Abu Zuhri menerangkan bahawa kertas cadangan perdamaian anjuran Mesir mencantumkan hal-hal yang tidak dibahas sebelumnya dan Mesir juga menghapus beberapa hal-hal yang telah disepakati untuk dimasukkan dalam kertas cadangan itu. Juru bicara Hamas itu menegaskan “Kami memberi komitmen dengan kertas cadangan tersebut sebelumnya, yang telah kami terima dan kami nyatakan persetujuan kami, dan tidak ada perubahan sikap lagi; fokus kami sekarang tertumpu kepada amendemen pada kertas cadangan itu, yang tidak pernah dibahas sebelumnya dengan para pentadbir Mesir.” Sementara itu anggota Biro Politik Hamas, Muhammad Nashr, mengungkapkan kepada saluran televisyen satelit Al Jazeera yang memberi respon dalam hal kertas cadangan perdamaian tajaan Mesir,  Komitmen Hamas  adalah bukti keseriusan yang ditunjukkan oleh gerakannya demi mengakhiri perpecahan dalaman, dan itu sudah dilaksanakan Hamas sejak dari awal. Sebenarnya menurut Nashr, siri sesi dialog nasional itu sudah berada di ambang kehancuran, akan tetapi syukurnya Hamas masih memberikan ruang dan peluang, sehingga dialog masih boleh dilaksanakan. Nashr menegaskan bahawa selama beberapa bulan terakhir, Hamas amat komited dengan apa yang telah disepakati. Ia membenarkan bahawa Hamas meminta pihak Mesir agar menyesuaikan apa-apa yang telah disepakati sebelum ini dengan kertas cadngan perdamaian yang sekarang agar kekeliruan tidak disengajakan dapat diperbaiki.PIC/ EZ

Perjanjian Damai Tajaan Mesir: Fatah Bersetuju, Hamas Masih Belum Beri Kataputus

Pergerakan Fatah akan menerima kertas cadangan yang disediakan oleh Mesir yang mengandungi dokumen untuk perpaduan rakyat Palestin dan sedia menandatangani, manakala gerakan Hamas belum memberi sebarang pengesahan. Mesir yang menjadi pengantara antara kedua-dua pihak, telah memberi satu cadangan baru secara berasingan untuk ditandatangani oleh Fatah dan Hamas, sebelum kedua-dua buah pergerakan tersebut boleh menandatangani perjanjian bersama selepas perayaan Aidil Adha akan datang. Pergerakan Fatah berkata yang mereka telah menandatangani dokumen tersebut, dan memaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Pusat, Azzam Al Ahmad, akan menyerahkannya ke Mesir. Anggota Jawatankuasa Pusat Fatah, Mohammad Dahlan, berkata yang pergerakan itu memaklumkan Presiden Mahmoud Abbas bahawa mereka menerima dokumen itu. Semasa sidang akhbar pada Selasa (13Okt) di Ramallah, Dahlan berkata yang jawatankuasa itu telah meminta Abbas bagi mengumumkan bahawa jika usaha-usaha perdamaian gagal, pilihan raya legislatif dan jawatan presiden akan diadakan pada 25 Januari 2010. Beliau menambah bahawa jawatankuasa telah mengambil keputusan ini selepas mendengar ucapan yang terakhir oleh Khalid Mashal, Ketua Biro Politik Hamas di Syria. Jawatankuasa Pusat Fatah menuduh Mashal cuba untuk menghangatkan keadaan bagi mengelakkan menandatangani satu perjanjian perpaduan. Pemimpin politik Hamas, Mosheer Al Masry, berkata yang pergerakan Hamas mempunyai beberapa  persoalan pada dokumen yang disediakan oleh Negara Mesir, tetapi menambah bahawa Hamas amat berminat dalam mencapai perdamaian dan perpaduan. Katanya lagi Hamas bersedia menerima tekanan sebelum keputusan menandatangani di buat ke atas dokumen tersebut kea rah mencapai perpaduan selagi ia tidak merosakkan kepentingan penduduk Palestin.

Cerpen: Menanti Nafas Cinta

“23…23…. Muhammad Ramadhan!”,Garau sedikit suara yang dimiliki oleh Dr. Muhammad Ridha. Kebiasaannya pelajar akan diberi nombor kehadiran oleh para pensyarah untuk diambil kedatangan mereka , ini memudahkan para pensyarah untuk mencatit kehadiran dengan cepat. “Ya saya…maaf doktor”,Terkejut , dia menjawab dengan kelam kabut. “Kamu fikirkan apa? Ingat katil di rumah kah?”,Gurau doktor , mengusik pelajarnya yang termenung itu. Satu kelas tertawa. Tidak sepertimana biasa , doktor pada hari ini tidak mengajar sepertimana biasa . Subjek dunia Islam yang menjadi subjek elektif itu digantikan dengan pengisian rohani.Sepanjang waktu , doktor memberi tazkirah mengenai bulan Ramadhan , mungkin kehangatan bulan mulia ini sudah mula dirasai. Pengajaran , kemuliaan dan hikmah bulan Ramadhan diceritakan dengan penuh semangat agar pelajarnya dapat mengambil iktibar dan persediaan sebelum menempuh bulan suci ini. “Muhammad Ramadhan , kamu sudah bersedia belum untuk Ramadhan ini?” Mungkin pertanyaan doktor itu sengaja diberikan pada dia , kerana namanya barangkali. “Insyallah , erm.. doktor boleh saya tanya sesuatu? ” serius nadanya. Pelajar lain mula menumpukan perhatian pada beliau. “Apa pandangan doktor tentang suasana Ramadhan di Palestin ? ketika saudara-saudara kita menggadai nyawa di sana dalam suasana Ramadhan yang tidak pernah aman hampir 50 tahun,kita disini bakal berpuasa dengan selesa dan aman? , Bukankah bulan suci ini kita digalak membantu mereka yang kesusahan?” Tegas soalannya bak orangnya. “Apa yang kamu cakapkan ini ? kau tak pernah bersyukur duduk disini menikmati keamanan?” Sampuk Ahmad Ali , garang wajah pelajar Jordan seorang ini. Jiwa nasionalisnya cukup kuat. Abdullah yang duduk di sebelah mencubit peha kiri Muhammad Ramadhan dan tangkas berbisik , “Kau nak mati ke tanya soalan macam ini?..” , kelas jadi riuh , ada yang memprotes soalan tadi , ada yang hanya menjadi pemerhati. “Diam semua…!” , Sedikit naik suara Dr. Ridha , “Saya harap kamu semua bertenang dan berbaik sangka atas soalan beliau tadi , mungkin maksudnya tentang bagaimana membantu orang didalam kesusahan di bulan Ramadhan , betul tidak?” Tajam mata Dr.Ridha memandang ke anak mata Muhammad Ramadhan , sesuatu yang tersirat lahir di anak mata Dr.Ridha. “ermm..Itulah maksudnya yang sebenar doktor..tiada yang lain..”Abdullah menyampuk mengiakan kata-kata doktor tadi,mahu membantu sahabatnya yang seorang ini. Muhammad Ramadhan hanya diam. Jam tepat 12.30 tengahari , ini tandanya kelas sudah tamat. “Baiklah kelas , kita kesuntukan masa , jika ada ruang kita akan sambung esok” , Dr.Ridha berdiri dan terus berjalan ke kerusi Ramadhan , “Kamu ke bilik saya petang nanti..”, Bisik Dr.Ridha dan kemudian meninggalkan kelas. Abdullah mengajak Muhammad Ramadhan untuk terus ke beredar dari kelas , bimbang Ahmad Ali si “wira Nasionalis” itu membuat onar. “Kau ni , semangat pun biarlah bertempat , kita bukan di tanah air kita …” Nasihat Abdullah. “Mereka takkan faham dan mereka memang tak akan faham , Wira nasionalis konon!” Bentak Muhammad Ramadhan , tanda tidak berpuas hati dengan keadaan tadi. Jelas terpancar kekecewaan Muhammad Ramadhan tentang perkara ini . Masakan tidak , sepatutnya bangsa Arab Islam lebih mengerti dan lebih faham tentang perjuangan mempertahankan bangsa seagama mereka yang berkorban di bumi Isra’ itu , ini tidak , bukan dibela , malahan di cerca lagi. Penyakit hati apakah yang sudah menutup pintu hati kemanusiaan mereka ini ? , Terlena dengan buaian syair bangsa hingga lupa teriak tangis manusia yang tidak berdosa , bangsa seagama mereka. PERJUANGAN YANG TIADA NOKTAH. “Saya faham perasaan kamu , saya juga tahu penderitaan bangsa kamu …ermm…bangsa kita”, Lembut suara Dr.Muhammad Ridha , barangkali mahu menenangkan perasaan anak muridnya yang seorang ini. “Inilah yang membuatkan saya menjadi pendidik di sini , jika mata-mata mereka sudah ditutup dengan perjuangan ini , sudah menjadi tangunggjawab saya untuk membuka mata-mata mereka untuk menyedari isu ini,kalau pun bukan dari kaca mata bangsa dan agama , kita perjuangkan melalui kesedaran kemanusiaan..” , Nampak tenang suara beliau , namun wujud ketegasan di wajah beliau. “Tapi doktor saya kecewa dengan mereka … saya mahu perjuangan ini diperjuangkan..!!” Muhammad Ramadhan melahirkan kekecewaan yang teramat sangat , merah mata beliau. “Ramadhan… perjuangan ini tidak akan berakhir hingga hari qiamat , kamu sudah lupa Janji Allah dan Rasul-Nya mengenai tanah lahir kamu? , Jika kamu hatta saya sekalipun terlalu emosi untuk memperjuangkan isu ini , sampai bila kita akan berbalah sesama kita? Kesedaran dan hikmah perlu kamu teliti” sedikit tegas suara pensyarah di awal 50an ini cuba memahamkan anak muridnya yang masih muda ini. Beliau faham , pelajarnya yang seorang ini punya semangat yang tidak pernah luntur. “ss..ssaya Cuma teringat keluarga saya…” Air mata Muhammad Ramdhan sudah menitik dari belahan merah matanya. “Saya teringat pada mereka , sampai sekarang saya masih rindu pada mereka,rejim Yahudi memang bukan manusia, pembunuh!!”, Sedih , kali ini air matanya cukup deras , dia tidak mampu menahan kepiluan hati. Dr.Muhammad Ridha , berdiri dan pergi ke kerusi pelajarnya itu lantas memeluk dan menenangkan hati anak muda yang terluka itu , “Kamu jangan menangis lagi , kamu ada saya yang sentiasa bersama-sama kamu , kamu ada ribuan hatta jutaan manusia yang akan sama-sama memperjuangkan bumi barakah kita”. Pertemuan petang itu memberi satu kekuatan buat Muhammad Ramadhan dan juga menjadi satu azimat perjuangan buat Dr.Muhammad Ridha untuk terus berbakti pada perjuangan luhur ini. Darah jihad ini tetap akan mengalir , seperti lajunya titisan darah pejuang-pejuang syahid di medan sana. NAFAS INI SEBAGAI JANJI 15 tahun lalu….Ramadhan 1414 Ketenangan dan suasana awal Ramadhan di perkampungan Uzair pada pagi itu sungguh aman dan nyaman. Anak-anak kecil berlari-lari gembira , deretan anak-anak muda di tepi-tepi jalan utama menuju ke sekolah agak ramai , kumpulan ibu bapa menunaikan tanggungjawab mereka menuju ke tempat kerja , ada yang menjadi guru , ada yang bercucuk tanam , ada yang mengembala kambing biri-biri. Namun siapa tahu , hari itu juga menjadi titik hitam buat diri Muhammad Ramadhan. Keamanan yang terhad bagi bulan suci ini untuk dinikmati penduduk kampung dikotori lagi dengan bedilan-bedilan kejam pembunuh tanpa kemanusiaan ini. Kerap kali anak kecil ini mendengar bunyi bedilan dan beliau tidak pernah gentar dengan bunyi itu , kehidupannya jauh berbeza dengan anak-anak yang sebaya umur dengannya di tempat lain. Bilamana mendengar bunyi yang “mengerikan” itu , mereka sekeluarga akan berdiam diri didalam rumah. Kematian sanak saudara dan kawan-kawan seperti kisah biasa dalam kehidupan mereka. Anak kecil itu yang hanya melihat kelibat ayahnya dan abang sulungnya berlari menyelamatkan diri di luar rumah tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menangis sahaja , pagi itu hanya anak kecil itu dan ibunya berada di rumah. Pamm!! Pamm!! Tembakan itu tepat terkena kepala ayah dan abangnya , kedua-duanya rebah Syahid di hadapan rumah usang itu , kedua-dua mata anak ini menjadi saksi pembunuhan kejam yang dilakukan ke atas ayah dan abang kesayangannya , teriakan anak kecil ini makin kuat , si ibu kelam kabut mendapatkan si suami dan anaknya yang bergelimpangan berlumuran darah itu dan anak kecil itu dibiarkan didalam supaya tidak keluar. Tatkala sang ibu meratap dan cuba meminta pertolongan untuk suami dan anaknya , tembakan dari penembak tepat Yahudi laknat ini , tepat mengenai belakang wanita tua itu , Ummu Ahmad rebah dipangkuan suaminya , ketiga-tiga ini sedang menuju menanti syahid yang agung! Anak kecil itu tidak mampu menahan dan melihat perkara ini , dia berlari mendapatkan keluarganya yang terbaring menanti syahid…deras air mata anak ini. “Ibu…ibu…. Jangan tinggalkan saya!!..” teriak anak kecil yang belum mampu megerti apa-apa tentang pembunuhan yang tragis ini. “shhh…jangan nangis anak ku..ibu pergi sekejap saja…kita akan berjumpa nanti..ibu..ayah…abang sayang kamu…Allah….Allah…” , Si ibu ini mengusap kepala anaknya itu , usapan ini tanda kasih dan sayang ibu buat anaknya dan kemudiannya si ibu diam..diam untuk selamanya , langit Syuhada’ terbuka luas untuk Syahid ini. Anak kecil itu terus menangis , dia tidak tahu apa yang berlaku. Yang hanya dia tahu , keluarganya dan kehidupan kecilnya. Tentera laknat zionis itu berundur dengan megahnya. Hari itu , mereka sudah melaksanakan misi mereka , meratah tubuh-tubuh umat Islam yang tidak berdosa. Tidak lama selepas itu , anak kecil itu dibawa berhijrah ke Jordan oleh bapa saudaranya, mungkin tanah itu selamat untuk anak kecil dan sehingga ini anak kecil itu tidak pernah pulang ke tanah itu lagi. Muhammad Ramadhan tersedar dari nostalgia lalu.Air mata mengalir..rindu pada ibu , ayah dan abangnya.. Mentari senja jatuh dengan begitu indah petang itu , Ramadhan masih lagi duduk di celah batuan besar tepi bukit Iraq melihat dengan dekat sempadan dua tanah di timur tengah ini.Agaknya dia masih leka bermain dengan perasaan dan nostalgianya senja itu , ada suatu yang cuba diwarnakan di liang khayal dan fikirannya. Lagi 5 hari lagi bulan ramadhan akan menyapa umat Islam sedunia , pelbagai persediaan telah dilakukan di merata tempat. Namun bagi yang bernama Muhammad Ramadhan ini , ada sesuatu yang beliau simpan di semat hatinya , kedatangan Ramadhan setiap tahun pasti mengingatkan dia dengan sebuah cerita yang tidak akan dilupakan dalam dirinya. Ramadhan kali ini beliau bertekad…. Beliau akan pulang ke tanah itu , mencari cinta dan secebis sayang yang lama dinantikan.Rindunya untuk mencium bau-bauan syuhada’ makin mendalam.Cinta pada tanah perjuangan ini tidak akan hilang sampai mati. Dia akan terus menanti nafas cinta ini. “Ibu..ayah…abang… Ramadhan akan pulang…….” -Tamat- Karya , Mohd Lutfi Hafifi Bin Japili. Mutah , Jordan. Sumber