1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Bantuan tiba di Gaza, tetapi adakah mencukupi?

gaza-aidsRAMALLAH, Tebing Barat - Israel menyatakan sebanyak 453 buah trak memasuki Gaza antara 18 hingga 23 Januari, tetapi hanya lebih kurang separuh yang membawa bantuan kemanusiaan -- jauh daripada mencukupi bagi 1.5 juta penduduk Gaza, menurut Agensi PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa. "Penderma dan masyarakat awam daripada seluruh pelusuk dunia telah bertindak menghulurkan bantuan, tetapi ianya tersekat di luar sempadan Gaza,' kata John Ging, ketua Agensi untuk Pelarian Palestin PBB (UNRWA) di Gaza. Daripada 100 hingga 120 buah trak yang dibenarkan masuk setiap hari, 37 hingga 40 buah trak adalah untuk UNRWA, manakala separuh lagi adalah untuk muatan komersial seperti daging dan lampin bayi, dan selebihnya adalah untuk lain-lain agensi bantuan, tambah Ging, yang menekankan sebelum bulan Jun 2007, Israel membenarkan sebanyak 500 hingga 600 buah trak untuk masuk setiap hari. Bekalan makanan di Gaza masih lagi sukar didapati disebabkan harga yang melambung tinggi serta kekurangan mata wang, dan kemusnahan tanah-tanah pertanian menambahkan lagi kesulitan yang dihadapi, menurut Pejabat Koordinasi bagi Urusan Bantuan Kemanusiaan (OCHA). Selain daripada terowong dari Mesir, tidak ada lagi jalan lain untuk mendapatkan makanan atau keperluan lain ke Gaza. Terdapat lima pintu masuk ke Gaza -- empat dari Israel dan satu dari Mesir. Walaubagaimanapun, tiada satupun yang dibuka secara konsisten, dan sangat sedikit bantuan yang dapat dibawa masuk. Nahal Oz Laluan paip bahan api bawah tanah membolehkan bahan api yang dibeli secara persendirian masuk ke Gaza. Bahan api untuk industri yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) bagi satu-satunya stesyen janakuasa di Gaza masuk melalui Nahal Oz. Begitu juga dengan bahan api yang diterima oleh UNRWA. Karni Satu-satunya pintu masuk komersial yang dilengkapi oleh kemudahan bagi membolehkan trak-trak masuk ke Gaza dalam jumlah yang besar. Ditutup sejak Jun 2007. PBB telah beberapa kali memohon agar ianya dibuka. Hanya peralatan untuk memindahkan bijirin yang beroperasi sekarang. Karem Shalom Pintu masuk komersial yang kecil. Tidak mempunyai kemudahan untuk membolehkan trak-trak yang banyak masuk pada satu-satu masa -- menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk pada masa ini. "Trak-trak yang masuk melalui Karem Shalom adalah untuk agensi-agensi PBB dan sektor swasta," kata Ghazi Hamad, seorang pegawai Hamas kepada IRIN melalui talian telefon. "Bahan api, gas dan bahan binaan, seperti simen dan kaca, dan lain-lain keperluan seperti pakaian, belum lagi masuk [daripada mana-mana pintu masuk]." Erez Pintu masuk bagi penduduk sahaja. Sejak 2005 inilah satu-satunya pintu masuk yang dibenarkan oleh Israel untuk digunakan bagi laluan penduduk -- apabila ianya dibuka. Rafah Laluan penduduk; keperluan perubatan juga dibenarkan masuk. Bantuan lain daripada Mesir perlu masuk mengikut laluan Israel-Karem Shalom-Gaza. Terowong Bahan api dan gas memasak kembali memasuki Gaza melalui laluan terowong di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, menurut penduduk Gaza, walaupun pada kadar yang lebih rendah disebabkan kerosakan yang telah dialami akibat pengeboman Israel. Koordinasi Aktiviti Kerajaan di Kawasan [Palestin] (COGAT), yang beroperasi di bawah Kementerian Pertahanan Israel, menyatakan lebih 5.5 juta liter diesel telah diluluskan untuk dihantar (tidak bermakna dihantar kesemuanya) ke Gaza bagi tujuan penggunaan stesyen janakuasa antara 18 hingga 23 Januari. Sejak gencatan senjata diumumkan pada 18 Januari, stesyen janakuasa telah menerima sejumlah 223,000 liter diesel setiap hari, tetapi ia memerlukan sebanyak 450,000 liter sehari untuk beroperasi pada kapasiti penuh bagi menjana sebanyak 80MW. Buat masa ini, ia hanya menghasilkan sebanyak 30MW sehari, menurut kenyataan OCHA. Israel telah membenarkan lebih kurang 87 tan gas masuk ke Gaza setiap hari sejak 18 Januari, tetapi OCHA menyatakan 300 tan adalah jumlah yang diperlukan setiap hari. [IRIN/terjemahan:HP]

Klinik Israel tutup selepas merawat 5 warga Palestin

[caption id="attachment_1843" align="aligncenter" width="290" caption="Lebih dari 5000 warga Palestin tercedera sepanjang tempoh 22 hari serangan Israel"]Lebih dari 5000 warga Palestin tercedera sepanjang tempoh 22 hari serangan Israel[/caption] TEL AVIV - Sebuah klinik kecemasan Israel di sempadan Erez yang dibuka pada hari Israel mengisytiharkan genjatan sejata 18 Januari lalu, ditutup selepas merawat hanya 5 orang warga Palestin yang tercedera. Berdasarkan kepada kenyataan akhbar, tujuan asal klinik tersebut adalah untuk memberi rawatan kecemasan dan membawa mereka yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital di Israel. Beberapa doktor ditempatkan di klinik tersebut, termasuk pakar sakit puan, pakar kanak-kanak, pegawai perubatan dan pakar trauma. Operasi klinik tersebut adalah di bawah kendalian Kementerian Kesihatan dan Mada (perkhidmatan kecemasan negara, malapetaka, ambulan dan bank darah Israel.) Agensi-agensi berita antarabangsa dan pasukan bantuan mendakwa klinik tersebut diadakan hanya untuk tujuan publisiti dan propaganda. Beberapa agensi berita telah dijemput ke majlis hari pembukaan klinik tersebut. Seorang jururawat sukarela di klinik tersebut, yang tidak mahu mendedahkan butir peribadi, berkata: "Ini adalah sebuah klinik yang serba lengkap.Kami mampu merawat dalam pelbagai  keadaan medikal; sayangnya hanya 5 orang pesakit mendapat manfaat dari khidmat kami." Sumber perubatan Israel memberitahu IRIN (UN Office for the Coordination of Humanitarian Affairs:) "Kami rasa ini (penutupan klinik tersebut) adalah kerana beberapa sebab: Penolakan Hamas dengan apa yang mereka katakan sebagai propaganda, keengganan (takut) warga Palestin, dan jarak jauh yang perlu mereka ambil untuk sampai ke pintu masuk." Jurucakap Mada, Yerukham Mendola, memberitahu IRIN: "Bukan keputusan kami untuk membuka atau menutup klinik ini. Arahan datang dari pelajat Isaac Herzog, menteri Hal-ehwal Sosial. Herzog telah dilantik oleh Perdana Menteri Zionis Ehud Olmert dua minggu lalu untuk mengendalikan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Seorang jurucakap kepada sebuah NGO Israel Physians for Human Right (PHR) memberitahu IRIN: "Klinik ini sepatutnya dibuka sejak hari pertama, dan bukan setelah 22 hari [tempoh serangan Israel]. Pasukan kami di Gaza merumuskan bahawa sebuah klinik kecemasan  adalah tidak mengcukupi, dan keperluan perubatan mereka yang tercedera adalah lebih rumit dan tidak boleh dirawat di sebuah klinik kecemasan." [IRIN/HP]

Netanyahu hampiri jawatan perdana menteri

netanyahuBenjamin Netanyahu diramal bakal menduduki kerusi perdana menteri Israel selepas mendapat sokongan daripada Avigdor Lieberman, ketua parti berhaluan kanan, Yisrael Beiteinu. Presiden Shimon Peres belum lagi menentukan siapa yang patut membentuk kerajaan yang baru. Selepas bertemu dengan Peres, Lieberman menyatakan sokongan ke atas parti Likud pimpinan Netanyahu dan menggesa pembentukan kerajaan baru yang turut dianggotai oleh parti Kadima. Lieberman tidak memberi isyarat atau kata putus bagi membentuk kerajaan dengan mana-mana parti tetapi cenderung kepada parti Likud. Dia berkata, ‘tiga kemungkinan iaitu kerajaan yang lebih besar dan kami dapat apa yang kami mahu; kerajaan yang kecil yang mungkin lumpuh; dan pilihan ketiga ialah pilihan raya yang mana kami tidak akan dapat apa-apa.’ Tzipi Livni, pemimpin Kadima dilihat tidak teruja untuk menyertai mana-mana gabungan yang tidak memberinya kelebihan sebagai ketua. Sebaliknya beliau dilaporkan memberitahu penyokongnya yang Kadima lebih bersedia sebagai pembangkang di parlimen. ‘Hari ini asas kepada pembentukan kerajaan ini terletak pada Netanyahu. Ini bukanlah cara kita.’ Kadima di bawah Livni lebih cenderung mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) namun Netanyahu mengambil pendekatan sebaliknya kerana perbincangan tidak membawa sebarang hasil. Lieberman mengambil pendirian anti Arab yang keras termasuk meminta semua warga Arab menandatangani ikrar setia kepada negara Yahudi. Perkembangan masa depan politik Israel dilihat tidak stabil jika keadaan ini berterusan dan bakal mengundang campur tangan Washington untuk pilihan raya semula. Pilihan raya yang berakhir pada minggu lepas memaparkan Kadima mendapat 28 kerusi diikuti Likud 27 kerusi dan Yisrael Beiteinu 15 kerusi daripada 120 kerusi yang dipertandingkan. Kerajaan yang stabil perlukan sekurang-kurangnya 60 kerusi. Netanyahu boleh membentuk kerajaan jika parti pimpinan Lieberman, parti Shas (ultra ortodoks) dan beberapa parti agama yang kecil memilih untuk bergabung. Presiden Peres telah berbincang dengan semua parti tetapi ingin berbincang semula dengan Netanyahu dan Livni bagi isu ‘Gaza, Tebing Barat, Iran dan perkembangan ekonomi semasa.’ Peres dijangka akan mengumumkan pilihannya untuk membentuk kerajaan pada minggu depan. Disebabkan parti Kadima tidak memberi lampu hijau kepada Livni untuk memimpin, dia berada dalam kedudukan lemah untuk mendapat persetujuan presiden.

Hamas beri bantuan kecemasan di Gaza

Laporan, The Electronic Intifada, 16 Februari 2009 GAZA CITY, Semenanjung Gaza (IRIN) - Kerajaan Hamas di Gaza menyatakan sedang dalam usaha membantu ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan/atau ahli keluarga sepanjang 22 hari serangan Israel yang berakhir pada 18 Januari. Menurut Timbalan Menteri Hal-hal Sosial, Sobhi Redwan, dianggarkan Hamas telah membelanjakan sebanyak USD50 juta (RM175 juta) bagi tujuan bantuan kecemasan, tetapi lebih banyak bantuan yang diperlukan. Ramai penduduk berpusu-pusu beratur di luar pejabat timbalan menteri dalam rangka mendapatkan bantuan makanan kecemasan dan mendakwa tidak mendapatkan sebarang bantuan daripada PBB dan agensi-agensi lain. "Kami membantu semua penduduk di Gaza yang memerlukan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan ke bantuan semasa dan selepas perang." kata Redwan kepada IRIN pada 11 Februari. Pihak kerajaan telah membentuk satu "komiti tertinggi negara bagi urusan bantuan" yang mengandungi wakil daripada semua kumpulan di Gaza kecuali Fatah. "Komiti ini ditubuhkan bertujuan untuk membolehkan bantuan disalurkan secara saksama kepada semua orang yang ditimpa kesusahan," Loay Qaryuout, jurucakap komiti dan wakil Popular Front for the Liberation of Palestin (PFLP) memberitahu IRIN. Hamas telah menyediakan senarai penduduk-penduduk yang layak dan juga waris-waris sebenar dalam rangka memastikan pengagihan bantuan yang efektif dan saksama, jelas Qaryuout. Hamas juga telah meminta organisasi-organisasi bantuan tempatan dan antarabangsa, termasuk UNRWA (agensi PBB bagi pelarian Palestin), untuk menyelaraskan usaha bantuan dengan pihak kerajaan. Lebih kurang 900,000 penduduk Palestin telah memohon bantuan makanan daripada UNRWA. "Secara umumnya UNRWA mengagihkan makanan kepada pelarian-pelarian dan World Food Program membantu mereka yang bukan pelarian, walaupun terdapat pertindihan sejak berlakunya perang," kata jurucakap UNRWA, Christ Gunness, kepada IRIN melalui telefon dari Jurusalem. Sejak Hamas mengambil alih pemerintahan di Gaza pada bulan Jun 2007, sekatan antarabangsa dan Israel telah memaksa Hamas mencari dana untuk membiayai pentadbiran Gaza secara tidak konvensional -- dengan menggunakan terowong-terowong rahsia di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, menggunakan khidmat orang tengah tempatan, dan juga pengurup wang-pengurup wang yang mempunyai hubungan di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan wang yang mereka perlukan. Bantuan Tunai Sekitar 4,000 orang penduduk Gaza yang tempat kediaman mereka musnah menerima lebih kurang USD4,000 daripada kerajaan setakat ini. Manakala lagi 4,000 orang penduduk yang kediaman mereka mengalami kerosakan, telah menerima lebih kurang USD2,500 setiap seorang. Lebih kurang 4,000 rumah telah musnah dan lebih kurang 17,000 mengalami kerosakan teruk akibat perang, menurut PBB Gaza. Kerajaan menyediakan USD1,300 kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga; orang yang tercedera menerima USD650 setiap seorang, kata Redwan. Hamas juga mengagihkan bantuan satu-kali sebanyak USD100 (RM350) kepada 80,000 orang penduduk yang menghadapi kesulitan sosial pada 11 Februari. Ala, 37 tahun, penyokong Fatah dari Gaza Cita, menerima USD100 daripada kerajaan untuk isteri dan empat orang anaknya. "Ia membantu untuk beberapa hari. Kami perlukan susu dan lampin untuk anak-anak, yang sangat mahal sekarang," kata Ala. Tetapi menurutnya dia tidak mempunyai cukup wang untuk membaiki tangki air di bahagian atas rumahnya yang rosak dan mengganti tingkap yang pecah. Bantuan Makanan Pihak kerajaan menyatakan telah mengagihkan pakej bantuan makanan kecemasan -- termasuk bahan asas seperti gula, minyak masak, beras, tepung, teh dan makanan dalam tin -- kepada hampir semua keluarga yang hilang tempat tinggal. Mereka juga menerima alas tempat tidur dan selimut. Bantuan satu-kali, termasuk tepung dan makanan dalam tin, juga telah diagihkan oleh kerajaan kepada 30,000 orang penduduk yang tempat kediaman mereka mengalami kerosakan. Sebelum agresi, lebih 50 peratus daripada penduduk tinggal di bawah paras kemiskinan dan 42 peratus tiada pekerjaan. [IRIN/terjemahan HALUANPalestin]

Masjid Al Aqsa: Yahudi Israel Gali Terowong Semula

Zionis Israel laknatullah dikhabarkan mengaktifkan kembali penggalian terowong berhampiran Masjid Al Aqsa, Jerussalem. Bahkan, mereka sebenarnya berniat untuk merobohkan masjid yang sangat suci dan bersejarah bagi umat Islam. Niat keji itu terbukti pada penggalian terowong bawah tanah yang telah dimulai sejak Sabtu (7/2/09), yang dilakukan oleh Israel's Antiquities Authority (IAA). Menurut sebuah sumber, penggalian tersebut dibiayai oleh Elad, sebuah gerakan berfahaman agama yang mendukung kependudukan yahudi. Penggalian ini tentu saja sebuah perencanaan jahat Israel laknatullah yang membahayakan keselamatan masjid Al Aqsa. Imam Jerusalem yang berasal dari Palestin, Sheikh Mohammed Hussein, telah menyerukan Israel untuk menghentikan penggalian tersebut. "Kerja-kerja pembinaan terowong itu akan membangkitkan amarah Muslim. Sebaiknya Zionis Israel menghentikan usaha itu." ujarnya. Ucapan Sheikh Mohammed Hussein amat tepat, bahawa umat Islam di seluruh dunia akan mengecam tindakan Israel tersebut. Tujuan Zionis Israel terhadap masjid Al Aqsa itu tidak lain adalah untuk merobohkan masjid itu kemudian mendirikan sebuah kuil Yahudi. Sementara itu, pemerintah Israel mengatakan bahawa penggalian itu untuk pembinaan kemudahan perdagangan dan pelancongan yang memerlukan tapak yang baru. Persatuan ulama Palestin mengingatkan bangsa Arab dan umat Islam atas penggalian tanah oleh Zionis Israel di bawah Masjid Al Aqsa. Mereka menyerukan agar segera melakukan tindakan menyelamatkan dan membela masjid suci Al Aqsa. Ini adalah kerana selain ancaman robohnya masjid Al Aqsa, aktiviti penggalian tersebut juga sangat merbahaya bagi penduduk sekitar masjid. Zionis Israel menggunakan mesin-mesin besar yang berpotensi merobohkan tiang asas Al Aqsa dan beberapa rumah penduduk.

Bukti Pelanggaran Undang-Undang Peperangan, Undang-Undang AS dan Jenayah Perang di Semenanjung Gaza

Ditulis oleh delegasi 8 peguam AS. 7 Februari 2009 [Gaza City]. Kami adalah delegasi yang terdiri daripada lapan orang peguam dari Amerika Syarikat yang menganggotai National Laywers Guild (NLG) di Amerika Syarikat, yang datang ke Gaza City untuk melakukan penilaian kesan serangan terkini [Israel] ke atas para penduduk [Gaza], dan untuk memastikan apa juga bentuk, sekiranya ada, perlanggaran undang-undang antarabangsa yang telah dilakukan dan menyiasat samada mana-mana Undang-Undang tempatan Amerika Syarikat telah dicabuli pada masa yang sama.

Register to read more...