1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Mereka tidak lagi kenal batasan

Eva Bartlett menulis daripada Semenanjung Gaza, Palestin 3 Januari 2009 [caption id="attachment_640" align="aligncenter" width="483" caption="Risalah yang digugurkan dari udara di Semenanjung Gaza berbunyi: "Wahai penduduk Semenanjung, Hamas akan menjerumuskan kalian kepada kemusnahan/ Jalan di Gaza Disember 2008." (Sameh A. Habeeb)"]Risalah yang digugurkan dari udara di Semenanjung Gaza berbunyi: "Wahai penduduk Semenanjung, Hamas akan menjerumuskan kalian kepada kemusnahan/ Jalan di Gaza Disember 2008." (Sameh A. Habeeb)[/caption] Dalam kekelaman debu dan asap kesan daripada serangan terkini F-16, satu keluarga mengunsi. Dispatch daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Jabalia Palestin (PRCS) menerima panggilan tanpa henti daripada penduduk yang mengosongkan rumah masing-masing dengan penuh ketakutan. Hari ini tahun baru, Nakba [tragedi] baru, dan scenario lama; Israel sekali lagi mengebom Gaza dan seluruh dunia tidak berbuat apa-apa, mengambil sikap berada di atas pagar yang jauh bezanya daripada pagar sempadan ber-elektrik yang memenjara Gaza, atau pagar yang memisahkan Tebing Barat. Dunia berada di atas pagar, sambil mengemukan alasan membenarkan pembantaian Israel ke atas orang awam yang telah terancam nyawa sebelum ini akibat sekatan. Empat ambulan keluar malam ini, berbanding hanya dua malam tadi. Ambulan-ambulan bergerak menyelinap di lorong-lorong gelap di pekan yang dikosongkan -- sama seperti jalan-jalan lain di seluruh Gaza -- sambil mengelak kesan runtuhan yang masih baru. Semua ini adalah sesuatu yang amat mustahil, tak masuk akal dan ia adalah pembunuhan massal. "Mereka tidak lagi kenal batasan," lapor pegawai perubatan. "Mereka telah gila." Kami melewati kerangka rumah, masjid, sekolah dan kedai, dan melihat deruan penduduk yang panik melarikan diri untuk menyelamatkan diri. Lebih ramai lagi yang meninggalkan tempat ini pada pagi hari selepas pengeboman berterusan berhampiran tempat kediaman penduduk pada malam sebelumnya. Saya melihat tinggalan runtuhan. Pagi tadi Israel menggugurkan risalah sebaran yang mengumumkan niat mereka untuk mengebom kawasan utara sebagai satu bentuk hukuman kolektif, para penduduk benar-benar mempercayainya. Lampu-lampu di stesyen PRCS Jabaliya tidak menyala, elektrik telah terputus. Di dalam kegelapan dan kedinginan malam, bunyi ledakan di luar bertambah jelas kedengaran. Bau tengik asap daripada ledakan peluru-peluru memenuhi udara. Perasaan terkepung dari segenap penjuru oleh jet perang, kereta kebal, bulldozer dan kapal perang bertambah mencengkam setelah mendapat berita tentang sasaran terbaru serangan di Gaza; rumah anak yatim di Bandar Gaza, berhampiran masjid Palestin, beserta khabar angin masjid kemungkinan sasaran seterusnya, menjadikan sekurang-kurangnya 10 buah masjid yang telah dimusnahkan. Bilangan korban dan tercedera daripada serangan ke atas Masjid Ibrahim al-Makadma hari ini ialah 11 dan 50, dan meningkat. Panggilan kecemasan yang diterima daripada kawasan barat laut, dan 500 kilometer  timur daripada stesyen ambulan ini  terpaksa diabaikan.  Para medik perlu beurusan dengan pihak Israel melalui International Committee of Red Cross (ICRC). Satu ironi; penjajah tidak membenarkan yang dijajah keluar, penjajah masuk dan menjajah, penjajah membunuh dan mencedera, dan -- sesuatu yang sukar dipercayai  -- masih punya hak untuk membenarkan atau menafikan pihak lawan daripada mengambil mangsa mereka yang cedera dan terbunuh. Saya akhiri artikel saya di sini dengan kebingungan yang tidak berkesudahan, terlalu sukar untuk diterima oleh akal saya -- dengan ledakan letupan dan bilahan kipas Apache; dengan rentetan tembakan di waktu malam; dan dengan ledakan-ledakan yang entah ke mana disasarkan dan entah bila akan ditamatkan. --- Eva Bartlett adalah aktivis kemanusiaan Kanada dan juga penulis bebas yang menetap selama lapan bulan pada tahun 2007 di tengah-tengah komuniti Tebing Barat dan empat bulan di Kaherah dan di pintu sempadan Rafah. Dia sekarang berada di Semenanjung Gaza setelah tiba bersama bot ke-3 milik Free Gaza Movement. Dia bekerjasama dengan International Solidarity Movement di Gaza, menaiki ambulan-ambulan dan pada masa yang sama menyaksi dan mendokumentasi serangan udara dan darat Israel di Semenanjung Gaza.

Konspirasi George W Bush & Ehud Olmert?

PRESIDEN Amerika Syarikat George W Bush dan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert diberi tumpuan minggu ini berhubung prestasi masing-masing. bush5Bush yang bakal melepaskan jawatan kepada Presiden baru tahun depan, diberi perhatian rakyat Amerika dan luar negara ketika memberi ucapan tahunannya yang terakhir berhubung keadaan negaranya, Isnin lalu. Rakyat Amerika atau di negara luar mahu tahu sejauh mana pandangan Bush mengenai pencapaiannya memerintah dua penggal negara kuasa besar berkenaan. Jelas, lebih banyak kekecewaan dan kegagalan daripada berita menggembirakan. Bush umumnya memberi taklimat ringkas mengenai isu Iraq, Iran, perdagangan antarabangsa dan Palestin, manakala dalam perkara dalaman beliau mengulas soal krisis perumahan dan ekonomi Amerika, penyelidikan sel tunjang dan pengklonan serta tenaga dan alam sekitar. Dalam soal dalaman sekalipun, pemerhati dan penganalisis tidak memberi penilaian positif kepada pentadbiran Bush, inikan pula pencapaiannya dalam hal ehwal antarabangsa. Bagi penduduk Palestin atau Israel yang cintakan keamanan, Bush berkata, 'masanya sudah tiba di negara Israel dan Palestin yang demokratik untuk tinggal berjiran secara aman.' "Penduduk Palestin melantik seorang Presiden yang mengiktiraf perlunya memerangi keganasan bagi membentuk negara membolehkan penduduknya tinggal dalam suasana baik dan aman dengan Israel. Israel pula mempunyai pemimpin yang mengakui kewujudan Palestin yang demokratik dan aman adalah sumber keselamatan berkekalan," kata pemimpin Amerika itu. Masalahnya, semua perkara yang diharapkan Bush mahupun masyarakat antarabangsa sudah dicapai di Palestin, tetapi dihancurkan Israel dan Amerika sendiri yang tidak menerima keputusan demokrasi di tanah jajahan Yahudi itu. Mereka mahu demokrasi? Fatah dan Hamas bertanding dalam pilihan raya dan pergerakan Hamas menang. Bagaimanapun, kejayaan Hamas tidak disambut dengan bunga atau ucapan tahniah, tetapi diboikot Washington dan negara Eropah. Image DIGESA UNDUR: Olmert membetulkan kolar baju pada persidangan Parlimen di Baitulmaqdis minggu lalu.Dunia boleh lihat apa yang berlaku di Gaza apabila penduduk Palestin dengan bantuan Hamas, pergerakan yang digelar pengganas oleh Washington, terpaksa meletupkan tembok sempadan untuk membolehkan mereka mendapatkan keperluan asas di Mesir. Kesimpulannya, adalah lebih wajar menyatakan bahawa sudah tiba masanya bagi Amerika menerima, mengakui dan mengiktiraf demokrasi sudah wujud di bumi Palestin dan menyekat Israel daripada terus menindas serta membunuh warga pribumi Palestin. Dalam kata lain, Amerika perlu benar-benar adil dalam memainkan peranan broker kedamaian. Negara Palestin sepatutnya sudah lama dibentuk. Apakah penjajahan Zionis lebih 60 tahun di bumi Palestin belum mencukupi untuk rakyatnya diberi kemerdekaan dalam erti kata sebenar? Mengenai Iraq, Bush secara tidak langsung akur dengan pandangan bahawa misi tentera Amerika di negara Teluk itu akan diundurkan sehingga semua askarnya tidak lagi ada di bumi Iraq. "Musuh kita di Iraq sudah menghadapi padah serangan askar kita. Mereka, bagaimanapun, belum lagi kalah dan kita perlu bersedia untuk terus menghadapi pertempuran. Matlamat kita pada tahun mendatang ialah mengekalkan dan memperkukuh kedudukan yang dicapai pada 2007 dan pada masa sama, bersedia beralih ke fasa baru. "Tentera Amerika sudah mengubah misi sebelum ini daripada mengetuai operasi kepada bekerjasama melakukan misi dengan askar Iraq dan seterusnya memantau." Apapun yang dijadikan alasan oleh Bush, masyarakat antarabangsa dan tinjauan demi tinjauan di Amerika sendiri memutuskan bahawa askar Amerika tidak sepatutnya melancarkan perang di bumi Iraq. Tidak hairanlah Bush dan pegawai kanannya tidak berani lagi menyebut alasan keramat menyerang Iraq iaitu senjata pemusnah besar (WMD). Petanda terbaru kempen perang di Iraq dan medan konflik lain yang disertai Amerika semakin kucar kacir ialah perangkaan tentera menunjukkan 121 askar Amerika membunuh diri pada tahun lalu, 34 daripadanya di Iraq. Ini berbanding 89 kes tahun sebelumnya. Agensi berita Associated Press (AP) memetik Kolonel Elspeth Ritchie, perunding psikiatri tentera sebagai berkata, selain faktor masalah peribadi dan kewangan, sebab lain termasuk tempoh bertugas di Iraq, Afghanistan atau negara berdekatan. "Anggota tentera terlalu banyak melakukan misi dua perang (Iraq dan Afghanistan) menyebabkan Pentagon melanjutkan tempoh biasa bertugas daripada 12 bulan kepada 15 bulan membabitkan askar sama beberapa kali bertugas di tempat sama," kata AP menjelaskan faktor membawa kepada kes bunuh diri itu. Tidak syak lagi, percaturan Bush mensasarkan Saddam Hussein dan pemimpin kanan Baath atas nama demokrasi, hak asasi manusia dan menghapuskan ancaman WMD memberi kesan sebaliknya. Walaupun Saddam sudah tiada, kehadiran askar Amerika di bumi Iraq menambahkan kebencian penduduk, selain menjadi sumber inspirasi kepada al-Qaeda dan pergerakan jihad merancang dan melaksanakan serangan terhadap tentera asing itu. Tidak cukup dengan menjatuhkan rejim Taliban di Afghanistan bagi menghapuskan ancaman Osama bin Laden, Bush menerusi satu lagi slogan iaitu 'Pakatan Kejahatan' (Axis of Evil) menyenaraikan Iran dan Korea Utara sebagai musuh demokrasi dan keamanan. "Mesej kami kepada pemimpin Iran juga jelas. Hentikan program perkayakan nuklear dan sertai semula masyarakat antarabangsa, jelaskan niat isu nuklear dan hentikan sokongan kepada pengganas di luar negara. Kami akan berdepan dengan pihak yang mengancam askar kami dan mempertahankan kepentingan kami di Teluk Parsi," katanya. Setakat ini, Bush yang menuntut Iran menghentikan program nuklearnya terus mengeluarkan retorik keras perkara itu. Dalam kes Korea Utara, ia menghantar wakil berunding isu berkenaan. Jadi, tidaklah mengejutkan Bush tidak langsung menyebut peristiwa 11 September 2001 yang menyebabkan pentadbirannya melancarkan kempen memerangi keganasan dengan slogan 'anda bersama saya atau menentang saya' bukan satu kejayaan besar sebaliknya mencetuskan kesan yang tidak disangka-sangka. Sekutu terdekat Amerika, Israel, paling kuat menyokong Bush dalam kempen memerangi keganasan. Sejak peristiwa 9/11 Israel tidak segan silu menyokong apa juga langkah Amerika dan ini sampai kemuncaknya apabila pentadbiran Olmert melancarkan kempen perang terhadap Hizbullah di Lubnan bagi menghapuskan pergerakan itu dan menyelamatkan beberapa askar Yahudi yang ditawan pergerakan pejuang berkenaan. Selepas 34 hari, gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hizbullah. Kira-kira 1,035 hingga 1,191 orang awam Lubnan maut, selain 119 askar dan 40 orang awam Israel. Suruhanjaya Winograd memutuskan, pentadbiran Olmert gagal melindungi orang awam selepas kira-kira 4,000 roket dilancarkan Hizbullah ke wilayah penduduk Yahudi pada Julai 2006. Eliahu Winograd, 81, hakim bersara yang mengetuai suruhanjaya berkenaan menyifatkan Israel tidak menang perang di Lubnan itu dan menyalahkan pemimpin politik dan tentera atas kelemahan pada peringkat kajian strategik perang dan pelaksanaannya. Kegagalan kempen perang di Lubnan menyaksikan Dan Halutz meletakkan jawatan sebagai panglima tertinggi tentera disusuli Menteri Pertahanan, Amir Peretz. Ia menyebabkan Hizbullah mendabik dada menang dalam menghadapi serangan Israel di selatan Lubnan. Laporan Suruhanjaya Winograd, meskipun menekankan kesilapan dilakukan dalam kempen menyerang pejuang Hizbullah, tidak pula menuding jari menyalahkan Olmert menyebabkan Perdana Menteri Israel itu mengeluarkan kenyataan lega dengan keputusan berkenaan dan menolak gesaan meletakkan jawatan. Di sini, Bush dan Olmert berpendirian sama. Mereka membuat keputusan untuk melancarkan serangan terhadap musuh walaupun pemimpin Amerika melakukannya dengan memberi alasan palsu, manakala pemimpin Israel itu pula bertindak selepas diberitahu mereka berupaya menghapuskan Hizbullah. Sekalipun enggan mengakui kempen dilancarkan itu salah, tinjauan pendapat mendapati orang awam tidak lagi mempercayai Olmert. Tinjauan agensi Maagar Mohot mendapati, 60 peratus warga Israel berpendapat Olmert patut meletakkan jawatan. Hanya 19 peratus berpendapat sebaliknya. Tegasnya, Bush mahupun Olmert nyata gagal dalam misi memerangi keganasan takrifan masing-masing, sebaliknya, tindakan dua pemimpin itu menyebabkan negara mereka dipandang serong kerana bertindak umpama pengganas yang diperangi. Tidak hairanlah ucapan Bush tidak membincangkan 9/11. Olmert pula enggan melepaskan jawatannya meskipun dibidas kerana melancarkan serangan terhadap Hizbullah hingga memusnahkan infrastruktur Lubnan. Media Barat tidak segan silu merujuk seseorang pemimpin itu sebagai 'diktator', 'kuku besi' mahupun dalang pembunuhan ribuan manusia seperti dinyatakan berulang kali menjelang, ketika dan selepas kematian Presiden Suharto atau Saddam. Apakah Bush dan Olmert tidak boleh dimasukkan dalam kategori sama?

Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan

Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat. Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya. Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika. Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya. Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu? Beberapa hari saya menyertai demontrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di UK ini. Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Dato’ Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir. Selama seminggu demonstasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemontrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin. Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demontrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel. Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).
Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):
“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).
Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel. Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika. Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demontrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan. Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel. Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajiban umat Islam dalam isu Palestin? Setelah berletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula? Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi s.a.w:
“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)
Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain. Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan. Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan. Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Sumber: drmaza.com/home/

Mengapa Isu Palestin Hanya Bermusim?

mengapa-bermusimMengapa? Mengapa isu Palestin hanya bermusim? Ia hanya jadi bualan apabila digembar-gemburkan? Ia hanya dipedulikan apabila serangan musuh semakin mengganas? Mengapa jadi begitu? Bukankah mereka saudara kita? Mereka juga muslim seperti kita? Mereka manusia seperti kita, bukan robot yang hanya berlakon. Hidup mereka, tidak pernah sunyi dari dentuman bom api, rintihan ibu kehilangan anak, tangisan anak kematian keluarga. Tiada sesaat untuk bahagia, tiada masa untuk ketawa. Kesedihan menjadi teman. Kesusahan itulah kehidupan mereka. Mereka tidak kenal erti senang, mereka tidak tahu apa itu keseronokan. Mereka tidak mampu tersenyum gembira, tiada yang membahagiakan jiwa mereka. Mereka lapar, tidak tahu nikmat kenyang, mereka penat, tidak memahami erti nyenyak. Bagaimana pula kita? Jauhnya jurang perbezaan antara kita dengan mereka. Temanku, kita hidup penuh kesenangan. Kita mampu ketawa dan berseronok. Kita dapat tidur dengan nyenyak. Kita berpeluang menatap wajah ibu, kita ada masa berdamping dengan ayah, kita bahagia bersama keluarga. Apa yang kita hajati, pastinya kita akan miliki. Jika kita sakit, ada ubat, penawar kesakitan. Jika perut kita lapar, ada makanan yang dapat mengisi, malah kadang-kadang kita terlalu kenyang hingga membuatkan kita begitu lena dalam tidur kita. Bahagianya kita, senangnya hidup kita. Apa yang kurang, boleh ditambah. Ada yang rosak, boleh dibaiki. Pernahkah kita terfikir, bagaimana mereka saat kita menjamah makanan? Bagaimana mereka tika kita seronok bergelak ketawa? Bagaimana mereka hidup, kita senang tak berkesudahan? Adakah bersama mereka teman pembakar semangat? Adakah saudara pengubat kesedihan? Adakah minuman untuk hilangkan kehausan? Adakah makanan mereka hilangkan rasa lapar? Adakah ibu bersama anaknya? Adakah anak bersama keluarganya? Apakah mereka ada penawar kesakitan dan keperitan? Bagaimana hidup mereka sehari-hari? Mungkin kita terfikir apabila ada yang bertanya.. Mungkin kita peduli apabila mereka menjadi isu.. Mungkin kita bertanya apabila mereka jadi bualan.. Wahai teman, marilah sama-sama kita tanyakan pada hati kita, di mana rasa sedih kita tika anak Palestin merintih sayu? Di mana perikemanusiaan kita saat kita menonton kisah kehidupan mereka? Mengapa hati kita senyap tanpa perasaan? Mengapa tiada bicara walau hanya kalimah simpati? Mengapa kita pejamkan mata hati kita? Mengapa kita masih berdalih saat mereka perlukan bantuan? Apakah yang menjadi halangan untuk kita turut sedih saat mereka sedih? ..untuk kita rasa sengsara tika mereka kesusahan? ..untuk kita menangis saat mereka menangis? Pasti ada sesuatu terpaku di hati yang menyebabkan kita jadi begini... yang menyebabkan hati kita hilang rasa... mata kita kering dari tangisan... hati kita sunyi tanpa bicara, hanya berdalih semata-mata.. Mungkin kita terlalu sibuk dengan dunia kita, hingga kita lupa dunia mereka. Mungkin lakonan dan aksi artis merupakan sesuatu yang besar di mata kita, hinggakan rakaman hidup mereka kita pandang sebagai lakonan dan aksi semata-mata. Mungkin hidup kita sunyi dari dentuman bom, rintihan dan tangisan, membuatkan kita tiada apa-apa rasa untuk dikongsi bersama.. Tiada rasa sedih untuk kita turut menangis.. Tiada rasa simpati untuk kita turut membantu.. Tiada rasa tanggungjawab untuk kita munyumbang sesuatu.. Wahai insan, mengapa kita hanya tunduk membisu? Mengapa kita kelu tanpa bicara? Di mana usaha kita untuk turut membantu mereka yang memerlukan bantuan kita? Mengapa kita hanya mendiamkan diri? Peluang beramal di depan mata untuk siapkan bekalan hari kemudian. Andai hati kita tiada rasa, kejutlah ia untuk turut rasa.. Andai diri kita hanya kaku, pujuklah ia untuk berbuat sesuatu.. Kita tidak mampu mengangkat senjata, tidak juga membuat bom api, angkatlah tanganmu yang lemah itu, pintalah sesuatu dari Yang Maha Kuat, iaitu kekuatan dan bantuan dariNya.. Genggamlah penamu untuk kau menyeru agar manusia memahami, membantu dan menyebarkan sesuatu.. Jadilah hamba yang pemurah dengan mengorbankan sedikit dari wang poketmu.. Moga semua itu menjadi saham di esok hari.. Hari yang pasti kita temui, hari pembalasan amal kita di dunia ini. Sanggupkah kita pulang tanpa bekalan? Mampukah kita menjawab segala persoalan, andai anak palestin bangkit mempersoalkan hak mereka sebagai muslim? Kita juga muslim, apa usaha kita untuk membantu mereka, saudara-saudara kita? Sumbanglah sesuatu agar kita tidak pulang dengan alasan tetapi berupa bekalan, ikhtiar kita membantu mereka.. Kiriman: Nurul Izzah (bintu_mazra@yahoo.com)

Anarki yang kreatif di Semenanjung Gaza

sparkTidak seperti manusia lain di dunia ini, penduduk Gaza menunggu pemergian tahun 2008 dengan kemungkinan serangan tentera udara Israel, bedilan kereta kebal, atau mungkin juga lancaran peluru misil dari armada perang yang sedang bersedia di pesisiran. Anak-anak Gaza mungkin menyangkakan semua kerlipan cahaya letupan datangnya dari upacara sambutan tahun baru oleh tentera-tentera Israel. Tapi mereka tersentak, apabila melihat kawan-kawan mereka tiba-tiba tercedera, malahan ada yang terbunuh. Sejurus selepas itu, baru mereka sedar bahawa Israel inginkan supaya anak-anak Gaza ini menyambut tahun baru 2009 dengan suasana yang mengerikan, bukannya kemeriahan. Malam tadi, saat-saat akhir tahun 2008, adalah pengalaman yang paling dahsyat dan mengerikan penduduk Gaza. Hampir setiap saat butir-butir bom jatuh di atas rumah-rumah dan juga sasaran-sasaran lain yang telahpun diranapkan. Tidak kurang dari 10 orang terbunuh and ramai sekali yang tercedera. Antara tempat yang menjadi sasaran bom tentera Israel adalah Kementerian Perundangan, Kementerian Pendidikan dan Majlis Perundangan. Pengeboman institusi-institusi tersebut lansung tidak ada kena-mengena dengan pemencilan Hamas mahupun melemahkan penentangan oleh rakyat Palestin. Mungkin tujuan sebenar Israel adalah untuk merealisasikan apa yang disebut oleh Setiausaha Amerika, Condoleezza Rice, sebagai "anarki yang kreatif" - suasana yang penuh huru-hara. Sesungguhnya Israel sentiasa mahukan penduduk Gaza hidup dalam keadaan tidak terurus. Mereka  mahukan suasana kelam-kabut terus berkembang di Semenanjung Gaza. Mereka ingin musnahkan segala perundangan dan sistem kehakiman yang ada, dan menggantikannya dengan undang-undang rimba yang telah dilaksanakan sebelum Hamas berkuasa. 090101-habeeb-gazaSuasana kelam-kabut seperti itu akan menjadi lebih kekal dan berterusan lagi dengan membiarkan penduduk Gaza terus dalam kejahilan dan buta huruf. Mungkin inilah polisi sebenar mereka, untuk menghancurkan sistem pendidikan secara sistematik, meranapkan universiti, sekolah, malahan Kementerian Pendidikan. Sebagai kuasa penjajah, Israel menggunakan strategi ini untuk menguasai penduduk Palestin. Strategi yang sama diambil oleh mana-mana penjajah: pastikan mereka yang ingin ditindas terus berada dalam kejahilan, supaya mereka tidak dapat lagi memberontak. Dakwaan Israel bahawa institusi-institusi tersebut digunakan sebagai pusat ketenteraan atau tempat berlindung, dan tempat-tempat mengeluarkan senjata adalah terlalu tidak munasabah dan tidak masuk akal sama sekali. Dakwaan-dakwaan mereka tidak ubah seperti dakwaan yang dibuat oleh Colin Powell ke atas Iraq untuk menghalalkan mereka menyerang dan menakluk Iraq. Menimbunkan bahan buangan dan runtuhan-runtuhan di Semenanjung Gaza adalah satu lagi cara untuk penjajah ini membuktikan bahawa rakyat Palestin hanyalah golongan teroris yang tidak terurus, menggerunkan dan tidak boleh berfikir. Sebaliknya mereka ini harus dibelenggu dengan penaklukan, terus menerus tertekan dan tertindas, supaya mereka tidak akan lagi mengganggu mereka yang hidup di "Garden of Eden." Apa yang harus dilakukan oleh rakyat Palestin untuk mengatasi penindasan seperti ini? Haruskan mereka terus dipejarakan di Gaza, sebuah kem kosentrasi yang terbesar di bumi ini? Haruskah mereka akur kepada kepungan ini, dan berdoa, "penjarakanlah kami, untuk memberi kami kebebasan"? Apa yang berlaku di Gaza hari ini adalah merupakan satu malapetaka yang amat besar. Pemusnahan secara sistematik terhadap masjid-masjid, sekolah, universiti dan pembunuhan mereka yang tidak bersalah adalah satu jenayah perang. Mereka seharusnya dibawa ke muka pengadilan. Kami rakyat Palestin menghargai usaha yang dilakukan oleh mereka di luar sana, di dunia yang bertamaddun dan bebas, untuk memberhentikan pencerobohan ini, dan membawa penjenayah perang ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa. (ei) Dr. Akram Habeeb Penolong Professor American Literature, Islamic University of Gaza. 1 January 2009

Palestin Tanahairku

masjid-aqsa2Dalam muktamar kelima Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah mengisytiharkan bahawa tanah air Islam tidak terpisah dan segala usaha pencerobohan terhadap salah satu bahagian darinya bererti pencerobohan terhadap keseluruhannya. Lantaran itu, tidak dapat tidak umat Islam mesti berusaha untuk membebaskan negara yang telah dicerobohi. Menyentuh isu Palestin yang hangat diperkatakan di seluruh dunia, maka marilah kita bersama merasakan tanggungjawab kita terhadap saudara seakidah kita di bumi Palestin sana. Saban hari dibedil dan diancam oleh Zionis. Bukan mereka minta untuk lahir dalam suasana yang sedemikian, namun inilah ujian untuk melihat kesatuan dan ukhwah ummat Islam seluruh dunia. Dengan penuh kerendahan hati, cuba kita tanya pada diri kita, benarkah kita ni muslim dan mukmin sejati? Pernah tak wujud walau secebis rasa dalam hati kita untuk membantu saudara-saudara kita di bumi Anbiya’ ini. Sewajibnya umat Islam seluruh dunia bersatu padu dan berganding bahu dengan segala kekuatan yang dimiliki untuk merampas semula tanah yang diduduki oleh rejim Yahudi itu secara haram. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah berkata: ”Kita memperingatkan delegasi-delegasi Islam tentang tipu muslihat Inggeris, kewajipan mengembalikan hak-hak orang Arab secara keseluruhannya dan selepas itu kita akan memperhitungkan dengan pihak Inggeris di dalam negara-negara Islam yang telah dijajahnya dengan zalim. Apa yang diwajibkan oleh Islam ke atas para penduduknya serta kita ialah bersama-sama berusaha membebaskannya.” Al-Banna pernah menyebarkan sebuah buku bertajuk “al-Nar wa al-dimar fi falastin (Api dan Kemusnahan di Palestin)”. Buku ini mempersembahkan gambaran-gambaran dan dokumen-dokumen jenayah yang dilakukan oleh British terhadap rakyat Palestin yang terbuang. Antara gambaran tersebut ialah pencerobohan Inggeris terhadap rumah-rumah dan beliau menggambarkan mereka mengoyak mashaf al-Quran al-Karim serta memijak-mijak dengan kaki mereka. Beliau menggambarkan kepada mereka hampir lima puluh gambaran jenayah dan penyiksaan. Ini ketika zaman al-Banna. Tapi sudah hampir berpuluh tahun sejak zaman itu, Palestin sekarang tetap dijajah, tapi oleh rejim yang lebih ganas, tiada perikemanusiaan, dan penuh tipudaya. Lihatlah... Rakyat Palestin yang ditahan sebagai tawanan hari ini diseksa dengan cara yang lebih kejam dan mengaibkan. Bukan setakat lima puluh jenis seksaan, bahkan beribu seksaan yang dilancarkan oleh Zionis yang menduduki tanah Palestin terhadap rakyat Palestin. Yang terbaru ini, Palestin terus dibedil tanpa rasa belas dan kasihan. Inilah peristiwa yang mengundang kemarahan umat Islam dunia. Namun, begitulah... Negara-negara jiran yang dahulunya pernah bersatu di bawah satu khilafah kini setelah berpecah, buat tak tahu je dengan jirannya yang dah lama hidup terseksa dan tertindas. Sekian lama, pemimpin negara-negara Arab terus bersekongkol dengan jahiliyah tanpa disedari akidah mereka sebenarnya telah lama diracun sehingga turut menghilangkan belas terhadap saudara seakidah bahkan negara jiran pula tu. Kembali kepada kisah Al-Banna menyebarkan buku tentang Palestin. Pihak Inggeris telah menjadi marah terhadap Mesir dan mereka memberi amaran kepada kerajaan Mesir supaya menahan penyebaran buku ini serta menahan mereka yang bertanggungjawab menyebarkannya. Akhirnya ibu pejabat Ikhwanul Muslimin dibanjiri oleh polis Mesir dan mereka menjumpai sebanyak lima puluh buku tersebut. Inilah dia, pentadbiran dan pemerintahan sebuah negara Islam berada di bawah jari telunjuk kaum kuffar. Orang Islam sendiri menerima arahan dari jahiliyah untuk menghancurkan gerakan Islam yang murni. Pegawai polis telah bertanya siapakah pemilik buku tersebut. Imam Hasan Al-Banna telah tampil dan berkata: “Akulah pemiliknya.” Pegawai polis tersebut meminta Imam Hasan Al-Banna mengikutnya ke Pejabat Pendakwaan. Seterusnya berlakulah soal jawab bersama Al-Banna seperti berikut: Wakil Pejabat Pendakwaan: “Adakah kamu pemilik buku ini?” Al-Banna: “Akulah pemiliknya.” Wakil Pejabat Pendakwaan: “Adakah kamu tidak mengetahui buku ini telah menyerang pelbagai kuasa dan membangkit perasaan marah rakyat terhadap negara jiran dan sekutu di dalam perjanjian?” Al-Banna: “Aku mengetahui perkara itu. Aku memang bermaksud menentang kuasa-kuasa tersebut dan negara sekutu ini.” Wakil Pejabat Pendakwaan: “Adakah kamu tidak tahu bahawa undang-undang akan mengenakan hukuman terhadap jenayah ini?” Al-Banna : “ Ketahuilah, aku tidak akan menghalang jika aku dihadapkan ke mahkamah kerana aku mengakui jenayah ini dan bertekad melakukannya.” Wakil Pejabat Pendakwaan pun selesai menjalankan penyiasatan tersebut lalu kes diserahkan kepada Timbalan Pengarah Pejabat Pendakwaan untuk mengadilinya. Al-Banna amat menyukai pengadilan kerana ia akan memberi peluang kepada beliau berhadapan dengan kehakiman dan media massa untuk disebarkan pendirian dan idea beliau. Ini dapat dikesan oleh agen-agen Inggeris berdasarkan nasihat ketua-ketua Inggeris mereka dan pemimpin Inggeris di Kaherah. Duta Inggeris telah berkata kepada Timabalan Pengarah Pejabat Pendakwaan selepas membaca hasil siasatan tersebut: Dengan laporan penyiasatan ini, kamu telah membuka satu peluang besar untuk al-Banna tanpa kamu sedari... Lelaki ini akan mampu mentertawakan kamu. Kitab telah pun disebarkan dan telah berada di tanagan orang ramai pada setiap tempat. Apa yang kamu lakukan tidak akan bernilai apa-apa berbanding apa yang telah diedarkan. Cita-cita lelaki ini ialah tampil ke muka pengadilan untuk dijadikan pentas mempertahan dirinya di dalam isu politik ini sebagai satu jalan untuk menyebarkan idea-ideanya, mencaci kita dan mengaibkan kita. Ia akan menyampaikan isi buku tersebut kepada pendengaran mereka yang tidak sampai maklumat tentangnya melalui akhbar-akhbar yang akan bersaing menyiarkan apa yang dikatakannya tentang isu tersebut sepertimana kebiasaaan akhbar dalam isu-isu politik...Laporan penyiasatan ini hendaklah disimpan dan Hasan Al-Banna hendaklah dibebaskan sekarang. Lihatlah tekad dan wawasan al-Banna dalam mempertahankan isu tentang Palestin. Bersungguh-sungguhnya beliau kerana beliau memahami dan merasakan ikatan akidah antara dirinya dengan saudara-saudara seakidah di Palestin. Lantaran itu, beliau berusaha memberi kesedaran tentang kepentingan membebaskan Bumi Aqsa itu melalui pelbagai wasilah. Keikhlasan dan ketulusan hati Al-Banna terhadap hal ini sebenarnya dipandu oleh iman yang benar. Imanlah yang melahirkan ukhuwah dan rasa kecintaan terhadap saudara seakidah. Marilah bersama kita memuhasabah diri kita kembali. Selama berada di bumi aman ini, pernahkah kita berfikir untuk nasib saudara kita di sana? Kalau dah berfikir, setakat mana usaha semampu mungkin yang telah kita lakukan untuk menyumbangkan bantuan melalui apa cara sekalipun.? Ingatlah, langit tidak selalunya indah, malam tak selalu cerah.....Kadang-kadang malam suram tak berbintang.... Kiriman: Afdholulrahman.