1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Keinsafan Ramadhan Bersama Huffaz Palestin: Mereka dikuasai al-Quran!

Ramadhan terus membawa nikmat dan rahmat yang tidak terhitung. Setiap orang beriman samada kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki atau wanita, berlumba-lumba meraih kebaikan dan keampunan Allah. Mereka amat yakin bahawa walaupun setiap amal yang diusahakan itu mungkin tidak begitu kelihatan manfaatnya di dunia ini, Allah akan tetap memberi ganjaran berganda-ganda di akhirat kelak Kehadiran Ramadhan kali ini membawa anugerah yang amat bermakna kepada kami sukarelawan HALUAN Palestin apabila seramai 10 orang huffaz Palestin sempat meluangkan masa sepanjang Ramadhan di Malaysia. Jika sebelum ini kita sering terdengar bagaimana kecintaan anak-anak Palestin terhadap al-Quran, maka kali ini dapat pula kita berjumpa dan bermesra dengan mereka, mengambil iktibar secara langsung dari pengalaman hidup mereka yang dibesarkan dalam suasana penuh perjuangan dan naungan al-Quran. Sheikh Maher Hasan al Munajjed yang mengetuai pemuda-pemuda yang dihantar khusus oleh Robitah Ulama Palestin ini dilahirkan di Damsyik pada tahun 1971. Betapa tegasnya ibubapa beliau dalam penghayatan Islam dan al-Quran, Sheikh Maher membesar sebagai seorang tokoh yang sangat disegani di Syria. Masakan tidak, beliau telah mendapat anugerah Ijazah Qiraat 10 yang mutawatir dari Syeikh Muhammad Toha Sukkar rahimahullah Taala pada tahun 1998. Bermula dengan ijazah dalam ilmu hadith dari Allamah Syeikh Muhammad Samir, iaitu nas yang diijazahkan dari Allamah Syeikh Yaa Siin al Ghaddani al Indonesiy Rahimahullah, beliau terus meraih ilmu sehingga mendapat kelayakan kedoktoran (PhD) dalam Usul Fiqh dari Universiti Omm Darman pada tahun 2011. Beliau juga turut diijazahkan dalam ilmu Mantiq dan Usul oleh Dr Muhammad Hasan Haito Hafizahu Allah. Dengan ilmu yang dianugerah Allah ini, Sheikh Maher memikul tanggungjawab yang sangat besar. Selain menjadi ahli tetap lajnah al-Quran di Kementerian Waqaf Syria, beliau juga menjadi ahli lajnah pemerhati mashaf dan ahli lajnah ujian pengijazahan al Quran di Syria. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan seorang guru al-Quran al Kareem di Kuliyah Dakwah al Islamiyah cawangan Damsyik dan juga di Jabatan Pengajian Tinggi di Jamiah Omm Darman cawangan Damsyik. Sheikh Maher merupakan seorang khatib di Masjid Sultan Muhammad Fateh, Damsyik. Perwatakan beliau yang merendah diri, bersahaja dan sentiasa dihiasi senyuman sudah cukup membuatkan para jemaah ternanti-nanti apa yang beliau akan perkatakan dalam sesi tazkirah sebelum bertarawih. "Tuan, esok Sheikh ada kat masjid mana? Saya nak terus ikut dia solat tarawih," tanya seorang ahli jamaah di Cheras seusai solat tarawih yang dipimpin oleh Sheikh Maher. Apa yang menarik dengan solat tarawih yang dipimpin oleh Sheikh Maher adalah selain membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil, beliau memperkenalkan bacaan mengikut qiraat yang berbeza, lalu menerangkan secara ringkas tentang qiraat tersebut seusai solat. Menurut beliau, semua qiraat datang dari Rasulullah saw, di mana para sahabat Rasulullah saw telah diagihkan ke tempat-tempat yang berlainan bagi menyebarkan dakwah Islam. Para sahabat Rasulullah saw begitu komited dalam bidang qiraat ini sehinggakan mereka menjadi terkenal dengan ketinggian Ilmu yang mereka perolehi. Antara jenis-jenis qiraat yang dimaksudkan adalah Qiraat Ibn Kathir, Qiraat Hamzah, Qiraat 'Asim, Qiraat Al-Hisan, disempenakan nama-nama para sabahat terbabit. Rasulullah saw mengambil qiraat-qiraat ini dari wahyu, bukan hasil rekaan Baginda saw sendiri. Perbezaan qiraat ini untuk memudahkan bacaan, kerana kesukaran orang-orang Arab tertentu untuk menyebut sesuatu qiraat itu. "Qiraat yang banyak ini juga bukti Al-Quran sebagai Mu'jizat," syarah Sheikh Maher. Indahnya al-Quran. Begitu luas bidang pembacaannya, apatah lagi panduan kehidupan yang dibawanya. Insaflah wahai diri! ---------------- Tulisan Mus'ab Saari. InsyaAllah bersambung lagi berkenaan kupasan tazkirah-tazkirah lain yang telah disampaikan oleh Sheikh  Maher.

Dalang Di Sebalik Penangkap Syeikh Ra'ed Solah

Penangkapan Sheikh Ra’ed Salah oleh pihak berkuasa British pada baru-baru ini adalah satu penghinaan yang sungguh nyata ke atas pertimbangan asas dalam sistem keadilan. Sheikh Salah merupakan salah satu pemimpin terkemuka 1.7 juta masyarakat Palestin. Penangkapannya juga adalah merupakan satu aib yang tidak akan dapat dipadamkan dan akan terus menghantui sistem keadilan British bagi suatu tempoh yang lama pada masa akan datang. Jauh sekali terhasil daripada pelanggaran undang-undang, penangkapan itu seolah-olah telah didorong oleh aduan bermotifkan dendam oleh golongan Zionis pro-Israel di ibu negara British. Pada dasarnya, motif sebenar di sebalik penangkapan itu adalah untuk menutup mulut salah satu defendan yang paling lantang menyuarakan hak penduduk Palestin – seorang   yang telah lama dianiaya perisikan Israel, termasuklah cercaan dan cubaan membunuh. Saya bukan bercakap tentang seseorang yang saya tidak kenali. Sejak akhir 1980-an, saya telah banyak kali bertemu Ra'ed Salah. Saya pernah melawat beliau di rumahnya di Um al-Fahm dan menghadiri ceramah-ceramah beliau. Dan dari perkenalan saya dengan lelaki ini, saya dengan sesungguhnya boleh membuktikan kejujuran, kesolehan, kemuliaan dan tauliah beliau yang bersih. Beliau adalah seorang lelaki yang lebih suka menjadi seorang bermoral [melakukannya] daripada menggunkan suara politik dengan tepat – beliau tidak akan mengelak daripada menyatakan kebenaran [pada pandangannya] kerana bimbang akan reaksi orang ramai yang tidak diingini. Sheikh Ra'ed Salah, dengan itu, merupakan seorang lelaki berprinsip luhur. Beliau percaya bahawa beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk bersuara menentang penindasan, terutamanya penindasan lucah oleh Israel yang dikenakan ke atas penduduknya sendiri – di  kedua-dua belah Garisan Hijau, di Tebing Barat, di Semenanjung Gaza, termasuklah Israel.   Beliau tergolong dalam kategori orang yang istimewa, yang merangkumi lelaki dan wanita, yang mana berdiri menghadapi kuasa, membuang berat moral mereka ke sebelah pihak yang lemah, yang ditindas dan yang tidak mampu berbuat apa-apa. Oleh itu, mengecap rasisme kepada lelaki ini adalah satu penghinaan kepada kebenaran, yang hanya boleh dibuat oleh Ignoramuses [orang yang jahil] yang mana kecacatan pada perangai jahil ini tidak akan pernah dapat diperbaiki ataupun oleh pendusta yang beniat jahat. Namun, faham-faham sahajalah, perisikan Israel telah membuat pelbagai usaha yang dapat difikirkan untuk memburuk-burukkan dan menunjukkan bahawa Sheikh Salah adalah seorang penjenayah. Pada bulan Oktober 2000, ejen-ejen Shin Beth [Agensi Risikan Israel] cuba untuk memasukkan beberapa gram hashish ke dalam poketnya dengan harapan untuk mencemarkan imejnya di kalangan warga Arab Israel. Beberapa tahun kemudian, beliau telah dituduh menggalakkan keganasan dan membahayakan keselamatan negara Israel. Menariknya, caj "keganasan" ini datang dari sebuah negeri yang masih mewujudkan dan mengamalkan keganasan, walaupun 63 tahun selepas kelahiran haramnya – yang  mana tidak akan terjadi tanpa keganasan massa, pembersihan etnik dan penyingkiran sebahagian besar daripada pribumi tulen tanah Palestin.   Dalam dekad yang lalu, Shin Beth telah mulai merasa jengkel dengan aktivisme Salah yang terfokus dan berkesan. Ianya berpusat pada satu tema utama – menyelamatkan Masjid Aqsa dari konspirasi dan rancangan permusuhan Israel.   Pelbagai jenis tuduhan telah direka terhadap lelaki ini, termasuklah dari mempunyai hubungan dengan organisasi pengganas kepada pemberian tepung, makanan dan pakaian kepada anak-anak "pengganas." Israel mengklasifikasikan rakyat Palestin hanya kepada dua kategori: "pengganas" yang patut dihapuskan – mereka yang menentang pendudukan keji Israel, walaupun melalui cara aman,; dan penyumbang [pembelot] yang sama ada tidak berkata apa-apa dan tidak berbuat apa-apa, ataupun bersetuju untuk menjadi pemberi maklumat rakyat sendiri.   Sheikh Salah dan beberapa rakan-rakannya dalam gerakan Islam di Israel pernah menjalani tempoh penahanan penjara yang lama kerana disabitkan dengan tuduhan yang kebanyakannya remeh dan tidak kukuh. Di mana-mana negara yang mempunyai sistem keadilan yang berwibawa, tuduhan semberono seperti itu akan digugurkan sebagai tuduhan palsu dan tiada mempunyai kebolehpercayaan. Walaubagaimanapun, kita sedang membicarakan tentang Israel – sebuah negara yang mengecap dirinya sebagai satu-satunya demokrasi di Timur Tengah walaupun dalam realiti, ia ‘bermukah’ [tidak menghormati]dengan aspek-aspek keadilan yang paling asas, seperti prinsip kehakiman yang tak lapuk dek zaman – bahawa orang yang dituduh tidak bersalah sehingga dia terbukti bersalah.   Di Israel, terutamanya apabila orang bukan Yahudi [contohnya Palestin] terlibat dengan sesebuah kes, prinsip keadilan akan diterbalikkan dan tertuduh menjadi bersalah sehingga terbukti tidak bersalah.   Dalam tahun kebelakangan ini, pentadbiran keadilan di Israel – sebuah negara yang berdasarkan ketidakadilan dan penindasan, telah menjalani metamorfosis Kafkaesque [Franz Kafka]. Seorang yang berketurunan Palestin – seorang lelaki atau perempuan yang tidak pernah melemparkan batu ke arah kakitangan Israel yang lengkap berperisai yang sedang menyerang kampung atau bandar mereka, dianggap sebagai bersalah walaupun telah terbukti tidak bersalah.   Hal ini merupakan sebab mengapa beribu-ribu rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk para pemimpin politik, penggubal undang-undang yang terpilih, profesor kolej dan golongan profesional dari pelbagai bidang sedang menderita di penjara-penjara Israel dan kem-kem tahanan. Mereka tiada disabitkan kesalahan melainkan kerana pemikiran, pandangan dan perasaan mereka.   Sebagai kesimpulan artikel ini, saya ingin merujuk kepada hati nurani orang-orang British: Dengan standard moral apakah, orang-orang yang tidak pernah menyakiti sesiapa sahaja dalam kehidupan mereka, seperti Ra'ed Salah, ditangkap dan dianiaya kerana pemikiran mereka, manakala penjenayah perang sebenar seperti Ehud Barak, Moshe Ya'alon dan Ariel Sharon, yang menanggung di tangan mereka begitu banyak darah yang tidak berdosa, diberikan sambutan dengan layanan yang penuh tertib di tangan pihak berkuasa British? Britain yang telah merampas Palestin dari negeri Islam Uthmaniyyah dan langsung memberikan negeri itu kepada orang-orang Yahudi Zionis di atas ‘pinggan perak’ [sebagai hadiah tanpa usaha] bertanggungjawab ke atas penderitaan dan pahit getir penduduk Palestin yang berpanjangan. Namun, jauh dari membuat penebusan bagi dosanya yang belum lagi terampun – yang telah mengakibatkan bencana, kematian dan kesakitan ke atas jutaan manusia, Britain seolah-olah masih setia kepada mentaliti keji yang telah memotivasikan Lord Balfour pada 94 tahun yang lalu untuk mengotakan janjinya yang paling dasyat [kejam] – memberikan  Palestin kepada Yahudi Zionis. Disunting dari tulisan Khalid Amayreh, berasal dari Palestin, seorang jurnalis yang berpangkalan di Dura, di daerah Hebron. (Sumber: PIC)

HALUAN Palestin Ziarah Rakan NGO di Indonesia

30 Jun 2011, Jakarta -- Sempena Konferens Asia-Pasifik Bagi Palestin di Jakarta dari 29hb hingga 30hb Jun baru lalu, wakil-wakil Biro HALUAN Palestin telah mengadakan ziarah silaturrahim ke pejabat rakan-rakan NGO yang bekerjasama dalam projek-projek bantuan kepada rakyat Palestin. NGO yang diziarahi dalam kesempatan ini adalah MER-C Indonesia, Sahabat Al-Aqsa, KISPA dan Hidayatullah. Ketua Komite Indonesia untuk Solidaritas Palestina (KISPA) Ustaz Ferry Nur begitu terharu menyambut Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hassan, bersama seorang lagi wakil HALUAN. Dalam perbualan beliau, Ustaz Ferry Nur melahirkan rasa-hati betapa perlunya bagi sesebuah pertubuhan atau NGO memikul amanah rakyat Palestin dengan bersungguh-sungguh dan penuh telus. Bagi pihak KISPA, mereka menyerahkan setiap sumbangan masyarakat untuk rakyat Palestin dalam kadar segera tanpa berlengah. Tidak satu rupiah sekalipun disimpan atau diguna walaupun untuk tujuan pengurusan dana bantuan tersebut. Di pejabat MER-C Indonesia pula, wakil-wakil HALUAN telah disambut oleh Ketua MER-C, Dr Yogi Prabowo, dan pengasas organisasi tersebut, Dr Joserizal Jurnalis, bersama-sama kakitangan lain. Turut hadir adalah dua relawan kapal Mavi Marmara, Dr Arief Rachman dari MER-C dan Surya Fachrizal, wartawan Hidayatullah. Surya merupakan seorang mangsa yang tercedera ditembak tentera zionis dalam kejadian serangan ke atas Freedom Flotilla pada 31 Mei tahun lalu. Pihak MER-C Indonesia telah memberi penjelasan mendalam tentang perkembangan projek pembinaan Rumah Sakit Indonesia di Bayt Lahiya, Gaza. Kedua-dua pihak telah mengusulkan beberapa bentuk kerjasama dalam menjayakan projek ini di peringkat operasi kelak. HALUAN, MER-C Indonesia, KISPA dan Sahabat Al-Aqsa sebelum ini turut bekerjasama mendirikan sebuah klinik gigi di kem pelarian Palestin di Damaskus. Klinik yang akan dikendalikan oleh 5 orang doktor gigi itu akan memberi khidmat kepada lebih 300 ribu pelarian Palestin di kem Yarmuk, Filistin, Sbena, Khan Danun dan beberapa kem lain di sekitar Damaskus.

Derita Areej, 4 Tahun Mangsa Bom Fosforus Putih Israel, Siapa Yang Peduli?

Areej adalah seorang kanak-kanak kecil berusia 4 tahun dari Sabra di Gaza. Dia adalah seorang yatim piatu, ayahnya terbunuh akibat serangan bom Israel. Areej menghadapi masalah pada kulitnya yang semakin memburuk akibat kesan daripada fosforus putih ketika pencerobohan Israel ke atas Gaza pada 2008-2009. Sehingga saat ini beliau masih belum menerima sebarang pemeriksaan lanjutan. Keluarganya tidak mampu mendapatkan rawatan untuk Areej kerana kesempitan kehidupan. Ayuh kita bersatu membantu saudara kita di Palestin. Hubungi Sekretariat HALUANPalestin sekarang: Hj. Noorazman Shamsudin – 0104005224 Pejabat HALUANPalestin: 03-7846146 Saudara Mus’ab (Setiausaha Kerja HALUANPalestin) - 0129547861

Belgium Sumbang 600,000 EURO Untuk Bantuan Pelarian Palestin

Belgium menyumbangkan € 600,000 (Euro) untuk membantu pelarian Palestin di Lubnan utara, demikian UNAWR untuk pelarian palestin memaklumkan. Sumbangan bantuan Belgium tersebut akan digunakan untuk membangunkan kembali kem pelarian Nahr al-Bared Palestin yang dihancurkan ketika pertempuran antara tentera Lubnan dan militan Fatah al-Islam pada tahun 2007. Kerajaan Belgium juga sebelum ini telah menyumbangkan 2.000.000 € (EURO) bagi tujuan kerja-kerja penyediaan tapak kem tersebut. UNRWA menyediakan bantuan pendidikan, kesihatan, bantuan dan perkhidmatan sosial untuk sekitar 4,7 juta pelarian Palestin di Jalur Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan, menurut laporan di laman sesawangnya. Badan ini sebahagian besar dibiayai oleh sumbangan dari negara-negara anggota PBB. (ptc)

Kegigihan Isteri As Syahid Dr. Abdul Aziz Ar Rantisi

Kiriman ini adalah dari kawan yang bersama dalam program Puan Rasya Al Adlouni (Ummu Muhammad) yang merupakan isteri kepada As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi di Masjid Negeri Shah Alam pada 24 Mac 2009, Selasa lalu. Assalamualaikum, Alhamdulillah malam semalam, Selasa 24.3.09 saya dapat mendengar penyampaian dari Puan Rasya Al Adlouni (Ummu Muhammad) yang merupakan isteri kepada As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi di Masjid Negeri Shah Alam. Melihat kepada kekuatan ucapannya dengan suaranya yang begitu bersemangat sambil berdiri terasa seolah-olah yang berucap itu adalah As Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi sendiri. Itulah tarbiyah yang telah dilaksanakan oleh Dr Abdul Aziz kepada isterinya yang akan meneruskan usaha-usaha dakwah dan jihad di Palestin walaupun beliau telah pergi menemui Allah swt dalam keadaan "Hidup Dan Mendapat Rezeki DariNYA". Puan Rasya Al Adlouni adalah simbol kegigihan wanita Gaza yang telah membuktikan bahwa semangat dan kekuatan wanita yang beriman benar-benar boleh kita jadikan contoh tauladan bagi kaum wanita di negara-negara umat Islam lain. Walaupun umurnya sudah 55 tahun dan kini mempunyai 20 orang cucu, beliau masih mampu berdakwah dan menyampaikan kebenaran tanpa ditimpa oleh perasaan lemah dan gentar. Marilah kita menelusuri jejak dan kekuatan wanita-wanita di Gaza yang sentiasa melahirkan pejuang-pejuang dan mujahid-mujahid yang akan membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Israel. Inilah kisah sebuah bangsa di atas sejengkal Tanah Suci. Penduduk Syam yang merangkumi Palestin, Lebanon, Syria dan Jordan memang penduduk yang mempunyai sifat keteguhan. Banyak peristiwa yang pernah berlaku di sana dan akan banyak lagi yang kelak akan berlaku di sana di akhir zaman ini. Semua kita harus belajar dari peristiwa ini terutama umat Islam. Semua segi harus menjadi pelajaran termasuk dari sisi kemanusiaan sebagai wanita. Tahun baru 2009 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu peperangan di Gaza. Pemandangan yang sangat memilukan. Namun Allah swt menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan televisyen dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut. Apa yang kita dengar dari berita: 1. Seorang ibu dari keluarga Samouni di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman. 2. Seorang wanita mengatakan: "Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi)." 3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: "Tinggal di rumahpun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. kita hanya mati sekali." 4. Selama 22 hari perang, Israel berjaya membunuh 600 orang anak-anak Gaza dari lebih 1,300 mangsa yang meninggal, tapi selama masa itu pula lahirnya 3,500 bayi baru. Ramai wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga. Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: "Hai kamu masih hidup ya?" Wilayah ini sudah tidak mempunyai bangunan parlimen, tidak mempunyai balai polis (walaupun anggota polisnya bertugas) dan seluruh bangunan pemerintah sudah hancur dibom bahkan masjid-masjid dan hospital serta sekolah tidak luput dari pengeboman. Infrastrukturnya boleh dikatakan sudah hancur tetapi ternyata struktur masyarakatnya tidak hancur, sistem sosialnya tidak terhapus bersama bangunan-bangunanny a. Solat berjamaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan dan masjid. Bahkan masjid mengumpulkan dana dari sebahagian jama'ah yang masih mempunyai sesuatu untuk disumbangkan kepada jiran tetangganya yang lebih memerlukan. Inilah sebuah bangsa yang mempunyai daya tahan yang amat tinggi. Jangan lupa, sebelum peperangan, Israel sudah mencekik Gaza dengan sekatan selama hampir 2 tahun dan itu menyebabkan semua penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan kerana sukarnya untuk mendapatkan bahan makanan di samping harganya yang melambung tinggi. Dengan berita-berita seperti di atas kita telah mendapatkan gambaran betapa anak-anak Palestin dari generasi ke generasi telah ditempa oleh ujian berat dengan pelindung mereka yang tetap teguh yang terdiri dari para ibubapa terutama para ibu yang tetap menggenggam prinsip kesabaran di tengah-tengah ujian yang amat berat itu. Kita boleh meninjau beberapa kriteria yang menambah kesabaran mereka iaitu: 1. Tidak lemah mental mereka 2. Tidak lemah penampilan mereka 3. Tidak lemah aktiviti mereka Dari berita-berita yang diterima, para wanita Gaza tidak lemah mental mereka dan tidak akan mengalah kepada penjajah Israel, di mana kebanyakan mereka berpandangan bahwa perjuangan menentang penjajahan tetap akan diteruskan. Tidak ada yang gementar ketakutan ketika mendengar deruan pesawat pengebom di atas kepala mereka. Jika ditanya, mereka berkata dengan nada tegas bahwa mereka tidak takut kepada tentera Israel dan akan melawan dengan senjata alat dapur, jika berhadapan secara terus. Inilah di antara tanda tidak wujudnya kelemahan mental di kalangan mereka. Selain itu mereka tidak lemah penampilan di mana nampak jelas bahawa mereka tetap tegak ketika diwawancara oleh para wartawan, bahkan mereka masih boleh menyuarakan kekecewaan mereka kepada para pemimpin Arab yang tidak membantu mereka. Bahkan ada yang menunjukkan tangan ke arah kamera. Sikap tubuh mereka jelas menunjukkan bahwa mereka tidak lemah penampilan walaupun sesetengahnya dalam keadaan cedera dan menanggung kesakitan. Mereka juga tidak lemah dalam aktiviti mereka di mana walaupun tersisa sedikit kesempatan, mereka terus menjalankan aktiviti mereka samada ke pasar berjual beli, memakamkan ahli keluarga dan kerabat sehingga sempat pula bersilaturahim sesama saudara mereka di pasar. Di tengah-tengah aksi pengeboman, mereka sanggup beratur untuk membeli roti dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Bahkan ada seorang ibu yang melahirkan anak di tengah-tengah pengeboman dengan hanya dibantu oleh ibunya dengan menggunakan lilin di malam hari. Berikut adalah beberapa kesimpulan yang dapat dibuat: 1. Wanita Gaza adalah wanita yang sabar, ujian apapun yang menimpa tidak membuatkan mereka gentar ketakutan berbeza dengan wanita Yahudi di Selatan Israel yang sehingga perlu dibawa ke hospital kerana "stress" atau tekanan mental menghadapi roket2 Hamas. 2. Ketabahan mereka ternyata didasari oleh iman dan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita melihat mereka mengekang perasaan kesedihan mereka dengan berdoa mengangkat tangan kepada Allah swt mengutuk kekejaman Israel ketika menghadapi keadaan di mana rumah mereka hancur dan ahli keluarga yang terkorban. 3. Kuatnya keganasan dan permusuhan Yahudi justeru membuatkan mereka tetap tegak, teguh dan menentang. Penentangan wanita Gaza bukan dengan mengangkat senjata, tetapi dengan menunjukkan keteladanan dalam sikap berani menghadapi kenyataan peperangan yang keras dan kejam ini di hadapan anak-anak mereka. Nampak dari raut wajah mereka yang meskipun terurai dengan airmata tapi tetap berwajah tegar manakala anak-anak mereka menatap setiap bentuk bahasa badan ibu-ibu mereka. Pendidikan apa lagi yang terbaik dan paling efektif selain dari pendidikan menzahirkan keteladanan dalam kesabaran?. Cubalah kita amati bahasa tubuh mereka ketika diwawancara oleh para wartawan, baik semasa perang mahupun sesudahnya di mana keadaan mereka cukup tenang ketika menceritakan pengalaman mereka. Kaum wanita di Gaza tidak sesekali menyukai peperangan, namun jika peperangan merupakan takdir bagi bangsanya, kaum wanitalah yang memikul beban berat sebagai mangsa korban. Merekalah yang pertama sekali merasakan sukarnya hidup seharian di tengah-tengah suasana perang bermula dari persoalan mencari keperluan sehari-hari hingga kepada usaha menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan. Belum lagi ditambah dengan jumlah mangsa korban utama sebagaimana di Gaza ini kerana senjata perang Israel sentiasa mengejar wanita dan anak-anak walaupun di tempat-tempat penginapan mereka.. Bagi bangsa yang terjajah dan dizalimi seperti ini, masa depan bangsanya terletak di bahu mereka. Kaum wanita Gaza tidak seharusnya menunjukkan kelemahan mental, ketakutan yang menimbulkan perasaan menyerah kepada musuh atau kelemahan aktiviti yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat bergerak menjalani kehidupan mereka. Jika sikap-sikap kelemahan tersebut yang dilihat oleh anak-anak mereka pada hari ini, maka kita dapat bayangkan bahwa dalam masa 10 tahun ke hadapan, wilayah yang sekarang ini bernama Gaza mungkin akan berdirinya bandar-bandar pelancongan Israel dengan nama Yahudi sebagaimana nama Ashdod, Ashkelon, Sderot, Kiryat Shimona dan lain-lain. Ini kerana jika mereka (kaum wanita Gaza hari ini) lemah, maka anak-anak mereka akan tumbuh menjadi penakut dan mempunyai sikap mudah menyerah tetapi Alhamdulillah sekarang mereka tetap teguh dan InsyaAllah sampai hari Qiamat pun bangsa Yahudi tidak akan dapat merasa tenang dengan kezalimannya kerana akan sentiasa ada yang menentang mereka dari satu generasi ke generasi Palestin yang baru. Inilah yang seharusnya kita belajar daripada mereka.