1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Masihkah Kau Ingat....

"Hari itu matahari seolah tergesa-gesa terbenam, bagai tidak mahu menjadi saksi kejadian yang berlaku."
"Rupanya hatiku terlalu lemah." Kata-kata itu dilafazkan Moataz, seorang ayah yang menangis sambil mendukung anaknya. Air matanya mengalir membasahi pipi. Air mata seorang lelaki memang menyakitkan, seperti api yang membakar.
Adiknya Munzer menepuk bahunya sambil jari-jemari mengesat air mata. "Ia sudah berakhir; Islam telah pulih. Kau pun dapat melihatnya," katanya yang cuba melegakan keresahan hati abangnya. Moataz memeluk anaknya dan merapatkan wajahnya. Dia mahu menghayati detik bersama anak itu kerana tak mahu kehilangannya. Tanpanya, hidup seolah tiada makna.
Jalan mulai lengang saat malam mula melabuhkan tirainya. Suasana Ramadhan mengambil tempat; kelihatan seorang peniaga menjual manisan dan kanak-kanak bermain dan berlari.
"Masihkah kau ingat saat majlis perkahwinan kita dahulu? Moataz bertanya kepada abangnya.
Munzer memandangnya dengan perasaan kasih. Aku tak akan lupakan hari itu. Aku sepatutnya berkahwin sebelum kau tapi kau mahu kita langsungkan perkahwinan bersama.
"Dan kau bertegas mahu jadi doktor. Jadi kau lambat, dan aku sempat memintasmu". kata Moataz sambil ketawa.
Mereka terus menunggang motosikal dengan tenang, sambil hati berbunga gembira kerana Islam sudah sembuh dari kesakitan yang panjang.
Tiba-tiba suasana bertukar kelam kabut dan menakutkan. Orang ramai berlari, menjerit ketakutan, dan langit hiruk pikuk bergema dengan desingan jet Israel yang "memburu musuh".
Tembakan jet Israel mengenai sasarannya. Dengan sebuah roket yang dilancar, tiga tubuh terkulai hangus tak bernyawa dan dikejarkan ke hospital.
Ketiga-tiga mayat rakyat Palestin itu tidak mudah dikenalpasti. Identiti mereka kemudiannya disahkan sebagai Islam Eqaraqe’, 2 tahun, ayahnya Moataz Eqaraqe’ dan bapa saudara, Munzer Eqaraqe’. Mereka terbunuh setelah dibom roket yang dilepaskan oleh jet tentera Israel pada 20/08/2011 di Jalan Jamal Abdul-Nasser di Gaza City.
Ayah yang syahid, Dr. Moataz Eqaraqe’, meninggalkan seorang balu. Bapa sudara yang syahid, Dr. Munzer Eqaraqe, meninggalkan seorang balu dan dua anak kecil (Basem dan Yara).
** Kisah ini disumbangkan oleh penulis, Fathi Tobail kepada IMEMC

Pengiktirafan Negara Palestin Berdaulat, Apa Reaksi Eropah?

Akhirnya, September telah tiba dan masyarakat serta institusi antarabangsa akan diuji apabila mereka mengundi atau menolak sebuah kerajaan Palestin dalam mesyuarat Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir bulan ini. Menurut pihak berkuasa Palestin, manakala lebih daripada 122 buah negara di seluruh dunia telah mengisytiharkan niat mereka yang positif dan sokongan kepada Palestin sebagai 'negeri nombor 194,' keputusan negara-negara Eropah masih penting. Hal ini bukan sahaja kerana negara-negara Eropah adalah ahli-ahli Majlis Keselamatan, tetapi juga kerana keputusan kolektif atau negara-negara individu akan menunjukkan sekali lagi sejauh mana politik boleh menghancurkan nilai-nilai moral dan etika. Pada bulan Mei 2010, negara-negara Eropah yang menyertai Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi telah gagal dalam 'ujian' [yang seumpama perkara di atas] di mata rakyat Palestin dengan menerima negara Israel sebagai ahli dalam pertubuhan mereka. Adakah Eropah akan mengimbangi 'kegagalan' mereka itu kali ini? Adakah Eropah akan mengundi 'ya' untuk sebuah negara Palestin di atas sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negerinya dan mencapai satu langkah di hadapan dalam penyelesaian dua-negara bersama; membawa hasil yang konkrit untuk sejumlah besar bantuan yang telah mereka hantar kepada rakyat Palestin? Atau negara-negara Eropah akan terus mengekalkan konflik Palestin-Israel dan pendudukan Israel dengan berdiam diri dalam saat penting seperti ini? Beberapa belon ujian telah dihantar untuk memeriksa tindak balas terhadap Palestin dalam sejumlah formulasi Eropah yang berbeza. Antaranya ialah yang telah disiarkan baru-baru ini oleh Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, yang menggesa pihak berkuasa Palestin untuk menerima status yang sama seperti Vatican. Cadangan seperti ini menunjukkan kesukaan EU untuk hanya belegar-legar di sekitar konflik dan tidak menangani akarnya. Cadangan Sarkozy itu akan terus mengekalkan status quo dan tidak akan pernah membawa keamanan kepada rantau ini atau pembebasan buat mereka yang telah teraniaya. Sebagai seorang belia Palestin yang sedang belajar di Eropah; yang mendapat faedah daripada nilai-nilai umum Eropah terhadap menghormati manusia lain dan kebebasan mereka, saya berharap agar bahawa Eropah akan tetap menegakkan nilai-nilai mereka ini. Jadi Britain, adakah anda akan mengingati peranan anda semasa awal waktu konflik [Palestin-Israel] dan turut mengingati sokongan popular yang besar di UK untuk rakyat Palestin? Bagaimana pula dengan anda Perancis, adakah anda akan menjaga reputasi anda sebagai 'Tanah Kebebasan' jika anda menafikan hak rakyat Palestin untuk bebas? Ciao Itali, bolehkah anda melupakan warganegara anda seperti Vittorio Arrigoni dan lain-lain yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk menyokong rakyat Palestin? Guten Tag Jerman, kita memahami bahawa apa sahaja yang anda lakukan tidak akan pernah cukup untuk Israel; tetapi, sebagai sebuah kuasa yang hebat bagaimana anda boleh menerima hakikat bahawa setiap hari 'Holocaust' dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin? Bilakah anda akan melihat bahawa sudah tiba masanya untuk keadilan bertambah di dunia ini dan rasa bersalah pula berkurangan? Grüezi Switzerland, Palestin dan Israel melihat anda sebagai sebuah syurga di bumi ini. Adakah anda akan mengambil masa yang lama untuk mengubah Tebing Barat dari gambar keju Swiss yang penuh dengan lubang-lubang Israel ke arah syurga keamanan kecil yang lain? Belgium, adakah anda masih ingat bahawa anda telah mengisytiharkan Palestin sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara - hanya beberapa bulan yang lalu, sebagaimana kami yang sedang menunggu untuk meraikan sebuah detik gembira dengan coklat lazat dari negara anda? Hola Sepanyol, kami sedang bergantung kepada anda untuk menolak keengganan EU sekarang ke arah menyokong sebuah negara Palestin - kami berharap agar kami boleh bergantung kepada kawan-kawan rapat kami. Negara-negara Scandinavia, anda begitu bermurah hati dalam bantuan kewangan anda kepada rakyat Palestin - adakah anda akan bermurah hati dengan sokongan politik anda kali ini? Poland, kami menunggu berita baik yang akan datang dari negara anda. September akan menjadi saat penentu kebenaran untuk orang-orang Eropah; jumlah undian akan melebarkan jurang antara wacana dan nilai-nilai Eropah. Kami berharap untuk 'ya', tetapi kita takut kepada 'tidak'. Tetapi harapan kami yang lebih besar ialah untuk melihat Eropah mula mengaplikasi nilai-nilai mereka sendiri dalam urusan mereka dengan Palestin dan Israel. (man)

Kehadiran Huffaz Mendekatkan Umat Kepada Palestin dan Al-Aqsa

Dengan kepulangan 10 huffaz Palestin ke tanah air mereka pada 28 Ogos yang lalu dari lapangan terbang KLIA bermakna  berakhirlah Program Keinsafan Ramadan Bersama Huffaz Palestin untuk sesi tahun 1432 Hijrah. Pemergian mereka bukan hanya mengakhiri sebuah lagi program kesedaran bagi masyarakat di Malaysia, malahan telah meninggalkan satu inspirasi baru untuk meneruskan perjuangan pembebasan bumi Palestin yang diberkati dan Masjid Al-Aqsa yang mulia. Program yang dilaksanakan hasil kerjasama antara HALUAN dan Robitah Ulama' Palestin sepanjang bulan Ramadan lepas telah memberikan impak yang sangat mendalam kepada mereka yang diberi kesempatan untuk bersama para huffaz ini. 10 huffaz Palestin ini telah ditempatkan di kawasan terpilih di seluruh negara. Mereka menjadi imam solah terawikh dan juga menyampaikan tazkirah di masjid-masjid, surau-surau dan agensi awam dan swasta yang mereka ziarahi. Selain dari kepetahan mereka menceritakan permasalahan Palestin, para huffaz juga telah memperlihatkan contoh sebenar karakter pemuda-pemuda Palestin yang begitu terikat dengan al-Quran dan masjid, komited dengan Islam dan tegas memikul tanggungjawab mereka terhadap bumi Palestin. Keberadaan mereka di Malaysia dalam tempoh yang singkat itu juga telah mengikat tali persaudaraan yang utuh. "Andai kamu berjumpa kepada sahabat-sahabat kita di Terengganu, katakan pada mereka yang saya menangis untuk berpisah dengan mereka," kata Imam Najib yang telah ditempatkan di negeri Terengganu. Ketua rombongan huffaz Palestin ini, Sheikh Maher Al-Munajjed, tidak jemu-jemu berpesan agar kita menerapkan al-Quran dalam jiwa-jiwa kita. Keterikatan kita dengan al-Quran akan dapat melahirkan kesungguhan luarbiasa yang menjurus kepada perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin seluruhnya daripada cengkaman Zionis laknatullah. Rakyat Malaysia sekali lagi membuktikan komitmen dan kecintaan mereka kepada perjuangan pembebasan Palestin dan membantu saudara seagama di situ apabila telah berjaya mengumpul sebanyak RM563,634.25 sepanjang program ini. Semoga Allah merahmati semua dermawan yang pemurah. Semoga segala apa yang disumbangkan akan menjadi bekalan amal soleh yang boleh menyelamatkan kita di akhirat kelak, insyaAllah. [caption id="attachment_5728" align="alignnone" width="512" caption="Huffaz Palestin bergambar kenangan bersama petugas HALUAN Palestin dalam satu majlis perpisahan"]Huffaz Palestin bergambar kenangan bersama petugas HALUAN Palestin dalam satu majlis perpisahan[/caption]   [caption id="attachment_5729" align="alignnone" width="512" caption="Sheikh Maher al Munajjed, ketua rombongan huffaz Palestin"]Sheikh Maher al Munajjed, ketua rombongan huffaz Palestin[/caption]   [caption id="attachment_5730" align="alignnone" width="512" caption="Sebahagian daripada para huffaz"]Sebahagian daripada para huffaz[/caption]   Laporan Ameen Misran.

Ummu Hassan: Sepuluh Anakku Dipenjara dan Dibunuh Zionis

Saat kita bergembira meraikan Eidul Fitri bersama keluarga dan sanak saudara, marilah kita mengambil sedikit waktu untuk mendoakan saudara-saudara kita yang di uji dengan pelbagai cubaan termasuk mereka yang kelaparan di Somalia, serta kaum ibu yang merindukan anak-anak mereka yang syahid di Gaza mahupun yang ditahan di penjara-penjara Zionis di Tebing Barat. Hajjah Ummu Hassan, seorang warga Palestin di Tebing Barat, menyambut Eidul Fitri dalam keadaan berduka kerana lima orang anaknya adalah termasuk dalam ratusan orang warga Palestin yang ditangkap dan ditahan oleh Zionis di sepanjang Ramadhan yang lalu. Bagi Ummu Hassan, dengan penangkapan lima orang anaknya itu, maka bererti semua dari 10 orang anaknya kini sudah berada dalam penjara Zionis atau mati diterjang peluru dan pelbagai senjata angkatan perang Zionis. Iyad, salah seorang anaknya, dipenjara 13 tahun. Seorang lagi, Mahmud, dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara. Anaknya yang lain, Murat, tewas dibunuh Zionis pada November 2002 sedangkan Ahmad dibunuh pada Disember 2002. “Saya hanya mampu menghabiskan waktu saya untuk berdoa bagi anak-anak saya, dan saya hanya dapat bertawakkal kepada Allah SWT,” tutur Ummu Hassan sebagaimana dipetik dari Aljazeera.net. “Mudah-mudahan pada Eidul Fitri tahun depan saya dapat berkumpul lagi dengan anak-anak saya.” Puluhan keluarga Palestin di Tebing Barat menyambut hari lebaran mereka tahun ini tanpa kehadiran anak-anak mereka yang ditahan oleh[elbagai pihak, baik Zionis mahupun pihak Berkuasa Palestin.(AJ/SAA)  

Gaza kumpul dana bantu rakyat Somalia

Kerajaan dan rakyat Palestin di Gaza telah melancarkan kempen mengumpul dana bagi membantu rakyat Somalia yang kini sedang dilanda bencana kemarau yang dahsyat. Kementerian Wakaf telah melancarkan kempen selama 2 minggu sejak 12 Ogos, dan berjaya mengumpul sebanyak 132,000 dollars. Dalam kenyataan kementerian tersebut, para imam telah diarah mengajak masyarakat untuk menghulurkan derma bagi menyelamatkan rakyat Somalia yang berhadapan dengan kebuluran. Arab Medical Union (AMU) iaitu salah satu daripada pertubuhan kebajikan (NGO) di Gaza, turut melancarkan kempen yang digelar "Dari Gaza: Bersama Menyelamatkan Anak-Anak Somalia." Menurut jurucakap AMU, kempen ini akan membuktikan persamaan antara rakyat Gaza yang dizalimi zionis dan Somalia yang berhadapan dengan bencana, di mana rakyat Palestin menghayati penderitaan di Somalia dan mampu membantu rakyat negara lain yang menderita. Usaha kempen AMU ini turut tersebar di Tebing Barat. Lebih 11 juta rakyat Somalia kini berhadapan dengan kemarau panjang di mana puluhan ribu daripada mereka terkorban akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan yang kronik. Biro Misi Kemanusiaan HALUAN akan turut membantu rakyat Somalia yang sedang menderita ini. Pasukan bantuan pertama akan berlepas pada 1 September dengan memberi tumpuan membantu pelarian di sempadan Somalia-Kenya. Untuk misi ini, HALUAN bekerjasama dengan Insani Yardem Vakfi (IHH) Turki yang telah lama beroperasi di wilayah tersebut. Anda boleh turut menyumbang melalui Nama Akaun: HALUAN No Akaun: 14-023-01-002571-8 Bank: Bank Islam Malaysia Berhad Semoga keprihatinan anda dapat menyelamatkan dan mengurangkan penderitaan rakyat Somalia.

Keinsafan Ramadhan Bersama Huffaz Palestin: Mohonlah Keampunan Allah

Alhamdulillah, kita masih lagi berpeluang untuk menggapai rahmat dan keampunan Allah. Sudah tentu pada setiap bulan Ramadhan kita akan mencari peluang melipat-gandakan amal kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah. Ramadhan tahun ini memberi pengalaman baru bilamana kita berkesempatan menimba ilmu dan pengisian jiwa daripada para huffaz Palestin yang dihantar khusus oleh Rabitah Ulama Palestin ke Malaysia. Suasana kehidupan, perjuangan dan pengalaman mereka yang berbeza daripada kita dapat memberi persepsi baru terhadap kehidupan ini. [caption id="attachment_5649" align="alignnone" width="500" caption="Sheikh Maher al Munajjed"]Sheikh Maher al Munajjed[/caption]   Dalam satu sesi tazkirahnya, Sheikh Maher al Munajjed yang mengetuai para huffaz tersebut, pernah memberi nasihat tentang perlunya kita menggandakan taubat kepada Allah, apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini. Allah menyeru kepada setiap kita supaya bertaubat dan jangan berputus asa andainya terlanjur dengan maksiat, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Menerima taubat (at-Thawwab.) "Kita manusia tidak asing daripada maksiat. Maksiat-maksiat itu tidak sedikitpun mengganggu kehebatan Allah swt, tetapi maksiat itu sebenarnya mengganggu kita sebagai manusia," kata beliau menjelaskan sifat Allah swt yang sentiasa mengampunkan hamba-hambaNya yang berbuat maksiat. Hati orang mukmin sebenarnya dapat membezakan di antara kebaikan dan kejahatan, di mana seseorang itu akan merasa lapang dan gembira apabila melakukan kebaikan dan sebaliknya merasa sempit dan sedih apabila melakukan maksiat. Walaupun Allah sentiasa membuka pintu keampunan, setiap orang mukmin harus merasa parah dengan kemaksiatan dan gembira dengan kebaikan. Dalam tazkirah yang disampaikannya, Sheikh Maher menceritakan tentang sejarah perancangan Rom dan Parsi untuk menyerang Madinah. Apabila Rasulullah saw mendapat berita tentang perancangan tersebut, Baginda memutuskan untuk tidak berperang dalam Kota Madinah. Pada waktu itu, Madinah sedang berada dalam musim menuai kurma. Namun Rasulullah saw mengarahkan sahabat-sahabat Baginda pergi keluar berperang dan meninggalkan hasil kurma. Salah seorang daripada sahabat yang sangat disayangi oleh Baginda iaitu Ka'ab ibn Malik tidak bersetuju dengan arahan tersebut dan mencadangkan supaya diberi masa menunggu sehinga kurma matang dan dapat dikutip hasilnya. Rasulullah saw dan para sahabat sudah berangkat ke medan, sedangkan Ka'ab masih berada di rumah walaupun dia merupakan seorang lelaki yang muda lagi gagah dan memiliki 2 ekor kuda dan semua kelengkapan perang. Apabila angkatan yang dipimpin Rasulullah saw itu tiba di Tabuk (Jordan,) Baginda saw bertanya di manakah Ka'ab. Ada dari kalangan para sahabat yang mengatakan bahawa Ka'ab sedang bersama orang-orang munafik. Ada dari kalangan para sahabat yang lain tidak percaya kepada hal tersebut kerana apa yang mereka tahu tentang Ka'ab ialah perkara-perkara yang baik-baik sahaja. Apabila Rasulullah saw dan para sahabat pulang dari peperangan, mereka yang ditinggalkan di Madinah mula memberi alasan mengapa tidak menyertai Rasulullah saw. Antara lain, orang-orang Yahudi memberikan alasan bahawa mereka tidak tahan melihat kecantikan wanita-wanita Rom, jadi mereka harus menguzurkan diri. Bagi Ka'ab, walaupun dia merupakan seorang yang sangat bijak mengada-adakan cerita, dia faham sekiranya dia berbohong akhirnya Allah akan membongkarkan juga cerita sebenar. Apabila Rasulullah saw bertanya kenapa dia tidak pergi berperang, Ka'ab menjawab, "sekiranya aku berbohong kepadamu, maka Allah akan mendedahkan perkara yang sebenar. Aku tidak ada apa-apa keuzuran." Mendengar alasan Ka'ab itu, Rasulullah menjawab, "inilah jawapan yang sebenarnya." [caption id="attachment_5650" align="alignnone" width="500" caption="Gambar hiasan"]Gambar hiasan[/caption]   Berikutan kesalahannya itu, semua para sabahat telah memulau Ka'ab ibn Malik. Melihat musibah Ka'ab itu, satu kabilah Arab bernama Qasasil telah menghantar surat kepada beliau, menghasut dengan bertanya kenapa Ka'ab masih beserta dengan golongan yang sudah tidak suka kepadanya. Malahan kabilah itu juga memberi tawaran bahawa sekiranya Ka'ab menyertai mereka, beliau akan dimuliakan. Ka'ab berasa sangat marah dan terus membakar surat itu. Beliau dipulaukan selama 50 hari, dan sepanjang tempoh itu dia menangis. Kehidupannya dirasakan sangat sempit, sehingga turunlah ayat terakhir dari surah at-Taubah yang mengatakan bahawa Allah telah mengampunkan dosanya. Allah juga telah mengampunkan dosa orang-orang Ansar dan Muhajirin beserta 3 orang yang tidak pergi berperang. Selepas turun ayat tersebut, datanglah seorang sahabat kepada Ka'ab dan mengatakan, "bergembiralah wahai Ka'ab!" Apabila mendengar berita yang disampaikan itu, Ka'ab terus memberikan jubah yang dipakainya kepada sahabat tersebut dan bergegas ke masjid untuk berjumpa Rasulullah saw. Apabila beliau sampai, Rasulullah tersenyum dan membacakan ayat terakhir surah at-Taubah itu. Daripada sejarah tersebut, Sheikh Maher menjelaskan bahawa apa yang berlaku kepada Ka'ab merupakan satu manifestasi seseorang yang melakukan dosa. Orang yang melakukan dosa perlu berusaha untuk memohon keampuan dari Allah. Tiada kegembiraan yang paling tinggi melainkan mendapat rahmat Allah. Untuk mendapat rahmat Allah, sesorang perlu bersungguh-sungguh dalam taubatnya. Setiap anak Adam berbuat salah, sebaik-baik orang yang berbuat salah ialah mereka yang bertaubat.