1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Derita Gaza Siapa Yang Peduli!

Aku Ingin Khabarkan kepadamu tentang Gaza. Gaza hidup di dalam sangkar, di dalam sebuah penjara terbuka yang telah lama terisolasi dari dunia. Pokok-pokok oren telah lama jatuh menyembah bumi. Bunga-bungaan tidak lagi dieksport. Juga sayur-sayuran, buah-buahan dan buah zaitun, dahulunya mereka ini perniagaan eksport yang pernah makmur. Sejak tahun 2000, tentera Israel telah memusnahkan sebanyak 114,000 pokok zaitun. Yang lain pula telah lama tengkarap semasa perang 2008-9 - banyak yang tercabut dek fosforus putih dan bahan-bahan kimia yang lain. Kini, pertanian sukar untuk dikerjakan dan di sesetengah kawasan adalah mustahil. Gaza kelihatan seperti zon perang - lubang-lubang peluru jelas kelihatan di sisi-sisi bangunan. Gaza hidup tanpa pam kumbahan yang teratur - dibom setiap kali siap dibina semula. Perairan Mediterranean pula dipenuhi dengan sisa kumbahan mentah, manakala had 3-batu yang dikawal rapi oleh tentera laut Israel secara kolektif memusnahkan industri perikanan yang pernah makmur seketika dahulu. Kini, airnya bertakung sisa kumbahan dan sisa aktiviti perikanan berlebihan. Ini ialah kisah perang yang paling menggerunkan - kengeriannya tak dapat bayangkan di mana terowong dengan labirin yang berbatu jauhnya berfungsi untuk mengurangkan penderitaan rakyat melalui barang-barang yang dibawa dari Mesir. Terowong ini berbahaya kerana sentiasa dibom oleh roket dan peluru berpandu. Ramai orang-orang muda pemberani yang bekerja dalam terowong untuk membawa barang-barang yang diperlukan ke Gaza memperjudikan hidup mereka setiap hari. Barang-barang untuk menampung kehidupan datang melalui terowong ini. Minyak diesel dan petrol dipam melalui terowong pada 1 / 3 harga Israel. Di samping itu, bahan binaan, simen, ubat-ubatan, kain pembebat, alat pertolongan cemas, malah kereta dan mesin basuh melalui jalan ini ke Gaza. Bahan-bahan yang dikirim melalui Ashdot, Israel, seringkali harus menunggu berbulan-bulan sebelum mereka diperiksa dan selalunya tidak akan pernah tiba di Gaza. Elektrik masih kurang dan penjana yang digunakan di hospital-hospital hanya boleh diaktifkan 12 kali sehari. Mereka acap kali terpadam semasa pembedahan. Pembaikan penjana dan peralatan lain merupakan sebuah masalah berat kerana alat ganti mengambil masa berbulan-bulan untuk tiba dari negara-negara penderma. Hal ini turut sama berlaku pada peralatan pengimejan yang baru, berdiri terbiar apabila diperlukan. Apabila sesuatu barang rosak, seseorang seringkali harus menunggu lebih daripada satu tahun untuk alat ganti yang datang dari NGO [badan bukan kerajaan] yang menyokong rakyat Palestin. Malangnya (setakat yang saya pelajari) A[merika] S[yarikat] tidak lagi menyumbang dan Kongres AS menyalurkan penggunaan dana itu bagi NGO pembangunan agrikultur. Ini ialah satu tragedi untuk rakyat Palestin di Gaza, mereka hanya mampu membekalkan makanan kepada penduduk mereka sendiri. Ramai pesakit tidak boleh mendapatkan rawatan lanjut. 40% daripada ubat-ubatan untuk rawatan yang diperlukan tidak boleh didapati. Ubat-ubatan kemoterapi langsung tidak wujud di sini kerana mereka terlalu mahal. Turut sama tiada ialah sarung tangan, jarum jahitan, antibiotik dan keperluan yang paling asas. Banyak kerusi roda yang ada disumbangkan oleh negara-negara yang mengambil bahagian [mendukung Palestin]. Kerusi-kerusi ini berada dalam keadaan yang baik untuk dipakai oleh orang-orang muda yang anggota badan mereka diletupkan. Saya diberitahu bahawa kerusi roda yang dihantar oleh Israel tidak boleh digunakan lantaran banyak bahagian yang hilang. Mengapa pula? Hospital telah dibom dan dibina semula. Tanpa terowong, akan ada kelumpuhan total dalam pembinaan semula. Hanya pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan, dan pesakit yang paling lemah dihantar ke hospital-hospital Israel. Perjalanan ke sana adalah panjang dan sukar dengan tempat pemeriksaan yang banyak. Sesetengah pesakit tidak berjaya melepasinya dalam keadaan hidup. Kanak-kanak mesti pergi bersendirian kerana ibu bapa tidak diberi kebenaran untuk menemani mereka. Kini, pesakit lebih mudah dihantar melalui Rafah ke Kaherah untuk mendapatkan rawatan. Juga suatu perjalanan yang sukar, tetapi lebih disukai kerana sekatan sempadan mewujudkan lebih banyak kemungkinan untuk tiba di hospital Mesir. Namun, ia masih sukar dan panjang. Saya melihat orang menunggu berjam-jam di sempadan untuk pasport dan dokumen-dokumen mereka diluluskan, prosedur membosankan walaupun bagi orang yang sihat. Hospital Al-Shifa (diterjemahkan sebagai "Penyembuhan" dalam bahasa Arab) adalah hospital yang terbesar di Semenanjung Gaza. Ia mempunyai 700 katil dan merawat 1200 pesakit sehari. Kesan pengepungan kesihatan Israel tidak kurang daripada dahsyatnya. Saya amat kagum dengan komitmen kakitangan hospital yang merawat orang ramai yang sakit dan cedera walaupun dengan peralatan yang terhad. Lelaki dan wanita Palestin bekerja bergandingan bahu. Saya terkesan oleh keindahan dari Palestin dan dorongan mereka ke arah martabat dan kebebasan. Saya terkesan dengan ibu bapa kepada kanak-kanak yang sakit, menjaga mereka dengan penuh kecintaan dan tragedi yang terukir di wajah mereka. Sekian banyak dari apa yang saya lihat dan dengar di Gaza telah meninggalkan satu lubang hitam yang mendalam dalam kesedaran saya kerana saya sedar bahawa jenayah yang dilakukan oleh Zionis Israel dan bersama-sama Amerika Syarikat ialah salah satu jenayah yang terbesar terhadap sebuah populasi yang gagal untuk dilihat sebagai manusia. Sebaliknya rakyat Palestin adalah setan, binatang dalam usaha Israel untuk menghapuskan sejarah Palestin, maruah rakyat Palestin dan hak mereka untuk wujud dalam keadaan yang selamat dan aman. Dalam hemat saya, hal ini tidak boleh dibandingkan dengan bab terakhir Holocaust, ini ialah satu tragedi yang tiada pengampunan. Saya akan terus menulis tentang tanah sitrus yang lara ini, tanah di mana tumbuh-tumbuhan sitrus telah direnggut keluar daripada bumi dan pokok-pokok telah dieksport ke Israel untuk keuntungan mereka. Semuanya berkisar mengenai keuntungan dan ketamakan manakala manusia tidak lagi menjadi manusia. Saya ingin memberitahu anda tentang uranium dan fosforus putih yang ditemui selepas perang di mana pengeboman berlaku selama tiga minggu berturut-turut tanpa henti. Saya menyaksikan bagaimana guru-guru dalam projek "Selamatkan Anak-Anak Kita" membantu dua orang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang sampai hari ini tidak mampu berbicara setelah Operasi Cast Lead. Namun sehingga hari ini, kita masih menemui bahan kimia di dalam tanah dan di dalam badan-badan kanak-kanak yang dilahirkan pramatang dengan kanser dan kecatatan. Ya dan 33 tambahan bahan kimia toksik yang berubah dengan setiap kali pengeboman baru, telah diasingkan. Sekiranya anda tidak tahu, lebih daripada 55% daripada penduduk Gaza adalah di bawah umur 18 tahun. Menggigil saya memikirkan kesan kekejaman berterusan ke atas generasi muda ini pada tahun mendatang. Palestin masih dengan bantuan NGO yang cuba untuk untuk melestarikan kesejahteraan anak-anak Palestin di kem-kem pelarian yang sesak yang mempunyai wajah yang paling indah. Kita harus masih punya harapan kerana anak-anak ini mendatangi saya dengan isyarat keamanan dan kami bersama-sama mengucapkan Viva Palestina. Pekerjaan saya baru saja dimulai. Saya juga harus bertahan pada harapan. Dunia harus mendengarkan dan menolak. *Lillian Rosengarten ialah seorang bekas pelarian Nazi Jerman, penganut agama Buddha, penyair, pengarang dan pasifis. Beliau menyumbang artikel ini kepada PalestineChronicle.com .

IHH akan hantar kapal membawa 1000 tan bantuan ke Gaza

Yayasan Bantuan Kemanusiaan IHH akan menghantar kapal membawa barangan bantuan sebanyak 1000 tan ke Gaza. Kapal ini akan belayar pada 31 Mei, tarikh ulang tahun pertama serangan Israel ke atas Mavi Marmara dan kapal-kapal Freedom Flotilla  yang lain, yang telah mengorbankan sembilan aktivis kemanusiaan. Pelayaran ini akan membawa bahan binaan, produk tekstil dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza yang masih lagi berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang serius. Kapal ini akan belayar sebelum pelayaran besar Freedom Flotilla Two - Stay Human, dan dijangka berlabuh di Pelabuhan El-Arish, Mesir. Bantuan ini seterusnya akan dibawa masuk ke Gaza menggunakan lori melaui pintu Rafah, yang dibuka untuk warga Gaza selepas revolusi awam di Mesir. Walaupun sempadan Rafah dibuka untuk rakyat Palestin, barang yang dibenarkan masuk masih tidak cukup untuk memenuhi keperluan warga Gaza. Sekitar 20,000 bangunan yang rosak akibat serangan Israel pada tahun 2008 masih belum diperbaiki. Bangunan ini termasuk sekolah, rumah, rumah sakit dan juga bangunan perkhidmatan. Bahan binaan yang bakal dihantar ke Gaza oleh IHH akan digunakan untuk penyelenggaraan bangunan-bangunan tersebut. Menurut kenyataan di laman web rasminya, IHH mengharapkan sokongan daripada semua dermawan bagi menjayakan pelayaran kapal ini. Mereka berharap supaya warga Turki yang selalu menghulurkan tangan mereka untuk membantu warga Gaza juga akan membantu memuatkan kapal ini dengan sumbangan mereka. "Kita akan sekali lagi menunjukkan bahawa kita sentiasa bersama-sama rakyat Gaza dengan memuatkan bantuan ke atas kapal ini," menurut kenyataan tersebut.  

Semarakkan Sokongan Freedom Flotilla 2

 

Kini, laungan promosi buat Second Flotilla di bawah Lifeline4Gaza telah bermula dan disemarakkan. Bagi yang masih ingat akan peristiwa hitam 31hb Mei 2010 tahun lalu, yang menunjukkan pelayaran ke Gaza untuk memberikan bantuan melalui laut telah dihadang oleh tentera regim Zionis Israel, hingga membuka mata dunia akan isu Palestin, dan kekejaman Israel.

Kini, Flotilla yang sama ingin dilaksanakan semula. Kali ke-dua. Ada yang akan berfikir dan merasa: “Buat apa buat lagi? Bukannya Palestin tu nak terbebas pun kalau buat benda-benda macam ini. Lainlah kalau hantar tentera. Pergi serang Israel. Ini hantar bantuan makanan. Nanti kalau Israel serang lagi macam mana? Kan sia-sia?” Saya tersenyum. Kerana saya faham, itulah mentaliti kebanyakan orang. Yang akhirnya akan membawa kepada ayat berikut: “Tak naklah bantu. Sia-sia. Nanti Israel rampas, rugi je kita sumbang itu semua.” Tahukah kita, mengapa mereka yang berusaha menjayakan Second Flotilla ini, tetap mengusahakannya walaupun telah berlaku tragedi hitam pada tahun yang lalu? Maka di sinilah kita ingin berbincang. Mengubah mentaliti kita. Apa gunanya berjuang, kalau memang pasti kalah? 313 melawan 1000. Bilangan orang islam yang melawan bilangan kaum Musyrikin Makkah. 700 melawan 3000. Bilangan orang Islam yang melawan bilangan kaum Musyrikin Makkah. 3000 melawan 10,000. Bilangan orang Islam yang melawan bilangan Kumpulan Al-Ahzab(gabungan Kaum Musyrikin Makkah, Bani Ghatfan dll) Ya. Kita lihat sahaja bilangan tersebut, kita pada awalnya menjangka yang orang Islam akan dibantai teruk. Ditambah pula, sebagaimana yang kita amat arif, orang islam ketika itu belum mempunyai kekuatan wang yang setanding, membuatkan mereka ini kekurangan logistik peperangan, berbanding kaum kuffar. Tetapi, kekurangan itu tidak pula menghentikan Rasulullah SAW untuk meneruskan perjuangan. Mengapa? Kerana pada usaha itu ada ganjaranNya. Kerana pada usaha itu ada ganjaranNya. Itulah dia jawapannya. Baginda Rasulullah SAW, tetap meneruskan perjuangan walaupun dalam kondisi yang jika dilihat agak disadvantage. Ada peperangan baginda menang seperti Badar dan Khandak, ada pula yang hanya menang moral sahaja tetapi zahirnya tewas seperti di Medan Uhud. Ada pula yang tenteranya terpaksa berundur seperti dalam Peperangan Mu’tah. Itu belum dikira dengan usaha-usaha dakwahnya yang sering mendapat tentangan dan ancaman. Sekali pandang, memang agak mustahil untuk Rasulullah SAW berjaya. Angka yang asalnya sedikit. Harta yang asalnya tidak banyak. Musuh yang asalnya terlalu ramai. Tetapi baginda tidak menghentikan usaha-usahanya. Apa yang ada, itulah yang diusahakan baginda. Berterusan. Istiqomah. Tanpa lelah. Tanpa merungut. Tanpa mengeluh. Terus menerus. Dan akhirnya Dan akhirnya termaktublah di dalam sejarah. Bagaimana Rasulullah SAW berjaya di dalam usahanya. Bagaimana baginda akhirnya melahirkan satu generasi yang hebat dan disegani semua. Hingga akhirnya Islam itu memegang 2/3 dunia. Ya. Itulah hasil usaha. Walaupun pada asalnya nampak mustahil. Walaupun pada asalnya nampak tidak boleh. Berdakwah hatta pada ahli keluarga sendiri di Makkah, diri dipulau. Berdakwah pula di Taif, diri dibaling batu hingga luka. Tetapi siapa yang menyangka, usaha yang berterusan membawa kepada kemenangan? Ya. Pokoknya usaha. Flotilla, bukankah itu satu usaha? Samalah seperti kita hari ini. Benar kita belum ada ketenteraan sekuat Israel. Benar kita mungkin akan diancam, mungkin bantuan yang kita hantar akan dirampas. Benar, kita menghadapi semua kemungkinan tersebut, kerana hari ini kita amat kerdil hendak dibandingkan dengan Israel. Tetapi apakah itu alasannya untuk tidak meneruskan usaha yang kita mampu? Setakat ini, sehingga hari ini, kita mampu mengusahakan flotilla, maka flotilla yang kita usahakan. Sampai hari nanti, bila kita mampu pula mengusahakan sesuatu yang lebih, kita akan usahakan sesuatu yang lebih pula. Tetapi, berbicara akan hari ini, maka kita laksanakan apa yang kita mampu hari ini. Kita tidak menunggu sehingga hari esok untuk berusaha. Kita berusaha semampu apa yang kita mampu. Ganjaran Allah, tiada siapa yang mengetahui Tiada siapa mampu melihat ganjaran Allah di balik usaha. Seperti flotilla yang pertama yang lepas, siapa menjangka di balik usaha pelayaran tersebut, Allah susun tentera Israel menyerbu menganggu pelayaran. Dan, siapakah yang menjangka, dengan susunan Allah yang Maha Cantik itulah, dunia terjaga daripada lena dan kembali melihat isu Palestin sebagai isu utama. Maka pada tahun ini, sekali lagi usaha yang sama, dan pastinya diusahakan agar lebih berkualiti dan lebih baik, dijalankan. Siapa yang mampu mengetahui kali ini, apakah pula yang Allah susunkan? Tetapi yang penting, kita tahu natijah itu di tangan Allah. Maka apakah natijahnya, bukan kerja kita untuk sibuk-sibuk akannya. Yang perlu kita sibuk-sibukkan adalah usaha. Usaha semampu kita. Dan apakah kita mahu tertinggal daripada kafilah yang berjuang untuk ummah ini? Penutup: Hatta dalam keadaan mustahil juga, usaha tetap perlu. Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa Yusuf AS tetap berlari menjauhi Zulaikha, walaupun dia tahu bahawa pintu bilik ketika itu telah terkunci? Kerana usaha itu akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT kelak. Begitulah usaha Second Flotilla ini. Walaupun mungkin Palestin tidak terbebas hanya dengan pelayaran ini, tetapi inilah yang mampu diusahakan, maka inilah yang diusahakan. Agar usaha ini menjadi saksi nanti di hadapan Allah SWT. Lihatlah indahnya usaha, apabila Rasulullah SAW bersabda: ”Jika hari Kiamat datang, dan di tangan seseorang dari kalian terdapat bibit kurma, maka jika ia masih sempat menanamnya sebelum Kiamat tiba, tanamlah bibit kurma itu.”(HR. Ahmad dan Bukhari) Lihat. Sudah kiamat. Apa guna lagi menanam benih, yang pastinya tidak akan tumbuh akibat kiamat? Tetapi itulah yang Rasulullah SAW arahkan. Kerana apa? Kerana pada usaha itu ada ganjarannya daripada Allah SWT. Apakah ganjarannya? Kita mungkin tidak akan sempat mengetahuinya. Mungkin hanya anak-anak kita yang akan sempat melihat apakah hasil daripada usaha kita itu. Mungkin pula, di akhirat sahaja akan mampu kita saksikan, apakah ganjarannya daripada perbuatan kita itu. Tetapi yang penting, usaha. Dan siapakah yang tidak mahu bersama-sama kafilah manusia yang berusaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman jahiliyyah ini? Ps: Marilah kita berikan perhatian, dan bantuan, kepada Second Flotilla yang dijangka akan dilancarkan pada Bulan Jun(awalnya dijangka bulan Mei, ada perubahan). Boleh dapatkan update terkini, juga bagi sesiapa yang ingin memberikan sumbangan, di link berikut: http://www.lifeline4gaza.org/ Sumber: Langitilahi.com

Tiada Coke di Sini!

Duduk dan order satu Coke. Besar kemungkinan anda akan terperanjat sakan. Tidak pernah anda memasuki mana-mana restoran mamak dan tidak dihidangkan minuman lazim anda. Tidak pernah. [caption id="attachment_5127" align="alignright" width="240" caption="Hakimsa berbangga dan berani"]Hakimsa berbangga dan berani[/caption] “Kami tak jual Coke di sini. Maaf,” kata pelayan beruniform di Restoran Hakim Seksyen 7, Shah Alam Worldwide. “Tetapi kenapa?,” anda bertanya agak kecewa dan juga hairan. “Oh, sebabnya Coke salah satu produk yang secara terang-terangan membantu Israel. Si Zionist tu?,” dia menjawab, anda pula termalu kerana dididik kepada siapa anda patut berpihak. Menurut ampunya Restoran Hakim, Haji Hakimsa Shah, dia telah memboikot Coke daripada menghampiri peti sejuknya sejak serangan berdarah tanpa berhati perut oleh Israel ke atas Gaza pada tahun 2008. Baginya, kerakusan dan kezaliman rejim apartheid gila zionist Israel itu cukup untuk dijadikan alasan membantutkan mana-mana pendana yang menyalurkan wang kepada negara haram itu. Walaupun hanya pada kadar 1 sen bagi setiap tin Coke. Hakimsa memiliki dua buah restoran 24 jam di Seksyen 7, yang pertama di Worldwide berhampiran Universiti Industri Selangor dan sebuah lagi di jalan menghala ke kawasan perindustrian Bukit Raja. Dalam usahanya yang kerdil, Hakimsa yakin dia mampu menyebarkan mesej bahawa sesiapapun jangan memberikan sambutan kepada negara seperti Israel yang sedang mewah dengan hasil jualan produk-produk pengeluar yang sememangnya mendanakan rejim ganas zionist itu. Dia memaklumkan Biro HALUAN Palestin bahawa jualan kasarnya tidak terjejas sejak memboikot Coke, malahan bertambah pula rezekinya. Suatu petanda kepada peruncit dan pengusaha restoran bahawa tidak ada alasan untuk menolak jenama-jenama yang memboncengkan Israel. Tahniah kepada Restoran Hakim. Kami yakin beliau akan muncul di kaca TV selepas berita ini tersebar. Namun, kami masih perlu meyakinkan beliau untuk terus memboikot kesemua 6 jenama yang dikenalpasti Biro HALUAN Palestin. Ianya seperti logo-logo di bawah. Sila klik di atas logo berkenaan untuk mengetahui kenapa anda perlu memboikotnya.
[caption id="attachment_5147" align="alignleft" width="400" caption="Hakimsa (kanan) dan pembantunya pelawa anda cari Coke dalam peti sejuk di restorannya"]Hakimsa (kanan) dan pembantunya pelawa anda cari Coke dalam peti sejuk di restorannya[/caption]

Tragedi Mavi Marmara: Kezaliman Israel Yang Cuba DiTutup

Turki dalam laporannya berkenaan serangan ke atas Mavi Marmara menyatakan, “adalah menjadi prinsip teras undang-undang antarabangsa bahawa apabila sebuah negara mencabul tanggungjawab antarabangsanya, ia harus bersedia membetulkan kesalahannya dan menjelaskan ganti rugi.” Laporan berkenaan diserahkan kepada panel siasatan pada 1 September 2010 atas permintaan khusus oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon. “Antara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan adalah, “Tentera Israel melakukan serangan pada dinihari 31 Mei 2010 ke atas konvoi 6 kapal yang membawa penumpang dari pelbagai agama, mewakili NGO dari 37 negara serta sarat dengan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Serangan berkenaan dilakukan di kawasan perairan antarabangsa, 72 batu nautika dari perairan Israel. Ia mengakibatkan kematian 9 dari 600 penumpang, 8 daripadanya rakyat Turki, seorang rakyat Amerika berketurunan Turki dan 40 orang lagi cedera.Kesemua penumpang kapal berkenaan adalah orang awam.” “Pemeriksaan keselamatan lengkap, kawalan passport dan keselamatan kapal berkenaan yang berlepas dari Turki telah dilakukan mengikut undang-undang. Kesemua penumpang kapal-kapal berkenaan, barangan peribadi mereka, dan stok bantuan kemanusiaan yang dibawa juga telah melalui pemeriksaan yang rapi. Tiada senjata api mahupun apa jua bentuk senjata telah ditemui. Pelabuhan Turki di mana konvoi kapal berkenaan memulakan perjalanan mereka juga berdaftar di bawah International Ship and Port Facility Security Code (ISPS) kendalian Organisasi Maritim Antarabangsa.” “Tentera Israel diiringi kapal perang, helikopter, dan kapal selam bersenjata lengkap dengan mesingan, senapang berpandu laser, pistol dan senapang paintball yang diubahsuai. Mereka melepaskan tembakan dari helikopter menggunakan peluru hidup dan membunuh 2 penumpang sebelum mendarat ke atas kapal. Semasa serangan, kekerasan yang berlebihan, zalim dan melampau telah digunakan terhadap orang awam yang terlibat. Penumpang kapal hanya bertindak untuk mempertahankan diri tanpa senjata terhadap serangan bersenjata Israel.” Laporan itu juga menyatakan, “apabila tentera Israel mengambil alih kapal,mereka terus-terusan menggunakan keganasan dan mendera fizikal serta psikologi penumpang yang ditawan. Mereka dipukul, disepak, disiku, tidak dibenarkan makan atau minum, digari, didedahkan kepada panas matahari selama berjam-jam lamanya, disekat daripada menggunakan tandas serta dicaci dan dimaki.” “Layanan yang memalukan” “Setelah sepuluh jam belayar ke pelabuhan Ashdod di Israel, kebanyakan penumpang masih lagi digari. Sesetengah daripada mereka ditelanjangkan manakala penumpang perempuan pula dimalukan; seorang daripada mereka, seorang wartawan diarahkan berbogel berulang kali dan sebuah ‘metal detector’ diletakkan di celah kelangkangnya. Mereka tidak diberikan makanan yang mencukupi dan terpaksa berasak dalam ruangan yang sempit dan panas.” “Pihak berkuasa Israel merampas kesemua barangan peribadi penumpang. Selain dirampas, bahan-bahan bukti penting berkenaan serangan berkenaan juga dirosakkan atau dimusnahkan,” katanya lagi. “Mayat-mayat penumpang yang terbunuh dicuci dan dihantar pulang ke Turki tanpa apa-apa laporan perubatan atau bedah siasat. Bahkan, sebelum dipulangkan semula selepas 66 hari ditahan di Ashdod, kapal Mavi Marmara telah dicuci seluruhnya, kesan-kesan darah ditanggalkan dan lubang-lubang peluru dicat semula. Semua rekod kapal, log Kapten, hardware komputer dan dokumen berkaitan dirampas, kamera CCTV dimusnahkan dan semua rekod fotografi dirampas dan mungkin dimusnahkan.” “Seksaan” Laporan tersebut menegaskan bahawa pembunuhan 9 penumpang (orang awam) Mavi Marmara adalah pencabulan jelas terhadap hak untuk hidup yang diisytiharkan oleh Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia dan International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) yang mana Israel menjadi anggotanya sejak 1991. Undang-undang antarabangsa juga telah dicabul melalui layanan tidak berperikemanusiaan yang diberikan oleh tentera dan pihak berkuasa Palestin ke atas penumpang yang cedera dan terselamat semasa di atas kapal dan di pelabuhan Ashdod. Tambahan pula, tindakan-tindakan berkenaan jelas menyalahi larangan menyeksa dan layanan buruk di bawah Artikel 7 ICCPR dan Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT) yang mana Israel juga menjadi anggotanya. Ia juga mencabuli Artikel 3, European Convention on Human Rights (ECHR) .Antara tindakan tersebut adalah melakukan penyeksaan, merendahkan maruah penumpang, menyekat hak asasi dan kebebasan manusia secara paksa termasuk hak peribadi dan kesihatan fizikal serta mendera secara fizikal dan psikologi. Serangan Israel ke atas konvoi bantuan kemanusiaan di kawasan perairan antarabangsa jelas mencabuli kebebasan dan keselamatan pelayaran di lautan terbuka. Kebebasan belayar di lautan terbuka adalah sebuah peraturan yang telah lama termaktub di dalam undang-undang antarabangsa, iaitu Konvensyen Lautan Terbuka 1958 dan  The 1982 United Nations Law of the Sea Convention. Salah satu komponen dalam kebebasan belayar di lautan terbuka adalah pengecualian kuasa undang-undang negara. “Undang-undang antarabangsa ke atas pencerobohan kapal” Laporan tersebut mengingatkan kepada larangan terhadap kapal perang untuk merampas kapal asing dan harta bendanya seperti termaktub dalam Konvensyen 1958 dan 1982 kecuali ia adalah kepunyaan lanun. Mengikut Manual San Remo, kapal yang terlibat dalam misi kemanusiaan, termasuk kapal yang membawa bekalan adalah kebal dari diserang. Kapal Mavi Marmara dan kapal konvoi lain kesemuanya membawa bantuan kemanusiaan untuk survival Gaza. Jelas sekali, Israel gagal memenuhi peraturan di lautan terbuka. Sekatan ke atas perairan Gaza yang dikenakan oleh Israel juga menyalahi prinsip undang-undang antarabangsa sepertimana tertulis dalam Manual San Remo berkenaan sekatan. Sekatan ini meluaskan penguasaan dan objektif ketenteraan Israel serta membawa implikasi yang buruk kepada populasi orang awam sepertimana yang telah diketahui oleh agensi PBB dan dunia. Suruhanjaya Keselamatan PBB, OCHA, Program Makanan Sedunia (World Food Programme), ICRC, Bank Dunia, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, UNHCR dan UNDP kesemuanya memperihalkan keadaan di Gaza sebagai daif, tidak boleh diterima serta tak mampu bertahan. Pelbagai pihak bersetuju bahawa sekatan ke atas Gaza menyalahi undang-undang dan wajib dihentikan, sambil menyifatkannya sebagai “hukuman kolektif terhadap orang awam.Ia juga dianggap tidak sah kerana tiada kenyataan pasti tentang tempoh dan had sekatan. Israel hingga kini kekal sebagai kuasa penjajah di Genting Gaza. ” Laporan itu menyimpulkan, “akhirnya,adalah menjadi prinsip undang-undang antarabangsa bahawa apabila sebuah negara mencabuli tanggungjawab antarabangsanya, ia wajib bertanggungjawab membaiki kesalahannya dan membayar atas kerugian yang dicipta.” Tambahnya lagi, “Kes ini menjadi ujian yang kritikal kepada komuniti antarabangsa dalam menegakkan martabat undang-undang. Tiada negara sepatutnya dibenarkan bertindak melampaui undang-undang. Akauntabiliti harus dilaksanakan. Israel wajib menyedari tanggungjawabnya dan menyampaikan ucapan maaf kepada Republik Turki serta membayar segala ganti rugi yang terhasil akibat serangannya.”

Ahli Akademik Universiti Israel Bantah Pembangunan Penempatan Haram

TEBING BARAT, 10 Jan- Pada hari Ahad (9/1), sejumlah 155 ahli akademik telah mengadakan demonstrasi  boikot di Ariel Universiti Samaria', yang terletak di pemukiman Ariel di Tebing Barat yang dijajah. Para ahli universiti dan perguruan tinggi dari pelbagai fakulti menandatangani petisyen yang menyeru pem boikotan atas tindakan penempatan haram Israel yang berlaku di Ariel. Antara dekralasi mereka ialah "Kami, ahli akademik dari pelbagai bidang dan dari seluruh institusi pendidikan tinggi di Israel, di sini kami membamtah secara terbuka terhadap pendudukan yang berlanjutan dan pembentukan penempatan baru." Pemenang Nobel Laureates, Yehoshua Kolodny, Benjamin Ishak dan Itamar Procaccia antara tokoh yang  menandatangan bantahan tersebut. Dalam deklarasi itu juga mereka menyatakan simpati atas nasib rakyat Palestin yang tinggal di desa-desa dan kem-kem pelarian di dalam keadaan yang amat mendukacitakan dan tidak memenuhi hak asasi manusia. Rakyat Palestin tidak hanya tidak mempunyai akses kepada pendidikan tinggi, bahkan tidak memiliki sumber air yang bersih."  (imc)