1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Sekatan Israel Ke Atas Gaza Perlu Dihentikan - Liga Arab

Rafah, 14 Jun - Pemimpin Liga Arab, Amr Mussa, mendesak masyarakat antarabangsa bersepakat menamatkan sekatan Israel sejak empat tahun lalu ke atas penduduk Gaza. “Sekatan Israel ke atas Gaza perlu dihentikan,” katanya dalam kunjungan pertama beliau ke jajahan itu. “Pendirian Liga Arab jelas, sekatan ini perlu ditamatkan,” katanya selepas dialu-alukan di sempadan Rafah dengan Mesir oleh pemimpin Palestin. “Bukan hanya orang Arab, namun seluruh dunia perlu berdiri bersama rakyat Palestin menentang sekatan Gaza dan apa yang berlaku dalam jajahan itu selain timur Baitulmaqdis,” katanya lagi. Lawatan Mussa hanya dua minggu selepas komando Israel melancarkan satu serbuan tidak menjadi ke atas sekumpulan kapal bantuan antarabangsa yang berakhir dengan kematian sembilan aktivis Turki termasuk seorang warga Amerika Syarikat. Ia adalah kali pertama seorang setiausaha agung organisasi 22 negara anggota Arab melawat Gaza yang diambil alih Hamas pada Jun 2007 selepas pergerakan itu menyingkirkan pentadbir Fatah pimpinan Presiden Mahmud Abbas. Lawatan 10 jam, diumumkan sejurus selepas serbuan maut kapal bantuan, mensasarkan semangat perpaduan rakyat Palestin’ berdepan sekatan dan menggesa usaha lebih besar untuk penyatuan serpihan lain, kata pembantu atasan Hisham Yussef. Bercakap kepada wartawan di sempadan itu, Mussa mengulangi gesaan kepada Hamas dan Fatah supaya menyelesaikan perbezaan mereka. “Penyatuan adalah asas dan persoalan prinsip. Ia adalah persoalan kesanggupan dan bukan satu tanda, ia adalah satu hasrat, ia adalah dasar, kedudukan yang diterjemahkan kepada satu perjanjian terhadap semua isu,” katanya. “Sejarah tidak terhenti di hadapan satu ayat di sini atau satu perenggan di sana.” Ketika kunjungan itu, Mussa dijangka mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya selain wakil agensi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pemimpin perniagaan tempatan dan organisasi bukan kerajaan.  (AFP/BHO)

Mesir Halang Konvoi Bantuan Algeria Masuk Gaza

13 Jun - Sumber-sumber dari Palestin melaporkan pada hari Sabtu (12/6) Pihak Sempadan Mesir menolak untuk membolehkan dua konvoi bantuan memasuki Gaza pada hari Jumaat (11/6) melalui terminal Rafah.

Kumpulan seramai 16 orang dari Algeria termasuk tiga ahli parlimen, tokoh nasional dan orang kenamaan bersama-sama dengan lori yang membawa bantuan telah ditahan dari memasuki Gaza. Bantuan konvoi lain dari Mesir juga tidak dibenarkan memasuki Gaza, seperti yang dilaporkan oleh sumber-sumber dari Palestin.

Menurut Pusat Berkuasa Maklumat Sempadan Palestin, hanya  tiga ahli parlimen dari rombongan Algeria dibenarkan untuk memasuki Gaza manakala bantuan tidak dibenarkan, perkara ini ditolak oleh delegasi Algeria.

Presiden Mesir, Hosni Mubarak sebelum ini telah mengarahkan pembukaan persempadanan Rafah, antara Gaza dan Mesir, beberapa jam selepas serangan kejam Israel terhadap armada bantuan kemanusiaan Flotilla pada hari Isnin 31 Mei lalu. (pnn)

Wisma Putra Sahkan Aktivis LL4G Malaysia Selamat

Wisma Putra melalui Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan semua 12 orang rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka kini masih di bawah tahanan Israel di Haifa. Menurut Datuk Anipah Aman, kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia ke tanahir. Malaysia telah mendapatkan kerjasama dari Kerajaan Turki dan Ireland bagi mendapatkan maklumat keadaan rakyat Malaysia tersebut. (aw)

Terkini: Semua ahli LL4G yang di Tangkap Israel Kini di Kedutaan Malaysia di Jordan

2 Jun – Kesemua ahli pasukan LL4G Malaysia seramai 12 orang TELAH DIBEBASKAN termasuk Sdr Mustafa Mansur. Mereka kini berada di Kedutaan Malaysia di Jordan.  Mereka semua berada di dalam keadaan sihat. Mereka telah menghubungi keluarga masing-masing menggunakan telefon Kedutaan.  Israel tidak mengembalikan kesemua kamera, telefon bimbit, dan sebarang alat komunikasi yang dirampas.  Peralatan kamera krew Astro Awani tidak dapat dipastikan samada dipulangkan ataupun tidak buat masa ini. Berita gembira tersebut diterima terus daripada saudara Noorazman Shamsudin, Ketua Misi LL4G Malaysia yang menghubungi isteri beliau, Pn Mazlinah Ghazali, pada jam 12:12 tengahari tadi waktu tempatan. “Mereka berada di Jordan dan akan pulang dalam masa terdekat,” antara mesej yang dihantar oleh beliau. Perbincangan sedang dilakukan untuk menetapkan bila mereka akan berangkat pulang. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui laman web www.lifeline4gaza.org.

124 Aktivis Yang Di Tangkap Israel Tiba di Jordan

2 Jun - Puluhan aktivis Flotilla Kebebasan yang ditahan dalam serangan Israel terhadap armada bantuan ke Gaza telah tiba di Jordan. 124 aktivis dari 12 buah negara Islam, kebanyakan mereka berasal dari negara yang tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel, telah menyeberangi Sungai Jordan pada subuh hari Rabu (2/6) dengan menaiki lima buah bas Israel. Jurucakap kerajaan Jordan,  Nabil al-Sharif mengatakan, terdapat 30 orang warga Jordan dalam rombongan tersebut. Jordan adalah salah satu dari dua negara-negara Arab yang memiliki dan menandatangani perjanjian damai dengan Israel. (fq/aby/em)

Doktor Aktivis HALUANPalestin Membantu Komando Israel Yang Cedera Ketika Serangan Laut Marmara

KUALA LUMPUR: Seorang sukarelawan Malaysia, Dr Syed Mohd Haleem Syed Hassan yang berada atas kapal Mavi Marmara ketika diserang, sempat merawat dua anggota komando Israel yang cedera terkena tembakan rakan mereka sendiri. Beliau berkata ketika serangan dilancarkan, keadaan menjadi tidak terkawal sehingga dua tentera Israel tertembak sesama mereka, seorang pada tangan dan seorang lagi agak parah dengan dua kesan tembakan pada dada. “Saya terharu apabila ada beberapa orang Turki membawa tentera yang cedera dan meminta saya merawatnya. Ketika itu beberapa orang Turki lain cuba menghampiri untuk mengasari komando Israel, tetapi dihalang petugas lain. “Malah, pemerintah kapal menghalang kami bertindak kasar terhadap mereka. Rawatan yang diberikan juga sangat teliti dan selepas itu mereka diletak di tepi kapal. Tiba-tiba dua tentera itu sendiri terjun ke laut untuk menyelamatkan diri sedangkan kami langsung tidak mengancam mereka. “Tangan mereka juga tidak diikat. Rawatan yang diberikan kepada tentera Israel menunjukkan betapa semua sukarelawan bukan pengganas. Kami langsung tidak mengasari mereka meskipun ada peluang untuk berbuat demikian.” katanya. Dr Syed Mohd Haleem berkata, ketika serangan bermula selepas solat Subuh, keadaan atas kapal menjadi huru hara dan ketika itu beliau menerima panggilan petugas Turki yang memintanya segera ke bahagian atas kapal. “Di situ, kelihatan tiga sukarelawan cedera parah. Seorang ditembak tepat antara dua kening dengan otaknya terburai di belakang kepala tetapi gagal diselamatkan. Tiga lagi yang cedera parah perlu menerima rawatan lanjut segera, namun gagal mendapat kerjasama tentera Israel. “Saya meminta tentera Israel membawa tiga yang cedera untuk dirawat, tetapi jawapan yang diberikan membuka pekung mereka sendiri. Kata mereka, ini adalah kawasan perairan antarabangsa dan sukar membawa pesakit keluar. “Mereka sendiri yang akui perkara itu. “Selepas dirunding beberapa kali, barulah pesakit dibawa keluar. Seorang daripada mereka adalah wartawan Indonesia yang cedera parah yang tertembak pada tangan. “Boleh dikatakan, dalam masa tak sampai lima minit, kapal berubah menjadi hospital,” katanya. Beliau berkata, dalam kapal yang disertai sukarelawan dari hampir 50 negara itu termasuk seorang bayi berusia dua bulan setengah dan warga emas berusia lebih 80 tahun. Dr Syed Mohd Haleem berkata, ketika tiba di Ashdod, rakannya, Dr Arbaie Syawal yang sempat mencium dahi tiga mayat sukarelawan Turki mendapati mereka berbau sangat wangi seperti wangian kasturi. (uo)