1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Penahanan Sheikh Raed Membakar Semangat Membela Al Quds

Keputusan mahkamah Israel menjatuhkan hukuman penjara ke atas Sheikh Raed Shalah pada hari Selasa lalu, 13hb Julai, telah  membangkitkan kemarahan dan membakar semangat masyarakat Palestin untuk terus berjuang membebaskan al Quds dan Masjid al Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Sheikh Raed Shalah, ketua Gerakan Islam di Palestin Jajahan 1948, dijatuhkan hukuman penjara selama 5 bulan bermula 25 Julai. Beliau bakal dimasukkan ke dalam penjara Israel di Ramlah atau Ailon. Persidangan mahkamah jelas bermotif politik, dan apa yang ditetapkan ke atas Sheikh Raed merupakan suatu kezaliman dalam rangka rejim Zionis ingin menghapuskan pengaruh beliau dalam perjuangan membebaskan al Quds dan Masjid al Aqsa daripada ancaman terancang oleh pihak Zionis dan pelampau-pelampau Yahudi. Kamal Al Khatib, wakil kepada gerakan Islam itu menyebut, "Pengasingan Sheikh Raed daripada kami (kerana dipenjara) tidak akan sekali-kali menghalangi kami daripada meneruskan misi yang beliau bawa. Kami akan meneruskan projek yang telah beliau terajui. Penjara tidak akan sekali-kali dapat menghalang kami daripada menunaikan kewajipan membela al Quds dan al Aqsa". Sementara itu seorang lagi pemimpin Gerakan Islam di Palestin Jajahan 1948, Muhammad Zaidan, mendakwa tindakan menjatuhkan hukuman penjara ke atas Sheikh Raed merupakan satu usaha Zionis untuk membuka ruang kepada proses yahudisasi al Quds dan al Aqsa. Sheikh Raed ketika mengulas tindakan Zionis itu menyebut, "Ini merupakan cara-cara imperialis untuk menyempurnakan perancangan yahudisasi kota al Quds dan yahudisasi masjid al Aqsa, menjurus kepada pembangunan kuil Yahudi dengan meruntuhkan Masjid al Aqsa." Beliau juga berpandangan bahawa keputusan tersebut telah dikeluarkan oleh kerajaan Zionis yang merupakan institusi tidak sah, dan apa yang dikeluarkan dari insitusi tidak sah hasilnya adalah terbatal dan tidak sah pula. "Mereka tidak akan dapat menghentikan kami satu hari pun untuk meneruskan usaha membela al Quds dan Masjid al Aqsa hingga berakhirnya episod jajahan Zionis, Insya Allah", ungkap beliau lagi. Mengulas keputusan rejim Zionis itu, pemerintah Palestin di Gaza meletakkan sepenuhnya kepada Israel sebagai bertanggung jawab ke atas keselamatan Syeikh Raed. Seluruh rakyat dan pihak-pihak berkecuali diseru untuk bersolidariti melawan tindakan dan perancangan Zionis yang bertujuan menghancurkan hak-hak Al-Quds serta rakyatnya.

Aktivis LL4G Berkongsi Pengalaman di Kota Bharu

Kota Bharu, 15 Jun - HALUAN Kelantan mengaktifkan skuad roadshow Palestin bersama aktivis HALUANPalestin Hj Noorazman Shamsudin. Beliau yang merupakan ketua misi LL4G  Malaysia telah menyertai konvoi bantuan kemanusiaan bersama 11 lagi wakil Malaysia menaiki kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama lebih 700 orang relawan antarabangsa. Walaubagaimanapun kapal tersebut telah diserang oleh komando Israel di perairan antarabangsa pada 31 Mei yang lalu. Sejumlah 9 orang warga Turki telah terkorban dan puluhan cedera akibat serangan kejam Israel terhadap konvoi bantuan tersebut. Seluruh dunia termasuk PBB, Kesatuan Eropah dan Liga Arab mengutuk dengan sekerasnya tindakan Israel tersebut. Roadshow pertama telah diadakan pada 11 Jun 2010, antara lokasi yang menjadi medan perkongsian Hj Noorazman bertemu masyarakat Kelantan ialah di:
  1. Masjid Pintu Geng, Kota Bharu, selepas solat Jumaat.
  2. Masjid Langgar Kota Bharu, selepas solat Maghrib
  3. Masjid Pendek, Kota Bharu, selepas solat Subuh.
Hj Noorazman sekali lagi turun ke Kelantan bagi menjayakan roadshow kedua HALUAN Kelantan pada 13 Jun 2010, kali ini beliau telah berada di lokasi:
  1. Dewan PKINK pada jam 9.00pagi
  2. Surau Hospital Raja Perempuan Zainab II pada jam 12.30tgh
  3. Dewan Kuliah 8, Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian jam 2.30ptg anjuran Pusat Islam HUSM.
  4. Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, selepas Maghrib
  5. Dewan Besar UM Nilam Puri, selepas solat Isyak.
  6. Masjid Kadok, selepas solat Subuh
Alhamdulillah di sepanjang program, masyarakat yang hadir dapat mendengar sendiri pengalaman Hj Norazman saat beliau dan aktivis lain dari Malaysia mempersiapkan diri menyertai misi Life Line For Gaza (LL4G) sehinggalah kapal bantuan yang mereka naiki di serang oleh lanun Israel. Hj Noorazman turut berkongsi pengalaman bertempur dengan komando tentera laut Israel menggunakan air pili bomba kapal bagi mengusir komando laut Israel menghampiri kapal mereka. Namun akhirnya seperti yang kita ketahui Israel telah berjaya merampas kapal kemanusiaan tersebut dan menangkap semua aktivis. Hj Noorazman juga turut mengajak masyarakat yang hadir agar bersama menggiatkan usaha menyedarkan masyarakat akan peri pentingnya permasalahan Palestin difahami dan dihayati dan memainkan peranan masing-masing untuk membantu Palestin dan menzahirkan sikap cemuhan kita ke atas Israel seperti memboikot produk Israel dan sekutunya, menyampaikan infak dan sumbangan wang ringgit untuk tabung Palestin dan sentiasa berdoa tanpa henti kepada Allah swt. agar Palestin dibebaskan cari cengkaman Yahudi Israel. Menurut Hj Noorazman lagi, peristiwa 31 Mei lalu telah membuka mata masyarakat dan pemimoin seluruh dunia mengenali siapa Israel sebenarnya. Israel kini bukan sekadar bertempur dengan pejuang pembebasan Palestin, sebaliknya mereka juga akan berhadapan dengan seluruh aktivis kemasyarakatan dari seluruh dunia yang menolak sikap agresif Israel. InsyaAllah misi seterusnya konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza akan menyusul dan kali ini akan lebih besar dari sebelumnya. InsyaAllah, HALUAN Kelantan akan berusaha menyusun jadual yang seterusnya, bergantung kepada kelapangan masa yang ada pada aktivis HALUANPalestin. Orang ramai yang berhasrat untuk menjemput aktivis HALUANPalestin untuk menyampaikan ceramah perkongsian pengalaman mereka di masjid, surau, sekolah, universiti atau di mana sahaja, boleh menghubungi YDP HALUAN Kelantan, Hj Mohd Nasir Saat – 0129001009.

Perkongsian Pengalaman LL4G Bergema di Jabatan Ketua Menteri Melaka

Kakitangan kerajaan di Jabatan Ketua Menteri telah berpeluang mendengar satu perkongsian daripada Ketua Misi Lifeline4Gaza, Tn Hj Noorazman Mohd Samsudin dalam tazkirah mingguan mereka yang bertempat di Auditorium Laksamana, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Perkongsian pengalaman saudara penceramah menarik minat lebih 300 kakitangan yang hadir termasuk kakitangan yang bersama dalam sidang video secara langsung. Walaupun penceramah agak kurang sihat pada pagi tersebut, namun beilau tetap gigih untuk menyampaikan ceramahnya bagi berkongsi pengalaman ketika bersama para relawan atas kapal Tn. Hj Noorazman sempat juga menunjukkan beberapa video rakaman yang dapat dibawa keluar untuk tatapan semua. dalam video rakaman tersebut jelas menunjukkan kekejaman tentera Zionis ketika menangkap semua relawan. Rakaman tersebut jelas berbeza dengan rakaman yang ditunjukkan dalam TV Israel yang telah diubahsuai bagi menutup kesalahan yang mereka lakukan. Dalam ceramah beliau, Tn. Hj Noorazman mengajak semua para pendengar untuk memboikot apa sahaja barangan Israel dan sekutunya Amerika sebagai tanda sokongan kita atas usaha para relawan. walaupun ramai yang mengatakan usaha boikot ini hanya sia-sia tetapi sebenarnya tidak. walaupun kita merasakan 1 sen yang kita sumbangkan untuk Israel adalah satu nilai yang sangat kecil, tetapi apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah nanti ketika kita ditanya apakah sumbangan kita bagi membantu saudara kita di Palestin? Dalam ceramah beliau juga menyarankan agar kita semua dapat memberi sumbangan kepada tabung yang disediakan oleh pihak Haluan bagi menjayakan misi kemanusiaan ke Gaza yang seterusnya yang dijangkakan akan berlayar dalam satu atau dua bulan lagi. Selepas sesi ceramah, para kakitangan berpeluang menyaksikan pameran berkaitan info Palestin dan Israel yang diadakan di perkarangan dewan Auditorium. Hasil sumbangan dan jualan amal barangan cenderahati Palestin, tabung Palestin haluan telah berjaya mengumpulkan sebanyak lebih RM800 pada pagi tersebut.

6 Warga Gaza Hilang Apabila Terowong Runtuh

Seramai 6 orang warga Palestin dilaporkan hilang apabila terowong bawah tanah yang menghubungkan selatan Gaza dan Mesir di daerah Rafah runtuh pada hari Rabu, 21 Julai. Sumber-sumber tempatan menyebut bahawa terowong-terowong tersebut terletak berhampiran pintu Shalahiddin di sempadan Mesir-Gaza. Pengarah Unit Kecemasan bagi Jabatan Kesihatan Palestin, Dr. Muawiyah Hasanain, menyebut bahawa pasukan medik dan penyelamat berusaha masuk ke terowong untuk menyelamatkan mangsa-mangsa tersebut. Mangsa-mangsa yang terperangkap adalah merupakan pekerja yang membawa masuk barangan keperluan yang tidak dibenarkan masuk oleh rejim Zionis Israel melalui pintu-pintu masuk darat, meskipun rejim pengganas tersebut sering mengumumkan usaha mereka memberi kelonggaran untuk membawa masuk barang-barang keperluan ke Gaza. Kelonggaran untuk membawa masuk keperluan yang sering disebut-sebut oleh rejim Zionis tidak termasuk keperluan asas yang mendesak seperti bahan binaan, makanan asas dan ubatan yang mengcukupi. Rejim Zionis Israel telah mengenakan sekatan dan embargo ke atas Gaza sejak lebih 4 tahun lalu, menyebabkan ekonomi dan sosial seluruh wilayah Gaza menjadi lumpuh. Namun penduduk Gaza tetap cekal berhadapan dengan kezaliman Zionis dengan membina ratusan terowong bawah tanah di sempadan Gaza-Mesir. Terowong-terowong ini telah menjadi satu-satunya laluan yang efektif untuk membekalkan keperluan asas ke Gaza. Walaupun kerajaan Mesir berusaha menghapuskan jaringan terowong-terowong ini dengan membina tembok besi sedalam 25 meter ke bawah tanah di sepanjang sempadan, timbul dakwaan bahawa masyarakat Gaza berjaya menggunakan bahan kimia bagi menghancurkan besi-besi yang menghalang laluan terowong. Jaringan terowong yang terbesar di sepanjang sempadan tersebut telah mengorbankan 141 orang rakyat Palestin, 116 orang daripadanya meninggal dunia antara tahun 2008 dan 2009. Sepuluh orang daripada mereka terkorban apabila diserang oleh pesawat-pesawat perang Israel di kawasan terowong-terowong tersebut. (mn/PIP)

Askar Zionis Bunuh Lelaki Qalquiliya

Seorang warga Palestin cedera parah manakala seorang lagi ditembak mati oleh askar pengganas Zionis Israel di jalan masuk ke kediaman Burqan berdekatan perkampungan Haris di daerah Salfit di Tebing Barat pada awal pagi Khamis, 21 Julai. Menurut laporan Ma'an News Agency, askar-askar Zionis mula menembak ke arah lelaki-lelaki Palestin tersebut pada jam 4:30 pagi. Pihak berkuasa Zionis Israel enggan menyerahkan mayat pemuda yang terkorban kerana tidak mempunyai pengenalan diri. Mangsa tersebut dikenali sebagai Bilal Abu Libdah, 25 tahun, berasal dari Qalquilia. Tentera Zionis mendakwa bahawa mereka menyangkakan mangsa-mangsa tersebut cuba menyeludup masuk ke kediaman Burqan. Israel walaubagaimanapun tidak dapat menyebut berapa ramai yang terlibat, malahan tidak dapat memastikan samada mereka lelaki-lelaki Palestin tersebut benar-benar memiliki senjata. Menurut tentera Zionis lagi, Brigadier Jeneral Yoav Mordechai telah mengarahkan pegawai-pegawai keselamatan Palestin supaya menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut secara bersama. Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin mengambil langkah mengutuk pembunuhan tersebut dan mendesak askar Zionis yang terlibat supaya bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku. Jurucakap pihak berkuasa Palestin, Ghassan Khatib menyebut tidakan ganas askar-askar Zionis itu sebagai suatu yang melanggar undang-undang dan tidak berasas sama sekali. "Amalan tentera Israel adalah supaya menembak terlebih dahulu, kemudian baru soal. Itu sudah menjadi kebiasaan mereka", kata Khatib melalui kenyataan rasmi beliau. Menurut laporan media Israel, YNet, seorang askar Israel yang sedang berkawal di tempat kejadian telah melihat beberapa orang lelaki cuba memasuki kediaman tersebut, dan menyangkakan mereka cuba masuk untuk mencuri. Askar-askar Israel cuba memberi amaran kepada lelaki-lelaki tersebut dan terus menembak kerana menyangkakan mereka membawa senjata. Laporan YNet juga mengesahkan bahawa siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata. [mn/Maan/YNet]

Sheikh Raed Mula Jalani Hukuman Penjara

25 Julai 2010, Bethlehem -- Ketua Pergerakan Islam Jajahan 1948 (juga dipanggil sebagai Green Line Area - GLA) Sheikh Raed Shalah memulakan hukuman penjara selama 5 bulan di Penjara Ayalon. Beliau yang diiringi oleh ratusan orang penyokong, ahli-ahli Knesset (Parlimen Israel) berbangsa Arab, pemimpin-pemimpin di GLA termasuk Mohamed Zidan dan juga wakil-wakil daripada Golan Heights telah menyerah diri kepada pihak berkuasa Zionis di penjara berkenaan. Dalam kenyataan media beliau, Sheikh Raed memberi amaran bahawa sebarang usaha Zionis yang bertujuan untuk memusnahkan Masjid al Aqsa boleh menyebabkan berlakunya peperangan di Timur Tengah yang seterusnya akan mencetus peperangan dunia ketiga. Beliau menjelaskan bahawa tempoh separuh akhir tahun 2010 ini merupakan saat genting bagi pergolakan di Masjid al Aqsa kerana Zionis sedang berusaha  untuk melaksanakan perancangan mereka memecah-mecahkan kawasan Masjid suci itu. Sambil menyebut bahawa hukuman yang akan beliau lalui hanyalah suatu perkara kecil, Sheikh Raed menyeru kepada semua mereka yang ikhlas, termasuk seluruh dunia Arab dan Islam, supaya tampil menyelamatkan Masjid al Aqsa daripada sebarang rancangan jahat Zionis. Pada 13 Julai lalu, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 9 bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan meludah seorang pegawai polis Israel di pintu masuk Dung di Baitulmaqdis pada bulan Februari 2007. Dalam kejadian tersebut, Sheikh Raed bersama-sama 4 orang Arab lain termasuk Dr Seleiman Eghbareyya sedang dikepung oleh askar-askar Zionis yang lengkap bersenjata ketika mereka sedang mengadakan protes terhadap kerja-kerja pembinaan dan menggali terowong di Masjid al Aqsa. Berikutan peristiwa itu, mereka telah diharamkan daripada memasuki Masjid al Aqsa, malahan tidak dibenarkan berada di dalam kawasan lingkungan 150 meter daripada bandar Jerusalem. Sheikh Raed juga telah dilarang daripada mengadakan sebarang perjumpaan di tempat awam yang melibatkan lebih daripada 6 orang. Menurut kenyataan Perkhidmatan Penjara Israel, Sheikh Raed akan dikurung dalam penjara secara berseorangan di tempat yang biasanya dikhususkan untuk penjenayah berat seperti ketua-ketua mafia. Peguam-peguam Sheikh Raed telah membuat permohonan supaya hukuman itu ditangguhkan sehingga selepas bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun pihak berkuasa Israel menolak permohonan tersebut. Bagi pihak mereka, Pergerakan Islam di GLA menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh rejim Zionis itu tidak akan sekali-kali melemahkan perjuangan mereka menentang perancangan dan usaha jahat Zionis terhadap Masjid al Aqsa. "Kami tidak takut kepada penjara, tapi jika kamu (Israel) fikir hukuman (memenjarakan Sheikh Raed) ini dapat menghalang kami dari apa juga usaha mempertahankan masjid al Aqsa, kamu (sebenarnya sedang) bermimpi", sebut kenyataan media pergerakan itu sebagai reaksi terhadap hukuman tersebut. [mn/YNet/Maan]