1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

4,800 Rakyat Palestin Di Penjara Zionis

prisoner-01BANDAR BARU BANGI, 5 Feb 2014 -- Rejim Zionis masih menahan seramai 4,800 rakyat Palestin di 17 buah penjara dan pusat-pusat tahanan dan interogasi.

Ketua Jabatan Bancian di Kementerian Tahanan Palestin di Ramallah, Abdul-Nasser Ferwana, dalam kenyataan beliau di Tebing Barat Selasa lalu menyebut bahawa seramai 11,034 orang rakyat Palestin termasuk 2,500 kanak-kanak telah dipenjarakan oleh rejim Zionis sepanjang tiga tahun lalu. Sejak tercetusnya Intifadah Al-Aqsa pada tahun 2000, lebih 10,000 kanak-kanak Palestin telah ditangkap dan ditahan.

Ferwana mendakwa tangkapan yang dibuat oleh rejim Zionis adalah mencabuli undang-undang antarabangsa. "Penangkapan dibuat secara ganas, interogasi, penyeksaan dan keadaan penjara yang sangat teruk... semuanya merupakan pencabulan (hak) yang serius," kata beliau.

prisoner-02Abdul-Nasser Ferwana"Sehingga kini, terdapat 4,800 rakyat Palestin di dalam penjara, lebih separuh daripada mereka ditahan ketika Intifadah Al-Aqsa," jelas Ferwana lagi. "Mereka ditahan di 17 penjara dan pusat tahanan. Seramai 17 wanita juga masih di dalam tahanan. Tahanan wanita yang paling lama adalah Lina al-Jarbouni yang telah ditahan sejak 12 tahun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama 17 tahun."

Ferwana juga memaklumkan seramai 150 orang ditahan di bawah arahan Tahanan Pentadbiran, di mana tentera Zionis menangkap rakyat Palestin sewenang-wenangnya tanpa sebarang dakwaan atau pengadilan dalam tempoh tertentu yang boleh dilanjutkan pada bila-bila masa. Seramai 12 orang penggubal undang-undang masih berada di dalam tahanan, termasuklah bekas Menteri Kerajaan Tempatan. Sepanjang 10 tahun lalu, Zionis telah menculik dan menahan lebih 60 penggubal undang-undang dan bekas menteri. Majoriti mereka ditahan di bawah Tahanan Pentadbiran.

Berkenaan tahanan seumur hidup, Ferwana menyatakan seramai 474 rakyat Palestin sedang menjalanani hukuman penjara seumur hidup. Beliau turut menyebut bahawa seorang tahanan, Abdullah Barghouthi, telah dikenakan 67 hukuman penjara seumur hidup dengan tambahan tempoh penjara selama 250 tahun.

Tahanan yang paling lama berada di dalam penjara Zionis adalah Karim Younis yang ditahan sejak 31 tahun lalu. 15 orang lagi telah ditahan sejak lebih 25 tahun lalu.

Ferwana menambah bahawa rejim Zionis turut menafikan hak tahanan yang sakit tenat bagi mendapat rawatan profesional. Terdapat 1,500 orang tahanan yang mengidap berbagai penyakit termasuk kanser. Ramai juga yang terpaksa menanggung sakit sehingga tidak dapat bergerak atau kehilangan fungsi anggota badan.

Seramai 205 rakyat Palestin meninggal dunia ketika dalam tahanan sejak tahun 1967 akibat penyiksaan yang berlebihan semasa interogasi, tidak mendapat rawatan perubatan dan juga kekerasan yang berlebihan. Mangsa yang mutakhir adalah Hasan Toraby, 22 tahun, yang meninggal dunia akibat sakit kanser apabila tentera Zionis tidak membenarkan rawatan bagi beliau. Beliau meninggal dunia di Hospital Al-‘Affoula, setelah dipindahkan ke hospital berkenaan apabila keadaan kesihatannya menjadi kritikal.

Manakala puluhan bekas tahanan lagi meninggal dunia tidak lama selepas dibebaskan. Mereka berhadapan dengan berbagai komplikasi kesihatan akibat kekurangan rawatan ketika dalam tahanan.

Di akhir kenyataan beliau, Ferwana menggesa pihak media supaya membuat liputan yang lebih meluas berkaitan isu tahanan Palestin, penderitaan yang mereka hadapi dan juga pencabulan berterusan ke atas hak mereka serta penderaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh rejim Zionis.

prisoner-03Abdullah Barghouthi ditahan oleh Shin Bet pada bulan Mac 2003. Tahun berikutnya, beliau dijatuhkan hukuman 67 penjara seumur hidup, hukuman penjara paling lama dalam sejarah. Beliau ditahan dalam penjara berseorangan dan dinafikan hak mendapat lawatan keluarga.

prisoner-04Pengkebumian Hasan Toraby di Sara, Tebing Barat, pada 5 Novemver 2013.

prisoner-05Zionis juga didakwa menahan rakyat Palestin di kem penjara rahsia "1391" yang diberi jolokan "Guatanamo Bay Israel." Bekas Menteri Kehakiman Zionis, Dan Merridor, pada tahun 2009 menyatakan beliau maklum tentang kewujudan kem tersebut.