1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Dua Warga Gaza Terbunuh Dalam Serangan Terbaharu Zionis

serang-gaza-01GAZA, 24 Dis 2013 -- Tentera Zionis menyerang beberapa kawasan di wilayah Gaza, membunuh dua penduduk awam dan mencederakan sekurang-kurangnya empat orang lain.

Laporan petugas perubatan menyebut bahawa salah seorang yang terbunuh adalah Hala Ahmad Abu Sbaikha, 3 tahun. Anak kecil ini terbunuh dalam serangan bom ke atas rumah keluarganya berdekatan sebuah ladang ternakan ayam di timur Kem Pelarian al-Maghazy. Ibunya serta dua adik-beradiknya turut tercedera dalam serangan tersebut. "Saya sedang sibuk mengajar anak-anak ketika Hala bermain di luar, tiba-tiba sebutir bom meletup dan saya tidak dapat menyelamatkannya," kata ibu Hala sebagaimana dipetik oleh Agensi Berita Ma'an.

Dalam serangan lain di bandar Beit Lahiya, utara Gaza, seorang pemuda terbunuh dan seorang yang lain tercedera. Menurut jurucakap kementerian Kesihatan, Dr Ashraf Al-Qudra, seorang lagi remaja telah ditembak di bahagian kakinya dan dikejarkan ke sebuah hospital.

Jentera tentera Zionis dilaporkan memasuki wilayah Gaza di kawasan berdekatan pengkalan tentera Nahal Oz dan juga kawasan sekitar Shujaeyya. Tentera tersebut melepaskan tembakan di kawasan yang dimasuki, tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Dalam rangkaian serangan terbaharu ini, beberapa buah sekolah di kawasan Deir Balah, tengah Gaza, turut mengalami kerosakan. Laporan pegawai Kementerian Pendidikan, Medhat Dessouki, menyebut bahawa pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan akhir terpaksa dipindahkan ke bangunan lain.

Ibu pejabat pentadbiran kerajaan Palestin di Gaza kini dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan serangan tentera Zionis ke atas Gaza.

Rangkaian serangan ini terjadi setelah Perdana Menteri Zionis, Benjamin Netanyahu, mengancam untuk melancarkan serangan balas besar-besaran terhadap pembunuhan seorang jurutera tentera Zionis di sempadan utara Gaza.

---------

Laporan Unit Media, Biro HALUAN Palestin. Sumber maklumat Ma'an dan IMEMC.