1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Hampir 1 Juta Penduduk Gaza Perlukan Bantuan Makanan

unrwa-01GAZA, 19 Dis 2013 -- Hampir sejuta penduduk Gaza dijangka memerlukan bantuan makanan pada tahun 2014 akibat sekatan yang berterusan. Sebanyak US$95 juta diperlukan bagi memenuhi keperluan tersebut.

Menurut kenyataan United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), seramai 813,000 penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan makanan. Lebih membimbangkan lagi, agensi PBB itu menjangkakan peningkatan sehingga 20 peratus dalam permintaan bantuan makanan pada tahun 2014.

Pengarah Operasi UNRWA di Gaza, Robert Turner, dalam rayuannya kepada masyarakat dunia menyebut bahawa sebab utama kepada peningkatan tahap kemiskinan di Gaza adalah kerana penutupan atau pemusnahan terowong-terowong di sempadan Mesir beberapa bulan lalu. Tindakan itu menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan pekerjaan dan projek-projek pembinaan terpaksa dihentikan.

Terowong menjadi talian hayat komersial bagi penduduk Gaza apabila rejim Zionis menafikan hak mereka mendapatkan keperluan asas dengan mengenakan kepungan atau sekatan haram sejak Jun 2007. Melalui terowong-terowong ini keperluan harian mereka, termasuk makanan dan bahan binaan dibawa masuk.

Selain daripada menyekat bantuan luar daripada dibawa ke Gaza melalui pintu-pintu masuk yang sah, rejim Zionis sering menyerang dan memusnahkan tanaman serta kebun pertanian penduduk Gaza. Zionis juga menyekat nelayan Gaza daripada belayar ke perairan dalam dengan menyerang dan merosakkan peralatan menangkap ikan. Tindakan zalim ini benar-benar menghalang penduduk Gaza dari segenap aspek, sungguhpun mereka mampu berdikari dan berusaha mencari rezki sendiri di dalam wilayah terkepung seluas hanya 360 km persegi itu.

Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 1.8 juta penduduk Gaza dikategorikan sebagai mereka yang hidup dengan bergantung kepada bantuan luar. Kadar pengangguran di Gaza kini adalah sebanyak 30 peratus, dan dianggarkan mencecah 38 peratus bagi tahun 2013.

unrwa-03Robert Turner, Pengarah Operasi UNRWA di Gaza.

unrwa-02Penduduk Gaza mengambil bantuan makanan di gudang UNRWA di Kem Pelarian Rafah, selatan Gaza.

--------

Laporan Unit Media, Biro HALUAN Palestin. Sumber maklumat dari Alray Palestinian Media Agency dan Reuters.