1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Zionis Arah Tangkap Kanak-Kanak Berumur Empat Tahun

zine-01BAITULMAQDIS, 28 Nov 2013 -- Tentera Zionis menceroboh masuk ke dalam sebuah rumah rakyat Palestin di kawasan Saadia untuk menangkap kanak-kanak berumur empat tahun, Mohammed al-Majid.

Operasi pada awal pagi itu merupakan rentetan dari penangkapan kanak-kanak sejak semalam di mana Ahmed Dahbour, sembilan tahun, Muhammad Hazeena, 16 tahun, Fadi Ghafari, 11 tahun dan adiknya Mohammed, enam tahun, telah ditangkap.

Wadi Hilweh Information Center melaporkan bahawa sekumpulan tentera Zionis menceroboh masuk ke dalam rumah keluarga al-Majid dengan membawa waran tangkap ke atas Mohammed. Tentera Zionis enggan mempercayai dakwaan bapa kanak-kanak itu, Zine al-Majid, bahawa anaknya baru berumur empat tahun. Bahkan mereka terus mendesak supaya Mohammed dikejutkan dari tidurnya untuk ditangkap. Setelah melihat sendiri susuk tubuh Muhammed dan menyoal-siasat kanak-kanak tersebut, tentera Zionis kemudiannya membatalkan arahan penangkapan. Walau bagaimanapun mereka mengugut untuk datang semula dan menangkap kanak-kanak itu sekiranya ada bukti-bukti yang mengaitkan beliau dengan kecederaan ke atas seorang penduduk Yahudi.

Penangkapan kanak-kanak Palestin oleh tentera Zionis bukanlah suatu perkara yang luarbiasa. Tahun lepas, seorang kanak-kanak berumur dua setengah tahun dari perkampungan Kafr Qaddum di utara Tebing Barat turut melalui pengalaman seperti yang dialami oleh Muhammed al-Majid. Kanak-kanak Palestin yang ditangkap sering disiksa dan diugut oleh tentera Zionis. Menurut Defense for Children International, seramai 179 orang kanak-kanak Palestin telah dipenjara oleh rejim Zionis sejak 30 September lalu.

Lebih 4,500 rakyat Palestin kini ditahan di penjara dan pusat-pusat tahanan Zionis, sebahagian besarnya tidak pernah didakwa atau dibicarakan di mahkamah. 170 orang daripada mereka ditahan sebagai "Tahanan Administratif" di mana rejim Zionis boleh menangkap rakyat Palestin dan menahan mereka selama enam bulan tanpa sebarang dakwaan atau perbicaraan. Tahanan itu boleh dilanjutkan pada bila-bila masa tanpa ketetapan tempoh.

zine-02Mohammed al-Majid [Foto: Alray Media]

-------

Laporan Unit Media HALUAN Palestin, sumber maklumat dari Electronic Intifada.