1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Perkongsian Pengalaman Relawan LL4G di Seremban

Pada 25 Jun 2010, bertempat di Surau Asyura, telah diadakan satu perkongsian pengalaman salah seorang sukarelawan Flotila Pembebasan Gaza yang turut terlibat dengan serangan kejam Israel terhadap kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu. Beliau adalah Saudara Mohd Nizam Awang yang juga wartawan Haluan ke Gaza.
Program bermula dengan solat Maghrib bersama ahli kariah dan tayangan video sebenar kisah trajis yang berlaku. Majlis diteruskan dengan ceramah perkongsian oleh sukarelawan yang berlangsung selama lebih satu jam. Hadirin yang hadir sangat tekun mendengar kisah pengalaman daripada penceramah. Dalam masa yang sama, telah diadakan pameran Palestin & kekejaman Israel di perkarangan surau. Anak-anak kecil yang turut hadir pada malam tersebut kelihatan sangat berminat dengan pameran yang turut menunjukkan koleksi ilustrasi kartun berkaitan kekejaman Israel & sekutunya. Ternyata pameran sebegini telah membuka minda masyarakat umum untuk mengetahui isu dunia dan menerima berita langsung daripada sumber yang benar.
Ketekunan kanak-kanak membaca bahan -bahan pameran. Solat isya' berjemaah bersama ahli kariah selepas tamat program diikuti dengan jamuan makan yang disediakan oleh AJK surau Asyura.
Pada malam tersebut, turut diadakan kutipan dana untuk Palestin yang akan disumbangkan terus ke Tabung Palestin Haluan untuk misi Talian Hayat untuk Gaza yang seterusnya. Pada malam itu, sebanyak RM 1500 berjaya dikutip daripada ahli kariah Garden Avenue dan dan penduduk sekitar Surau Asyura.
Ahli kariah sibuk meneliti & membeli cenderahati Palestin Pihak Haluan Palestin mengucapkan setinggi-tingi penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Surau Asyura serta penduduk sekitarnya kerana memberi peluang kepada kami untuk melakukan sedikit amal & perkongsian dengan masyarakat setempat.

Pelajar Maahad Di Pahang Berkongsi Informasi Projek Lifeline4Gaza

Penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang dipaparkan melalui program roadshow "Lifeline 4 Gaza" talian hayat untuk Gaza, menerobos tembok kematian, oleh HALUAN Palestin turut dikongsi dan dirasai bersama oleh pelajar-pelajar sekolah di Negeri Pahang. Isu Palestin ini bukan sahaja perlu didedahkan kepada masyarakat umum, namun perlu juga didedahkan kepada pelajar-pelajar sekolah bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka betapa isu Palestin ini adalah isu agama yang membabitkan persoalan aqidah yang wajib diketahui oleh seluruh ummah tanpa mengira batasan umur. Dua buah sekolah menengah agama bertaraf Maahad di Pahang telah bertuah kerana dapat bersama HALUAN Palestin berkongsi informasi terkini tentang isu Palestin ini. Sekola-sekolahh tersebut ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Dan Professional Kerajaan Negeri di Tg Lumpur, Kuantan dan Maahad  As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini, Bandar Pusat Jengka Pahang. Pengerusi HALUAN Palestin, Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin telah dijemput menyampaikan ceramah isu Palestin di Maahad Tahfiz Al Quran pada 2 April 2010 lalu selepas solat Jumaat di surau Maahad tersebut. Seramai 150 orang pelajar terpilih telah hadir mendengar penjelasan sebenar mengenai isu Palestin ini. Mereka menunjukkan minat dan tumpuan pada bahan yang disampaikan beserta tayangan slide yang menunjukkan penderitaan umat Islam di sana, dan bagaimana usaha masyarakat dunia yang prihatin ingin membantu mereka melalui projek "Lifeline 4 Gaza" ini. Menurut wakil Pengarah Maahad, Ustaz Lafzul, pelajar-pelajar ini perlu mengetahui isu sebenar yang menyelubungi permasalahan ummah hari ini agar minda dan perasaan hati mereka akan lebih terdidik menghubungkan dan mempraktikkan Al-Quran yang dihafaz dalam kehidupan mereka. Mereka juga dianjurkan untuk sentiasa mendoakan akan keselamatan dan kesejahteraan saudara mereka di sana sebagai bukti kasih sayang dan prihatin mereka di samping menggalakkan ibubapa mereka untuk turut serta memberi sumbangan kepada projek mengumpul dana ini. Manakala pada 7 April 2010 pula, pelajar Sekolah Agama Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini di Bandar Jengka turut berpeluang mendengar dan memahami isu Palestin ini yang telah diadakan selepas solat Asar di Masjid sekolah. Seramai 300 orang pelajar putera dan puteri teruja mendengar ceramah beserta tayangan slide dan video. Ceramah telah disampaikan oleh Sdr Abd Bashir dari HALUAN Palestin Pahang. Pelajar didedahkan dengan  penderitaan umat Islam di Palestin akibat keganasan pihak Zionis dan perancangan Yahudi untuk merobohkan Masjid al Aqsa. Begitu juga dengan pembinaan tembok kematian yang dibina oleh Zionis yang telah membuatkan mereka kini terkepung di dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia. Rakyat Palestin ini dinafikan hak untuk hidup bebas dan terputus hubungan bagi mendapatkan sebarang bentuk bantuan antarabangsa. Pelajar-pelajar juga didedahkan dengan protokol dan perancangan jahat Yahudi yang telah berjaya merosakkan aqidah dan akhlak generasi muda Islam dengan berbagai strategi melalui penerapan 6S iaitu song, show, shopping, sport, smoke dan sex. Pelajar diingatkan bahawa mereka adalah pemuda-pemudi tiang agama yang akan mewarisi kepimpinan generasi di masa akan datang. Justeru itu mereka perlu persiapkan diri dengan aqidah, ibadah dan akhlak yang mantap. Mereka harus memelihara diri dari terperangkap dan hanyut dengan godaan hawa nafsu ciptaan dan perancangan jahat Yahudi ini. Ceramah telah diakhiri dengan pelajar-pelajar berdiri dengan penuh semangat menyanyikan lagu "Palestina Tercinta" beramai-ramai. Alhamdulillah, isu Palestin ini telah memberi ruang wacana ilmu seluasnya kepada pelajar dan menyedarkan mereka bahawa dipundak bahu merekalah letaknya harapan ummah untuk mengembalikan kegemilangan Islam membebaskan Palestin dan Masjid al Aqsa dari cengkaman Zionis.

Charity Lunch Save Palestine Mendapat Sambutan di Kota Bharu

Kota Bharu , 27 Mac– Dengan bertemakan Menerobosi Tembok Kematian, Biro HALUAN Palestin dengan kerjasama Kolej Teknologi Darul Naim, HALUAN Kelantan dan Sekretariat Misi Cakna Palestin telah berjaya menganjurkan Majlis Charity Lunch Save Palestin di Hotel New Pacific, Kota Bharu. Majlis ini telah dihadiri oleh tetamu terhormat Timbalan Menteri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Haji Yaakob yang juga merangkap Penasihat Sekretariat Misi Cakna Palestin. Menurut Pengarah Program, En Zaini Ghazali majlis ini diadakan bagi mengutip derma dan sumbangan orang ramai untuk menjayakan misi Lifeline4gaza dengan matlamat untuk membantu mangsa-mangsa kekejaman Israel di Palestin. Turut hadir dalam majlis ini adalah Presiden HALUAN, Yang Berbahagia Dr Hj Abdullah Sudin Ab Rahman, Yang di-Pertua Haluan Kelantan, Hj Mohd Nasir Saat dan Ketua Sekretariat Misi Cakna Palestin, En Nazri Deraman. Dalam ucapan beliau, Dr Hj Abdullah Sudin menyatakan bahawa Isu Palestin ini seharusnya dilihat sebagai isu yang besar dan menjadi agenda utama umat Islam untuk membantu rakyat Palestin dalam apa jua bantuan. Dan inisiatif yang dilakukan oleh HALUAN ini adalah sebagai salah satu jalan untuk membantu dan menyumbang kepada rakyat Palestin. Majlis tersebut disusuli dengan Ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Haji Yaakob. Beliau telah memberi sedikit gambaran sejarah Palestin dan menjelaskan kenapa kita perlu mempertahankan bumi Palestin. Tegas beliau lagi, isu ini harus diperjuangkan oleh semua pihak terutama umat Islam. Turut sama dalam majlis ini ialah Tuan Haji Noorazman Bin Mohd Shamsudin yang berkongsi pengalaman beliau ketika menyertai rombongan viva Palestin baru-baru ini. Majlis ini juga diserikan dengan persembahan Nasyid yang diundang khas dari Indonesia iaitu Kumpulan nasyid Shoutul Harakah. Dendangan nasyid yang dibawa bertemakan perjuangan Palestin dan membangkitkan kesedaran berkaitan isu Palestin. Kehadiran lebih daripada 400 orang tetamu dari agensi korporat dan juga badan-badan kerajaan dari pelbagai negeri memperlihatkan sikap kepekaan mereka untuk sama-sama membantu meringankan beban rakyat Palestin. Semoga Allah SWT merahmati mereka atas segala usaha ini.

Antara Tragedi Mavi Marmara dan Keprihatinan Dunia

Bandar Baru Uda, Johor Bharu, Selasa 15hb Jun -- LEBIH 400 orang hadir ke Masjid Bandar Baru Uda, bagi mengikuti wawancara bersama aktivis Mavi Marmara dan tahanan penjara Zionis Israel di Be'er Sheva. Ahli jawatankuasa masjid telah menjemput Ustaz Hasannuddin Yusof daripada Aqsa Syarif dan Dr Mohd Arbaei Shawal daripada HALUAN untuk berkongsi pengalaman mereka dalam sesi yang berlangsung hampir 2 jam. Kehadiran begitu ramai jemaah lelaki dan wanita yang memenuhi ruang masjid ini menggambarkan keprihatinan masyarakat tempatan terhadap permasalahan Palestin. Pada sesi awal majlis tersebut, Dr Mohd Arbaei Shawal menegaskan bahawa permasalahan Palestin adalah satu perkara yang berkaitan dengan aqidah umat Islam, masalah yang tidak akan berakhir sehingga ke hari kiamat selagi Palestin tidak dimerdekakan dan Masjid Al Aqsa dibebaskan. Selain daripada itu, beliau juga menceritakan perihal tragedi serangan komando-komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara pada 31hb Mei. Dalam kejadian tersebut, aktivis-aktivis yang berada di dalam kapalMavi MArmara telah diperlakukan dengan ganas dan tidak berperi-kemanusiaan. Sebagai seorang doktor perubatan, beliau menceritakan detik-detik yang cemas dan tidak boleh dilupakan sewaktu komando Israel menembak secara rambang ke arah para aktivis, hinggakan ramai yang terkorban dan tercedera akibat terkena tembakan. Beliau juga sempat mencium tiga orang yang terkorban, dan mendapati bau mayat syuhada itu wangi bagaikan haruman kasturi. Dr Arbaei turut menyeru supaya masyarakat Islam bangkit dari lena, kerana tragedi kemanusiaan di Gaza ini bukanlah isu yang sementara atau boleh diambil ringan. "Sekiranya diizinkan Allah, saya rindu untuk menjejakkan kaki ke Gaza," tegas Dr Arbaei, menunjukkan betapa prihatinnya beliau terhadap permasalahan ini. Ustaz Hasannudin pula menyatakan bahawa peristiwa tragis kepada kapal Mavi Marmara telah memberi tekanan hebat kepada rejim Zionis Israel, dan dalam masa yang sama telah dapat membuka mata seluruh dunia terhadap kekejaman yang dilakukan selam ini terhadap rakyat Palestin, terutamanya di Gaza. Beliau juga menceritakan bagaimana sewaktu kapal Mavi Marmara ditawan, beliau telah dipijak-pijak oleh komando-komando Zionis sambil ketawa. Komando-komando Zionis menjadikan badan beliau sebagai tempat laluan, di mana mereka yang lalu lalang disitu akan memijak badan beliau. "Sewaktu dipijak, saya teringat kepada satu ayat al-Quran yang menyatakan bahawa kaum Yahudi ini adalah kaum perosak. Dan sekarang ini, saya merasakan ayat itu secara realiti,” kata Ustaz Hasannuddin. Beliau yang juga Pengerusi Aqsa Syarif turut memberitahu jemaah masjid bahawa pihak Aqsa Syarif ada menyediakan skim bantuan anak-anak yatim Palestin. Beliau sangat mengalu-alukan masyarakat Malaysia supaya dapat merebut peluang untuk  menyara anak-anak yatim itu secara bulanan. Pengerusi wawancara, Ustadz Hairozi telah merumuskan bahawa konvoi "Lifeline For Gaza (LL4G)" atau "Freedom Flotilla" telah membawa satu kejayaan bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat dunia terhadap permasalahan kepongan dan sekatan rejim Zionis Israel di Gaza. Rejim Israel yang berhadapan dengan tekanan dari pelbagai pihak telah mula memberi kelonggaran kepada penduduk Gaza. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam masih banyak, dan sokongan dari segenap lapisan masyarakat terus diperlukan sehinggalah permasalahan isu Palestin dan pembebasan Masjid Al Aqsa tercapai. Sumbangan dan jualan amal daripada pihak HALUAN dan Aqsa Syarif turut diadakan pada malam tersebut. Laporan disediakan oleh Biro HALUAN Palestin dan Kelab Siswa HALUAN Negeri Johor.

Sekolah-sekolah di Kluang Turut Merasai Bahang Lifeline 4 Gaza

KLUANG, JOHOR, 21 April – HALUAN Palestin terus menggiatkan kempen memberi kesedaran dan kutipan dana bagi projek Lifeline 4 Gaza dengan mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah di daerah Kluang. Tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Arab Kluang, Sekolah Menengah Agama Kluang dan Sekolah Menengah Sains Johor telah menjemput wakil-wakil HALUAN Palestin menyampaikan penerangan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar mereka. Melalui ceramah-ceramah mereka, penceramah-penceramah HALUAN Johor yang terdiri daripada Dr Mohd Arba’ai bin Shawal dan Tn Hj Syed Helmi Al-Hadad telah cuba mengajak para guru dan pelajar untuk merasai kesempitan hidup masyarakt di Gaza yang dizalimi secara berterusan oleh rejim Zionis Israel dan sekutu-sekutunya. Kehidupan harian di Gaza pada hari ini adalah semakin sukar dan menyedihkan. Bangunan-bangunan yang dahulunya merupakan rumah yang selesa untuk mereka diami kini telah hancur menyembah bumi. Setelah setahun peperangan Al-Furqan berlalu, mereka masih lagi hidup beratapkan kenves dan besi dan berlantaikan tanah dan pasir. Kehidupan sangat sukar tanpa bekalan elektrik dan air yang sempurna, tanpa gas dan makanan yang mengcukupi. Siang berbekalkan panas matahari yang terik, malam dengan cahaya lilin dan rembulan, kesejukan sampai ketulang… tiada lagi air mata yang mampu mengalir. Sehari-harian mereka hanya melihat orang-orang Gaza yang senasib sahaja, dan hampir mustahil melihat orang-orang asing dari luar kerana sekeliling mereka adalah tembok konkrit yang tinggi hampir setinggi pokok kelapa. Itulah antara gambaran yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah tersebut. “Palestin adalah tanggung jawab seluruh umat Islam kerana di situlah berdirinya Masjid Al Aqsa dan Baitulmaqdis yang telah diwakafkan oleh Syaidina Umar RA kepada ummat Islam. Umat Islam wajib membebaskan Palestin sekiranya ia dijajah seperti pada hari ini. Ummat Islam zaman lampau telah mengorbankan jiwa, harta dan darah mereka untuk membebaskan Palestin, khasnya Baitulmaqdis, dari cengkaman musuh-musuhnya. Sultan Abdul Hamid ke-2 telah mengorbankan takhtanya semata-mata kerana tidak mahu menjualkannya kepada Zionis laknatullah”, terang Tuan Hj Syed Helmi Al-Haddad. Beliau menambah, “Gaza merupakan pertahanan terakhir umat Islam didalam menghadapi penjajahan Zionis Israel laknatullah. Kekalahan Gaza akan membuka ruang kepada Israel untuk meneruskan cita-cita mereka meluaskan kekuasaan sehingga ke Mesir, Iraq di sempadan Sungai Furat dan utara Arab Saudi”. Tuan Hj Syed Helmi Al-Haddad juga telah mengajak para pelajar sekolah tersebut untuk bersungguh menimba ilmu dalam rangka untuk menandingi penguasaan Yahudi di dalam semua bidang kehidupan pada hari ini. Beliau juga menyeru para pelajar untuk memberikan sumbangan yang semampu mungkin untuk menjayaka misi LifeLine 4 Gaza. Misi ini akan menghantar 8 buah kapal yang dipenuhi dengan berbagai barangan yang akan belayar dari Pelabuhan Mersin di Turki menuju terus ke Gaza melalui Laut Mediterranean.

“Palestin Adalah Permasalahan Iman dan Aqidah”

Simpang Renggam, 11 Jun - Haluan Johor telah mengadakan majlis memperingati keganasan Israel terhadap para relawan yang menjayakan misi “Life Line 4 Gaza’ yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan terbesar ke Gaza. Seramai 5 orang wakil dari HALUAN Malaysia yang diketuai oleh Hj Noorazman Shamsudin, pengerusi HALUANPalestin telah menaiki kapal Mavi Marmara bersama 6 kapal yang lain menuju ke Gaza dari pelabuhan Turki. Namun, pada 31 Mei, konvoi tersebut telah di serang oleh komando Israel di perairan antarabangsa. Di dalam peristiwa berdarah tersebut, 9 orang relawan dari Turki dan Amerika Syarikat telah terkorban. Ekoran dari itu Israel mendapat kutukan dan kecaman dari masyarakat antarabangsa samada dari masyarakat Islam atau bukan Islam. Haluan Johor telah menjemput Dr Mohd Arba’ai B Shawal iaitu salah seorang relawan yang menaiki kapal Mavi Marmara dalam rangka untuk berkongsi pengalaman beliau dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Dr Baharuddin Suri. Seramai lebih kurang 300 orang ahli Haluan dan masyarakat setempat menghadiri majlis tersebut. “Palestin adalah milik semua umat Islam dimanapun mereka berada, di timur atau di barat, lelaki atau wanita, Palestin adalah masalah iman dan aqidah  dan ia bukan hanya masalah kemanusiaan. Para sahabat begitu rindukan untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Bizantium begitu juga para tabiit dan tabiieen. Inilah antara perkara yang memotivasikan kami untuk meneruskan perjalanan ke Gaza dengan Mavi Marmara walaupun berdepan dengan risiko sebulan dilaut atau tewas ditangan tentera Israel seperti yang digambarkan oleh akhbar-akhbar dari Israel” Jelas Dr Arbaai didalam ceramah beliau. Bila ditanya apakah perasaan Dr Arba’ai bila mengetahui Israel akan menggunakan pelbagai usaha hatta menhantar tentera komando mereka untuk menghalang kemaraan Mavi Marmara dan lima kapal yang lain, beliau menegaskan bahawa sifat semula jadi manusia akan bimbang, risau serta takut bila mengetahui akan ada bahaya kematian dihadapan mereka tetapi dengan tazkirah yang selalu dibuat diantara sesama ahli kumpulan, bersolat sunat, berzikir dan sering membaca Al-Quran terutamanya ayat-ayat dalam surah Ali Imran memberikan satu kekuatan yang luar biasa untuk meneruskan misi tersebut Malam itu juga diserikan dengan bacaan puisi yang menusuk jiwa dari saudara Hilal Asyraf yang bertajuk ‘Di Bawah Hujan Peluru’. Prof Dr Abd Hakim Muhammad sebagai YDP Haluan Johor juga telah naik ke pentas untuk membentangkan projek ‘Kompleks Pendidikan Haluan Johor’ seterusnya melancarkan tabung kutipan pembinaan kompleks dan tabung Haluan. Majlis bersurai pada jam 11.30 malam.