1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Relawan HALUAN Salur Bantuan Kem Pelarian Lubnan

lubnan-01BEIRUT, 14 Dis 2014 -- Lubnan merupakan wilayah tumpangan pelarian Palestin sejak bermulanya tragedi Nakba pada tahun 1948. Lebih dua juta orang daripada empat setengah juta penduduk Lubnan adalah pelarian Palestin dan Syria yang tinggal di kem-kem utama seperti di sempadan Syria, Shabra dan Syatila, Ein el-Helwah dan Saida.

Perjalanan enam relawan HALUAN menuju ke tempat penginapan mereka sejurus tiba di Lapangan Terbang Rafic Hariri, melalui kawasan kem pelarian Shabra dan Syatila, cukup memberi gambaran bagaimana meruncingnya masalah yang dihadapi orang pelarian Palestin yang sudah berada di sini sejak tiga generasi. Kemiskinan dan kekangan peluang pekerjaan, kepadatan penempatan tanpa kemudahan asas serta tekanan politik menjadikan mereka berhadapan dengan masalah ekonomi dan sosial yang kompleks.

Agak sukar bagi mana-mana relawan luar memasuki kem pelarian di Lubnan. Bahkan penduduk Lubnan secara umumnya dilarang sama sekali memasuki kem-kem tersebut. Syukur alhamdulillah, melalui kerjasama rakan NGO di sini, kami telah dibenarkan masuk ke kem pelarian Bourj el-Barajneh, kawasan seluas satu kilometer persegi yang didiami lebih 30,000 pelarian Palestin dan Syria.

Lebih 90% penduduknya tidak bekerja dan terpaksa hidup dengan bergantung kepada bantuan luar atau berhutang.

Hari pertama mereka di Lubnan digunakan sepenuhnya oleh relawan HALUAN untuk berbincang dengan NGO tempatan bagi mendapatkan maklumat tentang keadaan semasa, keperluan utama pelarian serta strategi pengagihan bantuan.

Selain daripada memberi tumpuan kepada pelarian Syria dan Palestin di dalam wilayah Lubnan, beberapa NGO yang berpengkalan di Beirut sangat aktif menghantar bantuan ke dalam wilayah Syria dan Gaza. Dalam kesempatan ini, HALUAN telah menjalin kerjasama untuk menyara hidup anak-anak yatim serta keluarga miskin Syria dan Palestin, menaja kos perubatan dan pembedahan, dan juga membantu projek menyediakan anggota palsu bagi mereka yang cacat.

"Sekitar 15 peratus murid-murid di Gaza mengalami masalah pendengaran akibat serangan bom. Jika mereka tidak dibantu segera, kita bimbang masalah ini menjadi semakin serius sehingga mereka boleh menjadi bisu," kata ketua misi, Dr Mohd Arba'ai Shawal semasa sesi perbincangan bersama rakan NGO di sini.

Hari berikutnya, pasukan relawan HALUAN bergerak melalui jalan utama di sepanjang pantai Mediterranean menuju ke kawasan Saida al-Bahriya di selatan Lubnan. Di sinilah terletaknya kem Ein El-Hilwah, iaitu kem pelarian Palestin terbesar di Lubnan. Kem ini juga menjadi tumpuan pelarian Syria yang baru melintasi sempadan.

Setelah hampir seharian berada di Saida, relawan HALUAN bergerak menuju ke kem Bourj el-Barajneh untuk mengagihkan bantuan dan menyantuni beberapa keluarga anak yatim. Mereka tiba di situ ketika hari sudah gelap, setelah melalui beberapa sekatan pemeriksaan tentera dan kawasan penduduk Syiah.

Perjalanan melalui lorong-lorong gelap yang dibumbungi dengan jaringan berselerakan wayar elektrik dan paip air usang, menuju ke sebuah rumah empat anak yatim yang tinggal bersama ibu mereka. Keluarga yang berasal dari perkampungan al-Kabrah di wilayah Acre yang dijajah Zionis ini menjadi pelarian di sini sejak peristiwa Nakbah. Relawan HALUAN mendengar dengan panjang lebar tentang permasalahan dan pengalaman hidup mereka di sini. Di akhir pertemuan ketua misi, Dr Mohd Arbaai, menyerahkan bantuan pakaian dan wang tunai untuk keperluan mereka di musim sejuk ini.

Pasukan relawan HALUAN meneruskan santunan mereka ke beberapa keluarga lain yang rata-rata berhadapan dengan masalah sosial dan ekonomi, termasuklah kekangan peluang pendidikan untuk anak-anak mereka.

Sebahagian besar lagi barangan dan wang bantuan untuk pelarian Palestin dan Syria akan diserahkan oleh rakan NGO di Beirut, khususnya untuk pelarian di sempadan yang berhadapan dengan ancaman musim sejuk.

Pengalaman selama tiga hari di Lubnan adalah amat bermakna untuk memahami permasalahan pelarian Palestin di sini, dan harapan besar untuk pulang bebas ke tanah air mereka suatu hari nanti.

lubnan-02Pasukan relawan HALUAN mengadakan perbincangan di pejabat Al-Amal di Beirut.

lubnan-03Kilang membuat anggota palsu untuk mangsa peperangan di Gaza.

lubnan-04Keadaan di Kem Pelarian Shabra dan Syatila di tengah kota Beirut.

lubnan-05Kem Pelarian Bourj al-Barajneh yang dihuni oleh pelarian Palestin sejak tiga generasi.

lubnan-06Dr Arbaai menyantuni keluarga yatim Ula (kanan) bersama adik-adiknya di Kem Pelarian Bourj al-Barajneh.

lubnan-07Agihan bantuan untuk pelarian Syria di sempadan Lubnan dengan kerjasama Al-Sarraa Foundation.