1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

HALUAN Siswa Mesir Agih Daging Korban

KAHERAH, 1 Sep 2017 - Seramai 60 ahli dan relawan Kelab Siswa HALUAN (HALUAN Siswa) telah menyambut Hari Raya Aidil Adha dan melaksanakan ibadah korban dengan penuh meriah di pusat aktiviti HALUAN Siswa Mesir di Hayyu Sabi'.

Program sambutan kali ini, yang digelar Adha4Egypt 5.0, turut disertai oleh mahasiswa Malaysia lain di sekitar Kaherah. Mereka berganding bahu menyembelih, memasak serta mengagih daging korban kepada masyarakat setempat.

Di samping kemeriahan dalam mengukuhkan lagi silaturahim di kalangan ahli dan relawan yang tersebar di seluruh Mesir, Adha4Egypt 5.0 juga telah dapat mendidik para peserta menginsafi penderitaan masyarakat tempatan dengan menggiatkan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Program bermula dengan menyembelih enam ekor kambing di pasar Hayyu Thamin. Kerja-kerja melapah dan membersih daging korban telah dilakukan di pusat aktiviti HALUAN Siswa.

Satu per tiga daripada daging sembelihan telah diagihkan kepada fakir miskin tempatan. Manakala bahagian selebihnya dimasak untuk jamuan mesra Hari Raya Aidil Adha di kalangan para mahasiswa pada keesokannya.

Pengarah Program Adha4Egypt 5.0, Muhammad Ihsan Mohamad Ismail, dalam ucapannya di upacara tersebut telah mengisahkan pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, serta Siti Hajar dalam memenuhi perintah Allah SWT. "Solat, puasa, kehidupan kita seluruhnya perlu dipersembahkan dalam keadaan yang terbaik sebagai bukti takwa kepada Allah SWT," nasihat beliau. Semoga sambutan Hari Raya Aidil Adha kali ini menjadi titik mula perubahan kita ke arah menjadi hamba Allah yang terbaik.

HALUAN Siswa Mesir dan pihak urusetia program Adha4Egypt 5.0 mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada masyarakat Malaysia yang menyokong program tersebut melalui penyertaan mereka sempena Ibadah Korban HALUAN 1438H.

--
Laporan Farizman Hakim Othman, Setiausaha Kelab Siswa HALUAN Mesir