1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Semerbak Sambutan MEKAR 2016

TEWKESBURY, UK, 7 Apr 2016 -- HALUAN UK-EIRE dengan jayanya telah melabuhkan tirai program berkala musim bunga iaitu program MEKAR 2016 yang kali ini dihadiri lebih 60 peserta dari sekitar United Kingdom dan Ireland.

Slogan "Hamba Terdidik, Cinta Terpelihara" telah dipilih sebagai tema MEKAR kali ini dalam misi menguatkan hubungan ukhuwah di antara peserta serta melestarikan hubungan dengan Pencipta, berteraskan surah Ar-Rahman ayat 56 dan Surah at-Tahrim ayat 6. Program tiga hari dua malam ini bertempat di Croft Farm Waterpark dekat sini.

Selain memberi fokus kepada pengisian mendidik jiwa, program rekreasi berasaskan "Watesports Activities" dan "Walk Trail" turut diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut.

Hari pertama MEKAR pada 2 April dimulakan dengan ucaptama oleh Encik Muhammad Zubair Hazni selaku Pengarah MEKAR 2016 disusuli dengan slot "Ice Breaking". Slot "Treasure Hunt" pula memberi pendedahan yang menyeronokkan apabila peserta dikehendaki mencari 'harta karun' di sekitar Croft Farm Waterpark yang menawarkan panorama tasik yang indah.

Pada malam hari, Slot ke-3 "Diskusi Cakna Ummah" diadakan. Encik 'Izzat Ibrahim Shamjuddin dan Encik Ahmad Hussein Abu Azam berkongsi pengalaman mereka setelah berkhidmat lebih kurang dua bulan di Kem Pelarian Calais, Perancis. Kemudiannya, Ketua Biro Dakwah dan Outreach HALUAN, Ust. Ahmad Muhammed Jamallullail Tajudin, berkongsi informasi mengenai penderitaan di Syria. Sorotan gambar dan video dipaparkan bagi menyampaikan amanat ummah agar lahir rasa cakna dan kebersamaan dengan saudara kita yang dihimpit penderitaan dan kesusahan.

Hari kedua MEKAR diteruskan dengan aktiviti "Walk Trail". Para peserta dibawa berjalan sekitar kawasan kem untuk mentadabbur alam sambil mengintrospeksi diri akan tujuan keberadaan kita di dunia ini. Ustaz Jamallullail turut mengisi slot di beberapa check points dengan isu-isu fiqh solat dan wudhu'.

Slot "Water Sports" pula membuka ruang kepada peserta untuk beriadah bersama-sama dengan melakukan aktiviti rekreasi air seperti "canoeing" dan "paddling". Setelah puas beriadah, aktiviti barbeque secara jamaie menjadi santapan malam.

"Forum Persembahan Cinta" diteruskan oleh para panelis menampilkan Presiden HALUAN sendiri, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dan Ustaz Jamallullail. Dr. Abdullah Sudin menerangkan konsep cinta antara kaum lelaki dan perempuan yang telah digariskan dalam Al-Quran.

Beliau bercerita tentang generasi Al-Quran dan menekankan kepentingan penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian. "Dan penghayatan ini berkehendak kepada satu proses didikan yang teratur," ujar beliau.

Selanjutnya, Ustaz Jamallulail menekankan tiga Fakulti Insan iaitu akal untuk berfikir, hati untuk mencintai, dan fizikal untuk melakukan aktiviti luaran. Ada tiga jenis kemanisan cinta iaitu cinta hakiki yakni cinta dengan Allah dihasilkan dengan iman, cinta fitrah iaitu cinta antara manusia, dan cinta terlarang iaitu cinta dengan kebendaan, pangkat dan manusia sekiranya tidak disalurkan kepada jalan yang betul.

"Sharing Sessions" pada hari terakhir MEKAR 2016 adalah perkongsian peserta. Seorang peserta dari Teesside, Encik Mohammad Zafiq Haris berkata, "Ini kali pertama saya sertai MEKAR dan saya dapati program ini sangat bermanfaat terutama untuk pemuda-pemudi. Kami orang muda perlukan bimbingan daripada orang lain untuk membina sahsiah kami."

Seorang peserta wanita juga dari Teesside, Cik Azlinda Abd. Aziz menyatakan, "Seronok dapat hadir ke MEKAR. Programnya berbentuk Islamik dan saya dapat berjumpa dengan peserta dari seluruh UK. Selain itu, aktiviti 'Water Sports' paling menyeronokkan. Sangat terbaik!"

Peserta dari Ireland, Cik Nurul Ainain Omar menyatakan "MEKAR ini secara konklusinya adalah satu program yang lebih fokus kepada kebersamaan dengan keluarga dan diisi dengan pengisian yang Islamik." Rata-rata peserta menyatakan MEKAR merupakan satu platform terbaik untuk warganegara Malaysia bermesra dan mengikat tali ukhuwah semasa keberadaan di United Kingdom. Mereka berpuas hati akan pengisian di samping beriadhah dalam suasana yang mesra keluarga.

---
Laporan Wan Nuur Wan Mansor, AJK MEKAR 2016

Sesi mndsetting dan taaruf

Aktiviti Water Sports

Slot Forum Persembahan Cinta oleh Dr Abdullah Sudin dan Ustaz Jamallullail

Taklimat aktiviti Treasure Hunt pada hari pertama

Perjalanan Walking Trail di sekitar Croft Farm Waterpark, Tewkesbury

Tazkirah oleh Ustaz Jamallulail ketika slot Walking Trail

Penyampaian hadiah kepada para peserta dari Southampton dalam slot Kalimah Akhirah