1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Kelab Sebagai Platform Gilap Potensi Diri

KAHERAH, 6 Nov 2015 -- Kelab Siswa HALUAN Mesir (HALUANSiswa Mesir) telah mengadakan program Pengenalan HALUANSiswa Mesir pada 6 November 2015 yang lalu di Markas HALUANSiswa Mesir, Hayyu Sabi', Kaherah. Lebih 50 orang ahli HALUANSiswa Mesir telah menghadiri atur cara ini secara aktif serta penuh komited.

Objektif utama program ini dianjurkan adalah bertujuan untuk memperkenalkan barisan AJK HALUANSiswa Mesir bagi sesi 2015/2016. Di samping, ia juga adalah untuk memperkenalkan visi, misi dan pendekatan gerak kerja HALUANSiswa Mesir serta medan-medan amal yang boleh diceburi oleh ahli yang bersesuai dengan kemahiran yang mereka ada.

Seawal jam 9.30 pagi, program ini dimulakan dengan slot penyampaian yang bertajuk "Mengenal potensi diri" yang telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Nasri Mohd Azir, Ketua Jawatankuasa Kemanusiaan HALUANSiswa Mesir. Beliau telah menegaskan kepentingan bagi setiap orang Islam kini untuk mengenal pasti potensi yang ada di dalam diri mereka secara serius. Setelah itu, potensi itu yang dimiliki itu digilap sebaiknya dan dimanfaatkan seoptima mungkin bagi memacu kepada sendi-sendi kekuatan Islam. Menurut beliau juga, kelab dan organisasi berpersatuan adalah platform yang terbaik bagi mahasiswa untuk menggilap potensi diri bagi menyumbangkan segala bakat yang terpendam untuk kebaikan bersama.

Aturcara program diteruskan dengan slot sesi pengenalan HALUANSiswa Mesir yang telah dikendalikan oleh Saudara Mohd Afham Mohd Ariff, Pengerusi HALUANSiswa Mesir bagi sesi 2015/2016. Beliau telah menerangkan secara mendalam tentang misi, visi dan perancangan HALUANSiswa Mesir bagi sesi baru ini. Beliau juga telah menyeru kepada para ahli untuk menghayati tema HALUANSiswa Mesir pada sesi ini iaitu Nurturing Alim Mujahid dengan fokus untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang akademiknya, tinggi sakhsiahnya dan sanggup menghulurkan khidmat kepada sesiapa sahaja.

Selepas selesai menunaikan solat Jumaat, slot diteruskan dengan Pengenalan Jawatankuasa (JK) HALUANSiswa Mesir bagi sesi 2015/2016 yang menjelaskan secara terperinci skop tugasan bagi setiap JK yang wujud di dalam organisasi. Hal ini bertujuan untuk mendedahkan kepada setiap ahli agar mereka memahami peranan setiap JK yang ada dan menggalakan mereka untuk mengambil tanggungjawab secara dinamik di dalam setiap aktiviti-aktiviti.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Saudara Afham dengan kata-kata penghargaan serta ucapan terima kasih di atas sokongan semua ahli HALUANSiswa Mesir yang sangat bersungguh-sungguh menjayakan setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh kelab. Harapan kepimpinan sesi ini, agar hubungan persaudaraan dan gerak kerja ahli HALUANSiswa Mesir terus terjalin dengan penuh mahabah serta sentiasa meletakan Allah SWT sebagai matlamat hidup berorganisasi.

---
Laporan oleh Nur Imanina Shahrudin, HALUANSiswa Mesir