1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Perutusan Aidil Adha Presiden HALUAN 1438H

bicara-presiden-aidil-adha-1438

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, ولله الحمد, الله أكبر

Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas segala kurniaan nikmat Iman dan Islam serta keamanan yang kita masih kecapi di negara Malaysia pada hari ini.

Selawat dan salam ke atas Rasul terakhir, Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat dan golongan tabi’in, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda, atas segala pengorbanan yang mereka curahkan buat Dinul Islam ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kita dapat menyambut Aidiladha pada tahun ini. Ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha, segolongan saudara yang seaqidah dengan kita sedang berada di Arafah untuk melaksanakan ibadah haji, rukun Islam kelima, kerana memenuhi seruan Allah SWT.

Memandangkan ibadah haji memerlukan banyak pengorbanan untuk melaksanakannya, maka tidak hairanlah perkara itu menjadi sebutan dan fokus utama dalam sambutan Aidiladha. Bahkan saban tahun, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dan anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihissalam, menjadi dendangan di mana-mana pada hari dan saat menjelangnya sambutan Aidiladha. Begitu juga dengan pengorbanan isteri Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, Hajar bersama Ismail ‘Alaihissalam yang ketika itu masih menyusu, untuk tinggal di tengah padang pasir dan melepaskan suaminya pergi hanya semata-mata kerana mematuhi perintah Allah SWT.

Di sebalik kisah yang sangat menyentuh hati ini, kita dapat melihat contoh keluarga yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Inilah keluarga yang harus kita contohi, bukan semata-mata pada ibadah korban sahaja, tetapi juga pada usaha mereka untuk membentuk dan membina keluarga yang beriman dan bertaqwa. Inilah keluarga yang sepatutnya menjadi inspirasi kepada umat manusia di seluruh dunia hingga akhir zaman.

Dengan wujudnya keluarga yang beriman, maka lahirlah masyarakat yang beriman seterusnya membina negara yang baik dan mendapat ampunan daripada Allah SWT seperti disebutkan di dalam Al-Quran.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ - 7:96

“Jika sekiranya penduduk suatu negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami melimpahkan pada mereka berkah dari langit dan dari bumi. Tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” Surah Al A’raf ayat 96.

Di dalam Surah Saba’ ayat 15 pula Allah berfirman,

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ - 34:15

“Sesungguhnya pada negeri Saba’ itu di tempat kediaman mereka, suatu tanda kekuasaan Allah. Dua buah kebun terletak di sebelah kanan dan sebelah kiri. Lalu dikatakan kepada mereka, makanlah dari rezeki pemberian Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya, negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhanmu adalah yang Maha Pengampun.”

Muslimin dan muslimat sekalian,
Pengorbanan dalam membentuk keluarga yang beriman ini sangat perlu dititikberatkan pada masa kini. Hari ini institusi keluarga sering menjadi mangsa dalam keghairahan dan kesungguhan untuk mengejar kemewahan atas nama kemajuan dan pembangunan. Ini adalah akibat daripada tersalah arah atau pincangnya langkah dalam memberi didikan kepada ahli keluarga. Tidak cukup dengan itu, kita didedahkan dengan berita-berita yang tragis lagi menyayat hati yang berlaku di dalam institusi keluarga, seperti perceraian, keganasan rumahtangga, sumbang mahram, pemerkosaan, serta pengabaian tugas dan tanggungjawab terhadap ahli keluarga.

Kejahilan, keegoan dan sikap tiada perikemanusiaan yang muncul dalam diri ketua dan ahli keluarga telah merobohkan binaan ke arah mewujudkan masyarakat yang beriman kepada Allah SWT. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa yang diharapkan mencontohi keperibadian dan pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dan Hajar dalam memimpin dan mendidik keluarga, telah
pincang dalam langkah mereka.

Menginsafi hal inilah, kita di HALUAN percaya tugas menyeru dan mendidik manusia kepada kebaikan perlu bermula di dalam rumah, dan ini yang akan terus kita lakukan dalam usaha melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati ALLAH,
Pengorbanan untuk melahirkan keluarga beriman tidak akan berjaya melainkan dengan ketaqwaan yang mendalam kepada ALLAH Taala. Hal ini kerana Allah SWT hanya akan menilai dan menerima amal yang dilakukan dengan ikhlas dan atas dasar taqwa kepada-Nya. Bahkan, ibadah Korban yang kita laksanakan setiap tahun itu juga tidak akan dapat mengganti nilai taqwa. Firman ALLAH di dalam Surah Al-Haj ayat 37,

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ - 22:37

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Kita percaya dengan pengorbanan ikhlas yang kita lakukan itulah sebenarnya dapat membina masa hadapan yang lebih baik buat anak-anak kita, masyarakat, negara serta manusia sejagat.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat tuan-tuan dan puan-puan yang telah menyertai program ibadah Korban anjuran HALUAN pada tahun ini. Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada HALUAN untuk menyelenggara dan menguruskan ibadah Korban anda semua dan disampaikan kepada negara-negara yang memerlukan serta dilanda musibah dalam bentuk peperangan, bencana dan penindasan seperti Palestin, Syria, Somalia, Kemboja dan beberapa negara lain. Pada tahun ini, kita turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia terutamanya untuk menyampaikan juga sumbangan kepada umat Islam di Acheh, Indonesia serta di Maghribi.

HALUAN akan memastikan sumbangan ibadah Korban anda akan sampai ke tangan mereka yang memerlukan di negara-negara ini berdasarkan pengalaman yang kita ada serta hubungan baik yang sedia terjalin bersama NGO tempatan. InsyaALLAH.

Akhir kata, marilah kita terus meningkatkan ketaqwaan kita kepada ALLAH dan menyuburkan lagi sifat pengorbanan di dalam diri kita sendiri bagi membangun nilai-nilai Islam pada diri kita seterusnya ahli keluarga. Semoga dengan itu, kita akan beroleh kemenangan dan kejayaan yang sebenarnya di dunia dan akhirat.

Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.