1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Nadwah Kompetensi Pemantapan Pemudi

BANDAR BARU BANGI, 14 Ogos 2017 - Nadwah Kompetensi Pemantapan Pemudi 2017 yang bertemakan "Pemudi Berwibawa, Organisasi Berjaya" telah berlangsung daripada 11 hingga 12 Ogos lepas di ILIM, Bangi. Seramai 115 peserta dan 20 Ahli Jawatankuasa telah hadir, terdiri daripada kalangan pemudi yang berpotensi dari seluruh negara.

Objektif Nadwah Pemudi 2017 ini adalah untuk mempertingkatkan barisan pemudi bagi meneruskan kerja-kerja Islam dan memantapkan mereka dengan kompetensi yang boleh meningkatkan produktiviti organisasi secara global masa kini.

Nadwah Pemudi dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Biro Haluanita, Dr. Zurina Muda dan diteruskan dengan pembentangan kertas kerja pertama yang bertajuk 'Sinergi Tarbiyah dan Keluarga' oleh Prof. Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib. Kesimpulan daripada penyampaian beliau adalah wanita di dalam pembangunan ummah dapat ditentukan melalui pembangunan diri wanita itu sendiri. Pembentukan diri yang sempurna dan berlandaskan iman akan memberi input kepada pembentukan ummah yang berjaya.

Pembentangan kertas kerja 2 oleh Puan Alfiah Samingan, Naib Presiden 4 HALUAN bertajuk 'Gerak Kerja Organisasi' menekankan aspek organisasi Haluanita yang perlu diselaraskan dan bersistematik bagi Haluanita cawangan seluruh negeri.

Kertas kerja ketiga telah disampaikan oleh JAKIM iaitu Ustaz Nadzri Mustakim, Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat. Beliau mengulas surah Al-Qasas berkenaan kehebatan Asiah, isteri Firaun, kakak Nabi Musa dan ibu baginda. Kisah wanita-wanita hebat ini bermakna bahawa wanita juga memiliki kuasa yang kuat untuk mempengaruhi keluarga dan negara umumnya.

Dialog Kepimpinan yang dipengerusikan oleh Dr Zurina Muda dan tiga ahli panel amat menarik sekali. Panelis terdiri daripada Puan Norizan Mat Noh, Ketua Biro Haluanita Kuala Lumpur; Puan Maryam Baharom, Ketua Biro Haluanita Kedah dan Puan Khairilnajjah Hussain, Ketua Biro Haluanita Pulau Pinang. Setiap ahli panel menceritakan pengalaman perjuangan mereka dalam menerima Islam yang sebenar di waktu amalan ajaran Islam pada ketika itu masih lemah atau gharib dan sebab-sebab mereka masih boleh konsisten dalam dakwah hingga ke hari ini. Pemudi diingatkan agar tetap bersemangat dalam menjadi daieyah walaupun setelah berumah tangga dan mempunyai tanggungjawab kerja.

Ucapan penutup oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Abu Azam Md Yassin, Timbalan Presiden HALUAN berharap Haluanita akan dapat melahirkan barisan kepimpinan pemudi yang dapat melaksanakan kerja-kerja dakwah kepada keluarga, masyarakat dan negara serta mengasah bakat dan membina potensi yang ada sehingga dapat melahirkan tokoh-tokoh dan contoh yang didambakan oleh masyarakat.

Peserta sangat berpuas hati dengan program ini. "Nadwah Pemudi perlu dilaksanakan secara berkala kerana ini merupakan medan untuk para pemudi berkumpul, berkongsi dan berbincang sesama sendiri tentang perjalanan tarbiah di lokaliti masing-masing. Pengisian yang disampaikan telah menyedarkan kami bahawa kami mempunyai sumbangan yang besar dalam pembentukan ummah," berkata Rabiahtul Zulkafli, peserta dari Selangor.

---
Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Setiausaha Kerja Biro HALUANITA

Barisan kepimpinan Haluanita Negeri dalam Slot Dialog Kepimpinan

Pembantangan Kertas Kerja 3 oleh Pn Alfiah Samingan

Ucapan Penangguhan oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Abu Azam Md Yassin, Timbalan Presiden HALUAN

Pembentangan kertas kerja pertama yang bertajuk 'Sinergi Tarbiyah dan Keluarga' oleh Prof. Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib

Pembentangan dalam kumpulan