1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Mengurus Kebajikan Anak Yatim & Fakir Miskin

Bagi menyelaras kebajikan anak-anak yatim dan fakir miskin, HALUAN dengan seorang bantuan dermawan yang mewakafkan harta beliau telah menubuhkan sebuah penempatan pelajar yang diberi nama Asrama Haluan Penyayang. Asrama ini merupakan sebuah pusat aktiviti pendidikan dan penginapan. Selain dari menyempurnakan segala keperluan asas, pendidikan, bimbingan dan motivasi serta latihan akan diberikan agar mereka mampu berdikari, menjadi insan yang memiliki jatidiri, dan boleh dicontohi oleh orang-orang yang senasib dengan mereka.

Diharapkan dengan sistem tarbiah dan pembangunan yang tersusun ini HALUAN dapat bersama-sama masyarakat dalam:

  1. memberi pembelaan kepada anak-anak yatim dan miskin dari aspek keperluan asasi
  2. membentuk golongan anak yatim dan miskin yang cemerlang akademik dan memiliki jati diri terpuji melalui pelbagai aktiviti dan program pembangunan modal insan
  3. melahirkan insan yang seimbang yang memenuhi ciri-ciri muslim yg soleh dan musleh, warganeraga yg bertanggungjawab dan bermanfaat pada masyarakat sera mampu mandiri dalam membina kehidupan yang lebih baik dan sejahtera

Asrama yang bertempat di Bukit Naga, Shah Alam ini menempatkan anak-anak terpilih dan memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Pelajar LELAKI yang sedang belajar aliran akademik & agama
  2. Merupakan anak yatim miskin atau keluarga miskin
  3. Akhlak baik dan mampu menguasai Al-Quran
  4. Lulus temuduga oleh Panel Penemuduga Asrama HALUAN Penyayang.

Pengurusan asrama ini bergantung kepada sumbangan ahli-ahli HALUAN dan masyarakat prihatin yang lain. Justeru, HALUAN mengalu-alukan para dermawan, pertubuhan, badan korporat dan lain-lainnya untuk membantu anak yatim dan fakir miskin di sini. Sumbangan diperlukan untuk tujuan-tujuan berikut:

  1. Membiayai pendidikan anak yatim dan fakir miskin
  2. Membiayai makan-minum dan kos operasi Asrama
  3. Menyediakan sumber stok makanan seperti beras dan barang dapur untuk kes-kes kritikal dan luar jangka kepada keluarga yang tidak mampu membeli keperluan mereka.

Selain dari Asrama HALUAN Penyayang, HALUAN juga mengadakan program-program berkala untuk membantu golongan ini di hampir semua cawangannya, terutamanya menjelang musim perayaan.

yatim-01HALUAN juga menjalin kerjasama dengan beberapa buah pusat penempatan anak yatim lain supaya dapat mengurus kebajikan dan memberi pendidikan yang lebih menyeluruh melalui Gabungan Anak-anak Asnaf Malaysia (ANAS.) Pusat-pusat tersebut termasuklah:

  • Asrama Nurhikmah Kajang, Selangor,
  • Asrama Limpahan Kasih Puchong, Selangor
  • Asrama Al Amin, Parit 5 Teluk Intan, Perak
  • Asrama Taufik Islami, Kelang dan
  • Asrama Darul Fuqaha, Bangi.

ANAS memberi tumpuan khas kepada projek-pojek pembangunan pendidikan secara terancang untuk penghuni asrama-asrama tersebut. Melalui program-program yang dirancang melalui ANAS, HALUAN menyasarkan objektif-objektif berikut:

  • Memperkukuhkan pendidikan anak-anak ini melalui modular latihan motivasi dan kemantapan belajar secara terancang.
  • Membina tahap keyakinan diri dan minat belajar di kalangan anak-anak ini.
  • Membina akhlak dan jati diri yang mantap di kalangan anak-anak ini.

HALUAN juga mengadakan program-program kampung angkat dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai usaha untuk membantu masyarakat yang miskin dan memerlukan bantuan di kawasan luar-bandar.