1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Kualiti Pendidikan dalam Melahirkan Modal Insan Negara

pendidikanBerikut adalah temu bual bersama Profesor Dr Ismail Jusoh (Master & PhD dari University Of Anglia, UK), tokoh yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan termasuk di universiti.

Ikuti perbincangan lanjut beliau bersama wartawan HALUAN yang mengupas isu kualiti pendidikan di negara ini dan kaitannya dengan produk (modal insan) yang berkualiti.

Apa definisi pendidikan?
Pendidikan bukanlah semata-mata memenuhi otak anak didik dengan segala macam ilmu, konsep atau fakta yang belum mereka ketahui, tetapi maksudnya ialah mendidik akhlak dan jiwa mereka, menanamkan rasa kebaikan virtues (kehidupan), membiasakan mereka dengan kesopanan yang tinggi, mempersiapkan mereka untuk suatu kehidupan yang suci seluruhnya, ikhlas dan jujur. Seterusnya, pendidikan yang hakiki dapat memberi panduan kepada setiap anak didik menjawab persoalan dari mana kita datang? Apa tujuan kita didatangkan ke dunia ini? Ke mana kita akan pergi selepas di dunia ini?

Boleh Prof jelaskan konsep pendidikan yang menjadi anutan atau fahaman masyarakat umum?

Dari sedutan artikel bertajuk "Konsep Pembelajaran Sepajang Hayat" yang menyebut pembelajaran (pendidikan) adalah "...merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkat pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja". Contoh penulisan objektif pengajaran Bahasa Malaysia; objektif Pengajaran ialah pelajar-pelajar dapat mengenal pasti alat-alat zaman silam, menyenaraikan perbezaan perkataan ketam dan membina ayat dengan perkataan ketam. Manakala, sub objektif; pelajar-pelajar dapat menceritakan kembali penggunaan alat pahat dan pemukul dan menyatakan kegunaan ukiran-ukiran yang dihasilkan daripada alat-alat ini. Kedua-dua contoh pemerhatian di atas menjelaskan konsep pendidikan yang dianuti oleh masyarakat. Ia tidak selari dengan konsep pendidikan hakiki. Tidak ada dalam definisi dan objektif pengajaran di atas yang menyentuh tentang pembangunan rohani insan. Kedua-duanya hanya memberi fokus kepada pembangunan akal dan fizikal serta skil (psikomotor). Jadi konsep dan fahaman tentang makna pendidikan sebegini dinamakan konsep simplistic iaitu memberi penekanan yang bersifat juzi (serpihan) kepada proses pendidikan dan gagal memahami konsep kejadian insan yang sebenar yang terdiri daripada elemen akal,
roh dan jasad (dan emosi).

Sarjana...
Manakala konsep pendidikan di kalangan sarjana pula tidak banyak berbeza dengan fahaman masyarakat dan guru sekolah. Sila teliti sedutan berikut, "I believe that all education proceeds by the participation of the individual in the social consciousness of the race. This process begins unconsciously almost at birth, and is continually shaping the individual's powers, saturating his consciousness, forming his habits, training his ideas, and arousing his feelings and emotions..."  Petikan di atas adalah idea J.Dewey yang menjadi rujukan para sarjana dan tokoh pendidikan. Rata-rata para sarjana pendidikan menerima secara total idea J.Dewey dan lain-lain (e.g. B.R. Skinner, Piaget. Ausbel, Pavlov, Frued...). Fahaman simplistic beginilah yang menguasai sebahagian besar golongan sarjana pendidikan. Fahaman sebeginilah yang membentuk individu pendidik yang merangka objektif pengajaran seperti contoh di atas.

Bagaimana pula konsep pendidikan menurut Islam?
Tujuan pokok dan utama pendidikan Islam ialah mendidik budi pekerti dan pendidikan jiwa. Semua mata pelajaran haruslah mengandungi pelajaran-pelajaran akhlak. Setiap juru didik haruslah memikirkan akhlak keagamaan sebelum yang lain-lainnya kerana akhlak keagamaan adalah akhlak yang tertinggi, sedang akhlak yang mulia itu adalah tiang dari pendidikan. Al-Ghazali berpendapat," tujuan dari pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah, bukan pangkat dan bermegah-megah dan janganlah hendaknya seorang pelajar itu belajar untuk mencari pangkat, harta, menipu orang-orang bodoh atau bermegah-megah dengan kawan."

Sistem pendidikan hakiki mempunyai hubungan langsung dengan tujuan hidup ini iaitu sebagaimana yang Allah SWT nyatakan dalam surah ad-Zariyat menerusi ayat 56, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku". Sehubungan itu, tujuan pendidikan ialah untuk melahirkan Hamba Allah dengan ciri-ciri dan erti yang sebenarnya. Dengan ungkapan lain, untuk menghasilkan insan yang sempurna, insan selaku hamba dan khalifah Allah, insan selaku makhluk mulia dan bukan sebagai warga baik kepada negara semata-mata.

Apa pandangan Prof terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan di tanah air kita pada saat ini?

Perkembangan dan kemajuan pendidikan di tanah air amat memberangsangkan dari satu sudut. Perkembangan fizikal amat membanggakan dan kita termasuk dalam kategori negara membangun yang baik dalam bidang pendidikan (dari satu aspek). Kita sama-sama ikut arus kemajuan dalam aspek aplikasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p). Kita ada kelas bestari dan seumpamanya. Jika dulu negara kita menghantar pelajar ke luar negara untuk belajar, sekarang kita sudah menerima pelajar dari negara luar yang belajar pelbagai bidang di IPT tempatan. Ini bermakna kita sudah mampu bersaing dengan negara maju dalam “industri pendidikan”. Negara-negara luar telah mengiktiraf negara kita sebagai tempat untuk mencari ilmu yang setaraf dengan negara-negara lain di Barat atau Timur Tengah. Selanjutnya, untuk memahami kemajuan pendidikan kita secara lebih detil, data dari kajian berikut yang dilakukan oleh satu badan yang ingin mengetahui kedudukan pencapaian matematik dan sains di kalangan pelajar sekolah menengah rendah di beberapa buah negara di dunia dapat dijadikan ukuran. (The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) provides reliable and timely data on the mathematics and science achievement of U.S. and others countries)

Dalam jadual di atas, negara kita berada di atas U.S. dalam pencapaian matematik dan sains bersama-sama negara lain seperti Singapura, Korea, Hong Kong dan lain-lain. Ini bererti negara kita tidaklah terkebelakang dalam bidang pendidikan (akademik) berbanding dengan negara-negara lain berdasarkan maklumat kajian itu. Namun, jika dianalisis dari perspektif pendidikan yang menyeluruh (holistik), yang melibatkan semua perkembangan dan pembangunan semua fakulti insan, kemajuan pendidikan kita boleh dipersoalkan. Adakah kita dikatakan berjaya dan maju dalam pendidikan jika berlaku kes-kes seperti gengsterisme, pelajar pukul guru, pelajar bunuh pelajar lain seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan? Bagaimana dengan kualiti pengisiannya? Kita dapat menilai berdasarkan hasil (produk) proses pendidikan itu sendiri. Kita maklum, prestasi akademik adalah sederhana, tetapi prestasi dalam sahsiah dan akhlak pelajar secara umum amat meragukan. Pengalaman saya selama lebih 20 tahun dalam alam pendidikan memberi gambaran bahawa kualiti pengisian adalah tidak seimbang.Penerapan nilai akhlak, moral dan etika hanya dijalankan dalam pelajaran Agama Islam dan Pendidikan Moral.

Manakala dalam mata pelajaran Sains, matematik, Sejarah dan lain-lain tidak dapat dikesan sama ada proses penerapan nilai akhlak dan moral dijalankan. Dalam kajian saya, walau pun penerapan nilai merentasi kurikulum telah dirangka dan dianjurkan supaya dilaksanakan, tetapi perlaksanaannya di dalam kelas agak meragukan. Kajian saya menunjukkan terdapat di kalangan guru yang kabur dalam konsep nilai dan tidak dapat melaksana penerapan nilai mengikut tujuan yang dihasratkan. Lebih menimbul tanda tanya apabila kajian saya itu menunjukkan bahawa konsep nilai yang difahami oleh guru-guru kita sama dengan konsep nilai yang di war-war kan oleh penulis Barat (fahaman simplistic) iaitu yang mengamalkan proses pendidikan serpihan (tidak menyeluruh).

Boleh sentuh sedikit mengenai perkembangan institusi pendidikan di luar negara?
Seperti yang kita maklum, melalui media elektronik dan bukan elektronik, kita dapati kemajuan dalam strategi p & p berkembang dengan pesat. Idea-idea dalam aspek pendekatan pengajaran diterokai dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, kita dikemukakan pendekatan seperti SCL (student centred learning), Problem based learning (PBL), Multiple Intelegent dan lain-lain untuk dilaksanakan dalam pengajaran di bilik darjah. Cadangan-cadangan ini hanya membantu proses pendidikan (pembangunan) dalam bidang intelek dan kemahiran psikomotor. Pendidikan bersifat simplistic terus ditegakkan dan institusi pendidikan luar negara masih memegang prinsip mereka yang asal iaitu mempertahan teori pendidikan yang dipelopori oleh J. Dewey, Frued, Skinner dan lain-lain yang bersifat simplistic dan terus menerus mengukuh hijab dalam usaha menutup tujuan pendidikan hakiki.

Bagaimana dengan suasana pendidikan ketika Prof belajar di IPT dulu?
Tidak banyak berbeza dengan apa yang ada pada masa ini. Yang saya maksudkan ialah dari sudut melatih pelajar ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. Jika sekarang kita akan bangga dengan pencapaian mahasiswa yang mendapat ijazah First Class (CGPA=3.5>), begitu jugalah suasana ketika saya belajar dahulu, masih tak berubah, yang berubah hanya dari segi bahawa sebahagian besar pendidik mempunyai tanggapan yang keliru tentang konsep pendidikan. Ini bererti, sebahagian para pendidik belum memiliki konsep yang mantap tentang pendidikan. Persepsi mereka (dalam kajian saya) tentang konsep pendidikan sama seperti yang diperturunkan oleh penulis-penulis Barat yang berfahaman simplistic. Bolehkah pendidik yang berfahaman simplistic membentuk anak didik menjadi generasi pewaris (modal insan) yang seimbang (menyeluruh) dari segi jasmani,intelek,emosi dan rohani.

Kenapa demikian?
Hal ini berlaku, pada pendapat saya, kerana kefahaman, kesedaran dan keyakinan tentang proses pendidikan melahirkan generasi pewaris tidak jelas dan mantap di kalangan komuniti pendidik. Kesan penjajahan mental dan aqidah masih menebal.

Pandangan Prof mengenai kualiti graduan sekarang dari segi ilmu, keterampilan, kompeten dan sebagainya?
Pada pendapat saya, secara am, kualiti graduan sekarang dilihat dari berbagai aspek tidaklah membanggakan (jika benchmark kita untuk menyediakan generasi pelapis). Saya nampak kita hanya berjaya melahirkan graduan pengguna (consumer) yang berjaya melaksanakan tugas kepenggunaan baik ideologi, teknologi dan budaya yang diwarisi dan di susun atur oleh golongan kolonial. Tidak jelas kelihatan kumpulan atau generasi graduan yang menonjol sifat kritikalnya, inteleknya dan keterampilannya dalam menghadapi kenyataan hidup yang bercelaru. Kita amat risau dengan realiti masa kini dengan laporan-laporan berita yang berkaitan salah laku remaja di mana pelajar IPT juga terlibat dalam lumba haram, pesta seks dan lainlain salah laku yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan golongan yang digelar “educated” yang sepatutnya lebih rasional dan matang.

Puncanya…
Punca utama ialah kesan program pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah. Kita masih berkiblat kepada penjajah dalam kebanyakan urusan kehidupan. Sebagai tanda ukur, kita berasa bangga bila dapat ijazah luar negara dan berasa lekeh jika tidak menguasai bahasa penjajah. Pendidikan kita kurang atau tidak fokus kepada proses pendidikan seimbang walau pun kita ada garis panduan iaitu ‘Falsafah Pendidikan Kebangsaan’ yang mantap, tetapi kita kekurangan ahli dalam menjana pendidikan seimbang.

Adakah kualiti graduan ini dipengaruhi oleh taraf atau prestij sesebuah institusi pendidikan berkenaan? Usia, saiz (keluasan fizikal), lokasi, infrastruktur, dan sebagainya?
Saya berpendapat kualiti graduan bergantung kepada pendidik contoh, bahan rujukan yang digunakan dan persekitaran yang kondusif (infrastruktur, sosialisasi, lokasi dan lain-lain) yang membantu ke arah pembinaan sahsiah terpuji dan pencapaian akademik yang cemerlang.

Jadi, apa yang menjadi kayu ukur bagi melayakkan sesebuah institusi pendidikan itu diiktiraf sebagai unggul?
Mungkin masyarakat dunia mengiktiraf Cambridge, MIT, Harvard dan seumpamanya sebagai IPT yang unggul. Itu mungkin boleh diterima jika diukur dari sudut pencapaian skil dan akademik. Bagaimana kemajuan dalam bidang sahsiah? Saya rasa, untuk mengiktiraf sesebuah institusi itu unggul, kayu ukurnya mestilah kayu ukur yang bersifat menyeluruh iaitu elemen-elemen atau variable dalam pengukurannya mestilah mengambil kira aspek pembangunan kerohanian, intelek, jasmani dan emosi.

Adakah pengangguran di kalangan graduan sekarang berkaitan dengan faktor kualiti institusi pendidikan atau faktor graduan itu sendiri? Ada tak kajian yang pernah Prof atau pihak lain lakukan berkaitan isu ini?
Secara spesifik, saya tidak pernah buat kajian tentang pengangguran di kalangan graduan ini. Walau bagaimanapun dari bacaan dan seminar-seminar yang saya ikuti, isu graduan menganggur ini ada kaitannya dengan kualiti institusi pendidikan dan konsep hidup yang dipegang oleh masyarakat. Kita masih fanatik dengan pegangan bahawa bila masuk IPT, mesti dapat ijazah dan dapat kerja. Kita belum benar-benar sedar tentang konsep pendidikan. Pendidikan kita masih belum keluar dari kepompong minda yang sepatutnya memberi peluang kepada graduan untuk memiliki sifat kritikal, inovatif serta cemerlang yang menyeluruh seperti sifat-sifat yang dimiliki generasi awal pada zaman Sahabat Rasul SAW yang pernah menguasai dan mengatasi tamadun Rom dan Farsi.

Apa ciri-ciri sebenar pelajar atau graduan yang berkualiti?Bagi saya ciri-ciri graduan yang cemerlang sepatutnya mempunyai atribut berikut; pertama, cemerlang dalam sahsiah, akhlak, personaliti dan faham tujuan hidup sebenar. Kedua, cemerlang dalam akademik. Ketiga, cemerlang dalam kemahiran dan emosi. Keempat, berguna pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Apakah yang menjadi cabaran dan tuntutan kepada institusi pendidikan sekarang untuk mencapai tahap kualiti sebenar?
Cabaran utama ialah untuk mengenal pasti falsafah, visi dan misi pendidikan yang betul dan hakiki. Kita dapati ada sesetengah institusi pendidikan tidak ada visi dan misi yang jelas dan ada pula yang menggubal visi dan misi tetapi perlaksanaannya tidak selari dengan apa yang digubal. Kita perlu pastikan program pendidikan kita tidak terikut-ikut dengan trend perkembangan arus globalisasi sehingga kita terus menerus melahirkan generasi yang mewarisi ciri-ciri consumer dan menjadi consumer yang alat-alat dan kelengkapan prasarana pembelajaran. Dulu saya guna air hujan sebagai air suling (distilled water) untuk menjalankan eksperimen dalam kimia analitis, tetapi sekarang air suling kita sedia dengan mengguna alat yang khas. Suasana ke arah menghayati pendidikan hakiki adalah amat ”dagang”. Suasana untuk membangun aspek spiritual tidak wujud atau tidak timbul dalam penyampaian kuliah di bilik-bilik kuliah.

Pandangan Prof mengenai kemampuan institusi pendidikan yang ada sekarang dalam melahirkan generasi pewaris (modal insan) yang dikehendaki agama, bangsa dan negara?
Melihat perkembangan dan persediaan yang ada, untuk melahirkan generasi pewaris, kemampuan institusi pendidikan amat meragukan. Syarat-syarat yang perlu seperti pendidik contoh, suasana pembelajaran yang kondusif dan bahan-bahan rujukan yang kritikal bagi melaksana proses pendidikan ini belum jelas dicerap. Berkaitan dengan hal ini, kajian saya memberi gambaran komited kepada produk pakej kehidupan rekaan makhluk sama ada dari Timur atau Barat.

Bagaimana perbandingan program pembangunan pelajar di IPT Awam dan IPT Swasta?Sehingga kini, saya nampak tidak banyak perbezaan di antara IPTA dan IPTS dari aspek falsfah pendidikan yang diamalkan. Masing-masing menjurus ke arah menghasilkan graduan yang unggul dalam akademik dan beberapa aspek soft skills, tetapi mengabaikan pembinaan sahsiah yang seimbang.

Boleh berikan tip atau panduan dalam memilih IPTA dan IPTS?
Pilihlah IPT yang mempunyai program yang mantap serta menyusun proses pendidikan yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan fizikal. Wajib pastikan juga program itu bukan sekadar diabadikan di atas lembaran kertas semata-mata, tetapi dilaksanakan secara berterusan dengan penuh keikhlasan.

Ke mana sepatutnya hala tuju institusi pendidikan hari ini jika mahu melahirkan produk (modal insan) yang unggul?
Tidak ada hala tuju yang lain kecuali merujuk kepada hala tuju yang ditunjukkan oleh Rasul SAW bagi melahirkan modal insan yang unggul. Tidak ada generasi yang lebih unggul selepas generasi yang dihasilkan melalui institusi pendidikan Rasul SAW. Sumber penentuan hala tuju pendidikan mereka adalah dari amalan Rasul SAW. Rasul berkata, berfikir, melaksanakan sesuatu tidak lain sematamata apa yang diwahyukan kepada baginda oleh Allah SWT, Pencipta alam dan isinya. Allah SWT sangat tahu dan sangat arif tentang keperluan makhluk ciptaannya. Jadi, tentulah bijak dan amat cerdik sekiranya mengambil hala tuju berdasarkan apa yang dibawa oleh Rasul SAW.