1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Strategi dan Operasi Dakwah Masa Kini

pres-11-1Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wbt.

Pengerusi Majlis, pimpinan Exco HALUAN Pusat, para perwakilan, pemerhati dan hadirin sekalian.

Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt mengizinkan kita untuk menjayakan mesyuarat agung HALUAN kali yang ke-19 pada tahun ini. Selawat dan salam kita sampaikan kepada junjungan yang mulia, Nabi Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat serta mereka yang berada di jalan dakwah.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran Exco HALUAN sesi 2007-2008, para perwakilan negeri yang bersemangat tinggi, para pemerhati yang sentiasa mengikuti perkembangan HALUAN seterusnya saudara-saudari yang hadir pada hari ini. Di atas kehadiran dan komitmen ahli-ahli HALUAN pada kali ini, saya ucapkan jaza kumullahu khairan kathira, syabas dan amat menghargai pengorbanan berkenaan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Perubahan sentiasa mengejutkan dan menuntut kita bersedia dengan semua jenis kekuatan. Titik tolak kepada perubahan dunia sekarang tidak lain dan tidak bukan bermula apabila berlakunya peristiwa 11 September 2001. Selepas itu satu demi satu tekanan, ugutan dan ancaman terhadap umat Islam seluruh dunia mencemari kemurnian hidup masyarakat antarabangsa.

Mereka yang menyerang Islam dalam pelbagai bentuk dan cara sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan deen Allah swt agar cahaya Islam menjadi malap dan membutakan mata hati setiap manusia. Tindakan mereka yang berselindung atas nama kebebasan bersuara dan memberi pendapat memusnahkan sama sekali pandangan positif dan keindahan Islam. Bukan sedikit masyarakat dunia yang terpengaruh dengan kempen anti Islam yang berterusan satu demi satu.

Terbaru ialah Fitna, filem pendek 17 minit yang dihasilkan oleh ahli politik Belanda, Geert Wilders mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia. Suara-suara membantah penghasilan Fitna turut bergema dari Afrika, Timur Tengah dan Eropah. Di Jordan, sekumpulan 53 orang ahli parlimen mengusul petisyen kepada kerajaan Jordan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Belanda. Mereka juga menuntut duta Belanda diusir dari negara itu.

Di Iran, duta Belanda dipanggil secara rasmi untuk memberi penjelasan dan Pakistan juga mengambil tindakan yang sama. Bangladesh yang mempunyai lebih 150 juta orang Islam mengutuk keras perbuatan Wilders yang menyiarkan serangan pengganas ke atas New York dan Madrid yang berlatarbelakangkan bacaan al-quran. Kenyataan kementerian luar negara itu adalah berupa bantahan sambil mendakwa Wilders menghina seluruh umat Islam. Di Syria, Mufti Besar Ahmad Badr al-Din mahu Wilders bertanggungjawab sepenuhnya jika sebarang perlakuan ganas berlaku.

Puak Taliban pula mengancam akan meningkatkan serangan ke atas askar-askar Belanda di Afghanistan. Wilders turut menerima ancaman bunuh daripada Al-Qaeda. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan Fitna sebagai "hak kebebasan bersuara yang telah melebihi had." Manakala Perdana Menteri Belanda sendiri menyifatkan filem Wilders adalah ancaman kepada negaranya.

Semasa menghasilkan Fitna, Wilders mengikut jejak pengarah filem Submission iaitu Theo van Gogh yang mati dibunuh pada November 2004. Filem itu berkaitan arahan al-quran untuk bertindak kejam ke atas wanita.

Di Malaysia, kerajaan dan masyarakat Islam yang prihatin turut membantah tidak terkecuali HALUAN.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Sama ada Islam ataupun tidak, cacian dan hinaan ke atas agama sememangnya tidak direstui malah dibenci oleh semua ahli masyarakat.

Selain Fitna, kempen anti Islam telah lama berlaku. Salman Rushdie dengan "Satanic Verses" yang mendapat kecaman umat Islam. Kerajaan British menganugerahkan "Sir" kepadanya pada 16 Jun 2007 yang lalu memburuk-burukkan Rasulullah saw.

Pada 2005, akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang angkuh dan sombong menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad saw yang juga menerima kutukan dari seluruh umat Islam.

Dan pada 6 April 2008 lalu, kumpulan neo-nazi meletakkan kepala khinzir di kawasan perkuburan 148 pesara orang Islam di Perancis. Kebencian musuh-musuh terhadap Islam tidak lagi mengenal batas kemanusiaan.

Sikap dan perlakuan biadap masyarakat Barat yang begitu fobia dengan kebangkitan Islam di seluruh dunia telah memaksa mereka untuk terus-menerus menggugat dan mencabar cahaya Islam. Apatah lagi kebimbangan mereka dengan kenyataan pemimpin Vatican, Monsignor Vittorio Formenti pada April lalu yang mengumumkan penganut kristian khatolik merangkumi 17.4 peratus penduduk dunia, jumlah yang semakin kurang jika dibandingkan dengan Islam, 19.2 peratus. Buat pertama kali dalam sejarah dunia, bilangan umat Islam mengatasi bilangan penganut kristian mazhab khatolik.

Persatuan Penyelidikan Kristian di Britain menyatakan pada tahun 2002 jumlah orang Islam yang mengunjungi masjid-masjid di negara itu mengatasi bilangan orang yang menghadiri upacara sembahyang di gereja-gereja (Anglican) dengan majoriti 4,000 orang. Tahun 2008 ini, tentulah jumlah berkenaan semakin melebar.

The Almanac Book of Facts meramalkan penduduk dunia meningkat 137 peratus sedekad yang lalu di mana kristian bertambah 46 peratus dan Islam menokok dengan pantas iaitu 235 peratus.

Di Amerika Syarikat sahaja dianggarkan 100,000 orang memeluk Islam setiap tahun. Bagi setiap seorang lelaki terdapat empat orang wanita yang akan memeluk Islam.

Medan dakwah di dunia Barat tidak hanya terhad kepada risalah dan buku sebaliknya melangkaui ke dunia Internet. Jika kita melayari YouTube.com dan menaip perkataan "Muslim converts" terdapat banyak cerita mengenai masyarakat Barat yang memeluk Islam hampir setiap hari yang dimuat turun ke laman berkenaan. Salah seorang daripada mereka ialah wanita dari Dallas, Amerika Syarikat.

Nicole Queen, menjadi seorang Islam pada Mei 2007 yang lalu setelah melayari laman-laman web berkaitan Islam dan menjadi ketagih dengan maklumat di dalam Internet. Kehidupan sekular masyarakat Barat menjadikan beliau seorang yang liar, hidup tanpa arah dan berseronok-seronok. Turning point dalam hidupnya bermula apabila beliau memikirkan kehidupan tanpa Tuhan dan merasakan perlu berubah. Seorang rakannya kemudian memaklumkan bahawa maklumat yang beliau inginkan ada di Internet.

Sejak itu beliau terus melayari Internet untuk memenuhi keinginannya terhadap Islam dan mula membuat kajian yang lebih serius. Setelah berpuas hati dan yakin dengan Islam, beliau membuat keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah. Kini Nicole Queen mempunyai laman web di myspace bagi berkongsi cerita sambil mengajak masyarakat mendekati Islam.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Islam merebak di seluruh dunia Barat adalah suatu fenomena yang mesti diberi perhatian. Gelombang Islam ini menerobos ke seluruh negara Eropah dan Amerika Utara dengan cabaran yang sangat hebat. Justeru tidak ada yang ganjil atau aneh bagi kita dakwah Islam akan sentiasa berdepan dengan halangan dan rintangan.

Saya memetik ungkapan Sheikh Abbas Assisi yang merupakan "sisa-sisa" generasi awal Ikhwanul Muslimin yang telah melalui hari-hari pahit di balik jeriji dan berbagai-bagai intimidasi serta tuduhan stigma subversif. Beliau berkata,

"Ketika kami memperkenalkan dakwah ini kepada umat manusia sebagai risalah Islam yang suci, kami selalu yakin bahawa ini adalah jalan dakwah generasi pertama. Di atas jalan ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai rintangan, cubaan dan penderitaan, sebagaimana yang dilalui oleh para mujahidin, sahabat-sahabat Rasulullah saw”.

Namun demikian kami tidak akan pernah merasa lemah ketika muncul di tengah masyarakat dengan tanggungjawab yang sedang kami pikul, takkan kami merasa letih dalam mengusung dakwah ini di tengah masyarakat. Kami juga tidak akan datang menemui mereka hanya untuk memperkenalkan diri agar kami memperoleh jabatan, populariti dan status sosial yang dikejari oleh masyarakat biasa."

Dakwah akan terus berlaku di mana-mana sahaja. Di Asia, Islam telah mula menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan khususnya di Jepun. Penggerak dakwah, Dr. Zakaria Ziyad iaitu ketua Lembaga Kaum Muslimin (LKM) di Jepun menyatakan Islamic Center yang terletak di ibu kota Jepun, Tokyo sedang merintis penubuhan sekolah Islam pertama di negara itu. Data statistik yang dikumpulkan menunjukkan purata sepuluh orang warga Jepun memeluk Islam setiap hari.

Di Algeria, semakin ramai wanita yang memilih untuk memakai tudung di negara itu. Statistik oleh akbar harian, el-Khabar mencatatkan 50 peratus wanita Algeria di bandar-bandar besar mengenakan tudung manakala di pekan-pekan kecil mencatatkan lebih 97 peratus.

Fenomena dakwah Islam semakin berkembang dengan pesat sama ada di peringkat global atau serantau. Negara-negara yang dulunya begitu asing dengan Islam kini mula dibayangi lelaki yang menyimpan janggut dan wanita yang melindungi rambut dan anggota badan mereka. Ianya senario yang berbeza sama sekali.

Saya ingin mengajak para perwakilan sekalian untuk berfikir dan merenung sejenak kenapa dakwah kepada Islam telah menjadi fenomena seluruh dunia.
Contohnya Angela Collins, pelakon di Barat yang terkenal dalam filem Baywatch menjadi seorang Islam seminggu selepas peristiwa 11 September. Asalnya beliau seorang kristian. Yusuf Estes, bekas paderi kristian turut menjadi muslim dan sekarang menjadikan dakwah sebagai kerja sepenuh masa.

Di negara kita, kesedaran masyarakat Islam menunjukkan peningkatan yang semakin ketara. Kemahuan masyarakat terhadap jenama Islam kini merentasi sempadan ekonomi, pendidikan dan politik. Dalam pilihan raya umum yang lepas, kecenderungan pengundi untuk memilih pentadbiran Islam sangat terserlah. Trend sekarang menunjukkan masyarakat mula prihatin dengan perkembangan politik Islam dan mahu membuat perubahan.

Namun sesuatu yang kita perlu tanya ialah adakah masyarakat bertindak berubah pendirian kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar. Sejauh mana dakwah dan tarbiyah berjalan menyinggahi hati-hati mereka yang kosong dan memerlukan. Ini asas pembentukan daulah adalah bermula dari peribadi-peribadi yang berkumpul yang cinta dan takut pada Allah swt. Begitu jualah apa yang Rasulullah saw lakukan.

Ketika ini adalah masa yang sangat mencabar kita untuk meneruskan usaha-usaha dakwah dan tarbiyah, seiring dengan motto HALUAN "Mendidik dan Berbakti." Bersama-sama dengan motto ini ialah dakwah dan tarbiyah. Dakwah ialah menyeru masyarakat kepada Islam, mentauhidkan Allah dan merealisasikan tuntutan Islam dalam semua aspek kehidupan.

Generasi pertama telah berusaha sepenuh hati dan tenaga mereka untuk merealisasikan dakwah dan berjaya membawa Islam ke persada dunia dengan wajah yang indah. Sekarang adalah masa kita untuk menyambung tugas mereka bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain.

Platform untuk kita menyertai masyarakat telah terbentang luas dan apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah menggilap kemahiran-kemahiran khusus sebagai persediaan menjadi seorang jurudakwah. Walau bagaimanapun strategi dakwah tidak boleh lari daripada mengikuti perkembangan politik dan sosial semasa.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Keputusan pilihan raya yang baru lalu menunjukkan dimensi pemikiran masyarakat berubah sama sekali. Perubahan ini sangat ketara dengan penglibatan laman web dan blog yang menyumbang 70 peratus maklumat yang boleh diakses oleh para pengundi. Sebahagian besar maklumat ini telah menjadi alternatif kepada media arus perdana. Jelas kepada kita, betapa besarnya pengaruh Internet khususnya blog yang menjadi pilihan.

Dalam satu laporan di akhbar baru-baru ini, Malaysia diletakkan sebagai masyarakat celik blog dengan kira-kira 500,000 blog diwujudkan termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan, kedudukan ketiga di belakang Kesatuan Eropah dan Indonesia. Manakala dari segi kandungan bahasa perantaraan, bahasa Jepun mendominasi laman web iaitu 37 peratus diikuti bahasa Inggeris sebanyak 33 peratus. Walau bagaimanapun bahasa Melayu masih jauh ketinggalan.

Walaupun kadar penembusan Internet di Malaysia hanya 54 peratus dan bukannya di antara yang tertinggi di dunia tetapi pengguna Internet sangat tinggi pengetahuan teknologi Internet ini.

Satu kajian oleh Omnicom Media Group (OMG) mendedahkan lebih 80 peratus pengguna Internet Malaysia sering bersembang secara online, menikmati hiburan (mendengar muzik, radio) dan membaca blog. Manakala 64 peratus menonton video secara online dan mengemas kini laman web jaringan sosial mereka. Peratusan ini berbeza dengan Australia (57 peratus) dan Korea (31 peratus).

Kajian yang diadakan bagi lima negara Asia Pasifik ini melibatkan Malaysia, India, Korea, China dan Australia. Kajian ini juga menyatakan 78 peratus daripada pengguna Internet Malaysia memuat turun muzik, filem atau rancangan televisyen, 86 peratus cenderung kepada permainan komputer dan 91 peratus terlibat dalam pertukaran mesej.

Daripada sepuluh sumber maklumat yang mereka percaya untuk membantu membuat keputusan, enam daripadanya ialah maklumat berkaitan kepenggunaan, seterusnya mulut ke mulut, laman web teknologi, blog dan artikel yang dapat dicetak.

Ternyata Internet dan blog sangat berkesan mempengaruhi sebahagian besar masyarakat khususnya golongan muda yang disifatkan celik komputer. Banyak laman web dan blog yang tumbuh umpama cendawan sama ada diwujudkan secara berkumpulan atau individu. Bagi sesebuah blog yang terkenal dan mencecah sejuta kunjungan sehari, ianya mengambil masa 10 tahun untuk menjadi terkenal. Tetapi ia tidak ada makna jika kita tidak memulakannya pada hari ini. Memandangkan medium blog baru berkembang, ruang untuk kita memanfaatkannya bagi urusan dakwah adalah sangat luas.

Memiliki blog sendiri perlu kepada moderator yang berdisiplin dan berminat dengan perkembangan semasa. Daripada pemerhatian dan pemantauan saya, pengunjung amat gemar melayari blog yang sentiasa dikemas kini dan memuatkan isu-isu semasa dalam semua aspek khususnya permasalahan masyarakat.

Dalam kajian kategori SMS (mesej pesanan ringkas), secara purata rakyat Malaysia bertukar-tukar maklumat sebanyak 22 kali sehari berbanding Australia iaitu 12 SMS. Bagaimanapun maklumat yang mesti kita peka ialah lebih 70 peratus pengguna Internet sentiasa mendapatkan berita dan perkembangan semasa. Justeru mereka tidak bergantung kepada televisyen atau surat khabar semata-mata.

Teknologi komunikasi berkembang daripada satelit, parabola kepada Internet yang membentuk superhighway information yang menjadikan dunia sebagai masyarakat yang sensitif dengan isu-isu sosial, memahami nilai-nilai dan mendekatkan hubungan dua hala. Dalam konteks ini, Peter Drucker berkata, "Kampus-kampus besar di universiti akan menjadi bahan usang ... lebih banyak kuliah dan syarahan boleh disalurkan melalui satelit atau komunikasi dua hala menggunakan teknologi multimedia di luar kampus. Apa yang pasti ialah kaedah pendidikan akan lupus, dan status-quo tidak akan berpanjangan."

Kita memerlukan mereka yang aktif menulis dan membuat penyelidikan untuk dikongsi bersama oleh masyarakat. Selain daripada ghairah memberi khidmat ketika musim-musim bencana alam yang saban tahun berlaku akhir-akhir ini, menulis juga sangat berkesan untuk kita mengenengahkan aspirasi Islam yang didokong kepada masyarakat. Saya sedar kelemahan ini wujud di kalangan anggota HALUAN dan menggesa ahli-ahli HALUAN untuk bersama-sama menyediakan diri berlatih menulis dan menyumbang buah fikiran dalam menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Masyarakat kita sedang berhadapan dengan peningkatan kadar jenayah, masalah sosial golongan remaja, penceraian keluarga, keciciran pelajaran, kemiskinan dan bencana alam. Pembunuhan dan kematian sudah menjadi biasa dan disiarkan setiap hari sama ada di TV atau surat khabar. Ia sudah sampai ke tahap "tidak apa" dan setiap hari kita tertunggu-tunggu siapa pula yang akan menjadi mangsa.

Masalah sosial yang memang diketahui umum berpunca daripada pelbagai sebab. Antaranya ialah kejahilan keluarga dalam soal agama, kurang kemahiran keibubapaan, bergantung kepada guru untuk mendidik anak-anak dan menyerahkan proses memberi nilai dan budaya hidup kepada media, Internet dan rakan-rakan sebaya. HALUAN perlu lebih berperanan dalam perkara ini untuk memberi alternatif kepada masyarakat. Kita ingin melihat biro-biro yang ada di dalam HALUAN merangka program sepanjang tahun meliputi kursus-kursus motivasi, kem remaja, seminar dan kajian-kajian yang dapat memberi penyelesaian kepada masalah ini.

Kita juga mesti bertindak secara aktif dan proaktif mengadakan perbincangan di peringkat akar umbi supaya kita dapat mengenal pasti punca dan penyelesaian. Hubungan dengan agensi kerajaan dan masyarakat setempat harus dibuat secara formal dan tidak formal agar lopong ketandusan program yang bersifat ketuhanan dapat kita isi.

Bagi program di peringkat sekolah, penubuhan eduserve yang mengumpulkan guru-guru yang aktif dengan HALUAN adalah tanda prihatin kita dalam usaha mendampingi masyarakat pelajar. Program-program yang menjurus kepada pembinaan akhlak dan sahsiah pelajar menepati ciri-ciri pelajar Islam harus menjadi keutamaan di negara kita memang banyak pertubuhan yang menjadikan pelajar sebagai sasaran tetapi tidak banyak mempunyai hasrat dan impian seperti HALUAN.

Untuk membentuk akhlak pelajar ini, wajar kita renungi pendapat Ibnu Maskawaih dalam kitab "Tahzib Al-Akhlak" yang menyebut kemuncak akhlak ialah apabila lahirnya perkataan yang baik-baik yang dilakukan secara teratur. Oleh yang demikian, akhlak yang baik hanya akan lahir daripada jiwa yang bersih dan begitu juga sebaliknya.

Pendidikan Islam dikatakan sebagai penyelesaian terbaik untuk masyarakat tetapi kita dapati anak-anak orang Islam lebih ramai yang terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat ini. Persepsi seperti ini hanya memberi imej yang buruk kepada Islam sebagai penyelesaian kepada masyarakat. Bagaimana perancang dalam rangkaian eduserve kelak mampu menepis stereotype berkaitan kemerosotan akhlak pelajar Islam? Mahu ataupun tidak, pembentukan modal insan tidak boleh lari daripada menjadi keutamaan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Dakwah perlukan strategi yang berkesan untuk mencapai sasaran dakwah masa kini boleh dilakukan di mana-mana berdasarkan kesesuaian masa selagi wujudnya interaksi. Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi sepatutnya dieksploitasi dengan bijaksana untuk meluaskan horizon dakwah.

Saya teringat bagaimana Imam Hassan al-Banna melaksanakan dakwahnya setiap kali ada kesempatan. Jika ada peluang berceramah, beliau akan memberi ceramah di masjid malahan di kedai kopi. Beliau juga menyusun program dengan memperbanyak kegiatan kebajikan dan menggunakan konsep polisi mengelakkan kontroversi agama. Pada masa yang sama, sebagai pemimpin Ikhwanul Muslimin, asas kefahaman dan pembentukan peribadi anggota untuk sedia menghadapi masyarakat sentiasa diperkukuhkan. Ini semua adalah bagi memperjuangkan cita-cita perjuangan Islam yang tegas di dalam masyarakat.

Dalam senario negara kita, strategi dan operasi dakwah seharusnya menyediakan alternatif kepada segala bentuk aktiviti, program dan perancangan yang tidak menepati syariat. Semasa hijrah Rasulullah saw dan sahabat ke Madinah, baginda memberi kepercayaan kepada Abdul Rahman bin Auf untuk mentadbir urusan ekonomi. Dengan inisiatif beliau, pasar Ansar didirikan untuk kegunaan umat Islam.

Kehadiran pasar Ansar meresahkan peniaga-peniaga Yahudi yang menguasai ekonomi masyarakat Madinah ketika itu. Mereka tidak senang duduk kehadiran Abdul Rahman bin Auf telah memporak-perandakan ekonomi Yahudi. Sedikit demi sedikit orang Islam mengurangkan urus niaga mereka dengan Yahudi dan akhirnya ekonomi Yahudi merosot dan gulung tikar.

Kita boleh jadikan kisah ini sebagai iktibar dan azam untuk HALUAN merancang dan menyediakan program alternatif supaya Islam nampak dan hadir di dalam masyarakat. Sebagai contoh, program pembangunan pelajar di Kolej Teknologi Darulnaim yang sedang dilaksanakan sekarang memberi keutamaan kepada elemen bersepadu dalam proses pembangunan sumber manusia. Motto "Profesional, Berketerampilan dan Beretika" kita jelmakan dalam bentuk realiti supaya para pelajar yang keluar dari KTD dapat "menjadi seorang yang profesional, memiliki akhlak yang mulia, dan seterusnya mampu dan bersedia memberi khidmat." Begitu juga program-program lain hendaklah menjadi alternatif kepada kewujudan program-program yang melalaikan dan mengkhayalkan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Bagi menjayakan setiap program dan memberi manfaat kepada HALUAN dan masyarakat, maklum balas setiap program yang dilaksanakan harus menjadi sebahagian daripada program berkenaan. Penilaian keberkesanan program dapat memberi nilai tambah untuk memperbaiki program berkenaan pada masa depan. Saya melihat penubuhan Biro Penyelidikan boleh dimanfaatkan bagi mempastikan kos pelaksanaan program dapat dijimatkan dan produktiviti dapat mencapai tahap maksimum.

Kepentingan penyelidikan tidak dapat disangkal lagi ia memberi banyak manfaat kepada kemajuan pengetahuan. Lester Thurow turut mengakui dengan katanya: Untuk memperkayakan pengetahuan, seseorang itu perlu bermula dengan kesediaan dan kerelaan untuk membuat pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Antara kajian yang boleh dilakukan ialah penyelidikan berdasarkan al-quran, sunnah, ijmak dan qias yang mana dapat memberi kefahaman Islam yang lebih jelas kepada masyarakat. Seterusnya menerbitkan bahan-bahan bacaan yang menetapkan sasaran khusus supaya massa dapat mengenali HALUAN sebagai sebuah pertubuhan yang berorientasikan dakwah. Penganjuran seminar, ceramah dan latihan yang bertujuan mendekatkan HALUAN kepada masyarakat boleh dirancang apabila penilaian ke atas kehendak kumpulan sasar dilakukan. Kepentingan penyelidikan ini tidak terhad kepada biro-biro tertentu sahaja malah boleh dikongsi oleh ahli HALUAN bagi meningkatkan keberkesanan program.

Bagi tujuan dakwah yang lebih luas, HALUAN boleh menjemput institusi atau individu-individu yang berminat dengan kerja-kerja Islam untuk duduk semeja berbincang mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

Sekarang adalah masa untuk kita mengambil bahagian, kreatif dan proaktif bagi menyemarakkan potensi dakwah melalui pendekatan yang strategik. HALUAN mesti mendampingi masyarakat dan menerajui massa. Jadi, gerak kerja dakwah memerlukan perhatian yang khusus pendekatan sedia ada sering berhadapan dengan cabaran, tekanan dan tribulasi. 

"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini, sebab mereka sabar, sungguh mereka itu orang yang menang. Allah bertanya: Berapa tahun lamanya kamu tinggal di dunia? Sahut mereka itu: Kami tinggal sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang (pandai) menghitungnya. Allah berkata: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sebentar sahaja, jika kamu mengetahuinya. Adakah kamu mengira bahawa Kami menjadikan kamu dengan percuma (main-main) dan kamu tidak akan kembali kepada Kami?" (Surah An Nur ayat 112-115)

Walau bagaimanapun gerak kerja ini tidak diganggu gugat senario dakwah di Malaysia menerima bantuan yang cukup memberangsangkan daripada agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan khusus untuk dakwah. Kita mahu HALUAN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengadakan kerjasama dalam bidang-bidang yang disepakati bersama. Bagaimanapun, perancangan dakwah ini harus menjangkau perspektif jangka panjang, melebihi satu-dua tahun sehingga gerak kerja berkenaan memberi impak kepada kumpulan sasar. Pada masa yang sama, hubungan keterkaitan (interdependency) antara penggerak dakwah dan kumpulan sasar sentiasa diperkemaskan supaya dapat memenuhi keperluan mereka.

Saya ingin berkongsi sebuah cerita lama yang berlaku di Amerika Syarikat ketika usaha-usaha penyatuan dilakukan oleh George Washington iaitu presiden pertama Amerika. Beliau hanya mengutuskan seorang lelaki untuk pergi ke Texas iaitu wilayah yang bergolak. Lelaki berkenaan ialah Houston yang mana nama ini diabadikan sebagai nama sebuah bandar di Texas. Dia tidak membawa bala tentera, tidak ada meriam dan tidak ada pengiring. Tetapi yang dibawa ialah lisan yang fasih, menarik, lancar dan kemampuan persilatan lidah yang hebat.

Ketika masuk ke Texas, keadaannya seperti orang miskin dan hina tetapi dapat bekerja di pejabat peguam. Dengan kepintaran berbahasa, dia mengusai massa sehingga Texas bergabung dengan wilayah-wilayah lain menjadi kesatuan Amerika.

Kita tidak perlu bertindak seperti Houston untuk menguasai massa suasananya berbeza. Sebaliknya dalam tiga tahun terakhir ini juga, bencana alam telah menjadi sebahagian daripada peta mala petaka negara. Kejadian banjir di Johor dan Pahang telah menggerakkan operasi jentera penyelamat daripada semua pihak yang prihatin termasuk HALUAN sendiri. Kesediaan anggota HALUAN yang memberi bantuan khidmat sukarela mereka menjadi kebanggaan khususnya hubungan kita dengan agensi penyelamat kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan yang lain dan juga masyarakat yang terlibat.

Misi di Pahang sebagai contoh, telah memberi pendedahan kepada anggota HALUAN untuk menggerakkan seluruh jentera kekuatan dengan mengerahkan pemuda dan pemudi yang sanggup berkorban dan bersusah ingin berbakti kepada masyarakat. Kesannya ialah sudah terdapat agensi kerajaan yang menghubungi HALUAN bagi bersama-sama mereka menyertai misi menyelamat sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Kita belum tahu apakah pada tahun ini juga akan berlaku bencana alam yang lebih dahsyat. Bagi menghadapi kemungkinan berkenaan, kita mesti membuat perancangan dan menyusun operasi menyelamat yang lebih berstruktur dan menyeluruh. HALUAN di peringkat negeri wajar menjadikan operasi menyelamat mangsa ketika bencana sebagai satu keutamaan di situlah tempat yang paling subur untuk membina nilai-nilai kesungguhan, kesabaran dan kesediaan untuk berkorban.

Saya juga melihat perlunya HALUAN merancang agenda khusus bagi operasi menyelamat ini iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana berlaku. Ketika ini perancangan banyak dibuat secara ad-hoc yang menimbulkan keadaan kelam-kabut. Antara program yang boleh dibuat secara berterusan ialah memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai kebencanaan dan langkah-langkah mengatasinya. Manakala bagi program sebelum bencana ialah mengadakan bengkel atau seminar yang membincangkan persediaan anggota penyelamat bagi menghadapi bencana.

Melibatkan masyarakat bagi menghadapi bencana alam adalah unsur utama dalam proses menghadapi bencana. Antaranya ialah menyusun standard operasi dan prosedur (SOP), melatih secara berterusan ahli-ahli HALUAN yang berminat dengan kerja-kerja kesukarelaan, membangunkan mekanisme program yang sesuai dengan nilai sosial, budaya dan aspirasi masyarakat setempat serta mengurangi kebergantungan mangsa bencana dengan bantuan kerajaan seperti bantuan kesihatan, trauma dan kewangan.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Kita perlu merasai bahawa dakwah dan tarbiyah ini merupakan tugas asasi kita. Tanpa dua perkara ini maka kehidupan kita akan hilang maknanya.

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah dan beramal soleh dan berkata: Akulah antara orang yang menyerah diri." (Surah Fussilat ayat 33)

Apalagi yang lebih indah selain dari menyinari kehidupan kita dengan tugas mulia yang seperti mana Rasululah saw lakukan. Selama 23 tiga tahun baginda berdakwah iaitu 13 tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Dakwah Rasulullah saw telah berjaya menukarkan aqidah masyarakat Arab dari jahiliyah kepada Islam. Bermula dengan dakwah secara sulit (sirriyah) kemudian terang-terangan (jahriyah). Dari pembentukan peribadi muslim hinggalah akhirnya terbentuk daulah. Islam tersebar luas ke serata dunia. Terbinalah khilafah Islamiah. Keamanan dan kesejahteraan dirasai oleh sekalian umat.

Namun sejak kejatuhan khilafah Islamiah pada tahun 1924, ketika zaman kerajaan Turki Uthmaniyah, suatu titik hitam yang seharusnya umat Islam tidak boleh leka dan alpa. Menjadi kewajipan bagi kita untuk kembalikannya dengan manhaj yang paling kita yakini. Menjalankan usaha dakwah dan tarbiyah menjadi method utama untuk membangkitkan Islam semula di tengah-tengah masyarakat. Kembali kepada madrasah Rasulullah saw yang kita yakini. Memulakan dakwah dari suatu marhalah ke suatu marhalah.

Begitu jugalah apa yang kita lakukan. Membina peribadi muslim dan organisasi. Memperkembangkan dakwah dan tarbiyah secara meluas. Memperkenalkan dakwah kepada masyarakat melalui platform HALUAN dengan slogan "Mendidik dan Berbakti." Kini tiba masanya kita mengorak langkah. Berbekalkan keyakinan terhadap jaminan Allah swt dalam firmannya yang bermaksud:

"Oleh itu sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum musyrikin.” (Surah Al Hijr ayat 94)

Sudah sampai masanya kita bergerak dalam Era-Jahriyah-Jamahiriyah. Kita perlu tingkatkan kualiti anggota dan pertingkatkan ahli. Mengorak langkah menguasai massa dengan sentuhan dakwah dan tarbiyah. Dua asas utama yang ingin kita lakukan ialah menyebarkan kesedaran Islam terhadap masyarakat (wa’yun Islam) dan mewujudkan batu-bata Islam (Ijad Rakaiz Islamiah).

Sebarkanlah dakwah secara syumuliyah dengan pelbagai pendekatan. Mendekati pemuda-pemudi dan individu yang berpotensi dengan penuh berstrategi. Kita perlu menyebarkan kefahaman Islam secara meluas kepada masyarakat dalam pelbagai dimensi/"multi-divisional" dengan menggunakan semua jalan yang diharuskan oleh syara’ secara terancang.

Peningkatan dan memperkuatkan anggota-anggota ahli sangat perlu dan seharusnya dilakukan secara berterusan. Namun dalam masa yang sama kita perlu tingkatkan kuantiti ahli untuk dakwah. Kualiti anggota dalam kehidupan dakwah harus sentiasa mengikuti keperluan marhaliyah dan mihwar dakwah. Semakin meningkat marhalah dan semakin meluas mihwar dakwah, maka kualiti ahli pun dituntut untuk semakin berkembang .

"Dan berapa banyak para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami, dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah Ali Imran ayat 146-148)

Tiga kandungan penting dari ayat ini. Pertama, kenyataan bahawa para nabi memerlukan pengikut dalam jumlah besar sebagai barisan mujahid fisabilillah. Kedua, mereka itu (rabbaniyyin) memiliki kualiti yang tinggi dalam medan perjuangan iaitu ‘Adamu al-wahn (tidak mudah lemah) dalam menghadapi ujian dunia, ‘Adamu adh-dha’fu (tidak mudah lesu) dalam menghadapi kesulitan perjuangan, dan ‘Adamu al-Istikanah (tidak mudah menyerah) kepada musuh-musuh Allah.

Ketiga, mereka adalah orang-orang yang menyedari kelemahan dan kesalahan dirinya. Mensikapinya dengan senantiasa memohon ampun dan bertaubat dari kesalahan dan kekeliruan, serta menggantungkan diri semata kepada Allah swt dalam menghadapi musuh.

Tiga kandungan inilah yang menggambarkan agenda tarbiyah sekarang ini ialah keupayaan sistematik untuk merekrut dan mencetak para pewaris; mentarbiyah mereka secara manhaji agar memiliki kualiti yang tinggi; dan membangun sistem dan iklim da’wah yang baik. Iaitu yang mampu menghidupkan semangat quwwatu ash-shilah bil-lah, semangat muraqabatullah wa muhasabatun-nafs, semangat ta’awun wa tanashur serta iklim ihsanul-‘amal

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
William James, seorang tokoh perubahan diri terkemuka berkata, "The greatest discovery of my generation is that human beings can alter their lives by altering their attitudes of minds." Pemikiran manusia semakin bertambah baik dengan penciptaan peralatan dan penemuan demi penemuan yang sungguh menakjubkan.

Al-quran membawa khabar yang benar kepada manusia bahawa penciptaan mereka adalah dengan bertujuan. Istimewanya umat Islam ialah mereka menjadi saksi ke atas seluruh umat manusia. Janji Allah swt yang diterangkan sejelas-jelasnya dalam surah Al-Hajj ayat 78 mengungkap betapa kebenaran dan integriti telah membezakan di antara Islam dan bukan Islam.

"Dia telah menamakan kamu sekalian orang-orang muslimin dari dahulu dan (begitu pula) dalam (al-quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia."

Sebahagian manusia merasakan hidup di dunia adalah sebagai kemuncak kepada evolusi. Penyokong kuat prinsip ini adalah Darwin yang percaya manusia berasal daripada keluarga kera atau monyet. Justeru itu tidak ada apa-apa lagi selepas mati. Hidup 60 tahun di dunia, dengan kepintaran akal dan kemewahan harta benda, setiap masa adalah untuk berseronok. Mereka ini disifatkan Allah swt sebagai golongan yang tertipu dengan diri sendiri dan tidak dapat membezakan di antara yang hak dan batil, yang benar dan palsu, yang bergemerlapan sebagai intan dan yang berkilau sebagai kaca.

"Hidup di dunia hanyalah permainan dan bersenda-gurau. Jika kamu beriman dan bertaqwa, maka Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak
meminta kepadamu semua harta." (Surah Muhammad ayat 36)

Sesetengahnya pula melihat dunia adalah tempat berhias dengan perabot yang mahal dan mewah. Sungguh indah pada pandangan mereka dan yakin mereka hidup selepas mati pun dengan keindahan yang sama. Mereka sangat suka dengan binatang peliharaan yang banyak dan tanam-tanaman yang hidup subur yang dapat memberi hasil dan pendapatan lumayan. Wang yang banyak ini membolehkan mereka berbelanja dan membeli kemewahan hidup dengan rumah yang besar, indah dan sangat mahal. Golongan ini termasuk dalam kelompok mereka yang tertipu.

"Dihiaskan kepada manusia, mencintai syahwat seperti perempuan-perempuan, anak-anak dan harta benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang bagus, binatang-binatang ternak dan tanam-tanaman. Demikian itulah kesukaan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya." (Surah Ali Imran ayat 14)

Takjub dengan perkembangan teknologi, kekayaan daripada perniagaan dan dengki dengan kesejahteraan hidup orang lain membuat sesetengah golongan manusia menjadi resah dan mula terpengaruh dengan bisikan iblis. Api fitnah mula menyingkap dan menyalalah kemaraan tentera-tentera syaitan di sebalik wajah manusia yang dengki dan iri hati. Membina dan menyuburkan sengketa adalah tujuan hidup mereka supaya dapat membolot kekayaan dan bergembira dapat menyaksikan dua golongan manusia bercakaran dan sengketa. Golongan ini disifatkan di dalam al-quran sebagai penyala fitnah dan penyubur kejahatan.

"Sesetengah manusia ada yang takjub engkau (mendengarkan) perkataannya pada hidup di dunia dan dia mempersaksikan kepada Allah apa yang dalam hatinya, pada hal ia sebesar-besar musuhmu." (Surah Al Baqarah ayat 204)

Kehidupan sebagai seorang Islam sangat mencabar tetapi penuh dengan rahmat dan kasih-sayang Allah swt. Hanya orang yang berputus asa akan menyesal seumur hidup berasa Allah swt tidak adil iaitu tidak menunaikan hajatnya yang besar untuk memiliki dunia dan kekayaannya. Siapakah yang begitu sombong dengan Tuhannya hingga menilai Allah swt tidak adil?

Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, jadi kenapa kita mesti merungut. Kita sentiasa mahukan sinar mentari, tetapi Allah mahu menurunkan hujan sebagai rahmat. Kita sentiasa inginkan kegembiraan dan ketawa riang. Tetapi hati kita akan hilang simpati jika tidak pernah menyapu air mata kesedihan. Allah sentiasa menguji kita dengan derita dan sedih. Dia menguji bukan hendak menghukum tetapi membantu masa depan. Keteguhan pohon adalah tetap utuh dengan ribut, ketajaman pahat memberi marmar corak dan keanggunan. Allah sentiasa menguji kita dan bagi setiap kesakitan, Dia menyirami jiwa dengan kesabaran dan keteguhan iman. Jika kita merasai ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup, itu adalah cara Allah untuk menguatkan mental, jiwa dan semangat.

Menjadi pendakwah bukannya kerja sampingan atau part time job. Pendakwah adalah tugas hakiki kita. Jatuh dan bangun serta ketawa dan tangis seorang pendakwah adalah cara Allah untuk memberi dorongan.

Peribadi pendakwah mesti mempunyai daya tarikan yang dapat menarik orang yang berada di hadapannya. Dia mesti berakhlak mulia, berpakaian sopan dan ada keistimewaan sendiri. Keberanian seorang pendakwah terletak pada ketabahan dan kekuatannya menghadapi tentangan dan cabaran, berjiwa tenang, mampu menghadapi massa yang berkumpul di hadapannya dengan tenang, percaya dengan keupayaan diri, meyakini betul apa yang akan disampaikan dan berkemampuan mengendalikan suasana. Pendakwah yang berkesan mempunyai lisan yang jujur dan fasih, menghembus angin keimanan kepada hati yang kering-kontang tanpa ada hijab sedikit pun.

Kalimah-kalimah yang bertenaga dan tepat menusuk hati menjadikan pencari kebenaran duduk terpaku. Menukar seorang pengecut menjadi hero, bakhil menjadi dermawan, berpeluk tubuh menjadi bingkas dan berputus asa menjadi cekal. Sebaliknya tutur kata yang keras, menyerang peribadi dan disulami dengan riak muka yang mengherdik menjadikan proses dakwah semakin hambar.

Pendakwah dengan lisan yang jujur dan fasih membuatkan orang kaya memandang infak dan derma adalah kebahagiaan, mengingatkan orang miskin bahawa keadaan mereka menjadikan jiwa tenang dan damai.

Bersikap mesra prejudis dan penolakan akan menambah kejahilan pendakwah. Masyarakat mudah menolak dakwah yang dibawa tanpa keterampilan yang meyakinkan secara lahirah. Kita juga harus menjadikan aspek luaran sebagai satu strategi yang dapat membantu mendekatkan diri kepada mereka.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Kefahaman yang harus ada dalam jiwa barisan kepimpinan HALUAN sebagai seorang mukmin sejati adalah tidak merasa penat, lelah dan letih dalam beramal dan berdakwah malahan mereka akan melaksanakan tugas mendidik dan berbakti dari masa ke semasa dan terus mendidik dan berbakti. Sehinggakan seluruh waktunya selalu diukur dengan produktiviti amalnya. Ia tidak akan duduk diam diam tanpa amal menjadi aib bagi orang beriman. Seorang mukmin akan terus mencermati peluang-peluang untuk sentiasa berada dalam zon mendidik dan berbakti. Maka perlu kita ingat dalam sanubari yang paling dalam bahawa "menganggur" dalam mendidik dan berbakti akan menjadi pintu kegagalan kepada misi dan visi HALUAN. Tidaklah menghairankan bahawa banyak ayat dalam al-quran mahupun hadis yang memotivasikan iman kita agar selalu beramal dan berkeupayaan untuk menghindari diri dari sikap malas dan lemah. Malas dan lemah dalam mendidik dan berbakti dianggap sebagai sikap dan sifat buruk yang harus dijauhi oleh orang-orang beriman.

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain." (Surah Al-Insyirah ayat 7)

Melihat betapa tugas dan tanggung jawab yang kita pikul sangat besar dan masih banyak agenda yang menanti untuk diselesaikan maka segeralah kita untuk menyiapkan diri menunaikannya. Mari kita hayati nasihat Syaikh Abdul Wahab Azzam: Fikiran tidak dapat dibatasi, lisan tidak dapat didiamkan, anggota tubuh tidak dapat berdiam. itu jika kamu tidak disibukkan dengan hal-hal besar maka kamu akan disibukkan dengan hal-hal kecil.

Justeru itu, kepimpinan adalah tonggak kepada kejayaan sesebuah organisasi. Persediaan kepimpinan ini pula harus mempunyai matlamat tertentu yang boleh dicapai.

Pertama, memelihara proses tarbiyah, maksudnya adalah mengembalikan iklim tarbawi yang menanamkan sikap komitmen pada Islam, sikap kekukuhan maknawi dan merasa mulia dengan prinsip dan nilai-nilai dakwah. Justeru para anggota HALUAN perlu memperkemaskan dan memperutuhkan program pembinaan ruhaniah dari masa ke semasa sehingga menjadikan tarbiyah sebagai asas pijakan dakwah kita.

Kedua, Taushi'atut Tajnid (pengembangan anggota), setelah ramai manusia yang berhimpun dalam barisan dakwah ini maka kita harus memberikan hak tarbiyah mereka. Apatah lagi mereka pun sesungguhnya sangat menanti kehadiran para penyeru Deen Allah untuk turut serta membina diri mereka dan menjadikan mereka sebahagian dari jentera besar dakwah ini. Pada waktu yang lalu pembinaan anggota kita terbatas pada satu pintu tertentu, iaitu kalangan akademik. Pada hari ini segmentasi pembinaan sudah sangat beragam sehingga para junud dakwah ini harus dapat mengambil peluang untuk memperluaskan wilayah pembinaan di pelbagai kalangan.

Ketiga, Ta'amuq Dzaty, memperdalamkan kualiti dan kemampuan diri. Telah kita fahami bahawa semakin banyak amanah yang dipertanggungjawabkan umat kepada kita maka sewajarnya semakin meningkat kualiti dan kemampuan kita untuk dapat menunaikannya. Dan sekarang amanah yang diserahkan kepada kita pun dengan urusan yang beragam sehingga kita pun selayaknya memperdalam kemampuan kita untuk dapat menyelesaikan urusan masyarakat yang beragam itu.

Keempat, Taqwiyatu Billah, memperkukuh hubungan dengan Allah swt yang dapat menjadikan diri kita mampu dan kuat tidak lain hubungan yang kuat pada Allah swt sehingga kita tidak boleh mengabaikan amal-amal yang menghantar diri kita ke arah itu. Dan amaliyah ini sedapat mungkin menjadi harian para anggota kita yang sentiasa menghiasi pada jiwa dan raganya.

Kelima, mengobarkan semangat jihad. Allah swt yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang ketika mengajak kita berjihad dijalanNya dan syahid Nya, dan hidup kita lebih bermakna, agar akhir hidup kita berada di JannahNya.

Sa’d in Abi Waqash ketika akan berjihad bersama pasukannya dalam perang Al Qadisiyyah, membakar semangat pasukannya dengan membacakan Surotul Jihad, yakni surat Al-Anfal. Ketika dibacakan, berkobarlah semangat tempur pasukannya serta merasakan sakinah ketika mendengarnya. Setelah selesai membaca surat tersebut, Sa’d Bin Abi Waqash bertakbir yang serta merta diikuti oleh takbir pasukannya dan berkobarlah pertempuran.

Kejayaan para sahabat r.a mengembara dan berdakwah ke seluruh dunia adalah budaya mereka yang digerakkan oleh jiwa besar yang wujud kesan dari tarbiyah yang diterima. Mereka berjaya meledakkan potensi diri yang berada di dalam jasad masing-masing.

Ucapan saya pada kali ini diakhiri dengan saya memetik kembali perjuangan Ikhwanul Muslimin yang boleh dijadikan peringatan kepada kita semua. Bagi Ikhwan, fikrah mereka adalah berasaskan Islam yang syumul, medan aktiviti yang mencakupi semua pengertian yang terkandung di bawah kalimah Islam, gerak kerja dipandu oleh hukum ajaran Islam, visinya ditunjangi oleh hakikat kedatangan Islam dan perancangan aktiviti dipandu oleh objektif-objektif Islam. Motivasinya adalah janji Allah untuk menang di dunia dan akhirat. Semoga kesungguhan dan komitmen kita terhadap dakwah akan terus mekar dan subur sepanjang masa. Insha Allah. Wassalamu’alaikum wbt.

Terima kasih.

Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia