1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Visi dan Misi

Profesor Dr. Yusof al-Qardhawi menjelaskan bahawa:

Salah satu tuntutan kemodenan ialah seseorang dilarang untuk menyerah kepada keadaan dan kondisi yang ada sekarang, tetapi ia mesti terus memandang ke hadapan. Tekanan, kesulitan dan berbagai masalah sekarang tidak boleh menjadi batu penghalang baginya untuk terus berusaha mengorak langkah maju ke hadapan dan terus mencari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang sedang dihadapinya. Ia mesti terus menyemai dan menanam benih-benih dan biji yang akan menghasilkan buah pada masa hadapan.

Visi HALUAN - HALUAN Perubah dan Pemimpin Masyarakat

Visi mengikut Kamus Dewan Bahasa sebagai tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam terutama berkaitan dengan perkembangan masa hadapan. Kamus Lengkap Bahasa Indonesia mendefinisikan visi ialah kemampuan untuk melihat pada isi inti persoalan, pandangan dan wawasan. Ini bermakna visi ialah pandangan jauh yang ingin dicapai oleh seseorang, keluarga, organisasi atau negara berdasarkan kemampuan dan keupayaan individu atau organisasi tersebut.

Berdasarkan takrif ini dan setelah membuat analisis, kepimpinan HALUAN telah memutuskan visi yang ingin dicapai ialah HALUAN Perubah dan Pemimpin Masyarakat yang berpaksikan kepada pelaksanaan tugas perhambaan dan tanggungjawab khilafah di atas muka bumi untuk mencapai keredaan dan keampunan Allah SWT.

Visi HALUAN Perubah dan Pemimpin Masyarakat ini membawa maksud tentang unjuran peranan HALUAN dalam masyarakat. Kepimpinan dan ahli HALUAN perlu memahami dan merasai ianya sebagai satu amanah, tugas dan tanggungjawab besar yang mempunyai akauntabiliti di hadapan Allah SWT. HALUAN memulakan langkahnya dalam agenda perubahan ini dengan melaksanakan proses pembinaan (tarbiah) di tahap diri, keluarga dan masyarakat secara serentak kerana ianya merupakan kunci kepada perubahan. Pembinaan jiwa adalah wajib dilakukan sebagai ubudiah terhadap Allah SWT sesuai dengan firmanNya, yang bermaksud

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d:11)

Misi HALUAN - Pendidikan (Tarbiah) Melahirkan Pemimpin dan Dakwah Merubah Masyarakat

Kamus Dewan menjelaskan misi sebagai tugas khusus yang merupakan tanggungjawab bagi seseorang atau sesuatu kumpulan. Manakala kamus Lengkap Bahasa Indonesia mentakrifkan misi sebagai tugas yang dianggap sebagai kewajipan untuk melakukannya demi agama, ideologi dan sebagainya. Ini bermakna misi HALUAN ialah tugas dan kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepada ahli untuk mencapai visi HALUAN.

Berdasarkan definisi ini HALUAN telah menetapkan misinya dalam mencapai visi Pendidikan (Tarbiah) Melahirkan Pemimpin dan Dakwah Merubah Masyarakat.

Misi Pendidikan (Tarbiah) Melahirkan Pemimpin membawa maksud proses yang dinamik dan kreatif akan melahirkan anggota-anggota yang melengkapi sifat keIslaman serta melahirkan para pendidik (murabbi), pendakwah dan pemimpin yang mursyid. Petunjuk kepada keberkesanan proses ini ialah akan lahir pemimpin-pemimpin yang akan menggalas tanggungjawab berdakwah dan mentarbiah masyarakat. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kepimpinan dengan bantuan Biro Pendidikan, Biro Dakwah dan Biro Latihan untuk menyemak dan menilai keberkesanan program-program tarbiah yang telah, sedang dan akan berjalan supaya selari dengan visi yang telah ditetapkan.

Misi Dakwah Merubah Masyarakat menegaskan bahawa kaedah merubah (taghyir) yang akan dilaksanakan ialah melalui pendekatan dakwah, pendidikan (tarbiah) dan perkhidmatan. Oleh kerana itu antara agenda penting yang perlu dilakukan secara task-force ialah aktiviti-aktiviti intensif untuk menggilap dai dan murabbi sedia ada dan memperbanyakkan bilangan mereka yang berkualiti. Misi perubahan kepada masyarakat hanya akan menjadi kenyataan sekiranya seluruh jentera dan tenaga HALUAN digerakkan secara tersusun dan maksima.

Perubahan dan pimpinan yang dimaksudkan dalam konteks visi dan misi HALUAN ialah kesedaran untuk mengambil Islam sebagai deen yang mengubah dan menguasai kehidupan individu, keluarga dan masyarakat yang bertunjangkan kepada perubahan diri. Perubahan diri pula tidak mungkin diterjemahkan dalam realiti kecuali ianya mesti bermula dengan perubahan jiwa. Tanda aras yang digunakan untuk menentukan kejayaan perubahan ini ialah sejauhmana kesedaran (wa’) membolehkan Islam dilaksanakan (ditatbiqkan) dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Pada masa sekarang fikrah Islamiah yang syumul belum tersebar melata di dalam masyarakat, jadi ia belum mempunyai wa’. Untuk menuju kepada penguasaan Islam, masyarakat perlu melalui proses pembentukan wa’ yang benar supaya hasil (natijah) yang betul dapat dilahirkan, bukan hanya berdasarkan semangat (حماسة ) semata-mata.

Latihan-latihan khusus juga diperlukan untuk meneroka potensi dan mempertingkatkan kualiti dai, murabbi dan pekerja (amilin). Semua biro mesti menjadikan dakwah, pendidikan dan perkhidmatan sebagai objektifnya serta menyediakan perancangan strategi dan aktiviti untuk dilaksanakan bagi mencapai misi ini.