1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Kelab Kesihatan HALUAN

kkh-about-1Kelab Kesihatan Haluan (KKH) adalah sebuah kelab yang ditubuhkan di bawah naungan Biro Profesional HALUAN. Kelab ini mula bergerak aktif dalam masyarakat bermula tahun 2004 dengan melibatkan diri dalam misi-misi bantuan kemanusiaan, khidmat rawatan percuma dan kempen-kempen kesedaran kesihatan kepada masyarakat.

KKH menjadi pelengkap kepada aktiviti mendidik dan berbakti dalam HALUAN melalui khidmat kesihatan. Program-program bagi tujuan meningkatkan profesionalisma dan komitmen ahli-ahli serta juniors, termasuk pelajar medik dan kursus-kursus lain yang berkaitan perubatan, juga giat diadakan secara berkala. Usaha meningkatkan kualiti dan kuantiti ahli-ahli KKH giat dijalankan melalui sekolah, institusi pengajian tinggi dan institusi kesihatan ke arah mengajak masyarakat melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar

Visi

Visi KKH ialah untuk menjadi satu badan bukan kerajaan yang terlibat dalam aktiviti memberikan khidmat dan pendidikan kesihatan dan perubatan yang unggul di negara ini dan juga dalam arena antarabangsa.

Misi

Misi KKH adalah untuk berbakti dan mendidik masyarakat ke arah perubahan. Perubahan yang diharapkan ialah ke arah kebaikan di dunia dan akhirat. Kita menggunakan pendekatan kesihatan dan perubatan untuk mengajak masyarakat kembali kepada tujuan kehidupan yang sebenar. KKH tidak bergerak sendirian, bahkan adalah pelengkap kepada semua aktiviti dalam HALUAN Malaysia.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan

  1. Ceramah kesihatan dan rawatan kesihatan percuma
  2. Bantuan perubatan kepada mangsa bencana, termasuklah dalam peristiwa tsunami di Acheh, Indonesia pada tahun 2004 dengan penghantaran 14 pasukan relawan dan bantuan ubat-ubatan. Antara misi-misi yang lain termasuklah Gempabumi di Pakistan pada tahun 2005, Gempabumi di Sichuan, China pada tahun 2008, Gempabumi di Sumatera Barat pada tahun 2009, bencana Letusan Gunung Merapi pada tahun 2010, gempabumi di Van dan Ercis di Turki pada tahun 2011, dan juga bantuan kepada pelarian bencana Kemarau di Somali pada tahun 2011 dan 2012. KKH juga menjadi komponen utama HALUAN dalam memberi bantuan kemanusiaan lokal, seperti bencana banjir dan khidmat kepada masyarakat luar bandar.
  3. Jalinan kerjasama dengan NGO-NGO tempatan dan antarabangsa dalam misi kemanusiaan. Selain dari NGO tempatan seperti PBSM, KKH juga menjalin kerjasama erat dengan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI,) MERC-Indonesia dan juga Alliance of International Doctors (AID).

Aktiviti-aktiviti utama

  1. Bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa bencana di dalam dan luar negara.
  2. Khidmat perubatan percuma kepada masyarakat yang kurang berkemampuan, termasuk program Sunathon.
  3. Pendidikan perubatan dan kesihatan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
  4. Klinik Kelab Kesihatan Haluan.
  5. Ceramah-ceramah kesihatan.
  6. Penerbitan buletin pendidikan kesihatan dan perubatan untuk masyarakat umum.
  7. Mengedarkan pamplet dan risalah pendidikan kepada pesakit di hospital.  
  8. Menganjurkan bengkel perlaksanaan ibadah semasa sakit.

Aktiviti-aktiviti dan program-program khusus atau berkala sepanjang tahun

  1. Nadwah kepada ahli-ahli yang baru dan lama
  2. Program Motivasi Minda Medik (3M) untuk Pelajar Perubatan di IPT tempatan
  3. Program Perantau untuk Pelajar Perubatan luar Negara yang balik bercuti di Malaysia
  4. Kelab Kesihatan Remaja di sekolah-sekolah angkat HALUAN
  5. Sunathon

Keahlian KKH
Keahlian KKH terdiri dari ahli kehormat, ahli biasa dan ahli bersekutu:

  1. Ahli kehormat di anugerahkan kepada individu yang banyak berjasa kepada KKH dan masyarakat dan ini dipersetujui di dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
  2. Ahli biasa adalah ahli KKH yang juga ahli HALUAN Malaysia yang telah menjalani latihan dan modul dalam HALUAN Malaysia.
  3. Ahli bersekutu adalah terdiri daripada pelajar-pelajar di dalam institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah dan juga ahli baru yang kurang dari tiga tahun sebelum memenuhi syarat menjadi ahli biasa.