1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

KENYATAAN MEDIA: HALUAN TUNAIKAN AMANAH MASYARAKAT MALAYSIA UNTUK PENDIDIKAN DAN KEMUDAHAN ASAS PELARIAN ROHINGYA

UNTUK SIARAN SEGERA
2 MAC 2018

HALUAN DENGAN KERJASAMA GABUNGAN SINAR4ROHINGYA BINA PUSAT PENDIDIKAN VILLAGE OF HOPE EDUCARE CENTER DAN 20 TELAGA AIR BERSIH, SERTA AGIH KIT KEBERSIHAN DIRI DI COX'S BAZAR, BANGLADESH

SEPANG: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) meneruskan misi menyediakan pendidikan dan kemudahan asas untuk pelarian Rohingya yang menumpang hidup di kem-kem sekitar Cox's Bazar, Bangladesh.

Terkini, Presiden HALUAN Dr Abdullah Sudin Ab Rahman turun sendiri ke lapangan bersama Ketua Biro Misi Kemanusiaan Dr Baharudin Suri serta pegawai lojistik Hj Mubarak Ali Mohamad Ismail untuk menyampaikan amanah dermawan Malaysia berjumlah lebih RM100,000, termasuk sumbangan melalui tabung Sinar4Rohingya.

Pasukan keenam Misi Kemanusiaan Rohingya HALUAN ini selamat tiba di lapangan terbang KLIA awal pagi tadi setelah menabur bakti di Cox's Bazar sejak 24 Februari lalu.

Misi HALUAN kali ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk menambah baik prasarana, silibus, buku teks dan latihan tenaga pengajar di pusat pendidikan Village of Hope Educare Center di ASEAN Village, iaitu kem yang dibangunkan bersama oleh NGO Kemanusiaan dari negara-negara ASEAN.

Seramai 120 orang anak-anak Rohingya berusia dari tujuh hingga 11 tahun mendapat pendidikan di sini. Berbeza daripada pendidikan tradisi masyarakat Rohingya yang hanya memberi pendidikan agama dan al-Quran, pusat tersebut turut menawarkan subjek-subjek asas yang lain termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Burma, Matematik dan Sejarah.

Selain itu, pasukan bantuan ini turut membina sebanyak 20 buah lagi telaga air bersih di Kem Balukhali 1 dan 2. Mereka juga membuat agihan kit kebersihan diri kepada keluarga pelarian yang baharu tiba dan belum mendapat bantuan di kawasan kem ASEAN Village, Balukhali.

Mengambil peluang misi kali ini, HALUAN turut mengadakan perbincangan dengan agensi dan NGO kemanusiaan tempatan dalam isu bantuan kemanusiaan dan pendidikan terkini di lapangan.

Dalam kenyataan beliau di sini, Dr Abdullah Sudin sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat Malaysia dan gabungan Sinar4Rohinya untuk berbakti kepada masyarakat Rohingya. "Kita berharap sumbangan yang kecil ini dapat memberi impak dalam pendidikan dan persiapan untuk masa depan anak-anak Rohingya," kata beliau.

Menurut Dr Baharudin, HALUAN merancang untuk membuka sekurang-kurangnya tiga buah lagi Educare Center di Cox's Bazar dalam masa terdekat. Masyarakat prihatin boleh berperanan dengan menyalurkan bantuan melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Islamic Berhad

Sila emel resit sumbangan dengan tajuk [Sinar4Rohingya] ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .

###