1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr
Jawaban
  • Accepted Answer

    Terima kasih diucapkan kepada Cik Jannah yang mengemukakan soalan.

    Mahkamah-mahkamah sivil di Malaysia secara umumnya dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut undang-undang penubuhannya. Misalnya, Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen. Manakala Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pula memperuntukkan kepada penubuhan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

    Pembahagian Mahkamah sebegini adalah kerana masing-masing adalah tertakluk kepada bidangkuasa tersendiri, yang bolehlah diringkaskan secara umumnya seperti berikut :

    (a) Mahkamah Majistret : Ia mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan pertikaian sivil yang tuntutannya tidak melebihi RM25,000-00. Bagaimanapun, ia tiada bidangkuasa rayuan.

    (b) Mahkamah Sesyen : Ia mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan pertikaian sivil yang tuntutannya melebihi RM25,000-00 tetapi tidak melebihi RM250,000-00. Bagaimanapun had tuntutan tidak ditetapkan berhubung dengan kemalangan kenderaan bermotor, pertikaian di antara tuan rumah dan penyewa serta distress. Bagaimanapun, ia juga tiada bidangkuasa rayuan.

    (c) Mahkamah Tinggi : Ia mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan pertikaian sivil yang tuntutannya melebihi RM250,000-00 kecuali yang berkaitan dengan kemalangan kenderaan bermotor, pertikaian di antara tuan rumah dan penyewa serta distress. Juga isu kekeluargaan bukan Islam, kemuflisan dan penggulungan syarikat, penjagaan anak-anak, injunksi, perlaksanaan spesifik dan pembatalan kontrak. Berhubung dengan bidangkuasa rayuan, ia boleh memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

    (d) Mahkamah Rayuan : Ia mempunyai bidangkuasa rayuan untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

    (e) Mahkamah Persekutuan : Ia mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan pertikaian sivil berhubung isu kesahihan undang-undang atau pertikaian di antara negeri dan Persekutuan. Ia seterusnya mempunyai bidangkuasa rayuan untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

    Berhubung dengan prosiding pula, masing-masing Mahkamah mempunyai prosiding sivil yang tersendiri dan diseliakan melalui peraturan-peraturan yang berasingan. Cuma pada bulan Ogos 2012, suatu peraturan baru iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 telah digubal bagi menggabungkan peraturan-peraturan berhubung prosiding di Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

    Pada masa hadapan tetapi dalam waktu yang terdekat, bidangkuasa yang dinyatakan di atas dijangka akan mengalami perubahan. Setakat ini, melalui Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 2010, bidangkuasa Mahkamah Sesyen akan dilanjutkan ke RM1,000,000-00. Manakala bagi Mahkamah Majistret pula, bidangkuasanya akan dikembangkan hingga mencapai RM100,000-00. Bagaimanapun, Akta Pindaan ini belum dikuatkuasakan, dan dengan itu bidangkuasa yang sedia ada masih diteruskan.

    Semoga jawapan tersebut memenuhi hasrat Cik Jannah. Sekiranya memerlukan penjelasan lanjut atau terdapat sebarang isu-isu lain yang berbangkit, sila hubungi kami semula.

    Sekian, terima kasih.

    Bagi pihak,
    Unit Khidmat Nasihat,
    Biro Khidmat Guaman.

    Dijawab oleh v5admin
    ahun lalu
    0 0
Soalan seumpama ini telah ditanya
Soalan dalam ketegori Perundangan