1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr
Jawaban
  • Accepted Answer

    Terima kasih kepada En Yazid yang bertanyakan soalan.

    Sebelum kami meneruskan dengan memberi respons kepada soalan yang pihak tuan timbulkan, kami ingin terlebih dahulu menjelaskan bahawa terma “loan” adalah bermaksud pinjaman.

    Di dalam Islam secara umumnya, konsep pinjaman hanya terpakai kepada pemberian sesuatu barang atau harta oleh seorang pemberi pinjaman kepada seorang peminjam, secara percuma tanpa sebarang balasan. Sebagai contohnya, seorang pemberi pinjaman meminjamkan wangnya yang bernilai RM1,000 kepada seorang peminjam untuk jangka masa tertentu. Dalam tempoh tersebut, peminjam perlu memulangkan jumlah pinjaman RM1,000 tersebut kepada pemberi pinjaman tanpa sebarang kenaan faedah atau keuntungan.

    Oleh itu, terma yang lebih sesuai ialah perkataan “pembiayaan”. Pembiayaan bukanlah pinjaman, tetapi ia merupakan salah satu atau gabungan di antara kontrak-kontrak jual beli, sewa, pajak, upah atau sebagainya yang diiktiraf secara syarei oleh industri perbankan Islam di Malaysia.

    Kebanyakan pembiayaan Islam untuk pembelian kereta di Malaysia menggunakan konsep Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ (AITAB) yang melibatkan kontrak sewaan dan kontrak jualan. Di bawah kontrak sewaan yang dimasuki di awal transaksi, pelanggan menyewa kereta daripada bank atas kadar dan tempoh sewaan yang ditetapkan, dan mendapat manfaat kereta tersebut. Selepas habis tempoh sewaan itu, bank dan pelanggan menandatangani kontrak penjualan pula, yang membolehkan pelanggan kemudiannya membeli kereta tersebut pada harga yang sangat minimum.

    Manakala bagi pembelian rumah pula, kebanyakan pembiayaan Islam di Malaysia menggunakan kontrak Bai’ Bithaman Ajil (BBA). Konsep ini melibatkan kontrak penjualan dan kontrak pembelian, dengan pembayaran tertangguh pada kadar tertentu, dan untuk tempoh masa yang tertentu.

    Kedua-dua konsep AITAB, BBA dan sebagainya telah diperakui sebagai mematuhi syariah kerana mengelakkan unsur-unsur riba, judi dan gharar, yang dilarang di dalam Islam.

    Konsep-konsep itu juga telah diluluskan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap perjalanan perbankan Islam di Malaysia iaitu Majlis Penasihat Syariah di bawah bank-bank atau institusi-institusi kewangan yang berkaitan dan juga Majlis Penasihat Syariah di bawah Bank Negara Malaysia.

    Ahli-ahli yang menganggotai majlis-majlis penasihat ini biasanya adalah mereka yang sangat berkelayakan, sama ada dari sudut kesarjanaan dan pengalaman, di dalam bidang-bidang syariah, usul fiqh, perbankan Islam dan sebagainya. Malah, keahlian kebanyakan daripada mereka diiktiraf juga di peringkat antarabangsa dan tenaga mereka turut digunapakai oleh institusi-institusi kewangan luar negara.

    Kami berpendapat bahawa umat Islam di Malaysia pada umumnya boleh meyakini produk-produk perbankan Islam di Malaysia sebagai “patuh syariah”. Untuk rujukan lanjut, bolehlah membaca suatu artikel bertajuk “How Islamic Bank Complying With Syariah” yang ditulis oleh Ustaz Haji Zaharuddin Hj Abd Rahman di sini http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/38/444-how-islamic-bank-complying-with-shariah.html.

    Oleh itu, En Yazid mempunyai alternatif untuk mengelakkan riba, judi dan gharar yang dilarang di dalam Islam, dengan menggunakan produk-produk perbankan Islam yang mematuhi prinsip syariah, seperti yang ditawarkan oleh bank-bank perbankan Islam di Malaysia.

    Kami berharap semoga jawapan yang diberikan di atas boleh memenuhi hasrat En Yazid. Sekiranya memerlukan sebarang penjelasan lanjut, sila En Yazid berhubung dengan pihak kami semula.

    Bagi pihak,
    Unit Khidmat Nasihat,
    Biro Khidmat Guaman.

    Dijawab oleh v5admin
    ahun lalu
    0 0
Soalan seumpama ini telah ditanya
Soalan dalam ketegori Fiqh Muamalat