1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr
Jawaban
  • Accepted Answer

    Terima kasih diucapkan kepada Saudara Aiman yang mengemukakan soalan.
    Sijil Layak Menduduki (CF) atau kini, Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), biasanya tidak memerlukan penandatanganan pembeli.

    Kami dengan itu merasakan bahawa dokumen yang tuan diminta untuk menandatanganinya adalah dokumen penerimaan milikan kosong hartanah, yang biasanya disediakan oleh pihak pemaju. Tujuan dokumen ini ialah untuk mengesahkan penerimaan milikan kosong hartanah di dalam tempoh masa 24 bulan untuk hartanah dengan hakmilik individu dan 36 bulan untuk hartanah dengan hakmilik strata, tertakluk kepada terma di dalam Perjanjian Jual Beli.

    Milikan kosong biasanya dikeluarkan oleh Pemaju apabila telah memenuhi syarat-syarat yang berikut :

    (a) CCC telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang mengesahkan bahawa pembinaan hartanah tersebut telah dibuat mengikut pelan yang diluluskan dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa;

    (b) Bekalan air dan elektik telah sedia untuk penyambungan; dan

    (c) Pembeli, sama ada secara sendiri atau melalui pembiayanya, telah membayar tuntutan pembayaran berperingkat kepada pemaju, tertakluk kepada terma-terma di dalam Perjanjian Jual Beli.

    Dokumen penerimaan milikan kosong yang dikeluarkan oleh pemaju menandakan pematuhan kepada syarat-syarat yang dinyatakan di atas, di samping pematuhan tempoh masa seperti yang dinyatakan di atas.

    Tempoh tanggungan kecacatan

    Tempoh tanggungan kecacatan adalah tempoh masa yang sekiranya berlaku kecacatan pada hartanah, maka pemaju dikehendaki untuk meremedikannya atas tanggungan kos pemaju sendiri. Tempoh itu ialah 24 bulan dari tarikh penerimaan milikan kosong.

    Di dalam tempoh masa ini, pemaju mesti membaiki kecacatan tersebut di dalam tempoh masa 30 hari dari tarikh penerimaan notis yang berkenaan daripada Pembeli. Sekiranya di dalam tempoh masa 30 hari tersebut pemaju masih gagal untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan yang berkenaan, maka Pembeli boleh membaikinya sendiri dengan tanggungan kos oleh pemaju, dengan syarat :

    (a) Kos sebut harga hendaklah diserahkan kepada pemaju di dalam masa 30 hari tersebut;

    (b) Pembeli mesti memberi tempoh 14 hari dari tarikh serahan dokumen sebut harga tersebut bagi pemaju melakukan kerja-kerja pembaikan tersebut. Hanya selepas pemaju masih gagal untuk berbuat demikian, barulah pembeli boleh meneruskan dengan kerja-kerja pembaikan tersebut;

    (c) Dalam masa yang sama, Pembeli mestilah menghantar salinan segala dokumen yang berkaitan kepada peguam pemegang pertaruhan, dan perlu disalinkan juga kepada peguam jual beli dan arkitek pembinaan hartanah tersebut; dan

    (d) Selepas siap kerja-kerja pembaikan tersebut, pemaju mesti membuat tuntutan kepada peguam pemegang pertaruhan, yang mesti dibayar oleh peguam pemegang pertaruhan di dalam masa 14 hari dari tarikh notis tersebut.

    Peguam pemegang pertaruhan bagaimanapun, akan hanya menyerahkan jumlah kos tersebut menggunakan wang pemegang pertaruhan yang dipegang di bawah seksyen 5(a) dan 5(b) Jadual Kedua Perjanjian Jual Beli, sekiranya tuntutan dibuat di dalam masa 8 bulan atau 24 bulan (atau 36 bulan untuk hartanah di bawah geran strata) masing-masing.

    Tuan disarankan mendapatkan nasihat peguam tuan berhubung dengan isu ini. Sementara itu, tuan bolehlah membuat tindakan-tindakan yang berikut:

    (a) Tuan mendokumenkan segala kerosakan tersebut;

    (b) Tuan berbincang dengan pemaju untuk pembaikan tersebut;

    (c) Sekiranya pemaju masih gagal membuat kerja-kerja pembaikan tersebut, maka tuan bolehlah meneruskan dengan tindakan-tindakan sendiri seperti yang dinyatakan di atas.

    Kami mendoakan tuan dipermudahkan oleh Allah swt bagi segala urusan yang pihak tuan lakukan. Semoga tuan dapat bersabar dengan ujian-ujian yang dihadapi, di samping berusaha untuk menuntut hak-hak tuan yang dibenarkan oleh syarak dan undang-undang Negara.

    Semoga jawapan tersebut memenuhi hasrat tuan. Sekiranya memerlukan penjelasan lanjut atau terdapat sebarang isu-isu lain yang berbangkit, sila hubungi kami semula.
    Sekian, terima kasih.

    Bagi pihak,
    Unit Khidmat Nasihat,
    Biro Khidmat Guaman.

    Dijawab oleh v5admin
    ahun lalu
    0 0
Soalan seumpama ini telah ditanya
Soalan dalam ketegori Perundangan