1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr
Jawaban
  • Accepted Answer

    Terima kasih kepada Abdullah Ibnu Hassan yang bertanyakan soalan.

    Allah swt berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Baqarah 2:282).

    Ayat di atas adalah ayat yang terpanjang di dalam surah al-Baqarah. Menurut Tafsir Ibn Kathir, ayat tersebut mengandungi dua perintah yang utama iaitu perintah menulis setiap transaksi muamalat yang berjangka (tidak tunai) dan perintah mengadakan saksi.

    Maka di dalam bermuamalat terutamanya yang berkaitan dengan perniagaan dan hutang, maka sebaiknya Abdullah membuat perjanjian yang bersaksi.

    Soalan yang ditanyakan oleh Abdullah ialah seringkas mana perjanjian boleh dibuat di dalam Islam? Sebelum menjawab soalan itu, adalah penting juga untuk diketahui apakah elemen-elemen yang tidak dibenarkan di dalam transaksi mualamat.

    Di dalam beberapa bahagian lain di dalam al-Quran, Allah mengharamkan elemen-elemen riba, judi dan gharar di dalam muamalat. Riba dan judi memang biasa difahami.

    Manakala gharar pula bermaksud suatu ketidaktentuan yang boleh mengakibatkan risiko terhadap barang yang ditransaksikan. Berdasarkan prinsip ini, ulama secara umumnya menggariskan bahawa gharar boleh dielakkan melalui beberapa kaedah, di antaranya ialah seperti yang berikut :
    (a) Barang transaksi itu mestilah boleh dijual. Misalnya, barang itu mestilah wujud, dimiliki oleh penjual atau sebagainya;
    (b) Maklumat berkaitan dengan transaksi tersebut mestilah jelas. Misalnya nilai, tempoh atau kaedah bagi transaksi itu mestilah jelas maklumatnya; dan
    (c) Transaksi itu mestilah tidak kompleks. Pada pandangan ulama, dua kontrak yang digabungkan tanpa terpisah adalah kompleks dan mungkin membawa kepada gharar. Misalnya, dua orang bertransaksi sesamanya, dengan salah satunya berkata, “Saya jualkan barang ini kepada kamu secara tunai pada harga RM100 hari ini, dan RM110 mesti dibayar di dalam masa dua tahun,” dan diterima pula oleh orang yang satu lagi itu. Kontraks sebegini adalah kompleks dan berunsurkan gharar, dan tidak boleh digabungkan. Sebaliknya ia perlu dipisahkan kepada dua kontrak yang berasingan.

    Oleh yang demikian, Abdullah mesti berhati-hati dengan elemen-elemen mualamat yang tidak dibenarkan seperti yang dinyatakan di atas.

    Maka jawapan secara umum kepada persoalan yang Abdullah timbulkan ialah, pertamanya, perjanjian yang dibuat mestilah sekurang-kurangnya mengandungi butiran-butiran yang berikut :
    (a) Pihak-pihak yang terlibat;
    (b) Barang transaksi;
    (c) Harga transaksi; dan
    (d) Kaedah pembayaran harga transaksi tersebut.

    Dan keduanya, penandatanganan perjanjian tersebut mestilah disaksikan oleh saksi-saksi pihak ketiga.

    Semoga jawapan di atas memenuhi hasrat Abdullah. Sekiranya Abdullah memerlukan penjelasan lanjut, sila hubungi kami semula.

    Bagi pihak,
    Unit Khidmat Nasihat,
    Biro Khidmat Guaman.

    Dijawab oleh v5admin
    ahun lalu
    0 0
Soalan dalam ketegori Fiqh Muamalat