1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Takziah HALUAN Kepada Keluarga Dr. Fadi

BANDAR BARU BANGI, 22 Apr 2018 -- HALUAN mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan ke atas Dr. Fadi M. R. Albatsh pada subuh 21 April 2018 berhampiran surau Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur. Sudah menjadi kebiasaan beliau yang berusia 36 tahun itu berjamaah malah telah dilantik menjadi Imam 2 oleh penduduk tempatan di surau berkenaan yang berhampiran apartmen beliau.

Dr. Fadi dikatakan ditembak dengan kejam dari jarak dekat sebanyak sepuluh kali oleh seorang pembonceng motosikal bersama seorang lagi penjenayah ketika beliau berjalan menghala ke surau berkenaan.

Seorang warga Palestin lulusan Doktor Falsafah bidang kejuruteraan yang juga merupakan tenaga pengajar di salah sebuah universiti di ibu negara, almarhum seorang pelajar yang pintar dan pernah meraih anugerah terbaik dalam melaksanakan bidang akademiknya serta menghasilkan banyak kajian ilmiah di peringkat antarabangsa. Selain itu, beliau yang juga seorang huffaz turut menjadi imam di masjid sekitar Kuala Lumpur khususnya pada bulan Ramadhan.

Pembunuhan tersebut disifatkan sangat tragis dan berprofil tinggi kerana siasatan awal pihak polis menjurus kepada penglibatan agen negara asing. Sama ada ia mempunyai kaitan langsung atau tidak dengan operasi atau gerakan pembunuhan regim Zionis, hanya akan diketahui melalui siasatan yang menyeluruh. Kami menaruh penuh kepercayaan kepada siasatan yang dibuat oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Sumbangan Dr Fadi kepada negaranya Palestin adalah suatu pengorbanan yang lumrah untuk warganegara yang cintakan watan. Kehadiran beliau selaku pensyarah dimanfaatkan oleh banyak pihak di negara ini untuk menyebarluaskan maklumat tentang kekejaman rejim zionis di Gaza dan di Tebing Barat. Kami doakan agar bakti yang dicurahkan Dr. Fadi ketika hayatnya mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah Azzawajalla. Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Kita panjatkan doa agar Dr Fadi gugur sebagai syahid. Peristiwa pahit ini sedikitpun tidak mematahkan semangat kita untuk kembalikan Palestin sebagai sebuah daulah Islam.