1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Aktivis Muda Husna Harumkan Nama HALUAN

PUTRAJAYA, 27 Feb 2018 - Mahasiswi kental Nurul Husna Nur 'Izzat, 22, dinobatkan sebagai Finalis Anugerah Pewaris Harapan 2017 sempena Majlis Anugerah Keluarga Mithali anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 26 Februari lepas.

Aktivis muda Kelab Siswa HALUAN itu terpilih berdasarkan rekod pencapaian beliau yang menyinar dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan juga kemanusiaan sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Anugerah kecemerlangan itu membuahkan trofi, sijil, dan beberapa hadiah iringan serta wang tunai sebanyak RM 15,000. Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Empat anugerah telah disampaikan pada majlis tersebut iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Bapa Mithali, Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan.

Sejak berusia 10 tahun, selain menghadiri kem-kem peringkat sekolah dan negeri, Husna aktif mengikuti kem-kem remaja yang dianjurkan oleh HALUAN. Antaranya, Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST) peringkat zon tengah (Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan) dan Kem PEWARIS Remaja HALUAN peringkat kebangsaan (2012). Kem-kem ini melatih beliau mahir bercakap di hadapan, kreatif menyelesaikan masalah serta semangat bekerja berkumpulan.

Lepasan Sekolah Rendah Ibn Khaldun (SRIK), Shah Alam ini terus menyinar di persekolahan menengah hingga ke institut Darul Quran sehinggalah menjadi seorang huffaz. Beliau salah seorang penerima Anugerah Pengarah sepanjang pengajian beliau di sana. Selepas itu, beliau telah menyambung pendidikannya ke Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan kini mengambil ijazah dalam pengkhususan Pendidikan Quran dan Sunnah.

Hasil kesungguhan beliau menghafaz Al-Quran, beliau berjaya memperoleh CGPA 4.0 pada semester pertama serta dilantik menjadi mumtahin bagi Musabaqah Quran. Bakat kepimpinan dan keterampilan yang beliau miliki juga menyebabkan beliau dilantik menjadi Setiausaha Biro Penerbitan dan Informasi 14/15, Timbalan Pengarah program dan AJK beberapa aktiviti persatuan. Dalam masa yang sama, beliau adalah Ketua Siswi HALUAN Darul Quran.

Bermula pertengahan Disember 2013, negara Malaysia telah dilanda banjir besar merangkumi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Jiwanya yang mudah empati kepada orang lain membuat beliau mengorbankan kerehatan dan masa cuti untuk berkhidmat menjadi sukarelawan Misi Kemanusiaan Banjir HALUAN di Kuantan, sejurus tamat menduduki SPM. Di sana, beliau menjalankan kerja-kerja penyediaan makanan kepada mangsa, membersih rumah, membasuh pakaian mangsa dan membantu kerja-kerja am lain. Pengalaman beberapa hari membantu mangsa banjir berjaya mengubah perspektif beliau bahawa usia muda ini perlu dipenuhi dengan khidmat bakti kepada masyarakat sekeliling.

Beliau juga menyertai Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) tahuan 2013, kursus 21 hari khusus untuk remaja lepasan SPM anjuran HALUAN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau telah terpilih sebagai peserta Terbaik JDK kategori perempuan.

Kini, beliau menjadikan NGO HALUAN sebagai platform untuk terus berbakti kepada masyarakat. Pada cuti semester yang panjang 2016, beliau pernah menjadi penterjemah teks pengacara majlis bagi program Nadwah Rabitah Ulama Ahli Sunnah 2016 peringkat antarabangsa. Beliau turut terlibat dalam program pembinaan akhlak remaja sebagai Timbalan Pengarah Kem Minda Kreatif 2016, Urusetia sepenuh masa Kursus Jati Diri dan Kepimpinan Remaja (JDK) 2016 dan Ketua Fasilitator Perempuan Hijrah Menara Gading (HiMEGA) 2017.

Selain itu, Nurul Husna merupakan ahli aktif Kelab HALUAN Fitrah di bawah pimpinan Dr. Basir Towil, dan sering mendapat bimbingan langsung daripada Encik Shah Kirit Kakulal Govindji dalam badan dakwahnya Global UNITY Network.

Hasrat beliau yang sentiasa ingin menyumbang bakti dan menjadi duta kecil Islam di tengah-tengah masyarakat menjadikan beliau berterusan mencabar diri untuk terus menaburkan budi. Sesungguhnya, HALUAN merasa amat berbangga dan bersyukur dengan pencapaian beliau sehingga ke hari ini. Syabas kami ucapkan kepada aktivis anak muda ini.

--
Laporan Biro Penerangan HALUAN

Nurul Husna Nur 'Izzat, 22

Anugerah kecemerlangan itu membuahkan trofi, sijil, dan beberapa hadiah iringan serta wang tunai sebanyak RM 15,000

Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bersama keluarga