1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

HALUAN Teruskan Pendidikan di Kem Pelarian Rohingya

SEPANG, 24 Feb 2018 - HALUAN telah menghantar satu lagi pasukan pada hari ini ke Kem Pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh. Pasukan yang diketuai sendiri oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman berserta dua lagi ahli HALUAN ini membawa misi pendidikan untuk dilaksanakan di kem tersebut di samping beberapa lagi projek pembinaan telaga tiub dan pembahagian kit kebersihan kepada pelarian di kem tersebut.

Turut serta dalam misi itu adalah Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri dan Perunding Logistik, Encik Mubarak Ali Ismail. Bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh oleh pelbagai NGO Malaysia telah bermula sejak awal September 2017. Sehingga hujung Disember 2017, terdapat tidak kurang daripada 1.2 juta orang pelarian Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari Rakhine dan mencari perlindungan di kem-kem pelarian di Bangladesh. Sehingga kini, beberapa pasukan sukarelawan HALUAN telah turut menyantuni mereka di Cox's Bazar dan Teknaf dengan aktiviti agihan kit kebersihan, pembinaan telaga tiub, pembinaan khemah dan juga pengagihan pek makanan asasi khasnya untuk pelarian yang baru tiba dari Myanmar. Bantuan peringkat kecemasan ini dijayakan dengan kerjasama beberapa NGO Kemanusiaan Malaysia lain yang bernaung di bawah program tabung Sinar4Rohingya. Ia dilaksanakan di Village of Hope (ASEAN Village), sebuah kawasan kem yang dibangunkan bersama oleh NGO Kemanusiaan dari negara-negara ASEAN.

Sejak Disember 2017, HALUAN dengan kerjasama beberapa NGO tempatan di sana telah mula memberi fokus bantuan berbentuk pendidikan kepada puluhan ribu anak-anak Rohingya yang dahagakan ilmu dan pengetahuan. Sebuah pusat yang dinamakan Village of Hope Educare Center (VOH Educare Center) telah dibangunkan dengan tujuh orang tenaga pengajar dan 120 anak-anak Rohingya berusia tujuh hingga 11 tahun. Selain mengekalkan pembelajaran al-Qur'an seperti yang diamalkan di madrasah-madrasah tradisional, pusat ini juga menawarkan pembelajaran ilmu-ilmu lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Burma, Matematik dan Geografi. Ini adalah bagi mempersiapkan diri pelajar-pelajar ini supaya mampu membangun sebagai satu komuniti yang mampu bersaing dengan masyarakat dunia sekarang.

"Fokus pasukan kali ini adalah untuk mempertingkatkan fasiliti dan prasarana yang ada di VOH Educare Center, di samping menyemak silibus dan buku teks yang dibekalkan," berkata Dr Abdullah Sudin yang juga merupakan bekas pensyarah jurusan ekonomi. Seiring dengan penubuhan pusat tersebut, HALUAN juga merancang melatih tenaga pengajar tambahan supaya pelajar lebih dekat dan mudah berkomunikasi dengan pengajar.

Anda mungkin tidak sampai di lokasi kem. Tetapi anda mampu membantu kami menyelamatkan golongan paling teraniaya di alaf ini - pelarian Rohingya.

Sumbangan bantuan kepada pelarian Rohingya boleh disalurkan ke akaun:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Islamic Berhad

Sila emel resit bayaran ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dengan tajuk "Sinar4Rohingya".

--
Laporan Muhammad 'Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja 4 Biro Misi Kemanusiaan