1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Bahana Deklarasi Balfour - Britain Perlu Mohon Maaf

BANDAR BARU BANGI, 3 Nov 2017 – Kerajaan Britain perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Palestin kerana Deklarasi Balfour yang telah menubuhkan negara haram Israel di atas tanah tumpah darah rakyat Palestin secara kekerasan.

Seramai 47 Ahli Parlimen dan 65 NGO dari dalam dan luar negara telah berkumpul di hadapan United Kingdom High Commission, Menara Binjai, Kuala Lumpur semalam untuk menghantar memorandum kepada pihak Kedutaan supaya diserahkan kepada Perdana Menteri Britain, Theresa May.

Dalam memorandum tersebut semua NGO dan Ahli-Ahli Parlimen sepakat menggesa pihak kerajaan British:

  1. Memohon maaf kepada seluruh rakyat Palestin yang tertindas dan menjadi pelarian akibat Deklarasi Balfour.
  2. Membayar pampasan kepada rakyat Palestin yang kehilangan harta benda dan ahli keluarga.
  3. Membatalkan jamuan makan malam sempena sambutan 100 tahun Deklarasi Balfour antara British – Israel.
  4. Melaksanakan cadangan-cadangan daripada laporan The United Nations Economic and Social Commission for West Asia (ESCWA) dan menamatkan Apartheid rejim Zionis Israel.

Deklarasi Balfour adalah pengumuman kerajaan British semasa perang dunia pertama untuk menunjukkan sokongan mereka untuk penubuhan sebuah negara rasmi untuk kaum Yahudi di dalam Palestin, yang semasa itu berada di bawah taklukan Kerajaan Islam Bani Uthmaniyah.

Anehnya, deklarasi itu berkata tidak boleh berlaku apa-apa tindakan prejudis terhadap masyarakat awam dan keagamaan penduduk pribumi Palestin. Ternyata di sebaliknya yang berlaku sehingga kini.

Deklarasi tersebut bertarikh 2 November 1917 ditandatangani oleh Setiausaha Luar Britain, Arthur Balfour kepada Lord Rothschild, ketua kepimpinan masyarakat Yahudi Britain yang berpengaruh, untuk disalurkan secara rasmi kepada Persekutuan Zionist Great Britain dan Ireland.

Di perarakan tersebut, NGO dan para Ahli Parlimen di berikan peluang untuk memberi ucapan dan gesaan dalam beberapa minit. Wakil HALUAN, Ust. Muhammad Ahmed Jamallullail Tajuddin selaku Ketua Biro Relawan HALUAN juga tidak terlepas peluang untuk memberi ucapan beliau. Antaranya ialah:

  1. Umat Islam perlu kembali kepada Allah kerana jalan-jalan kemenangan ada di sana.
  2. Umat Islam perlu bersatu hati dalam membebaskan Al-Aqsa kerana itu adalah aqidah kita.
  3. Melakukan kempen-kempen kesedaran agar masyarakat tahu kepentingan pembebasan Palestin dan Al-Aqsa.

Selesai ucapan semua wakil MP dan NGO, mereka berjumpa dengan wakil kedutaan untuk sesi penyerahan memorandum. Presiden MAPIM, Encik Mohd Azmi Abdul Hamid selaku ketua komiti telah menyerahkannya kepada wakil kedutaan British. Pegawai yang menerima memo itu adalah Kolonel Stephen Hall, Penasihat Pertahanan untuk Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.

Program disudahi dengan membaca doa dan sidang media oleh komiti gabungan Peringatan 100 Tahun Deklarasi Balfour.

--
Laporan Muhammad Mus'ab Sa'ari, SUK BHP

Wakil kepimpinan NGO yang hadir

Media & orang ramai yang hadir

Ust. Muhammad Ahmed Jamallullail dalam pidatonya dengan TIGA point utama

Pegawai yang menerima memo itu adalah Kolonel Stephen Hall, Penasihat Pertahanan untuk Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.