1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Anak-anak Rohingya Riang Belajar al-Quran dan Bahasa Malaysia

SERI KEMBANGAN, 03 Nov 2017 -- Bermula jam 9:00 pagi setiap hari, anak-anak pelarian Rohingya akan melantun suara nyaring membaca al-Quran di Rohingya Community Educare Center (RCEC) yang terletak di tengah bandar Taman Prima Tropika.

RCEC merupakan salah satu projek bantuan HALUAN untuk masyarakat Rohingya, dengan kerjasama NAMA Foundation yang berpengkalan di Jeddah.

Di pusat tersebut, seramai 30 orang anak-anak pelarian Rohingya dari umur empat hingga 15 tahun mengikut pengajian harian meliputi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Burma, Pendidikan Islam dan juga Pengajian al-Quran. Mereka dibahagi dalam dua kelas mengikut saringan kecerdasan (IQ).

Guru-guru menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi, sehingga membina pengalaman baharu dan interaksi ceria kepada para pelajar walaupun suasana itu agak asing bagi mereka.

Lima orang tenaga pengajar dari HALUAN, termasuk dua orang berbangsa Rohingya, mengendali kelas yang bermula dari jam 9:00 pagi hingga 4:00 petang, Isnin hingga Jumaat.

Pengurus RCEC, Mohd Jamil Muda, memberikan tumpuan penuh bagi memastikan anak-anak Rohingya ini dapat melalui proses pendidikan dengan memenuhi kebolehan tanpa kejutan budaya yang sangat ketara. "Kita memberi latihan khusus kepada tenaga pengajar HALUAN supaya dapat menguasai kemahiran mengajar anak-anak Rohingya ini, kerana mereka tidak seperti anak-anak kita. Mereka mewarisi trauma lampau ketika melarikan diri setelah membesar di bawah kezaliman di tanah air sendiri," jelas Mohd Jamil.

"Kami berharap mereka dapat sekurang-kurangnya membaca dan menulis, serta menguasai al-Quran," kata beliau. Dengan kemahiran asas itu, mereka akan dapat berikteraksi dan memahami budaya masyarakat Malaysia. "Insha Allah kita harapkan mereka dapat membina identiti yang kuat dan tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur berbahaya."

Di RCEC, anak-anak Rohingya dihidang dengan sarapan pagi dan makan tengah hari bagi menjamin mereka belajar dengan lancar. Bahkan semua kemudahan dan pendidikan diberi secara percuma.

Menurut laporan Unit Pendidikan UNHCR sehingga Disember 2016, kira-kira 61% anak-anak pelarian Rohingya di Malaysia tidak mempunyai akses kepada sebarang pendidikan.

Sehubungan itu, HALUAN menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia berganding bahu membantu usaha ini dengan menghulurkan sumbangan tenaga dan dana bagi memastikan kelangsungan pendidikan kepada anak-anak pelarian Rohingya di Malaysia.

Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan terus ke akaun di bawah:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Educare4Rohingya] ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

--
Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan

RCEC terletak di tingkat lima bangunan kedai 3Elements Apartment Bandar Taman Prima Tropika, Seri Kembangan

Anak-anak mempelajari enam subjek utama di RCEC

HALUAN berharap mereka dapat sekurang-kurangnya membaca dan menulis, serta menguasai al-Quran,

Tenaga pengajar dilatih khas untuk mengendalikan anak-anak ini

Seramai 30 orang anak-anak pelarian Rohingya mengikut pengajian harian di RCEC