1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

FELCRA dan HALUAN Laksana Pemeriksaan Kesihatan 2017

HULU BERANG, 6 Okt 2017 – Perkarangan pusat FELCRA Berhad kawasan Hulu Berang, Terengganu sekali lagi menjadi saksi kerjasama antara HALUAN, Yayasan FELCRA dan NSTP Media Prima dalam program pemeriksaan kesihatan tahun 2017.

Program tahunan anjuran Yayasan FELCRA ini bertujuan meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan di samping menjaga kebajikan kesihatan penduduk ahli FELCRA sendiri. Program yang bermula seawal 8 pagi hingga 4 petang disertai oleh 180 peserta terdiri terdiri daripada penduduk sekitar dan staf FELCRA Hulu Berang.

Relawan HALUAN yang terdiri daripada lima doktor, lapan paramedik dan tiga sukarelawan am menjadi tulang belakang program pemeriksaan kesihatan tersebut, dibantu staf FELCRA dan Media Prima. Dr Azman Abd Wahab selaku ketua pasukan kesihatan HALUAN dan pasukannya menyediakan pakej pemeriksaan dan rawatan percuma seperti pemeriksaan berat badan, ukuran tinggi, indeks BMI, tekanan darah, serta paras glukosa dan kolesterol dalam darah. Manakala pemberian ubat cacing secara percuma disediakan kepada peserta kanak-kanak yang hadir.

Rata-rata peserta yang terlibat dikesan mempunyai kadar berat badan berlebihan, BMI melebihi indeks normal serta paras gula dan kolesterol yang tinggi. Ini termasuklah pesakit-pesakit yang mengidappenyakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes.

Seorang pesara guru, 56 tahun, yang juga penduduk setempat melahirkan rasa gembira kerana program tersebut dapat membantu meningkatkan kesihatan penduduk FELCRA. Dengan metod doktor turun padang, kaunseling dan rawatan diberikan sekaligus menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk menjalani ujian pemeriksaan berkenaan.

Encik Alias Muhammad, sukarelawan HALUAN Terengganu menyatakan rasa syukur dan terima kasih beliau kepada pihak Yayasan FELCRA kerana memberi peluang kepada HALUAN untuk berbakti kepada masyarakat FELCRA terutamanya. Menurut beliau kerjasama seperti ini, yang melibatkan FELCRA dan NSTP Media Prima, diperlukan untuk sampai kepada masyarakat kampung terutamanya apabila didasari dengan 'outreach program'.

Pengarah program, Encik Hashimuddin Hashim dan koordinatornya Encik Mohd Afiq Khairuddin dari Yayasan FELCRA berpuashati dengan kehadiran masyarakat sekitar dan berterima kasih kepada HALUAN atas kerjasama ini. Mereka juga berharap program kerjasama sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Turut hadir dalam program tersebut adalah pengurus FELCRA Zon Timur, Encik Saifulddin Omar, dan pengurus FELCRA Hulu Berang, Encik Wan Abdul Samad Wan Dagang. Para peserta juga disajikan dengan pelbagai gerai pameran dan jualan antara lainnya daripada pihak kolej FELCRA, Adabi, Coway dan gerai industri kecil. Program dihangatkan lagi dengan aktiviti cabutan bertuah berupa pelbagai jenis hamper dan persembahan dikir barat oleh penduduk FELCRA sebagai penutup tirai program pemeriksaan kesihatan kali ini.

Semoga lebih ramai lagi penduduk luar bandar mendapat manfaat dan faedah daripada kerjasama seperti ini di masa depan. Pihak HALUAN melalui Biro Kesihatan HALUAN (BKH) sentiasa bersedia untuk melaksanakan aktiviti dan program melalui kerjasama badan-badan sebegini lagi.

--
Laporan oleh Dr. Nurulhuda Ahmad Sani, Biro Kesihatan HALUAN

Set-up barangan pemeriksaan kesihatan oleh relawan HALUAN dari kanan (Dr Nurulhuda, farmasis Puan Dhabitah dan paramedik Encik Mudzaffar)

Pasukan NSTP Media prima & Yayasan FELCRA membantu dalam proses pendaftaran

Pn Mimi (kiri) daripada Yayasan FELCRA turut membantu dalam pendaftaran kanak-kanak

Relawan HALUAN Umairah sedang memberikan ubat cacing kepada peserta kanak-kanak

Relawan daripada NSTP Media prima mengukur berat dan ketinggian peserta.

Bacaan tekanan darah oleh relawan En Mudzaffar dan Dr. Rufaidah

Bacaan tekanan darah oleh Dr. Rufaidah

Pemeriksaan Glukosa & Kolesterol dalam darah oleh Dr. Khubaib (kiri)

Pemeriksaan Glukosa & Kolesterol dalam darah oleh Dr. Saeed (kiri)

Dr Umar dan pesakitnya

Dr Zainab dan pesakitnya

Dr Wan Akmal dan pesakitnya

Dr Nurulhuda dan pesakitnya

Ketua pasukan medikal BKH Dr. Azman (Kiri) Puan Dhabitah (kanan) pegawai farmasi relawan HALUAN

Peserta program dan sekitar