1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

HALUAN Kekalkan Harga Korban Tahun Lalu

BANDAR BARU BANGI, 23 Julai 2017 - Hari Raya Aidiladha kian menghampiri. HALUAN sekali lagi menganjurkan Program Ibadah Korban HALUAN, iaitu salah satu program tahunan terbesar HALUAN.

Program korban ini telah mencecah tahun ke-17 pelaksanaannya tahun ini, bermula secara kecil-kecilan di kalangan ahli HALUAN pada tahun 2000 dan kemudian dibuka kepada orang ramai pada tahun 2005. Objektif utama program ini adalah untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara yang miskin atau dilanda peperangan seperti Somalia, Kenya, Sri Lanka, Myanmar (Rohingya), Bangladesh, Syria, Palestin dan lain-lain.

Pelancaran Program Ibadah Korban HALUAN ini dilakukan serentak dengan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri HALUAN di sini pada 23 Julai lepas. Majlis Jamuan Hari Raya berlangsung dalam keadaan penuh meriah, dengan kedatangan tetamu daripada pelbagai NGO dan organisasi seperti Nama Foundation, Al-Quds Foundation, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikram Siswa. Majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berhormat Ustaz Shafie Ngah, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar Baru Bangi.

"Program Ibadah Korban HALUAN adalah antara program kebajikan dan kemanusiaan yang dianjurkan oleh HALUAN. Pelaksanaan korban ini bukan sahaja dilakukan di Malaysia, bahkan di luar negara. Prinsip kita sebagai sebuah NGO yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama menjadi penggerak kepada pelaksanaan pakej korban mampu serta ini," berkata Encik Mohd Azhar Md Idris, Ketua Biro Kebajikan HALUAN merangkap Pengarah Program Ibadah Korban HALUAN.

Tambah beliau, "Tahun ini, HALUAN akan meluaskan kawasan pelaksanaan korban ke dua lagi negara baru, iaitu Aceh di Indonesia dan Maghribi. Selain itu, kami juga berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah bahagian korban ke negara-negara yang sedia ada. Bagi mencapai hasrat itu, kami mengekalkan harga korban seperti tahun lepas. Semoga pengekalan harga ini membantu rakyat Malaysia melakukan korban dan pada masa yang sama membantu saudara seIslam di negara-negara lain."

HALUAN menjemput orang ramai yang ingin mengambil bahagian dalam korban kali ini agar segera melayari laman web khusus di http://korban.haluan.org.my. Semua maklumat lengkap yang diperlukan terkandung di dalamnya. Kini, pembayaran juga boleh dilakukan terus melalui laman web ini. Penyertaan Program Ibadah Korban dibuka sehingga 28 Ogos 2017.

Lapan pakej berasingan ditawarkan yang meliputi zon-zon Asia, Syria dan Jordan, Palestin dan Afrika, termasuk dua pakej aqiqah. Harga adalah serendah RM320 sehingga RM1,800. Pendaftaran serta bayaran penyertaan adalah melalui online sepenuhnya. Sebarang pertanyaan, jangan segan-segan untuk menghubungi talian hotline Program Ibadah Korban HALUAN iaitu 010-300 5141.

--
Laporan oleh Muhammad 'Izzat Mohd Ghani, Setiausaha Kerja Biro Kebajikan