1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Lebih 30 NGO Malaysia Seru PBB Kuat Kuasa Resolusi Berkenaan Al-Quds

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2017 -- HALUAN bersama 34 NGO Malaysia menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menguatkuasakan pelbagai resolusi mengenai al-Quds dan Masjid al-Aqsa yang telah diluluskan, untuk menyekat jenayah rejim Zionis Israel ke atas tapak suci umat Islam itu.

Dalam satu mesyuarat dan sidang media bagi mengenang 50 tahun pendudukan rejim Zionis ke atas kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa yang diadakan di sini, gabungan NGO itu mengecam tindakan rejim Zionis yang terus menceroboh dan cuba menukar status al-Quds tanpa mempeduli resolusi-resolusi yang telah diluluskan oleh PBB dan juga Majlis Keselamatan. Sikap tersebut jelas mencabul dan memperlekeh apa yang telah diputuskan oleh masyarakat antarabangsa, bukan hanya pendirian bangsa Arab dan umat Islam.

HALUAN diwakili dalam mesyuarat tersebut oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharudin Suri, dan Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan.

Pengerusi MyCARE, Dr. Hafidzi Mohd Noor, ketika menghebahkan kenyataan bersama berkata bahawa jenayah rejim Zionis tiba di kemuncaknya apabila kerajaan Israel mengadakan satu mesyuarat kabinet di dalam satu terowong bawah tanah di bawah dinding al-Buraq pada 28 Mei lalu. Sikap Presiden Amerika Donald Trump juga memberi sokongan serta jaminan kepada rejim Zionis untuk terus mengawal kota al-Quds.

Menyentuh tentang bahaya yang sedang mengancam al-Quds, Dr Syed Muhammad Haleem menyebut, "Masyarakat mesti sedar bahawa Masjid al-Aqsa kini berada dalam keadaan kritikal. Kesan serangan atau pencabulan secara perlahan-lahan ke atas kota al-Quds serta kezaliman ke atas penduduknya adalah lebih parah daripada serangan yang mereka lakukan ke atas penduduk Gaza."

Hari ini rejim Zionis bukan sahaja mencemari Masjid al-Aqsa, tetapi banyak lagi masjid-masjid lain serta gereja-gereja Kristian yang telah ditukar menjadi pusat-pusat hiburan dan juga kandang haiwan.

Sebagai langkah susulan, gabungan NGO Malaysia ini akan mengadakan perjumpaan dengan Speaker Parlimen Malaysia dan wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta menganjurkan forum di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk mendesak tindakan PBB. Mereka juga akan membina jaringan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam untuk menjelaskan permasalahan sebenar Palestin, termasuk perihal kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa, kepada masyarakat bukan Islam.

Orang ramai disaran menular maklumat tentang penjajahan kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa ini dengan menggunakan hastag # dan #50TahunDiNodai.

--
Laporan mediaHALUAN

Sidang media

Mesyuarat bersama NGO-NGO Malaysia


Berikut adalah kenyataan penuh sidang media:

07 June 2017
Siaran akhbar

Mengenang 50 tahun Pendudukan Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa oleh Rejim Zionis

Pada bulan Jun 2017 ini, genap 50 tahun pendudukan Al-Quds (Jerusalem) dan Masjid Al-Aqsa oleh rejim Zionis susulan serangab mereka ke atas bumi Palestin pada tahun 1967. Akibatnya, Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan bahagian Timur al-Quds termasuk Masjid Al-Aqsa telah jatuh di bawah pendudukan haram Israel.

Sejak itu, Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa telah dicerobohi dengan cara yang sistematik dan beransur-ansur oleh rejim Zionis walaupun Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatannya telah berkali-kali meluluskan resolusi yang mendesak Israel untuk menamatkan pendudukan haram mereka dan berundur dari kawasan yang dirampas daripada rakyat Palestin.

Jenayah rejim Zionis ini mencapai kemuncaknya semasa sambutan Hari Pendudukan Al-Quds oleh rejim Zionis baru-baru ini apabila kerajaan Israel mengadakan satu mesyuarat kabinetnya di dalam salah satu terowong di bawah dinding Al-Buraq. Rejim ini juga telah meningkatkan pencerobohan secara berleluasa terhadap Masjid Al-Aqsa.

Menyedari hakikat tersebut maka kami, yang bertandatangan di bawah, ingin menegaskan perkara berikut:

1. Kami mengambil maklum bahawa hari ini merupakan tahun ke-50 pendudukan haram al-Quds dan Masjid al-Aqsa oleh rejim Zionis Israel. Rejim Zionis Israel masih meneruskan tindakan menceroboh dan membinasakan Al-Quds walaupun Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan telah berkali-kali meluluskan resolusi mengutuk tindakan itu, termasuk tindakan mengambilalih Al-Quds serta cubaan untuk menukar status Al-Quds.

2. Kami dengan ini memberi pujian dan penghormatan kepada pasukan Murabitun dan Murabitat – para pembela Al-Aqsa daripada kalangan rakyat Palestin – atas keberanian dan keazaman mereka yang berterusan melindunginya daripada banyak percubaan oleh rejim Zionis Israel dan peneroka Zionis untuk merampas al-Aqsa daripada orang Islam.

3. Kami memuji dan memberi penghormatan kepada kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia atas sokongan kuat mereka yang berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Al-Quds dan Al-Aqsa daripada cengkaman haram rejim Zionis Israel.

4. Kami dengan tegas mengutuk percubaan rejim Zionis memutarbelitkan maklumat berkenaan Baitul Maqdis dan Al-Aqsa serta dakwaan mereka bahawa Al-Quds dan Al-Aqsa adalah milik mereka.

5. Dalam hal ini, kami mengutuk cubaan terbaru mereka pada 28 Mei 2017 apabila kabinet Israel bermesyuarat di dalam terowong di bawah Dinding Al-Buraq. Kami juga mengutuk lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke dinding Al- Buraq sebelum mesyuarat Kabinet tersebut, yang jelas bertujuan memberi sokongan kepada rejim Zionis untuk mengawal Baitul Maqdis.

6. Kami menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menguatkuasakan pelbagai resolusi yang telah diluluskan mengenai Al- Quds dan Al-Aqsa termasuk Resolusi 476 dan Resolusi 478. Resolusi 476 menegaskan bahawa tuntutan Israel ke atas Baitul Maqdis adalah terbatal dan tidak sah dan cubaan mengubah status Baitul Maqdis merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap Konvensyen Geneva ke-4. Resolusi 478 pula mengutuk Israel dengan sekeras-kerasnya atas tuntutannya terhadap Baitul Maqdis.

7. Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk memberikan tekanan terhadap PBB supaya menguatkuasakan resolusi-resolusi yang telah diluluskan untuk melindungi Al-Quds dan Al-Aqsa daripada cubaan rampasan oleh rejim Zionis.

8. Kami menyeru rakyat Malaysia yang mempunyai hati nurani, tanpa mengira kaum dan agama, untuk menyuarakan sokongan mereka kepada usaha menegakkan keadilan di bumi Palestin. Kami juga menyeru mereka untuk menyokong usaha gerakan BDS (Boycott, Divestment and Sanction) untuk memboikot rejim Zionis Israel serta semua organisasi yang bersubahat dengannya secara langsung atau tidak langsung, dalam melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

1. Al-Quds Foundation Malaysia (QFM)
2. Aqsa Syarif (MyCare)
3. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
4. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
5. Viva Palestina Malaysia (VPM)
6. Palestinian Cultural Organization (PCOM)
7. IKRAM
8. Yayasan Restu
9. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
10. Aman Palestin
11. Global Peace Malaysia (GPM)
12. Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
13. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
14. Palestinian Students Association (PSA)
15. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
16. Institute of Excellence for Islamicjerusalem Studies
17. Palestine Center of Excellence (PACE)
18. Muslim Care
19. IKRAM Siswa Nasional
20. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
21. Cakna Palestin Malaysia
22. Rose to Rose (R2R)
23. Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
24. Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia
25. Union of NGOs of Islamic World (UNIW)
26. Malaysian Humanitarian Aid and Relief Foundation (MAHAR)
27. BDS Malaysia
28. Alzytuna Club
29. WAMY Malaysia
30. Yayasan Amal Malaysia
31. Malaysian International Humanitarian Organization (MHO)
32. Majlis Belia Malaysia (MBM)
33. Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA)
34. Movement for Monetary Justice (MMJ)