1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Hos HALUAN Kedah Mantap Jayakan MTP ke-28

mtp28-backdrop0JITRA, KEDAH, 01 Mei 2017 - Bersengkang mata berpatah arang, demi menjayakan projek peringkat kebangsaan sebegini besar memang meruntun stamina, kesabaran serta kepintaran jentera kerja HALUAN negeri Kedah.

Menurut Pengarah Program Jawatankuasa Kerja, Encik Mohammad Basri Husain, persediaan jentera kerja ini bermula sejak pihak HALUAN Pusat memaklumkan bahawa Kedah dipilih sebagai hos kira-kira empat bulan yang lepas. Lebih 100 orang ahli HALUAN negeri di semua peringkat umur telah digembelingkan untuk menjayakan Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) kali ke-28 ini.

“Malah ahli daripada  kalangan pemuda-pemudi dan siswa-siswilah yang paling banyak memanfaatkan tenaga dan kepakaran mereka dalam menjayakan MTP kali ini,” jelas beliau kepada wartawan mediaHALUAN semasa ditemui di sini. MTP kali ini dilaksanakan di kampus Politeknik Sultan Abdul Halim di Jitra dari 28 hingga 30 April 2017.

Walaupun ini merupakan kali pertama Kedah menjadi tuan rumah untuk MTP, namun pengalaman lepas dalam  mengendalikan program-program besar peringkat kebangsaan yang lain seperti konvensyen telah banyak membantu jentera pasukan HALUAN Kedah melancarkan persediaan MTP ini.

Sepanjang persediaan yang telah dibuat, semua kemudahan yang telah disediakan mencukupi untuk kehadiran semua peserta. Malah, kerjasama yang baik dari pihak Institut Aminuddin Baki turut membantu dalam aspek penginapan.

“Pengalaman berharga bagi pihak kami, HALUAN negeri Kedah, ialah dari  sudut pengurusan majlis yang besar ini serta melibatkan koordinasi dengan  semua jawatankuasa dan pelbagai pihak.  Ia memainkan peranan yang sangat penting demi kejayaan MTP kali ini. Sehingga hari ketiga ini, alhamdulillah mesyuarat dan program yang disusun telah berjalan dengan lancar. Walaupun ada sedikit masalah kecil, namun ia dapat diatasi dengan baik,” katanya berpuashati.
 
“Saya mewakili HALUAN negeri Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana daripada pihak kepimpinan pusat yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk menjadi tuan rumah. Juga ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa kerja daripada ahli HALUAN negeri Kedah serta pihak peserta yang hadir yang sudi menerima seadanya apa yang kami sediakan. InsyaAllah, pihak kami berbesar hati dan bersedia andai terpilih memegang tanggungjawab ini lagi di masa akan datang,” katanya menutup bicara.


Laporan Nurul ‘Izzah Baharudin
Wartawan mediaHALUAN

Encik Mohammad Basri HusainPengarah Program Jawatankuasa Kerja, Encik Mohammad Basri Husain.