1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Pengucapan Awam Siri 2 Mantapkan Komunikasi

BANDAR BARU BANGI, 12 Feb 2017 – Seramai 23 orang peserta terdiri daripada para pemuda, pemudi dan wakil Biro Latihan HALUAN dari seluruh Malaysia telah menghadiri Kursus Pengucapan Awam Siri 2 di sini. Kursus anjuran Biro Latihan tersebut merupakan lanjutan kepada Siri 1 yang telah dijalankan pada 19 September 2016.

Pengendali kursus untuk Siri 2 tersebut adalah Dr. Mohd Razali Maarof, seorang tokoh masyarakat yang cukup terkenal di kalangan NGO dan motivator yang sangat berpengalaman dalam bidang pengucapan awam. Kursus dimulakan dengan kata aluan oleh Dr. Jamsari Alias, Wakil Biro Latihan Putrajaya diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Dr. Samsul Bahari Mohd Noor. Ketua Biro Latihan HALUAN, Dr. Asmawati Desa turut hadir memberikan sedikit taklimat tentang kursus.

Dr. Mohd Razali mengingatkan para peserta bahawa objektif Kursus Pengucapan Awam Siri 2 adalah meningkatkan kemahiran berucap di khalayak awam. Pada Siri 1, peserta telah didedahkan secara umum tentang pengucapan awam dan pengenalan kepada jenis audien. Manakala pada Siri 2 ini, isi penyampaian lebih mendalam dan menyentuh tentang kaedah menyusun atur isi ceramah.

Pada sesi petang, setiap kumpulan diberikan tajuk ceramah untuk dibincangkan dalam Latihan dalam Kumpulan (LDK). Peserta membentangkan hasil seolah-olah mereka sedang berucap di khalayak umum. Penceramah akan mencelah dan menambah isi-isi penting supaya ceramah kelihatan lebih menarik dan menyeronokkan.

Seorang peserta kursus dari Perak, Puan Nurul Aqilah Yusof berkata, "Kursus Pengucapan Awam kali ini mengukuhkan lagi keyakinan. Para peserta lebih memahami pendekatan terbaik untuk berinteraksi dengan audien. Pengendali kursus juga melatih peserta menggunakan props untuk menjadikan penyampaian lebih menarik dan tidak membosankan. Selain itu, kami juga dilatih supaya pengucapan menjadi lebih sistematik menggunakan teknik tersendiri (tell, show, do, review)."

Dr. Jamsari pula sangat berpuas hati dengan kursus ini. Kata beliau, "Kursus Pengucapan Awam Siri 2 ini memberikan perkongsian alatan yang berguna bagi persediaan pengucapan awam yang mantap, segar dan relevan mengikut keperluan masa kini. Penyampaian jurulatih kita pula sangat bertenaga, penuh bersedia, dan mampu memberikan contoh secara langsung dalam pengendalian kursus ini secara terus."

--
Laporan oleh Rabiahtul Zulkafli, Setiausaha Kerja Biro Latihan HALUAN

Peserta lelaki yang menyertai Kursus

Antara peserta wanita yang hadir

Dr. Mohd Razali Maarof yang sentiasa bersemangat dan bertenaga dalam penyampaian beliau

Peserta, Muhammad Hasan Ahmad Bahari sedang menggunakan props atau alatan bantuan bagi memudahkan penyampaian beliau

Peserta sedang berbincang dalam kumpulan

Pelatih kursus bersama-sama peserta dalam aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK)