1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

HALUAN Bersama Perkasa Pendidikan Islam Malaysia

BANGI, 7 Feb 2017 -- Pendidikan zaman sekarang semakin menitikberatkan ukuran kepandaian pencapaian akademik dan kerjaya namun tercorot dari segi elemen pendidikan akhlak terutama dari sudut pengukuran dan timbangtaranya.

Menurut Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, ilmu kini diukur dari sudut pengetahuan akademik semata-mata, bukan lagi dari sudut amalan ruhi seperti solat yang sepatutnya menjadi paksi kepada usaha pencernaan ilmu.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Persidangan Meja Bulat Memperkasakan Pendidikan Islam di Malaysia. Pertemuan itu adalah anjuran Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (MAPIK), Fakulti Pengajian Islam UKM, Persatuan Alumni Fakulti Pengajian Islam (PAFPI), Persatuan Alumni Kolej Islam Malaya dan Majlis Dakwah Negara (MDN) di Bilik Mesyuarat Bitara, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Persidangan ini merupakan perbincangan kumpulan pakar dengan tajuk "Ke Arah Memperkasa Pendidikan Islam di Malaysia."\

Beliau memperkenalkan motto dalam loghat Kelantan iaitu "Ngaji biar pandai, akhlak biar juruh, hidup biar boleh tupey, mati boleh masuk syurga." Katanya sistem pendidikan Islam tidak harus dihanyuti aliran kefahaman sekular yang beliau ibaratkan sebagai suatu sistem yang menghasilkan abdi-abdi ekonomi yang kehilangan sifat-sifat insaniah dalam diri mereka semasa menggali ilmu.

Persidangan berkenaan turut disertai oleh badan-badan kerajaan seperti Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), institusi pengajian tinggi seperti KUIS, UIA, UKM, UPM, dan UPSI serta badan-badan NGO seperti HALUAN, IKRAM, dan PERKASA.

Perbincangan dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh, Penyandang Kursi Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UNISZA), Dato' Wira Dr Ismail Ibrahim dan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Wan Kamal Mujani.

Ia kemudian disusuli dengan sumbangsaran dan perbincangan ke arah memperkasakan Pendidikan Islam di Malaysia oleh para peserta persidangan.

Resolusi yang dipersetujui semasa persidangan tersebut ialah satu Kongres Pendidikan Islam akan dilaksanakan di mana Fakulti Pengajian Islam UKM akan menjadi sekretariat kongres tersebut dengan kerjasama badan-badan kerajaan dan NGO.

Majlis penutup telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Alumni Fakulti Pengajian Islam (PAFPI) UKM, Dato' Dr Zakaria Stapa.

Selain Dr Abdullah Sudin, HALUAN turut diwakili Ketua Biro Pemuda, Muhammad Muzakkir Che Ani.

--
Laporan Biro Penerangan HALUAN

"Ngaji biar pandai, akhlak biar juruh, hidup biar boleh tupey, mati boleh masuk syurga, " kata Presiden HALUAN

Tokoh-tokoh yang hadir